“21 Oktober 2024 menjadi saksi berakhirnya era penuh kontroversi seorang tokoh yang pernah digelar “musuh nombor satu” Turki oleh Recep Tayyip Erdogan.
Fethullah Gulen, ulama yang dahulunya sahabat rapat Erdogan sebelum menjadi lawan politik yang paling getir meninggal dunia di sebuah hospital di Amerika Syarikat.
Berita kematiannya disahkan sendiri oleh Menteri Luar Turki, Hakan Fidan yang menggambarkan Gulen sebagai ketua organisasi gelap yang dituduh berusaha menggulingkan kerajaan Turki pada tahun 2016.
Gulen yang telah hidup dalam buangan sejak tahun 1999 meninggalkan dunia dengan legasi yang penuh kontroversi.
Beliau bukan sekadar seorang ulama, tetapi seorang yang pernah menjadi sekutu kuat Erdogan dan Parti AK dalam memperkukuhkan politik Islam di Turki.
Namun, selepas perpecahan dramatik antara mereka pada tahun 2013, segalanya berubah.
Gulen diangkat sebagai dalang utama di sebalik rampasan kuasa yang gagal pada tahun 2016. Ianya merupakan satu malam berdarah di mana lebih 250 nyawa terkorban.
Sejak itu, Erdogan menegaskan untuk menghapuskan segala jejak pengaruh Gulen di Turki.
[Dari Sahabat Menjadi Seteru]
Hubungan antara Gulen dan Erdogan pada satu masa dahulu seperti “bintang terang” dalam arena politik Turki.
Mereka bersama-sama membangunkan visi negara berlandaskan nilai-nilai Islam dan pemerkasaan pendidikan.
Namun, pada Disember 2013, satu siasatan rasuah yang mensasarkan menteri-menteri dan pegawai kanan Erdogan memecahbelahkan hubungan mereka.
Erdogan menuduh Gulen menggerakkan penyiasatan itu melalui para pengikutnya yang telah lama menyusup masuk ke dalam jabatan kerajaan dan institusi penting negara.
Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Gulen yang dahulunya dipuja sebagai seorang ulama berpengaruh dan dihormati, kini dilabel sebagai pengkhianat.
Pada tahun 2016, rampasan kuasa yang cuba menggulingkan Erdogan menjadi kemuncak perseteruan antara dua tokoh ini.
Walaupun Gulen menafikan sekeras-kerasnya penglibatannya, kerajaan Turki tidak berganjak. “Mereka seperti kanser yang sedang merosakkan negara,” kata Erdogan ketika itu yang berikrar untuk membanteras pengikut Gulen di seluruh pelosok dunia.
[Gerakan ‘Hizmet’: Jaringan Global Gulen]
Sebelum semuanya runtuh, Gerakan Hizmet yang dikenali sebagai gerakan perkhidmatan Gulen menjadi satu fenomena global.
Bermula dengan membuka asrama dan sekolah untuk para pelajar di Izmir pada tahun 1960-an, rangkaian pendidikan Gulen berkembang dengan pesat, bukan sahaja di Turki tetapi merentasi Asia Tengah, Balkan, Afrika dan juga Barat.
Gulen dan pengikutnya mengasaskan sekolah-sekolah yang mempromosikan Islam sederhana, pendidikan ala-Barat dan komunikasi antara agama.
Dalam dekad yang sama, pengaruhnya melangkaui sempadan agama hingga ke bidang perniagaan dan media.
Namun, selepas rampasan kuasa yang gagal, Erdogan mengarahkan penutupan ratusan sekolah, syarikat dan media yang dikaitkan dengan Gulen.
Lebih 150,000 penjawat awam dipecat, manakala puluhan ribu orang ditangkap dalam operasi pembersihan besar-besaran.
Gerakan yang suatu ketika dahulu diangkat sebagai model pendidikan Islam sederhana kini dihancurkan sepenuhnya oleh kerajaan Turki.
[Akhir Riwayat Di Perantauan]
Sejak melarikan diri ke Amerika Syarikat pada tahun 1999, Gulen hidup dalam buangan di sebuah kompleks yang tersorok di Pocono Mountains, Pennsylvania.
Di situ, beliau menjalani kehidupan sederhana tetapi penuh teka-teki. Biarpun Turki berkali-kali meminta Gulen diserahkan semula ke Turki, Amerika Syarikat menolak permintaan tersebut atas alasan kekurangan bukti yang mengaitkannya dengan rampasan kuasa 2016.
Kematian Gulen bukan sekadar pengakhiran hidup seorang ulama kontroversi, tetapi juga penutup kepada sebuah episod hitam dalam sejarah moden Turki.
Bagi Erdogan dan kerajaan Turki, kematian Gulen mungkin memberi sedikit kelegaan.
Namun, Menteri Luar Hakan Fidan menegaskan, “Perginya Gulen tidak bermakna perjuangan kami melawan keganasan sudah tamat. Kami akan terus membanteras setiap saki-baki pengaruhnya yang masih ada.”
Bagi pengikut setia Gulen, beliau bukanlah seorang pengkhianat seperti yang digambarkan oleh Erdogan.
Sebaliknya, mereka melihatnya sebagai seorang guru yang hanya ingin mempromosikan Islam yang penuh toleransi dan pendidikan untuk generasi muda.
Namun, realitinya, Gulen meninggal dunia sebagai orang buangan, dilabel sebagai pengkhianat dan dalang di sebalik percubaan menggulingkan kerajaan Erdogan.
Di sebalik segala kontroversi, pergolakan dan tuduhan, satu perkara tetap jelas. Perginya Fethullah Gulen menutup tirai kepada perseteruan politik yang paling dramatik dalam sejarah Turki moden.
Kini, Erdogan berdiri tanpa musuh lamanya, tetapi bayangan rampasan kuasa 2016 akan terus menghantui sejarahnya.
___
Adakah Turki mampu menjadi negara “core” dunia Islam? Persoalan ni ada jawapannya di dalam siri DUNIA TANPA TEMBOK.
Buku ni dah ada trilogi untuk korang layan dan tahu apa konflik yang dah berlaku di seluruh dunia ni. Dapatkannya sekarang!
DTT: shope.ee/5V6BFhsNqi
DTT II: shope.ee/509ueoOgIc
DTT III: shope.ee/6pbYqChURS
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih