Mungkin ada diantara anda semua yang pernah tonton filem The Throne lakonan Yoo Ah-In yang memaparkan kisah benar pasal Putera Sado.
Dikurung dalam sebuah peti kayu besar, tanpa air, tanpa makanan. Jerit minta tolong pun takde siapa yang datang.
Bunyi kerusi kayu yang bergerak dan desahan nafas terakhir hanyalah saksi kepada detik-detik kematian yang penuh tragis.
Inilah kisah Putera Sado, pewaris takhta Joseon yang hidupnya berakhir dalam tragedi yang sampai sekarang ceritanya diketahui oleh majoriti orang Korea.
Putera Sado bukan sebarang putera biasa. Baginda dilahirkan dengan penuh kegembiraan di istana kerana menjadi pewaris tunggal selepas kematian saudara lelakinya.
Namun, sejak kecil, hidupnya sentiasa berada di bawah bayangan ketakutan. Ayahandanya, Raja Yeongjo seorang raja yang tegas dan mudah berang, tak pernah puas hati dengan apa yang dilakukan Sado.
Kesilapan kecil Sado disambut dengan kemarahan besar dan anak muda itu membesar dalam ketakutan, sentiasa berasa tidak cukup baik di mata ayahandanya.
[Terasing dan Derita Mental]
Sejak usia kecil lagi, Sado sudah merasai beban tanggungjawab sebagai putera mahkota.
Pada usia 8 tahun, dia berkahwin dengan seorang gadis bernama Hyegyong, juga anak muda yang terpaksa menjalani kehidupan yang sukar di istana.
Walaupun mereka berkawan baik pada awalnya, kehidupan perkahwinan di usia yang terlalu muda itu menambahkan lagi tekanan pada diri Sado.
Penyakit mental mula menyerang Sado pada usia remaja. Sikapnya berubah secara drastik, dari seorang yang tenang kepada seorang yang mudah marah dan tidak dapat dikawal.
Ketakutan terhadap langit, halusinasi dan mimpi buruk mula menghantui dirinya.
Bayangkan betapa peritnya hidup dalam ketakutan sepanjang masa, bahkan cuaca ribut pun membuatkan Sado rasa akan dihukum oleh ayahandanya.
Tapi Raja Yeongjo tak pernah faham keadaan mental anaknya. Sebaliknya, dia paksa Sado untuk terus menjalankan tugas istana, termasuklah menyelia hukuman ke atas banduan.
Tekanan demi tekanan yang ditanggung Sado menjadikan dirinya semakin tidak stabil. Dia mula melampiaskan kemarahan dengan membunuh haiwan dan manusia, hanya untuk meredakan tekanan yang menggila dalam dirinya.
Hyegyong yang menulis tentang detik-detik hitam ini dalam memoirnya menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana Sado mula menjadi ganas, bahkan hampir membunuhnya dalam satu insiden.
[Dipenjarakan Dalam Peti Kayu]
Klimaks kisah tragis Putera Sado berlaku pada Julai 1762. Selepas bertahun-tahun menyaksikan perubahan sikap anaknya, Raja Yeongjo akhirnya membuat keputusan yang tiada siapa jangkakan.
Gelaran putera mahkota Sado ditarik balik dan baginda diperintahkan masuk ke dalam sebuah peti kayu besar yang digunakan untuk menyimpan beras.
Dikurung dalam peti itu tanpa sebarang makanan atau minuman, Sado bertahan selama lapan hari.
Bayangkan betapa menyeksakan setiap detik, setiap nafas, setiap seruan minta tolong yang tiada siapa hiraukan.
Raja Yeongjo, bapa yang sepatutnya melindungi puteranya memilih untuk membiarkan anaknya mati secara perlahan dalam kesunyian yang menghantui.
Sado akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya dalam peti tersebut dan meninggalkan dunia ini dalam keadaan yang amat memilukan.
[Dikenang Sehingga Hari Ini]
Kisah Putera Sado bukan hanya tentang seorang putera yang hilang akal dan menjadi mangsa kepada penyakit mental. Ia juga tentang kegagalan sebuah sistem keluarga yang sepatutnya memberikan kasih sayang dan bimbingan.
Hyegyong, isteri setia yang menanggung segala kesedihan meneruskan hidupnya demi anak-anak mereka.
Dalam memoirnya, Hyegyong mencatatkan segala peristiwa ini sebagai usaha untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku kepada suaminya.
Dia ingin dunia tahu bahawa Sado adalah mangsa keadaan, mangsa kepada tekanan mental dan mangsa kepada ketidakfahaman ayahandanya sendiri.
Putera Sado meninggal dunia dalam cara yang kejam, tetapi kisahnya terus hidup. Banyak kali juga kisah Putera Sado ni diadaptasi di dalam K-Drama seperti The Red Sleeve dan Secret Door.
Ia menjadi peringatan betapa pentingnya memahami kesihatan mental dan bagaimana kegagalan memahami perasaan orang lain boleh membawa kepada tragedi yang tidak terbayangkan.
___
Untuk para peminat sejarah Dinasti Joseon, ada berita baik untuk anda! Buku terbaharu kami: JOSEON DI HUJUNG JARI dah muncul hari ini dengan harga promosi RM23!
https://s.shopee.com.my/609T2uRjg5
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih