Muzik video Datuk Seri Siti Nurhaliza pula mengundang tohmahan netizen yang menghina kerana ingat ia dirakam di dalam gereja.
Dah macam acara tahunan bila ISTAC dituduh sebagai gereja.
Tetapi sebenarnya, rakaman muzik video tersebut dilakukan di International Institute of Islamic Thought and Civilization atau lebih dikenali sebagai ISTAC, sebuah pusat pengajian di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Bukannya gereja, tetapi institusi yang diasaskan bagi menghidupkan semula kegemilangan pemikiran Islam!
[Tapi Kenapa Disangka Gereja?]
Ini persoalan yang menyesakkan fikiran. Jika kita melihat reka bentuk seni bina ISTAC, ia memang memiliki ciri-ciri yang terinspirasi daripada seni bina Islamik Maghribi-Andalusia yang terkenal.
Namun, salah faham ini terjadi disebabkan oleh satu elemen utama iaitu susunan kerusi yang kelihatan seakan-akan bangku gereja.
Hanya kerana susunan kerusi dan ruang terbuka yang luas, ia terus dituduh sebagai gereja? Tidakkah kita kenal sejarah seni bina Islam sendiri?
Apakah begitu cetek pengetahuan kita tentang tamadun kita sendiri? Adakah ISTAC yang seharusnya menjadi simbol kebangkitan intelektual Islam kini hanya dilihat sebagai gereja?
[ISTAC: Lambang Kebangkitan Tamadun Islam, Bukan Gereja!]
Mari kita selami sedikit sejarah ISTAC ini. Institusi ini diasaskan oleh tokoh agung pemikiran Islam moden, Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pada tahun 1987.
Tujuan utama penubuhannya? Untuk membina kembali peradaban dan pemikiran Islam yang tulen dengan menjadikan sejarah kegemilangan Islam di Andalusia sebagai sumber inspirasi.
Seni bina Islam ni berkembang pesat masa Dinasti Umayyah di Sepanyol antara abad ke-8 sampai ke-15. Kota-kota macam Córdoba, Seville dan Granada jadi pusat ilmu dan seni.
Contohnya, Masjid Cordoba dan istana Alhambra di Granada yang memang terkenal dengan keindahan seni bina Islam. Ada taman air, mozek geometri dan ukiran arabesque yang simbolik.
Masa kita kuasai Andalusia, seorang rahib dari Jerman pernah puji Cordoba sebagai “mutiara dunia”. Masa tu ada 70 perpustakaan besar dan 3000 masjid.
Khalifah Abdul Rahman II pula bina perpustakaan dengan 400,000 hingga 600,000 naskah buku. Hebat betul sampai boleh lawan perpustakaan Baghdad masa tu!
Maka, tak hairanlah seni bina ISTAC mengambil pengaruh daripada Alhambra di Sepanyol, sebuah monumen yang menjadi simbol kecemerlangan peradaban Islam.
Apabila Tun Dr. Mahathir merasmikan ISTAC pada tahun 1991, ia bukan sekadar bangunan, tetapi sebuah impian untuk mengembalikan kegemilangan ilmu dan budaya Islam.
Jadi, apabila ISTAC disamakan dengan gereja hanya kerana reka bentuknya, kita bukan sahaja menghina warisan intelektual kita, tetapi juga menutup mata terhadap sejarah besar yang menjadi tulang belakang kebangkitan tamadun kita.
Kenapa begitu? Adakah kita terlalu terpisah dari sejarah kita sendiri hingga tidak dapat membezakan antara seni bina Islam dan Barat?
Tidakkah kita tahu bahawa kubah masjid yang kita banggakan itu asalnya diinspirasikan daripada gereja-gereja Byzantium seperti Hagia Sophia yang kemudiannya dijadikan masjid oleh Sultan Muhammad Al-Fateh?
Hagia Sophia yang kita lihat sekarang di Turki tu sebenarnya dibina oleh Justinian I sebagai pusat penyebaran ajaran Kristian di seluruh Eropah menjadikan projek tersebut sebagai projek pembinaan terbesar dalam sejarah empayar Byzantine. Jadi, seni bina Gereja ni tak terikat sebenarnya.
Kubah masjid yang kita pakai adalah asalnya digunakan awal oleh Gereja Ortodoks Timur, sebelum Uthmaniyyah adaptasi sewaktu berlaku pertembungan tamadun dengan Rom Timur.
Buktinya beberapa binaan kubah orang Rom seperti Minerva Medica dan Pantheon dapat dilihat sehingga ke hari.
Kemasukan agama Kristian ke dalam empayar Rom membuatkan hampir keseluruhan gereja mula menerima kubah.
Maka tak pelik ketika era itu, anda akan ternampak bangunan berkubah yang milik lambang salib. Malah sehingga ke hari ini juga anda boleh melihat pemandangan seumpama itu terutamanya di Rusia.
Kemuncaknya adalah dengan penaklukan Konstantinopel dan pertukaran fungsi Aya Sophia kepada masjid, orang Turki mula membina masjid sendiri menggunakan kubah.
Sebagai empayar yang menaungi dunia Islam, tindak-tanduk Uthmaniyah sentiasa menjadi ikutan kerajaan Islam lain walaupun cuba mengadaptasi kubah gereja ke dalam masjid.
Bermula sejak itu pembinaan masjid berasaskan kubah gereja mula tersebar di setiap pelusuk dunia Islam.
Kalau mereka-mereka dalam gambar ini kenal sejarah Hagia Sophia itu, nescaya mereka pasti akan membakarnya kerana ia asal sebuah gereja.
[Kejahilan, Musuh Terbesar Kita]
Perkara ini menggambarkan satu masalah besar dalam masyarakat kita iaitu kejahilan.
Kita terlalu sibuk dengan hal-hal remeh hingga terlupa untuk mendalami sejarah dan budaya kita sendiri.
Seni bina ISTAC yang sepatutnya menjadi kebanggaan kita disamakan dengan gereja tanpa sedikit pun rasa bersalah. Di manakah silapnya?
Apakah kita gagal dalam mendidik masyarakat tentang pentingnya mengenali dan menghargai warisan Islam?
Di bawah bumbung ISTAC, sarjana-sarjana dari seluruh dunia berkumpul untuk menimba ilmu, berbincang tentang masa depan Islam dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah umat hari ini.
Maka, amat menyedihkan apabila masyarakat kita sendiri buta tentang keagungan institusi ini dan memilih untuk menghukum berdasarkan pandangan yang cetek.
Jika kita sendiri tak mampu menghargai warisan kita, siapa lagi yang akan melakukannya?
___
Nak tahu bagaimana Zaman Keemasan Islam ketika Dinasti Abbasiyyah dan Umayyah di Sepanyol menjadi pusat penyebaran ilmu dunia?
Jangan lupa dapatkan KITAB TAMADUN ISLAM sementara stok masih ada!
https://shope.ee/7AEiV1lQvL
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih