Cerita yang mengatakan jasad Mustafa Kemal Atatürk tak diterima bumi sebenarnya hanyalah propaganda dongeng yang tersebar dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami ingin membetulkan kisah ini.

 

Ramai tak tahu bahawa sultan-sultan Uthmaniyah ada prosedur khas untuk jenazah mereka. Mayat mereka diawet dengan mengeluarkan semua organ sebelum ditanam. Ada beberapa sebab kenapa jenazah diawet.

 

Contohnya, untuk menunggu persiapan makam diraja, badan sultan akan diawet dan diletakkan di makam sementara. Begitu juga dengan Atatürk. Makamnya yang ada sekarang di Turki dibina selepas kematiannya.

 

Atau jika sultan mati di tengah perang dan tidak mahu menjejaskan moral tentera, jenazahnya akan diawet. Ini berlaku pada Sultan Suleiman Al-Qanuni. Organ-organ ini dikuburkan di tempat kematiannya, dengan jantung ditanam berasingan. Malah, makam atau batu nisan didirikan untuk organ-organ tersebut.

 

Setelah mengeluarkan organ dalaman, jenazah Sultan Suleiman akan dikeringkan dengan cara diperasapkan hingga benar-benar kering. Ini untuk mengelakkan mayat dari mereput dan membusuk. Proses ini adalah sejenis mumifikasi gaya Turki purba.

 

Setelah jenazah Sultan Suleiman diawet, kompleks pemakaman akan dibina dan jenazahnya dimasukkan ke dalam keranda kayu di ruang bawah tanah makam dua tingkat. Keranda ini tidak menyentuh tanah langsung. Terdapat sarkofagus palsu di tingkat atas makam yang terbuat dari kayu atau marmar.

 

Hanya birokrat dan anggota dinasti tertinggi yang boleh turun ke ruang sarkofagus sebenar di bawah tanah untuk berdoa. Ruang sarkofagus palsu di bahagian atas makam terbuka untuk semua pengunjung.

 

Benda yang sama berlaku pada Atatürk, dan bukan sesuatu yang ganjil apabila mayatnya diawet dan dibiarkan untuk tempoh tertentu sebelum ditanam di bawah makamnya. Ada makam palsu dibina di atas untuk penghormatan, sementara keranda sebenar di bawah tanah hanya boleh diakses oleh orang tertentu.

 

Namun, kepada mereka yang menuduh saya pro-Ataturk, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menyokong dasar sekularisme atau tindakan-tindakan Ataturk. Ataturk adalah produk Tanzimat, produk sekolah-sekolah sekular yang dibangunkan di Turki, dan produk dasar-dasar baru kerajaan pada zaman sebelumnya.

 

Pada zaman Ataturk, Uthmaniyyah berada di ambang kehancuran. Ada sebab mengapa rakyat Turki hari ini sangat mengidolakan beliau. Ataturk dianggap sebagai penyelamat bangsa Turki daripada kehancuran mutlak di saat paling genting.

 

Walaupun saya tidak bersetuju dengan beberapa tindakannya, kita perlu tahu kenapa orang Turkiye idolakan Ataturk. Pada penghujung abad ke-19, kekuasaan Uthmaniyyah mulai terhakis, terdesak oleh tekanan imperialis dari Eropah, terutama dari negara-negara seperti Britain, Perancis, dan Rusia, yang secara beransur-ansur merampas wilayah-wilayah mereka.

 

Ketika Perang Dunia Pertama pecah, Uthmaniyyah mengambil risiko dengan menyertai Blok Kuasa Pusat, yang terdiri daripada Jerman, Austria-Hungary, dan Bulgaria, dengan harapan dapat memulihkan wilayah yang telah direbut oleh negara-negara Blok Bersekutu, yang termasuk Britain dan Rusia.

 

Namun, pertaruhan tersebut gagal, dan dengan berakhirnya perang pada 11 November 1918, Uthmaniyyah bersama dengan sekutu-sekutu Blok Kuasa Pusat mengalami kekalahan. Dua hari setelah perang berakhir, pasukan Bersekutu segera menyerbu Istanbul, mengklaim hadiah yang telah lama diidamkan: kawasan strategik yang menghubungkan Laut Hitam dengan Laut Mediterranean melalui Selat Bosporus dan Dardanelles.

 

Sultan Mehmed VI, yang memerintah pada masa itu, terpaksa menuruti permintaan Bersekutu. Baginda bekerjasama dengan mereka untuk menangkap para anggota Komite Persatuan dan Kemajuan (CUP) yang berhaluan pro-Jerman, membubarkan parlimen, dan mematuhi kehendak Bersekutu.

 

Dalam masa yang sama, negara-negara Bersekutu merundingkan Perjanjian Sèvres yang bertujuan untuk memecahbelahkan lebih jauh lagi wilayah Uthmaniyyah: Syria dan Lubnan jatuh ke tangan Perancis; Iraq, Jordan, dan Palestin dikuasai oleh Britain; dan Hijaz memperoleh kemerdekaan.

 

Anatolia, jantung tanah air Turki, juga dicadangkan untuk dibahagikan di antara Britain, Perancis, Itali, dan Yunani, dengan sebahagian timur diberikan kepada Armenia. Harapan Sultan Mehmed VI agar kerjasama ini dapat memperoleh syarat yang lebih ringan untuk Uthmaniyyah terbantut. Tindakan Bersekutu yang terlalu menindas telah membangkitkan semangat nasionalisme Turki.

 

Mustafa Kemal, seorang bekas anggota CUP dan jeneral dalam tentera Uthmaniyyah, telah mula membina gerakan nasionalis selepas tiba di Samsun pada 19 Mei 1919. Kemal menganjurkan kempen Millî Mücadele, bertujuan untuk mengusir penjajah dari Anatolia. Beliau mendirikan Büyük Millet Meclisi (Majlis Agung Kebangsaan) di Ankara, yang menentang kuasa Bersekutu dan Sultan Mehmed VI di Istanbul.

 

Mustafa Kemal, yang dikenali kerana kecemerlangannya sebagai pemimpin tentera, juga menerima sokongan dari Soviet Union. Beliau melancarkan serangan terhadap Yunani, yang lebih lemah berbanding dengan Britain, Perancis, dan Itali, dan pada September 1922, berhasil mengusir tentera Yunani dari Anatolia. Menyedari keadaan ini, negara-negara Bersekutu lain terpaksa mengakui kekuatan Mustafa Kemal dan menandatangani Perjanjian Lausanne yang mengesahkan sempadan Turki yang ada hari ini.

 

Pada November 1922, Kesultanan Uthmaniyyah berakhir apabila Sultan Mehmed VI turun takhta dan meninggalkan negara di bawah perlindungan British. Mustafa Kemal mengumumkan penubuhan Republik Turki pada 23 Oktober 1923, dengan pusat pemerintahan di Ankara. Abdülmecid II menggantikan Mehmed VI sebagai Khalifah, tetapi hanya memegang peranan sebagai ketua agama dan tidak mempunyai kuasa politik.

 

Kegagalan Sultan Mehmed VI untuk mempertahankan kepentingan negara dan penghancuran maruah Kesultanan oleh kuasa asing telah merosakkan prestij Kesultanan Uthmaniyyah dari tahun 1919 hingga 1923, mendorong rakyat Turki untuk mengangkat Mustafa Kemal sebagai ‘Atatürk’ atau Bapa Turki, penyelamat bangsa. Atatürk juga menamatkan Khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924, dan sehingga kini, warisan beliau tetap menjadi ikon yang tidak tergugat dalam sejarah Turki.

 

Akhir kata, janganlah terlalu terpengaruh dengan cerita sejarah Uthmaniyyah yang terlalu romantis. Carilah sumber yang neutral dan tidak terikat dengan semangat islamisasi atau nasionalis yang berlebihan sehingga kisah seperti ini boleh timbul.

 

Sejarah harus bebas dari sebarang jenis propaganda!

 

Oleh: Azizul Farhan

 

___

 

Tertanya-tanya bagaimana ahli politik memenangi hati rakyat? Dapatkan SENI PROPAGANDA di Shopee kami dengan diskaun RM7 terhad sehingga 15 Jun hanya ada di Shopee kami!

 

https://s.shopee.com.my/1LKNh8JIEM


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply