Satu fenomena (atau mungkin isu) sedang berleluasa di Korea Selatan sekarang ini. Fenomena ini adalah tentang ‘puak kanggaru’ yang membentuk satu demografi baharu di negara ini dan jumlahnya semakin bertambah.
Jadi, apa sebenarnya ‘puak kanggaru ini’?
Di Korea Selatan, ada satu trend yang sedang berlaku kini, iaitu ramai belia kekal tinggal bersama ibu bapa mereka, akibat tiada pekerjaan, tiada sumber pendapatan yang kukuh, lalu membentuk demografi yang dikenali sebagai ‘puak kanggaru.’ Dalam erti kata lain, golongan ini dah tamatkan pendidikan mereka, namun, akibat gagal mencari pekerjaan, maka mereka terpaksa terus bergantung kepada ibu bapa mereka.
Daripada data kajian Perkhidmatan Maklumat Pekerjaan Korea, pada tahun 2020, 66% rakyat Korea berumur antara 25 hingga 34 tahun adalah sebahagian daripada kumpulan ini. Jumlah ini semakin meningkat sejak pertama kali istilah ini diperkenalkan sekitar tahun 2012. Pada masa yang sama, 75.1% ibu bapa yang berumur 60 tahun ke atas memberitahu bahawa mereka tidak mahu tinggal bersama anak mereka. Walaupun begitu, masih ramai lagi ibu bapa yang mahu melindungi anak-anak mereka dan rela menanggung kewangan mereka.
Apa punca yang menyebabkan munculnya golongan ini?
Secara asasnya, keadaan ini berpunca daripada kegagalan untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang mereka miliki. Tapi, sebenarnya, cabaran yang dihadapi oleh golongan ‘puak kanggaru’ ini ada pelbagai faktor. Ada yang tinggal bersama keluarga kerana gagal dapat pekerjaan. Dan ada juga yang mahu menjimatkan kos sara hidup kerana gaji yang diperoleh kecil. Malah, paling utama, disebabkan kos penginapan serta bayaran tempat tinggal yang sangat tinggi di kota menyebabkan mereka lebih rela bersama ibu bapa mereka.
Kadar pengangguran dalam kalangan belia Korea yang menjadi punca utama kewujudan ‘puak kanggaru’ ini berakar daripada pelbagai isu yang berlaku. Persaingan sejak sekolah, sehingga memasuki universiti yang terbaik serta merebut untuk memegang jawatan di organisasi terkemuka antara punca yang membawa kadar pengangguran. Sudahnya, ada belia yang memilih untuk bekerja sementara yang tidak relevan dengan kelulusan akademik yang mereka miliki.
Jika berjaya mendapatkan pekerjaan pula, harga rumah yang mencanak membuatkan mereka tak mampu untuk mengimpikan kehidupan seperti orang lain. Ramai berputus asa untuk menjalani kehidupan normal. Tanda yang paling ketara daripada kekecewaan ini adalah trend anak muda yang memutuskan untuk tinggal bersama ibu bapa dan tidak mencari pasangan hidup.
Seorang profesor, Jeon Young Soo dari Universiti Hanyang memberi amaran bahawa kewujudan ‘puak kanggaru’ ini bukan sahaja mempengaruhi isi rumah, tetapi juga ekonomi negara. Malah, profesor ini juga mencadangkan ibu bapa berhenti menyokong belia ini dari segi kewangan.
Cadangan penyelesaian ini mungkin bukan langkah yang terbaik kerana situasi ini dipengaruhi banyak faktor. Apa yang pasti, trend ini masih lagi berlaku dan mungkin akan terus meningkat sekiranya tiada langkah penyelesaiannya.
Oleh: Farahi Kamaruddin
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih