Pada hari ini, 29 Mei 2024, genaplah 51 tahun seorang seniman agung dalam dunia Melayu, Allahyarham Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh atau Tan Sri P.Ramlee kembali ke rahmatullah.

 

Pada pagi Selasa, 29 Mei 1973, P.Ramlee yang menjadi pujaan ramai rakyat seluruh Nusantara telah meninggal dunia.

 

Berita kematiannya dengan cepat tersebar melalui corong-corong radio pada pagi 29 Mei itu. Ramai yang tidak percaya apabila menerima berita pemergian P.Ramlee pada pagi itu.

 

Rakan-rakan seperjuangannya masing-masing kebingungan dan bertanya sesama sendiri adakah ini berita benar atau hanya sebuah naratif dalam filem arahannya.

 

Ya, memang P.Ramlee sudah tiada lagi. P.Ramlee sudah pergi meninggalkan dunia ini menemui Tuhan-Nya seawal waktu Subuh pada pagi itu.

 

Pemergian P.Ramlee diratapi oleh masyarakat dan peminat-peminatnya dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia, dan Brunei.

 

Malah pada pagi yang hening itu ada orang yang sanggup terjun melalui tingkap atau jendela, semata-mata ingin memberitahu rakan-rakan bahawa P.Ramlee sudah meninggal dunia.

 

Bukan rumah itu tidak ada pintu, tetapi oleh kerana seluruh perasaan diselubungi kesedihan sehingga tingkap atau jendela terbuka luas itu disangka pintu.

 

Begitulah betapa besarnya pengaruh P.Ramlee kepada masyarakat pada ketika itu.

 

Suasana rumah P.Ramlee di Jalan Dedap juga sudah mula dipenuhi oleh rakan-rakan dan orang ramai.

 

Lapisan masyarakat dari pelbagai agama dan bangsa seperti rakyat biasa, wartawan, sasterawan, bintang filem, orang politik, ahli perniagaan, menteri kabinet, sudah mula berhimpun di halaman rumahnya walaupun pada waktu itu sudah mula memperlihatkan tanda-tanda hujan akan turun.

 

Tetapi mereka tetap tidak berganjak demi untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah P.Ramlee.

 

Jenazah P.Ramlee tiba di Jalan Dedap dari Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi dan disambut oleh hampir 500 orang ramai yang setia menanti di halaman rumahnya.

 

Dalam perjalanan dari hospital ke Jalan Dedap hujan renyai sudah mulai turun. Di sepanjang jalan masuk ke rumah P.Ramlee, orang berjalan berduyun-duyun tidak putus-putus mengiringi jenazahnya.

 

Jenazah P.Ramlee dibawa ke Masjid Jamek, Kampung Baru untuk dimandikan dan dikafankan serta disembahyangkan selepas waktu Zohor. Hampir 200 buah kereta mengiringi jenazahnya yang turut diketuai oleh anggota Polis bermotor.

 

Apabila tiba di masjid, beribu-ribu masyarakat sudah menanti jenazah P.Ramlee untuk bersama-sama menyertai solat jenazah.

 

Kira-kira jam 5 petang jenazah P.Ramlee tiba di tanah perkuburan Islam, Jalan Ampang. Tanah perkuburan juga sudah menjadi lautan manusia menyambut jenazah seniman agung itu.

 

Semua yang hadir di tanah perkuburan tetap setia berdiri dan menanti walaupun hujan renyai mengiringi jenazah.

 

Orang ramai berasak-asak dan tolak-menolak mahu ke hadapan mendekati liang lahad sehinggakan tempat meletakkan jenazah sudah tidak kelihatan. Pihak Polis juga terpaksa mengawal keadaan bagi melancarkan urusan pengkebumian.

 

Pada waktu talkin dibaca itulah buat kali pertama masyarakat mengetahui bahawa nama sebenar P.Ramlee ialah Teuku Zakaria. Apa yang lebih menarik, talkin itu telah dibacakan oleh Allahyarham Mohamad Rajoli bin Mohamed Zain atau lebih dikenali dengan nama M.Rajoli yang pada ketika itu berusia 28 tahun sedang berkhidmat sebagai salah seorang Imam besar di Masjid Jamek, Kampung Baru.

 

Begitulah sedikit coretan dan perkongsian dari saya sempena memperingati tarikh pemergian seorang manusia biasa yang sangat luar biasa anugerah dari Allah buat kita semua sebagai rakyat Malaysia khususnya dan bangsa Melayu amnya.

 

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, gagak di rimba yang masih kekal bertakhta di belantara seni.

 

Al-Fatihah…

 

Oleh: Azizul Farhan

 

___

 

Bagi anda yang tidak berpeluang untuk menjengah ke reruai kami di PWTC, jangan khuatir kerana kami juga mengadakan Jualan PBAKL Online 2024 di Shopee dan Tiktok kami dengan DISKAUN sepanjang berlangsungnya PBAKL!

 

Link Shopee: s.shopee.com.my/8zjTjR0kU


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply