Dalam filem Ibu Mertua Ku kita semua telah disajikan dengan sebuah naskah berat karya dari Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

 

Cerita asal dari Allahyarham Ahmad Nisfu ini telah berjaya menjentik emosi peminat filem Melayu dari dahulu sehingga kini.

 

Melalui filem Ibu Mertua Ku, P.Ramlee telah diiktiraf sebagai Bakat Serba Boleh (Most Versatile Telent) di Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung di Tokyo pada tahun 1963.

 

Anugerah Bakat Serba Boleh ini hanya dimiliki oleh P.Ramlee sahaja di dalam dunia. Kategori ini tidak pernah lagi dipertandingkan di mana-mana anugerah filem dalam dunia selepas P.Ramlee menerimanya sehingga sekarang.

 

Apa yang saya ingin kongsikan adakah anda semua tahu mengapa P.Ramlee “membutakan” watak Kassim Selamat di dalam filem ini?

 

Sebenarnya watak Kassim Selamat yang buta matanya disebabkan menangis setiap hari kerana meratapi pemergian isterinya Sabariah (lakonan Sarimah) dalam filem ini adalah merujuk kepada kisah benar yang berlaku kepada ayahanda P.Ramlee sendiri iaitu Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim.

 

Selepas P.Ramlee meninggalkan Pulau Pinang dan pergi ke Singapura pada tahun 1948, Teuku Nyak Puteh dikatakan sering kali berduka dan menangis kerana merindukan anak tunggalnya itu.

 

Walaupun pada peringkat awal beliau merestui kepergian P.Ramlee dalam mengejar cita-citanya, tetapi jiwanya merintih sepi dipeluk rindu yang mendalam.

 

Oleh kerana beliau seringkali menangis dan berduka, perkara ini telah mengakibatkan mata beliau menjadi buta.

 

Dalam satu kejadian lain, Teuku Nyak Puteh pernah meminta rakan-rakannya membawa beliau ke panggung wayang untuk menonton filem lakonan P.Ramlee.

 

Walaupun beliau tidak dapat menonton filem berkenaan kerana matanya buta, dapat mendengar suara anaknya itu sudah cukup bagi melepaskan rindunya terhadap P.Ramlee.

 

Sejak P.Ramlee menjejakkan kaki ke Singapura beliau tidak berpeluang untuk pulang ke Pulau Pinang atas sebab kekangan jadual kerja yang padat.

 

Pada masa yang sama P.Ramlee sedang berada di puncak kemasyhuran bermula dari tahun 1950.

 

P.Ramlee hanya sempat mengirim wang dan surat kepada kedua ibu bapanya melalui abang tirinya Syeikh Ali.

 

Selepas 5 tahun mengejar cita-cita di rantau orang, P.Ramlee akhirnya pulang ke Pulau Pinang menemui keluarganya pada tahun 1953.

 

P.Ramlee tidak menyangka dan turut berduka dengan nasib yang menimpa ayahandanya itu.

 

Tetapi Teuku Nyak Puteh tetap memberi semangat kepada anaknya itu supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya.

 

Teuku Nyak Puteh meninggal dunia pada tahun 1955 ketika berusia 53 tahun.

 

Begitulah pendekatan seorang seniman agung dunia Melayu dalam berkarya.

 

P. Ramlee sentiasa melihat keadaan yang berlaku disekelilingnya dan mentauladani pengalaman yang pernah beliau lalui untuk menyatakan dan menterjemahkan seninya kepada masyarakat.

 

P. Ramlee menjadikan filem sebagai wadah dalam menyampaikan makna, menentukan agenda, menyebar propaganda, menabur benci, membakar semangat, membaja kasih sayang dan membenih rasa cinta.

 

Al-Fatihah buat Allahyarham Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Gagak di rimba yang masih bertakhta di belantara seni.

 

Alam nan luas

Banyak gunung dan banyak jurang

Wahai anak, dan banyak jurang

Gunung tinggi engkau daki

Jurang dalam engkau jauhi

Kalaulah aku boleh MEMANDANG

Aku pandu engkau berjuang

Kalaulah besar anakku sayang

Sesal ayah kerana tidak dapat memandang.

 

Oleh: Azizul Farhan

 

___

 

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara?

 

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA yang akan menemui anda ketika PBAKL di reruai Patriots yang bernombor 4026, 4027, 4051, 4052, 4061, 4062, 4075 dan 4076 di Dewan Tun Razak 4, PWTC!

 

Baca bab-bab awal SECARA PERCUMA di sini: https://thepatriots.store/pramlee/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Penggemar sejarah dan budaya. Kini, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Tenggara Universiti Malaya dan graduan Diploma Sejarah dan Tamadun Islam UniSZA. Bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang Arkeologi kerana terpengaruh dengan filem Indiana Jones walaupun tahu arkeologi sebenar tak seperti itu.

Leave A Reply