Ada satu perkara berkaitan keju yang suatu ketika dulu menjadi amalan dalam kalangan masyarakat Eropah. Di England, apabila seorang wanita sedang sakit untuk melahirkan anak, bakal bapa perlu menyediakan keju buat isterinya yang sedang sakit itu. Keju ini yang dipanggil ‘keju mengerang’ seterusnya akan dipotong dari tengah apabila bayi dilahirkan dan diberikan kepada mereka yang berada di dalam bilik serta pelawat pertama bayi itu. Apabila kesemua keju telah dihidangkan, hanya lapisan luar/kulit sahaja yang tinggal, yang akan dilalui oleh bayi itu pada hari pembaptisannya, demi memastikan nasib pada masa depannya.
Ini adalah salah satu contoh kenapa keju bukanlah sekadar bahan makanan yang penting dalam kalangan masyarakat Eropah. Keju boleh digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka, termasuklah sebagai bahan sihir!
Mari kita lihat apa yang ditulis oleh Kathryn Paulsen dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1971, yang bertajuk The Complete Book of Magic and Witchcraft. Pada muka surat 97, di bahagian Spells, Charms and Incantations, Paulsen ada menyatakan, “Anda boleh membuatkan seorang wanita terpesona dengan memberikannya sekeping keju.” Ini dikatakan jampi cinta yang boleh menundukkan seorang wanita.
Seorang ahli mistik abad ke-12, Hildegard von Bingen, juga pernah membandingkan pembuatan keju dengan keajaiban kehidupan kerana cara ia membentuk dadih (atau bahan pepejal) daripada bahan-bahan yang dianggap tidak begitu penting. Dalam hal ini, ketika era itu, masyarakat Eropah percaya bahawa cara misteri pembuatan keju itu ada kaitannya dengan misteri kehidupan, lantas menganggapnya sebagai mempunyai sifat ajaib yang tersendiri.
Paling menarik, keju ini turut dijadikan sebagai cara untuk mengenalpasti pencuri dan pembunuh pada Zaman Pertengahan di Eropah. Kaedah yang mereka gunakan agak mudah. Mula-mula keju ini dibacakan mantera dan doa. Contoh doa itu adalah:
‘Semoga mulutnya terkutuk dan penuh dengan kepahitan, di bawah lidahnya sakit. Jika dia bersalah, dia akan makan atas nama syaitan. Jika dia tidak bersalah, dia akan makan dalam nama Tuhan Jesus Kristus.’
Kemudian mereka akan suapkan sekeping kecil keju itu kepada setiap suspek yang ada. Mereka percaya bahawa jika pelakunya tidak akan dapat menelan sekeping keju itu, maka suspek itu pasti mengakui kesalahan mereka.
Sebenarnya, ada banyak amalan pelik dan unik yang dilakukan oleh orang Eropah era pertengahan terhadap keju ini. Ahli sihir waktu itu turut mengganggu proses pembuatan keju dengan merosakkan susu yang digunakan melalui jampi serapah mereka.
Apa pun, pada hari ini, keju tetap kekal menjadi satu bahagian penting dalam kehidupan masyarakat Eropah. Anda sukakan keju? Pertimbangkan semula kegemaran anda.
Oleh: Farahi Kamaruddin
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih