Kita hanya tinggal lebih kurang enam bulan sebelum memasuki tahun 2019.
Berapa ramai antara kita yang telah mencapai separuh daripada azam tahun ini? Nah, mengaku jujur!
Kajian daripada Universiti Scranton mendapati bahawa hanya 8% daripada mereka yang membuat azam tahun baru berjaya mencapai azam mereka. Jumlah yang amat kecil.
Ramai mengatakan bahawa itu perlu berubah, ini perlu berubah, namun jika ditanya pada diri sendiri, adakah anda sanggup berubah? Tidak ramai yang mahu. Menuding jari itu mudah, namun mengubah diri sendiri itu sukar.
Mengapa kita sukar untuk berubah? Kerana kita sudah selesa dengan perkara yang kita sudah tahu. Otak kita diajar untuk menyukai keselesaan dan berasa selamat, dan perkara yang tidak dapat dijangka atau tidak diketahui itu menakutkan dan membuatkan kita tidak selesa.
Ya, perubahan akan membuatkan kita tidak selesa. Dari ketidakselesaan itu barulah kita akan belajar dan menjadi lebih baik, ya tak?
Jika anda mahu menurunkan berat badan, adakah dengan baring menonton TV akan membautkan berat menurun? Sudah tentu tidak! Berat akan menurun hanya dengan penat lelah dan usaha – bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.
Perkara ini sukar kerana ia memerlukan anda mengubah gaya hidup. Jika sebelum ini, selepas waktu bekerja anda balik rumah, makan dan berehat. Selepas ini, anda perlu memaksa diri bersenam di taman dan kemudian, barulah kembali ke rumah untuk makan dan berehat. Itu jika anda bujang.
Jika anda sudah berkahwin dan mempunyai anak, lagi sukar untuk dilakukan. Namun bukanlah mustahil dengan adanya sokongan pasangan. Jika ada orang lain boleh lakukan, mengapa tidak anda, ya tak?
Sebenarnya mahu berubah itu mudah.
Mengapa saya katakan mudah?
Yalah, jika mahu kurus, pergi bersenam!
Mahu kaya? Berusaha cari duit!
Mahu bercuti? Kumpul duit dan pergi!
Apa yang menghentikan anda?
Alasan.
Alasan.
Alasan.
Ada saja alasan kita untuk tidak melakukannya.
Sebenarnya kita malas. Azam tidak kukuh. Diri tidak kuat. Kita lemah sebenarnya. Kita sukakan kehidupan yang kita sudah biasa. Kita tidak mahu mencabar diri melakukan sesuatu yang lebih baik untuk diri dan memperbaiki diri.
Salah satu persepsi salah mengenai perubahan ialah kita ingat kita boleh berubah sekelip mata. Itu salah. Perubahan mengambil masa, terutama perubahan pada tingkah laku dan tabiat kita.
Bayangkan, sudah 20 tahun kita mengamalkan pemakanan tidak sihat, makan di kedai mamak hampir tiap malam, minum teh tarik dan air ais tiap hari, takkan semudah memetik jari, tabiat kita itu akan berubah ya tak?
Pakar psikologi terkemuka, James Prochaska memperkenalkan Transtheoretical Model of Behavior Change dan mengenal pasti lima tahap yang perlu dilalui oleh seseorang individu yang mahu mengubah tabiat lama ke tabiat baharu. Dan selalunya, invidividu tidak akan, dengan mudah melalui setiap tahap dalam turutannya. Biasanya individu akan terbabas dan kembali ke tahap satu atau dua sebelum menyambung semula. Kajian ini menunjukkan bahawa sesungguhnya, untuk berubah itu bukanlah mudah.
Dalam dunia sains pula, ada konsep yang dipanggil tenaga pengaktifan (activation energy), yang mana tenaga minimum diperlukan agar suatu reaksi kimia dapat berlaku. Hanya apabila keperluan tenaga minimum itu dapat dicapai, barulah reaksi akan berlaku. Lebih sukar dan rumit reaksi tersebut, lebih tinggi tenaga pengaktifan diperlukan untuk memulakan reaksi.
Hal ini sama saja dengan perubahan, lebih sukar dan berat aktiviti yang perlu dilakukan untuk berubah, lagi banyak tenaga dalaman yang diperlukan untuk kita melakukannya. Sedar atau tidak, biasanya kita akan bermalasan dan memberi seribu satu alasan untuk tidak melakukan sesuatu? Walhal, anda hanya perlu bangun, menukar pakaian dan berlari? Namun ada saja alasan kita, hendak hujanlah, nanti penatlah, dan sebagainya. Kadang-kadang, penyelesaian terbaik ialah menjerit kata semangat dan lakukan saja, agar tenaga dalaman tercetus dan menolak semangat kita untuk berlari!
Untuk lebih mudah untuk kita melakukan perubahan, ada beberapa tip mudah untuk dilakukan:
Pertama, mudah dan ringkas.
Letak azam yang mudah untuk dicapai, yang tidak membuatkan kita rasa stress yang teramat hingga perlu mengubah 360 darjah kehidupan kita. Mulakan dengan berlari 1 jam dua kali seminggu sahaja, sebagai contohnya. Nanti selepas dua bulan, tingkatkan pula ke tiga kali seminggu dan seterusnya. Jangan pula letak 1 jam lima kali seminggu terus, nanti anda juga yang runsing, ya tak.
Kedua, boleh capai.
Sasarkan untuk mencapai simpanan RM1 juta dalam masa lima tahun, dan bukannya satu tahun. Buat pelan jangka pendek dan jangka panjang agar anda boleh rancang tindakan dan lihat pencapaian.
Ketiga, buat satu persatu.
Jangan pula anda mahu ubah lima perkara dalam satu-satu masa. Kajian mendapati tabiat lebih mudah diubah sekiranya anda fokus kepada satu dalam satu masa. Sebagai contoh, anda mahu tidur awal dan bangun awal, kemas rumah sebelum tidur, bersenam sesudah bangun pagi dan makan sarapan yang sihat.
Itu empat perkara yang mahu dilakukan, jadi cuba fokus untuk ubah satu perkara dahulu iaitu tidur awal dan bangun awal. Selepas beberapa minggu, jika sudah biasa maka boleh fokus terhadap mengubah tabiat lain pula. Jika anda cuba untuk mengubah pelbagai tabiat dalam satu-satu masa, akan akan stres dan mudah mengalah sekiranya anda tidak berjaya.
Keempat, sokongan.
Cari orang yang rapat dengan anda untuk menyokong anda. Pasangan, ibu bapa, sahabat baik atau mereka yang mempunyai matlamat yang sama dengan anda, geng untuk menguruskan badan sebagai contohnya, maka anda akan lebih bersemangat untuk mengubah tabiat. Biasanya merekalah yang akan mengingatkan anda tentang jadual, tanya perkembangan anda, mendengar keluh kesah anda dan sebagainya.
Berubah itu boleh jadi mudah atau sukar, semuanya bergantung kepada diri sendiri. Jika mahu berubah, lakukan saja. Usah beri alasan.
Bacaan lanjut:
Just 8% of People Achieve Their New Year’s Resolutions. Here’s How They Do It.
New Years Resolution Statistics
https://www.statisticbrain.com/new-years-resolution-statistics/
Why Is Change So Hard?
Why Change is so Hard: The Chemistry of Habits
https://medium.com/@MaxWeigand/why-change-is-so-hard-the-chemistry-of-habits-f0c226f00bff
8 Reasons Why It’s so Hard to Really Change Your Behavior
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih