Isi 1 = Alvida dalam One Piece
Isi 2 = Variasi ejaan Alvida
Isi 3 = Maksud nama Alfhildr
Isi 4 = Menelusuri pemasukan hikayat Alfhild dalam buku-buku perlanunan
Isi 5 = Menelusuri riwayat hidup lanun wanita, Alfhild
Isi 6 = Cadangan Bacaan Tambahan
1. “Iron Mace” Alvida bukan sahaja lanun pertama yang muncul dalam anime One Piece, malah juga merupakan lanun wanita pertama yang ditampilkan. Namun, tahukah anda, Alvida adalah salah satu watak di dalam One Piece yang disadur dari lanun sebenar iaitu Alfhild?
2. Alvida, merupakan variasi ejaan dari lanun wanita dicatatkan oleh Saxo Grammaticus yang berjudul Gesta Danorum. Antara ejaan lain adalah Alwilda, Alvilda, Alvild, Alvilde, Alfhilda, Avilda, Alvida, Altilda dan Aelfhild.
3. Diambil dari bahasa Norse Lama, Alfhidr terdiri dari perkataan ‘alfr’ yang bermaksud elf (pari-pari kecil yang berkuasa magis) dan ‘hildr’ yang bermaksud pertempuran (battle).
4. Sebelum kita telusuri riwayat hidup lanun wanita yang bernama Alfhild, mari kita singkap bagaimana Alfhild mula diperkenalkan di dalam buku-buku perlanunan.
Pada lewat abad ke-12, Saxo Grammaticus menulis sebuah buku sejarah 16 jilid yang berjudul Gesta Danorum. Grammaticus yang merupakan seorang sejarawan dan penyair ini mungkin menetap di Sjaelland. Grammaticus seorang yang terpelajar, kerana “Grammaticus” itu sendiri bermaksud “yang dipelajari”. Jilid ketujuh Gesta Danorum mengandungi sebuah kisah mengenai seorang puteri dari Goth yang menjadi lanun iaitu Alfhild. Dan kemudian, pada tahun 1555, Olaf Magnus memasukkan hikayat Alfhild ini ke dalam Historia de Gentibus Septentrionalibus atau Sejarah Orang-Orang Utara karangannya. Dan kemudian lagi, 300 tahun berlalu tanpa ada seorang pun yang memasukkan kisah Alfhild dalam buku perlanunan.
Namun, pada 1837, terbit sebuah buku karangan Charles Ellms yang berjudul The Pirates Own Book. Alfhild muncul dalam bab pertama buku tersebut, namun memandangkan Ellms bersandar pada versi Olaf Magnus tidak kepada Saxo Grammaticus, maka penceritaannya mengandungi maklumat yang kurang tepat.
Tidak ada penceritaan yang muncul melainkan setelah lama sejak kematian Alfhild, kerana beliau hidup pada abad ke-9, dan kepelbagaian pendapat pula merumuskan Alfhild wujud di antara abad ke-5 hingga abad ke-12.
5. Alfhild merupakan puteri kepada Siward, seorang Raja Goth. “Beliau sentiasa menyelubungkan wajahnya dalam jubahnya, atau tidak nanti kejelitaan beliau akan menggejolakkan syahwat orang lain.” Keperawanan seseorang dijaga dengan rapi pada zaman ini, dan sebagai seorang puteri, Alfhild mungkin akan menjadi isteri kepada seseorang yang dikehendaki oleh ayahnya demi memeterai persekutuan dengan pihak lelaki tersebut. Atas sebab ini, Siward “menghumbannya ke dalam jagaan yang sangat rapi, dan meletakkan 2 ekor ular berbisa demi melindungi kesuciannya dengan perlindungan reptilia tersebut…” Ayahandanya juga mengumumkan bahawa “jika mana-mana lelaki cuba memasukinya [kamar Alfhild] dan gagal, dia mesti terus menyerahkan kepalanya untuk dipancung dan disula.” (Saxo Grammaticus dalam Druett, 32-33)
Pastinya hal ini memerlukan lelaki yang gagah berani untuk melepasi jagaan rapi tersebut, atau bersifat berani menghadapi kematian semata-mata untuk mendapatkan gadis jelita. Namun, ramai pemuda yang mencuba, dan kesemuanya gagal hinggalah Putera Alf, Putera Raja Sigar dari Denmark, memberi perhatian kepada tugas ini.
“Kemudian Alf… menyangka bahawa kepayahan cubaan tersebut hanya membuatkannya menjadi kelihatan lebih mulia, lantas mengisytiharkan dirinya sebagai seorang pelamar, dan disuruh untuk menundukkan binatang-binatang buas yang berjaga di kamar si gadis; menurut titah, perkahwinan dengan si gadis tersebut merupakan hadiah buat orang yang berjaya menundukkannya.” (Saxo Grammaticus dalam Druett, 33)
Baik para pengawal Alfhild dan baik nasib kemungkinan gagal Alf tidak berjaya menggugat putera yang “ulung dalam semangat dan ketampanan” ini. Bagaimana mungkin tugas ini lebih sukar berbanding apa yang dia lakukan sebagai pelangsung hidup? Dia “mengabadikan hidupnya pada pengembaraan (yang pastinya melibatkan pertempuran). Dalam kata lain, dia adalah seorang Viking, dan menyerang, menjarah dan merampas merupakan pekerjaan yang berbahaya.” (Saxo Grammaticus dalam Druett, 32)
Di samping ketampanannya, Alf memiliki kebijaksanaan yang tidak dimiliki oleh para pelamar Alfhild sebelum ini. Pertama sekali, Alf membalut “tubuhnya dengan kulit binatang yang penuh dengan darah” untuk membuatkan ular-ular tersebut bertindak liar dan berlawanan dengan sifat alami mereka. Dia juga membawa sepasang penyepit pada sebelah tangan dan lembing di sebelah yang lain. Penyepit tersebut menyepit “seketul besi merah-panas”, dan apabila ular tersebut membuka rahangnya, Alf memasukkan penyepit tersebut “ke dalam ngangaan ular”. Dia juga menusukkan lembingnya “ke dalam mulut ular itu sebaik sahaja ular tersebut luka dan menggeliat kesakitan.” Berjaya membunuh kedua-dua pengawal tersebut, Alf pun melepasi cabaran dan menantikan ganjarannya – si gadis jelita Alfhild. (Saxo Grammaticus dalam Druett, 33)
Siward menyangka bahawa perkahwinan Alfhild dengan Alf akan menjadi sebuah penyatuan yang indah, namun dia tetap mahu puterinya itu gembira.
“Dia hanya akan menerima lelaki yang puterinya membuat pilihan bebas dan muktamad untuk dijadikan sebagai suaminya.” (Saxo Grammaticus dalam Druett, 34)
Pernyataan yang dibuat oleh Siward ini tidaklah asing. Para wanita Norse memiliki hak untuk menolak pelamar yang layak, namun banyak hikayat mempamerkan si jelita menerima untuk mengahwini perwira yang merisikokan jiwa dan raga untuknya. Maka, semua orang menyangkakan Alfhild menerima pelamaran Alf dan menghadiahkan Alf dengan hadiah pertunangan lazim, iaitu sebilah pedang. Manakan tidak, mengapa tidak mengagumi seorang lelaki yang setampan yang cocok dengan kejelitaannya, lelaki yang gagah berani dan bijak?
Akur terhadap harapan masyarakat kelihatannya bertentangan dengan fahaman Alfhild, kerana beliau kemudian mengenakan pakaian maskulin dan keluar ke laut untuk menjarah dan merampas. Atau sebagaimana disebutkan oleh Olaf Magnus:
“Kerana beliau lebih cenderung kepada kehidupan gagah-berani berbanding hidup bersenang-senang hinggakan apabila beliau boleh menikmati kesenangan kekerabatan diraja; atas tarikan kegilaan wanita, beliau tiba-tiba menerjah memasuki kecamuk perang. Azamnya untuk kekal suci (perawan) begitu kuat hinggakan beliau menolak kesemua lelaki dan penuh bertekad untuk tidak mengadakan hubungan dengan mana-mana lelaki; namun kemudian dari itu beliau menyamai, atau bahkan menjangkaui kegagah-beranian lelaki dalam dunia perlanunan.” (Druett, 35)
Saxo tidak pernah menerangkan bagaimana Alfhild mampu menjadi seorang lanun yang berjaya, kerana beliau kurang dalam semua kemahiran yang diperlukan untuk meredah laut dan bertempur. Entah bagaimana, beliau memperoleh pengetahuan tentang cara mengendalikan bot atau kapal, untuk mengemudi dan menavigasi menerusi matahari dan bintang-bintang, tanda-tanda kawasan (landmark) diketahui oleh semua pelaut, ombak-ombak dan arus-arus laut, serta corak-corak migrasi kawanan burung. Beliau dan krunya yang juga para wanita, belajar cara memegang pedang dan kapak. Apabila mereka “bertembung di satu kawasan di mana sekumpulan lanun sedang meratapi kematian kapten mereka yang baru sahaja tewas dalam sebuah pertempuran,” Alfhild berjaya membuatkan mereka memilihnya sebagai kapten mereka yang baru.
Tiada kisah mengenai kegiatan beliau, namun orang-orang Denmark menghantar beberapa buah ekspedisi untuk menghentikan penjarahannya, yang mengisyaratkan bahawa beliau meraih kejayaan dalam karier barunya ini. Putera Alf memimpin salah satu ekspedisi pemburuan tersebut, dan ketika Alf menjejaki Alfhild hingga ke sebuah teluk yang sempit di Finland, Alfhild memimpin sebuah armada yang terdiri dari kapal-kapal yang lebih banyak jumlahnya berbanding milik Alf. Walaupun berjumlah lebih kecil, Alf memilih untuk menyerang. Mereka berjaya menguasai satu demi satu kapal Alfhild hinggalah akhirnya dia menaiki kapal Alfhild. Dia “mara ke buritan kapal, menyembelih semua yang menentangnya.” Borgar, iaitu leftenan Alf, berjaya memukul topi salah seorang lanun sekaligus ia terpelanting ke geladak (dek) kapal.
“Melihatkan kemulusan dagunya, [Alf] menyedari bahawa dia mesti melawan dengan ciuman, bukan dengan senjata; lembing-lembing perlu dicampak, dan musuh perlu ditangani dengan cara yang lebih lembut.” (Saxo Grammaticus dalam Druett, 39)
Apabila Alf menyedari siapakah lanun tersebut, “dia meraihnya [Alfhild] dengan penuh semangat, dan membuatkan perwatakan kelelakiannya berubah menjadi kewanitaan; dan kemudian mendapatkan puteri daripadanya, (yang bernama) Gurid.” Borgar juga berkahwin, mengambil kru-kepimpinan-kedua Alfhild, iaitu Groa, sebagai isteri. Selepas itu, Alfhild menghilang dari rekod sejarah (Saxo Grammaticus dalam Druett, 39)
Adakah Alfhild benar-benar wujud? Kita tidak tahu. Sejarawan feminis, iaitu Nanna Damsholt yang mengkaji mengenai wanita-wanita Denmark zaman pertengahan, tidak meyakini bahawa Alfhild pernah wujud. Alfhild dan para pahlawan wanita lain hanya ciptaan minda para lelaki.
“Sebagai bayangan, saya rasa mereka [para pahlawan wanita] memberikan maksud yang mendalam kepada orang-orang yang diceritakan kisah ini kepadanya. Jadi, saya rasa bahawa mereka itu penting bukan sebagai teladan dari manusia sebenar, tetapi sebagai karakter fiksyen yang mengagumkan. Masyarakat pada Zaman Pertengahan tidak membezakan antara mitos dan sejarah seperti kita pada zaman sekarang.” (Stanley, 79)
Saxo Grammaticus menyelitkan dalam tulisannya mengenai kisah Alfhild untuk membuatkan para pembaca mengetahui bahawa beliau melupakan peranan tradisi yang dimainkan oleh para wanita dalam masyarakat Norse, dan bahawa beliau “mengabadikan tangannya kepada lembing-lembing yang mana sepatutnya tangan-tangan itu diabadikan kepada mesin-mesin tenun.” (Druett, 37) Penulisan beliau cenderung ke arah kepercayaan dan ajaran-ajaran Gereja pada zamannya, bukan zaman Alfhild. Apapun, beliau menulis mengenai Alfhild pada 250 tahun selepas fakta itu berlaku, dan Alfhild pula hidup sejurus sebelum Norse menjadi Kristian. Malah, apabila lanun-lanun lelaki memilih Alfhild untuk memimpin mereka, Saxo mengatakan bahawa mereka tidak memilih kerana kemahirannya, namun kerana kejelitaannya. Percampuran antara fakta dan fiksyen ini membuatkan ramai sejarawan mempersoalkan kebenaran kewujudan Alfhild, namun ahli-ahli geologi yang mengkaji susur-galur keturunan raja-raja Scandinavia telah memastikan bahawa ramai orang yang ditampilkan dalam hikayat-hikayat Norse memang benar-benar wujud.
Mungkinkah Alfhild pernah menjadi seorang ketua lanun? Mungkin. Queen Aud – mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Dublin selepas kemangkatan suaminya iaitu Olaf the White – memimpin sebuah angkatan laut yang bergerak menuju Iceland. Hikayat Anglo-Saxon (The Anglo-Saxon Chronicle) merekodkan bahawa puteri Alfred yang Agung merupakan seorang komander cemerlang yang berkempen bersama abangnya menentang orang-orang Denmark. Maka, berkemungkinan Alfhild benar-benar wujud, namun kisahnya ditokok-tambah menerusi penceritaan lisan.
6. Untuk informasi tambahan mengenai Alfhild, saya [penulis cindyvallar] mencadangkan bacaan-bacaan berikut:
Bold in Her Breeches: Women Pirates Across the Ages disunting oleh Jo Stanley. HarperCollins, 1995.
Druett, Joan. She Captains: Heroines and Hellions of the Sea. Simon & Schuster, 2000.
Ellms, Charles. The Pirates Own Book: Authentic Narratives of the Most Celebrated Sea Robbers. Dover, 1993.
Historical Female Pirates (www.katyberry.com/Dorianne/pirates.html)
Klausmann, Ulrike, Marion Mienzerin, dan Gabriel Kuhn. Women Pirates and the Politics of the Jolly Rogers. Black Rose Books, 1997.
Lorimer, Sara. Booty: Girl Pirates on the High Seas. Chronicle Books, 2002.
Ossian, Rob. Pirate’s Cove: Alvilda (http://www.thepirateking.com/bios/alvilda.htm)
Rogozinski, Jan. Pirates! Brigands, Buccaneers, and Privateers in Fact, Fiction, and Legend. Facts on File, 1995.
Selinger, Gail. The Complete Idiot’s Guide to Pirates. Alpha Book, 2006.
Sjoholm, Barbara. The Pirate Queen: In Search of Grace O’Malley and Other Legendary Women of the Sea. Seal Press, 2004.
Artikel ini adalah terjemahan dari http://www.cindyvallar.com/alfhild.html dan dilakukan sedikit penambahan pada isi 1-4.
Penerangan dan Sumber Gambar:
Kiri = Gambar yang merujuk kepada Alfhild
https://alfhildsjourney.blogspot.com/2006/07/alfhild-pirate-princess.html
Kanan = Watak Alvida dalam anime One Piece dengan posing paling sopan
https://vignette.wikia.nocookie.net/onepiece/images/2/2b/Alvida_Loguetown.png/revision/latest?cb=20160328104104
Bawah Kiri = Peta Kawasan Alfhild menetap
http://cindyvallar.com/alfhild.html
Bawah Tengah = Gambar Longship (kapal yang digunakan oleh Alfhild)
http://cindyvallar.com/alfhild.html
Bawah Kanan = Logo One Piece
https://www.selectgame.com.br/wp-content/uploads/2011/09/One_Piece_Logo.gif
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih