Isu kedaulatan Laut China Selatan sentiasa menjadi sebutan negara-negara yang mempunyai tuntutan di situ – baik negara-negara ASEAN hinggalah China dan Taiwan. Begitupun, selagi tiada solusi terhadap tuntutan sembilan atau 10 garis putus-putus yang dibuat China, selagi itulah isu ini akan terus berbangkit.
Secara ringkasnya, tuntutan kawasan sembilan atau 10 garis putus-putus merujuk kepada kawasan yang didakwa milik China. China mendakwa tuntutan ini dibuat atas faktor sejarah. Bagaimanapun, tuntutan sebegini takkan berhasil lebih-lebih jika dibawa ke Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Ini kerana kebanyakan kawasan yang didakwa milik negara itu menyentuh Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) milik beberapa negara seperti Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina. Sebelum itu, apa itu EEZ? EEZ secara ringkas ialah zon laut yang ditetapkan UNCLOS untuk sesebuah negara melakukan aktiviti penerokaan dan memanfaatkan sumber-sumber laut dari perlombongan hinggalah penjanaan tenaga.
Jadi, bila China keluarkan peta terbaru mereka pada 30 Ogos lalu, siapa tak melenting. Sebabnya menerusi peta berkenaan, China mahu menafikan hak kedaulatan negara-negara yang membuat tuntutan di kawasan tersebut. Normallah bagi negara-negara berkenaan termasuk Malaysia mengeluarkan kenyataan tegas berkenaan kerana merasakan kedudukan mereka tercabar.
Namun begitu, macam mana nak kuatkuasakan kedaulatan laut berkenaan kalau tiada kod tatakelakuan (Code of Conduct) di Laut China Selatan? Kod tatakelakuan tidak wujud disebabkan semua negara yang membuat tuntutan tidak membincangkan apa yang boleh dan apa yang tak boleh dilakukan sekitar Laut China Selatan. Apabila tatakelakuan spesifik tidak wujud, akan timbul pergeseran membabitkan semua negara yang terlibat.
Contoh paling mudah, isu pembinaan infrastruktur di sesetengah pulau. China nyatakan infrastruktur yang dibina untuk kegunaan awam seperti padang terbang dan rumah api. Malangnya, infrastruktur sama boleh digunakan untuk kegunaan ketenteraan. Ini sekaligus berpotensi menjadikan kawasan ini sebagai zon ketenteraan, sesuatu yang mahu dielak negara-negara ASEAN yang ada tuntutan di situ. Bila isu tatakelakuan antara negara tidak wujud berkenaan Laut China Selatan, masalah akan timbul di kemudian hari.
Maka, di sinilah peranan ASEAN sebagai sebuah badan mewakili negara-negara Asia Tenggara untuk bersuara dan menyatakan pendirian tentang isu ini. Biarpun sedar tentang status China sebagai rakan dagang terbesar kebanyakan negara termasuk Malaysia, itu bukan bermakna ASEAN patut membiarkan China berbuat suka hati. Pada masa sama, negara-negara anggota juga harus mengelak membuat ketetapan secara bersendirian atau berdepan potensi dieksploitasi sama ada oleh China mahupun pesaing mereka, Amerika Syarikat.
Suka atau tidak ASEAN harus kekal sebagai satu badan yang neutral dan tidak menyebelahi sesiapa. Pada masa sama, negara-negara ASEAN juga harus menambahbaik dan memperkukuh aset maritim yang dimiliki bagi menjaga kedaulatan kawasan yang dituntut. Perlu diingat, China memiliki tentera laut terbesar di dunia. Pada masa sama, apabila aset-aset ini sudah ada, sekurang-kurangnya negara-negara yang membuat tuntutan tidak akan mudah dibuli seperti dahulu.
Satu contoh insiden yang berkait dengan hal ini ialah insiden Pengawal Pantai Filipina diganggu aset-aset laut China semasa menghantar bekalan kepada kapal BRP Sierra Madre. Kapal ini bertanggungjawab kawal Beting Ayugin. Nak dijadikan cerita, pada 8 September lalu, tiga kapal pengawal pantai China halang kapal Filipina daripada laksanakan urusan mereka.
Dua kapal pengawal pantai Filipina iaitu BRP Cabra dan BRP Sindangan yang bertanggungjawab buat penghantaran berdepan tugas lagi sukar. Sebab kepungan kapal pengawal pantai China kemudiannya disertai dua kapal tentera laut China. Namun begitu, pada akhirnya, mereka berjaya juga hantar bekalan. Jadi, nak elak kena buli, aset maritim sedia ada kena tambah.
Pada masa sama, negara-negara ASEAN termasuk Malaysia juga kena bijak seimbangkan kepentingan dua kuasa dunia iaitu China dan Amerika Syarikat (US). Kita tidak mahu sampai ke tahap bergantung kepada mereka sebagai kuasa pengimbang. Bila itu berlaku, Laut China Selatan berpotensi jadi kawasan konflik dan negara-negara ASEAN yang gunakan kawasan itu terjejas. Bak kata pepatah, gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Dalam konteks negara, Malaysia juga perlu pastikan tidak dijerut dengan kuasa ekonomi sebagai senjata geopolitik. Senang cerita, kena kekal neutral. Malangnya, usaha ini makin sukar disebabkan perangai polis dunia yang terus dipraktikkan US. Pengenalan akta-akta seperti Akta CHIPS dan Akta Pengurangan Inflasi lebih kepada menjaga kepentingan mereka dan bukannya kepentingan kita. Hanya itu saja cara memastikan kita tegas dari segi pendirian termasuk isu Laut China Selatan.
Isu kedaulatan Laut China Selatan bukan lagi isu yang patut dipandang sepi. Sudah tiba masanya isu ini diberi perhatian lebih oleh kerajaan bagi memastikan kepentingan negara tidak dicabuli.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd.
Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!