Bila kita berbicara berkenaan Mata Hari, pasti ramai mengatakan beliau seorang femme fatale (perempuan menggoda yang merbahaya) dan perisik pertama yang dikenali dalam sejarah kerana mengintip untuk Jerman dan Perancis. Wanita ini didakwa pihak Perancis bertanggungjawab menghantar 20,000 tentera Bersekutu terus ke kubur mereka sendiri. Tetapi di sebalik dakwaan ini, tersirat kisahnya yang penuh dengan tragedi.

Jelitawan yang diberi nama Margaretha Geertruida Zella ini dilahirkan pada 7 Ogos 1876 di Leeuwarden, Belanda. Beliau merupakan anak sulung kepada empat adik-beradik dan mempunyai tiga orang adik lelaki. Bapanya, Adam Zelle merupakan seorang pemilik kedai topi dan terlibat dengan pelaburan industri minyak, sekaligus membolehkannya memberi kemewahan kepada keluarganya termasuk membenarkan Mata menghadiri sekolah-sekolah eksklusif sehingga berumur 13 tahun. Selepas kejatuhan saham minyak yang mengakibatkan keluarganya diisytiharkan muflis dan miskin, ibu bapanya bercerai dan ibunya bernama Antje van der Meulen meninggal dunia semasa Mata berusia 15 tahun. Beliau dihantar menetap bersama bapa pembaptisannya, Encik Visser sekaligus terpisah dengan adik-adiknya.

Pada usia 18 tahun, Mata menjawab sebuah iklan mencari isteri yang diletakkan oleh Kapten Rudolf MacLeod, seorang pegawai tentera koloni Belanda yang berkhidmat di Hindia Timur Belanda (Indonesia). Mereka berkahwin pada 11 Julai 1895 dengan MacLeod bukanlah calang-calang orangnya kerana mempunyai darah bangsawan. Atas sebab itu, Mata dapat bergaul dengan ramai anggota golongan atasan Belanda dan memastikan kedudukan kewangannya terjamin.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Norman-John Macleod dan Louise Jeanne Macleod. Bagaimanapun, perkahwinan tersebut dianggap tidak bahagia kerana sikap MacLeod yang suka mendera Mata dan kaki botol serta kecenderungan kedua-duanya berlaku curang. Akibatnya, anak-anak mereka dijangkiti penyakit sifilis walaupun wujud laporan mereka sebenarnya diracun oleh orang gaji atau musuh-musuh Macleod. Untuk lari dari perkahwinan tidak bahagia ini, Mata mula mempelajari budaya Indonesia dan menyertai sebuah kumpulan tarian tempatan. Semasa di sinilah, nama Mata Hari digunakan semasa membuat persembahan.

Perkahwinan sudah dianggap retak menanti belah ini akhirnya berakhir pada tahun 1902 dan perpisahan tersebut disahkan secara rasmi pada tahun 1906. Mata diberi hak penjagaan Louise tetapi Macleod yang diarah membayar nafkah anak enggan menunaikan perkara tersebut. Ini sekaligus menyukarkan usaha beliau membesarkan Louise kerana masalah kewangan. Akhirnya apabila Louise melawat bapanya, anaknya tidak dipulangkan kembali kepada Mata. Mata mengambil keputusan untuk tidak melawan kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mengheret perkara tersebut ke muka pengadilan. Beliau tahu walaupun Macleod merupakan kaki dera tetapi juga seorang bapa penyayang. Kerinduannya pada Louise yang mesra dipanggil Nonnie turut menyebabkan Mata hampir mempertimbangkan kemungkinan membunuh diri berdasarkan surat kepada sepupunya, Edward.

Selepas berpindah ke Paris pada tahun 1903, Mata melakukan pelbagai kerja seperti penunggan kuda sarkas dan model kepada pelukis terkenal ketika itu seperti Edouard Bisson, Octave Denis Victor Guillonnet dan Fernand Cormon. Di sinilah, Mata mula dikenali sebagai seorang penari eksotik terkemuka dan mencipta latar belakang fiksyen berkenaan dirinya. Bila ditanya siapa sebenarnya beliau, Mata merupakan seorang penari berketurunan orang Timur Jauh dan turut menggunakan nama Mata Hari yang digunakan semasa berada di Hindia Timur Belanda. Dan itu juga menjadi lesen untuknya mendampingi ramai orang berpengaruh demi kepuasan seksual dan keuntungan kewangan. Bagaimanapun dalam satu lagi surat kepada Edward, Mata menulis, “Jangan panggil saya seorang yang jahat. Saya melakukannya kerana ingin mengelak dari belenggu kemiskinan.”

Semasa Perang Dunia Pertama (WWI) meletus, negara kelahirannya Belanda memilih untuk bersikap neutral. Sebagai warganegara Belanda, Mata boleh melintasi sempadan mana-mana negara dengan bebas dan tanpa rasa bimbang. Untuk mengelak berada di kawasan medan pertempuran, beliau mengembara antara Perancis dan Belanda menggunakan England dan Sepanyol, perjalanan yang mengundang perhatian ramai. Ini termasuklah mempunyai ramai kekasih termasuk pegawai tentera membuka peluang kepada pihak perisikan berlumba-lumba untuk merekrutnya sebagai perisik mereka. Hans Groeneweg, kurator Muzium Friesland di bandar Leeuwarden, Belanda berkata, “Sudah jelas kelihatan Mata menjadi perisik atas sebab kewangan. Ini kerana selepas perang berlaku, teater-teater ditutup dan beliau amat terdesak mendapatkan duit.”

Beliau menjadi perisik bagi pihak Jerman sebagai tukaran kepada akses melawat kekasihnya, Kapten Vadim Maslov dari Pasukan Ekspedisi Rusia (REF). Sementara pihak Perancis pula merekrutnya sebagai perisik dengan tujuan mendapatkan akses maklumat daripada Putera Mahkota Wilhelm yang juga putera sulung Kaiser Wilhelm II. Putera Wilhelm menjadi sasaran Perancis kerana dikatakan mempunyai akses kepada kepimpinan tentera Jerman. Hakikatnya, pembabitan baginda dalam WWI bersifat minimum dan jentera propaganda Jerman cuba menonjolkannya sebagai pahlawan dan pewaris takhta Prussia yang hebat, bukan kaki perempuan, kaki botol dan suka menghabiskan masa dengan ahli politik pelambau berhaluan kanan. Sebagai ganjaran, pihak Perancis bersedia membayar Mata satu juta franc untuk tugasan tersebut.

Bagaimanapun kegagalan Mata memberi maklumat yang bersifat bernilai tinggi mula membuatkan pihak Jerman hilang sabar. Atas sebab itulah, Jeneral Walter Nicolai yang merupakan ketua perisikan tentera Jerman menghapuskan kontrak perkhidmatan Mata dengan mengarahkan identitinya sebagai perisik didedahkan kepada pihak Perancis. Dan orang yang ditugaskan untuk melakukan tugas tersebut tidak lain dan tidak bukan kekasih Mata sendiri, seorang mejar tentera Jerman bernama Arnold Kalle. Pada Januari 1917, Kalle menghantar satu mesej radio ke Berlin dengan menerangkan aktiviti perisikan seorang perisik yang menggunakan kod H-21 menggunakan kod mesej yang diketahui pihak Perancis.

Sedar gambaran H-21 menyamai gambaran Mata, pihak Perancis menahannya di Hotel Elysee Palace, Paris pada Februari 1917. Mata dibicarakan dalam mahkamah tentera melalui satu perbicaraan rahsia lima bulan selepas ditahan. Pihak pendakwa mendakwa tindakannya mengakibatkan 50,000 tentera Perancis mati di medan pertempuran tetapi tiada bukti atau penjelasan yang menjustifikasikan dakwaan tersebut. Malah menurut Pat Shipman dalam bukunya Femme Fatale: Love, Lies and the Unknown Life of Mata Hari, tiada siapapun yang mengenalpasti kebocoran maklumat yang boleh dikaitkan dengan dirinya. Sementara Groeneweg pula menambah, “Mereka mempergunakannya sebagai alat. Mereka tak mahukan Mata sebagai ejen talam dua muka, mereka nakkan bukti bahawa beliau seorang perisik.” Perancis turut mendakwa menemui dakwat halimunan dalam bilik hotelnya semasa ditahan tetapi Mata menegaskan itu hanyalah alat solek.

Pada usia 41 tahun, Mata didapati bersalah dan dipenjarakan dalam sebuah sel gelap dengan tikus-tikus sebagai penemannya. Pada pagi 15 Oktober, beliau bangun pada waktu subuh dan menulis, “Saya sudah bersedia.” Mata memberitahu seorang biarawati yang menemaninya, “Jangan takut, Sister. Saya mati tanpa rasa takut. Anda akan melihat kematian yang indah.” Prebet Paul Koenig yang menjadi sebahagian daripada 12 anggota skuad penembak pada hari itu berkata, “Saya sudah mengambil bahagian dalam banyak hukuman tetapi ini merupakan sesuatu yang menyentuh hati dan bersifat mulia.” Groeneweg menambah, “Kita tahu Mata enggan membiarkan matanya ditutup. Saya tak fikir dia memberi ciuman terbang. Tetapi ketepikan semua mitos, beliau seorang wanita tabah yang berhadapan dengan kematian dengan penuh berani dan terhormat.”

Harta Mata dirampas pihak Perancis, sekaligus Louise tidak mendapat satu sen pun dari harta ibunya yang tercinta. Memandangkan mayatnya tidak dituntut oleh ahli keluarganya di Belanda, mayat Mata didermakan untuk tujuan pembelajaran perubatan. Kepalanya diawet dan disimpan dalam Muzium Anatomi di Paris. Bagaimanapun selepas pemeriksaan rekod mendapati kepala tersebut sudah hilang semasa muzium berpindah pada tahun 1954. Begitu juga dengan keseluruhan badannya juga hilang dan masih tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Hari ini, ramai mengenalinya sebagai pelopor kepada penglibatan perisik wanita namun hakikatnya, Mata hanyalah seorang wanita yang dijadikan kambing hitam oleh pihak tertentu. Mungkin atas sebab itulah 13 tahun selepas dihukum bunuh, Jerman memberi pengampunan kepada beliau pada tahun 1930. Sementara pihak Perancis pula masih enggan berbuat demikian. Ini kerana jika mereka berbuat demikian, mereka sebenarnya mendedahkan kekejaman dan kelicikannya mempergunakan kematian Mata untuk meningkatkan moral tentera yang bertempur di barisan hadapan WWI. Ini kerana tahun tersebut dianggap bencana berikutan Revolusi Rusia, pemberontakan dalam kalangan tentera dan serangan balas tentera Jerman.

SUMBER

  1. Wheelwright, Julie. (2016). The Guardian. Mother, dancer, wife, spy: the real Mata Hari. https://www.theguardian.com/lifeandstyle/2016/dec/05/the-real-mata-hari-executed-abused-woman
  2. Cavanaugh, Ray. (2017). Time. Mata Hari’s True Story Remains a Mystery 100 Years After Her Death. http://time.com/4977634/mata-hari-true-history/
  3. Trouillard, Stephanie dan Alexander Hurst. (2017). France24.com. Mata Hari: the spy who wasn’t really a spy. http://www.france24.com/en/20171015-mata-hari-spy-who-wasnt-really-spy
  4. Manger, Warren. (2017). Daily Mirror. Femme fatale, spy, traitor – now secret files say Mata Hari was betrayed after being tricked and used as scapegoat. https://www.mirror.co.uk/news/world-news/femme-fatale-spy-traitor-now-11379939

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.