Awal sebelum Maharaja Claudius (10 SM– 54 M) menakluk Kepulauan Britain atau Brittania pada 43 Masihi, Julius Caesar terlebih dahulu mencipta sejarah dengan menjadi yang pertama menapakkan kaki Rom di Brittania. Lokasi Brittania sebelum penguasaan Rom seperti yang diutarakan di dalam buku Boudica: Warrior Woman of Roman Britain (2018): “Situated at the outer limits of the known world”. Menurut pihak Rom, Brittania merupakan sebuah wilayah yang misteri, terasing, primitif, kurang berpenghuni, bahkan status kewujudannya lebih kepada mitos berbanding realiti.

Di pihak Rom, status kewujudan pulau berkenaan tidak dapat dipastikan sehinggalah Rom berada pada era pengakhiran republik atau secara spesifiknya ketika seorang tokoh yang bernama Julius Caesar (100-44 SM) sedang meningkat naik menempa nama dan prestijnya di persada republik. Sepanjang kariernya, Julius Caesar telah mengarahkan dua buah ekspedisi ke Brittania, ekspedisi pertama dilaksanakan pada tahun 55 SM manakala ekspedisi kedua pula dijayakan pada tahun berikutnya, 54 SM.

Umum mengetahui bahawa antara faktor kepada tindakan Julius Caesar untuk mendarat di Brittania tidak lain tidak bukan adalah untuk memerangi peribumi Britain (Britons) yang dipercayai membantu orang Gaul menentang Rom. Perkara ini diakui sendiri oleh Julius Caesar menerusi bukunya Commentarii de Bello Gallico (58–49 SM): “He made this decision because he found that the British had been aiding the enemy in almost all our wars with the Gauls.”

Adapun yang mengatakan bahawa tujuan Julius Caesar hanyalah sekadar untuk melawat dan menyaksikan bagaimana kehidupan manusia di Brittania serta mengkaji bentuk muka bumi Brittania (Nolan, 2018). Disamping itu, Julius Caesar dikatakan berlayar ke Brittania untuk “to gain wealth and knowledge of the natural resources that could present commercial possibilities, or he may have  wished to prevent armies of Britons from crossing the channel to assist the Gauls and Germanic peoples in their resistance to Rome. (2018, Caitlin)

Ilustrasi yang memaparkan peribumi Brittania berkumpul di tebing Dover dengan lembing di tangan sebagai persediaan mempertahankan Brittania dari ancaman Rom. (Kredit Foto: A. S. Forrest, 1869 – 1963)

Tanggal 26 Ogos 55 SM menyaksikan buat pertama kalinya tentera Rom berlayar dari Port Itius menyeberangi badai ombak Oceanus Britannicus (Selat Inggeris) menuju ke Brittania. Nyata sekali bahawa keberangkatan Julius Caesar bersama bala tenteranya adalah merupakan suatu hal yang tidak disenangi oleh peribumi Brittania. Hal ini demikian kerana, setibanya mereka di pesisiran pantai Brittania, jauh sekali disambut dengan sapaan mesra dan tangan terbuka, sebaliknya pendaratan Julius Caesar bersama-sama dua buah Legion-nya (Legion VII dan Legion X) di Kent disambut dengan sapaan bengis peribumi Britain yang sudah tentu tidak mahu membiarkan orang Rom untuk mendarat di pulau mereka. Peribumi Britons dikatakan mengekori pergerakan kapal-kapal Rom di sepanjang pesisir Brittania sambil memegang tombak sebagai persediaan menghadapi pencerobohan Rom.

Dikala kebanyakan tentera tentera Rom teragak-agak untuk mendarat, telah munculnya seorang pembawa panji yang dengan bernaninya berkata: “Lompatlah wahai tentera sekalian, melainkan kalian ingin mengkhianati helangmu (Rom).” (Kredit foto: James William Edmund, 1864)

Sesungguhnya pertempuran di antara dua kumpulan manusia ini sudah tidak dapat dielakkan lagi, maka berlakulah beberapa siri pertempuran yang pada akhirnya disudahi dengan perjanjian damai antara kedua belah pihak. Ternyata Julius Caesar tidak boleh memandang enteng akan kemampuan peribumi Brittania yang dilihat memiliki kelengkapan tentera yang agak memuaskan seperti tentera kavalri serta chariot-chariot yang memecut pantas.

Oleh yang demikian, Julius Caesar tahu bahawa beliau harus membawa senjata dan kelengkapan yang lebih sesuai untuk mencabar peribumi Britain pada ekspedisi pada tahun berikutnya. Meskipun berjaya menduduki Brittania serta menjinakkan peribumi Britain, namun Julius Caesar sebenarnya tidak berhasrat pun untuk melancarkan pencerobohan dan penjajahan berskala penuh ke atas Brittania.

Oleh yang demikian, beliau kemudiannya mengarahkan pengunduran seluruh angkatan Rom dari pulau berkenaan rentetan kekhuatiran akan ketibaan musim sejuk yang kian menghampiri. Kejayaan serta keberanian Julius Caesar meredah gelora Selat Inggeris dan menundukkan peribumi Brittania ternyata membuahkan hasil apabila Dewan Senat bertindak mengurniakan sambutan (supplicatio) selama 20 hari sebagai tanda penghargaan daripada Rom di atas jasa dan pengorbanan beliau.

Awal musim panas tahun 54 SM menyaksikan Julius Caesar sekali lagi menyeberangi Selat Inggeris bagi menjayakan ekspedisi kedua Rom ke Brittania. Ekspedisi kali ini menyaksikan kekuatan tentera Rom bertambah dari dua buah Legion kepada lima buah Legion serta beberapa lagi penambahbaikan dari segi bilangan anggota serta kelengkapan. Walaupun pendaratan Rom kali ini mudah kerana tidak menerima sebarang tentangan peribumi Britain sepertimana pendaratan yang pertama, namun ia tidak bermaksud peribumi Britain akan membenarkan tentera Rom menerobohi pulau mereka.

Hal ini kerana, telah berlaku pertempuran sengit antara peribumi Britain dengan tentera Rom. Kemunculan seorang raja dari puak Catuvellauni iaitu Cassivellaunus telah mendatangkan kesukaran buat Julius Caesar dan tenteranya di bumi Brittania. Dengan menggunakan seni dan strategi perang gerila, Cassivellaunus bersama gabungan puak-puak peribumi yang lain telah bersatu menyerang tentera Rom. Walaubagaimanapun, kisah penentangan Cassivellaunus terhadap Julius Caesar berakhir dengan pengkhianatan saudara peribuminya sendiri (Celtic). Mandubracius yang merupakan musuh kepada Cassivellaunus telah berkomplot bersama lima puak yang lain dengan mendedahkan lokasi kubu (oppidum) Cassivellaunus dan para pengikutnya kepada Julius Caesar.

Mandubracius yang merupakan putera puak Trinovates dipercayai menyimpan dendam di atas kematian ayahandanya yang dibunuh oleh Cassivellaunus. Sebagai balasan di atas pertolongan Mandubracius, Julius Caesar berjanji akan menabalkan Mandubracius sebagai raja Trinovates yang baharu. Pengkhianatan Mandubracius lantas menyebabkan kekalahan Cassivellaunus.

Kesannya, sebuah perjanjian damai telah dimeterai antara pihak yang terlibat. Julius Caesar melunaskan janjinya terhadap Mandubracius dan menuntut banduan serta ufti tahunan daripada peribumi Brittania. Berita mengenai ancaman pemberontakan di Gaul telah memaksa Julius Caesar dan tenteranya untuk meninggalkan Brittania.

Sesungguhnya, Julius Caesar merupakan individu yang bertanggungjawab menjadi pemangkin kepada kependudukan Rom di Brittania yang sekaligus menjadi batu asas kepada penyerapan Brittania sebagai wilayah Rom seratus tahun kemudian (43 M).

RUJUKAN:

Caesar, J., & Duncan, W. (1861). Commentaries. translated into English; to which is prefixed a discourse concerning the Roman Art of war by William Duncan.

Gillespie, C. (2018). Boudica: Warrior woman of Roman Britain. Oxford University Press.

Nolan, R. (2018). Julius Caesar’s invasion of Britain: Solving a 2,000-year-old mystery. Frontline Books an imprint of Pen & Sword Books Ltd.

Lee, C. (2012). This sceptred isle. Constable.

Adnen, H. (2021). Kitab Tamadun Rom. Patriots Publishing

Frere, S. (1974). Brittania: A history of Roman Britain. Cardinal.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply