Setiap penjajah Eropah dari Sepanyol hingga Jerman sentiasa tunjuk fiil sama semasa menduduki wilayah-wilayah asing. Tak sah kalau tak eksploitasi hasil bumi mereka, orang tempatan ditindas dan dinafikan identiti mereka seperti dialami orang Melayu di tangan pihak British. Nasib sama turut dialami umat Islam Algeria semasa negara itu diduduki Perancis dari 1830 hingga 1962.
Perancis mula menduduki Algeria sekitar 1830 selepas negara itu menjadi sebahagian daripada pentadbiran Turki Uthmaniyah selama 300 tahun bermula pada abad ke-16. Pendudukan ini berlaku berikutan konflik antara wakil Uthmaniyah di Algiers dengan Perancis selepas Paris enggan menyelesaikan hutang pembelian gandum yang dibuat dengan dua peniaga Yahudi di situ.
Pihak Turki Uthmaniyah syak Paris langsung tidak berminat menyelesaikan hutang mereka. Dan ini dibuktikan menerusi satu pertemuan antara wakil Uthmaniyah, Hussein Dey dengan konsul Perancis di Algiers, Pierre Deval pada 29 April 1827. Berang dengan keengganan Deval menyatakan pendirian tentang penyelesaian hutang yang dinyatakan, beliau bertindak menampar konsul Perancis itu dengan sebuah kipas (kita kenali hari ini sebagai pemukul lalat).
Akibatnya, Perancis yang ketika itu diperintah Raja Charles X mengarahkan satu sekatan dikenakan sekitar perairan Algeria tidak lama selepas itu. Bagaimanapun, sekatan tersebut tidak berkesan dengan pelayar-pelayar Barbar sentiasa mengakali lawan kolonial mereka. Tambah menjengkelkan baginda, langkah Paris mengutus duta mereka ke Algiers pada 1829 disambut dengan tembakan meriam terhadap salah satu kapal mereka.
Selain itu, pihak Turki Uthmaniyah juga merasa terhina dengan tindakan Paris mencadangkan agar wilayah-wilayah Afrika Utara dibahagikan kepada kedua-dua kerajaan. Cadangan ini ditimbulkan pada 1829 oleh Menteri Luar Perancis, Jules de Polignac dengan Gabenor Turki Uthmaniyah di Mesir, Muhammad Ali Pasha. Cadangan tersebut kemudiannya dibakulsampah oleh pihak Uthmaniyah – berita buruk buat de Polignac dan Charles X yang sedang berdepan pemberontakan rakyat ketika itu.
Bagi meraih populariti segera macam bintang siri realiti televisyen, kedua-duanya melihat penaklukan Algeria sebagai kunci kepada tindakan ini. Lantas, pada 14 Jun 1830, Count de Ghaisnes de Bourmont mengetuai pendaratan 34,000 tentera Perancis di Sidi Ferruch, Algiers. Sebagai tindak balas, Hussein Dey menggerakkan 7,000 orang Janissari, 19,000 tentera yang diutus gabenor Uthmaniyah di Oran dan Constantine serta 17,000 orang Barbar Kabylia bagi mendepani ancaman Perancis.
Di atas kertas, bilangan tentera Uthmaniyah jauh lebih ramai daripada Perancis. Tetapi Perancis mampu mengatasi pihak lawan terima kasih kepada keupayaan meriam mereka dan struktur organisasi mereka yang lebih tersusun. Dan ini dibuktikan menerusi kemenangan mereka di Staoueli pada 19 Jun sebelum tiba di Algiers dua minggu kemudian.
Algiers jatuh ke tangan Perancis selepas Hussein Dey bersetuju menyerahkan kota tersebut sebagai tukaran kepada jaminan pengekalan semua harta yang dimilikinya di kota berkenaan. Lima hari selepas itu, beliau berangkat ke Naples bersama keluarganya dan tinggal dalam buangan di sana. Pasukan Janissari Turki juga turut bergerak pulang ke Turki sekaligus menamatkan penguasaan Turki Uthmaniyah di Algeria selama lebih 300 tahun.
Ironinya, penaklukan Algiers berlaku tidak lama sebelum Revolusi Julai 1830 tercetus. Revolusi Julai 1830 tercetus apabila Charles X digulingkan dan digantikan oleh sepupunya, Raja Louis Philippe I. Ini selepas banyak tindakan baginda yang bersifat kuku besi tidak disenangi oleh rakyat ketika itu termasuk menggantung perlembagaan Perancis.
Pentadbiran Louis Philippe I yang lebih liberal berharap dapat menarik diri daripada kempen di Algeria tetapi kempen tersebut mendapat sokongan meluas rakyat ketika itu. Selain itu, baginda juga bimbang dengan tindak-tanduk Count de Bourmont yang mengundurkan sebahagian tentera Perancis di Oran dan Bone.
Ini disebabkan jeneral tentera Perancis itu merupakan penyokong Raja Charles X. Bagaimanapun, langkah tersebut tidak disenangi tentera Perancis sekaligus mendorong Count de Bourmont meninggalkan Algeria dan duduk dalam buangan di Sepanyol. Bagi memastikan kempen di Algeria berjalan lancar, Louis Philippe I melantik Bertrand Clauzel sebagai pengganti Count de Bourmont pada September 1830.
Jika hendak membuat perbandingan skala kemusnahan pendudukan Perancis di Algeria, maka kempen Conquistador di Dunia Baru yang paling hampir. Dari 1830 hingga 1860 sahaja, lebih sejuta daripada tiga juta populasi Algeria ketika itu dibunuh oleh tentera Perancis.
Sebahagian daripadanya mati semasa era pentadbiran Savary, 1st Duke of Rovigo dari 1831 hingga 1833. Walaupun Perancis kemudiannya meletakkan ia di bawah pentadbiran awam pada 1840, itu langsung tidak menghentikan pembunuhan di mana majoritinya merupakan umat Islam.
Perancis seperti Britain di Tanah Melayu turut melaksanakan dasar pecah dan perintah. Betul, Perancis melaksanakan pemerintahan awam tetapi ia hanya terpakai di sebelah utara sahaja. Sementara di sebelah selatan terutama kawasan sekitar Gurun Sahara, ia terus diletakkan di bawah pentadbiran tentera. Ini kerana kebanyakan pemberontakan berlaku di sebelah situ yang memerlukan campur tangan tentera dengan segera. Ini termasuk gerakan pemberontakan Emir Abdelkader dari 1834 hingga 1847.
Menjelang 1836, 14,000 orang Perancis tiba di Algeria dan membina kehidupan baru mereka di situ. Angka tersebut bertambah kepada 100,000 orang pada 1847 – tahun sama pemberontakan Abdelkader ditamatkan. Ini disumbang oleh tindakan Clauzel yang dilantik sebagai pentadbir Algeria buat kali kedua pada 1835. Beliau membentuk sebuah syarikat dengan tujuan mendapatkan tanah-tanah pertanian dan memberi subsidi kepada peneroka-peneroka Eropah untuk mengusahakannya.
Tidak terkejut jika ada pentadbir-pentadbir Eropah yang tamak mengejar kekayaan komersial baik di Tanah Melayu (British) atau Algeria (Perancis). Clauzel mempergunakan kedudukannya sebagai gabenor untuk mendapatkan tanah-tanah di negara itu pada harga murah sebelum ia diusahakan untuk tujuan pertanian atau perindustrian. Malah, beliau turut menggalakkan anak-anak buahnya untuk melakukan perkara sama agar bergelar jutawan sepertinya.
Strategi serampang dua mata ini bukan sekadar menjadikan pegawai-pegawai koloni Perancis kaya-raya. Malah, ia secara tidak langsung meluaskan lagi kawasan pengaruh mereka di Algeria sehingga mengatasi mana-mana perjanjian yang dibentuk dengan pemerintah-pemerintah tempatan. Selain itu, hal ini turut mendorong ramai pelobi memberi sedikit habuan kepada mereka sebagai tukaran kepada tanah-tanah pertanian.
Dasar pecah dan perintah Perancis tidak terhenti di situ saja. Sudahlah merampas tanah dengan mentaliti seperti Belanda dapat tanah, orang tempatan khususnya umat Islam Algeria diberi layanan macam penduduk kelas kedua. Tetapi itulah hakikat yang dialami mereka walaupun bergelar rakyat Perancis.
Ini termasuk diletakkan di bawah Kod Orang Asli (Code de l’Indigénat) – kod undang-undang koloni yang menjamin pentadbiran koloni Perancis. Selain itu, kod undang-undang sama turut menekankan bahawasanya orang tempatan merupakan golongan yang lemah dan mereka akan dihukum bagi setiap kesalahan jenayah yang berbeza.
Jika ada yang cuba menentang, maka bersedia sajalah dengan tindakan keras Perancis. Pengkaji sejarah tanah air pasti tidak lupa dengan tindakan keras British terhadap pejuang-pejuang tanah air. Di Kelantan misalnya, British tidak teragak-agak menggantung jenazah Tok Janggut selama beberapa hari sebelum diarak dan dipamerkan kepada orang ramai di Kota Bharu dan Pasir Puteh, Kelantan. Setelah itu, barulah jenazah beliau dibenarkan untuk dikebumikan.
Bagi pejuang kemerdekaan Algeria pula, 37 tengkorak mereka dibawa dan dipamerkan di Muzium Kemanusiaan, Paris sekitar 1880 dan 1881. Walaupun kerajaan Algeria menggesa tengkorak-tengkorak ini dipulangkan bagi membolehkan mereka diberi pengebumian, gesaan itu tidak dilayan. Tetapi sebagai cara untuk memulihkan kembali hubungan kedua-dua negara, Paris bersetuju memulangkan 24 tengkorak kepada Algeria pada 2020.
Dari segi pendidikan, umat Islam Algeria dinafikan hak pendidikan yang sempurna. Pendidikan agama yang menjadi tunjang sistem pendidikan Algeria semasa pemerintahan Turki Uthmaniyah diketepikan dan digantikan dengan sistem pendidikan Perancis yang berteraskan ajaran Kristian.
Layanan buruk ini bukan sekadar dirasai oleh umat Islam Algeria tetapi juga oleh orang Yahudi. Seperti umat Islam Algeria, mereka juga tertakluk di bawah Kod Orang Asli (Code de l’Indigénat). Selain itu, mereka juga turut menolak undang-undang Perancis yang mendiskriminasi mereka dalam banyak segi termasuk hal ehwal perkahwinan.
Layanan buruk yang diterima umat Islam Algeria turut disaksikan semasa Perang Dunia Pertama (WWI) dan Perang Dunia Kedua (WWII). Semasa kedua-dua kempen ini, askar-askar berdarah Afrika digunakan untuk gelombang pertama serangan dengan tujuan mengukur kemampuan pihak musuh. Taktik ini menyaksikan ramai tentera Afrika terutama dari Algeria terbunuh tetapi menjamin keselamatan tentera Perancis.
WWI misalnya menyaksikan sekitar 12,000 hingga 100,000 tentera Algeria terbunuh. Sementara 250,000 lagi turun ke medan perang semasa WWII – sebahagian daripadanya dibunuh atas arahan rejim di Jerman semasa tahun-tahun awal WWII.
Sudahlah jadi mangsa strategi gelombang pertama dalam pertempuran, nak tuntut merdeka secara protes pun diberi layanan berdarah. Tetapi itu yang berlaku pada 8 Mei 1945. Pada hari itu, penunjuk perasaan bukan saja meraikan kemenangan Perancis semasa WWII tetapi melihat ini sebagai alasan untuk menuntut kemerdekaan Algeria. Malangnya, tindakan mereka tidak disenangi pihak berkuasa ketika itu dan mendorong mereka melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan. Dianggarkan 45,000 orang terbunuh akibat insiden tersebut.
Insiden-insiden ini membawa kepada pembentukan Barisan Pembebasan Kebangsaan Algeria (FLN) pada 1954 dengan matlamat menamatkan penjajahan Perancis di negara itu. Sebagai tindak balas, Perancis menggerakkan 500,000 orang tentera untuk menangani ancaman tersebut. FLN semakin berbulu apabila Perdana Menteri Perancis, Pierre Mendes France meluluskan usul kemerdekaan Maghribi dan Tunisia, dua negara jiran Algeria tetapi enggan melepaskan mereka untuk mengecap nikmat kemerdekaan.
Situasi konflik dengan FLN yang kini dikenali sebagai Perang Kemerdekaan Algeria turut memberi kesan kepada situasi politik Perancis. Pentadbiran Mendes France dibelenggu pelbagai masalah termasuk dipaksa keluar dari Indochina pada 1954. Kempen Perang Algeria dikhuatiri mula merebak sehingga ke tanah besar Perancis termasuk kota-kota metropolitannya.
Menjelang 1958, Perancis kini di ambang perang saudara. Ini selepas tentera Perancis di Algeria diketuai Jeneral Jacques Massu menubuhkan sebuah kerajaan sementara dan melakukan pendaratan sekitar Corsica. Malah, Massu sudah berkira-kira untuk membuat pendaratan di Paris sebagai cara memaksa pihak kerajaan untuk menyerahkan kembali tampuk pemerintahan kepada hero WWII Perancis, Jeneral Charles de Gaulle.
Akhirnya, pada 1 Jun 1958, de Gaulle dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Mendes France. Secara perlahan-lahan, negarawan Perancis itu berusaha mengurangkan ketegangan di Algeria termasuk mengadakan referendum kemerdekaan pada 1959. Bagaimanapun, usaha beliau tidak disenangi sesetengah pihak di Perancis dan membawa kepada penentangan termasuk cubaan rampasan kuasa pada 1961 semasa de Gaulle menjadi presiden.
Tetapi Algeria akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan pada 3 Julai 1962 dengan Perjanjian Evian dimeterai antara Paris dengan FLN pada tahun sama. Menerusi perjanjian itu, Algeria mencapai kemerdekaan sebagai tukaran kepada Perancis mengekalkan pangkalan tentera laut mereka di Meis el-Kebir, tapak ujian nuklear Regghane dan akses kepada kawasan telaga minyak terutama di sebelah Sahara.
Walaupun kemerdekaan telah dicapai, luka akibat penjajahan masih bernanah sehingga hari ini. Ia dimarakkan lagi dengan kenyataan pemimpin Perancis yang menganggap Algeria sama ada tidak wujud, satu lagi babak berdarah sejarah Perancis atau cerita lama yang tidak patut diusik.
Nak tunggu permohonan maaf rasmi, lupakanlah. Perancis dua kali lima sama saja dengan Jepun bab tak nak minta maaf pasal kekejaman kempen penjajahan mereka. Apatah lagi nak bayar pampasan atas semua tindakan kejam mereka. Tapi itulah perihal penjajah, tahu kayakan diri sendiri. Bila disuruh berambus, ditinggalkan negara bekas jajahan sehelai sepinggang dan terkontang-kanting.
Nota kaki
sehelai sepinggang – simpulan bahasa yang bermaksud kerugian habis
seperti Belanda dapat tanah – peribahasa yang bermaksud sudah diberi, minta lebih banyak
kuku besi – simpulan bahasa bermaksud zalim
Emir Abdelkader – pejuang kemerdekaan Algeria dan ulama sufi terkenal sekitar abad ke-19.
RUJUKAN
Maymouni, A. (2019, 5 November). France’s colonial-era crimes ‘unforgotten’ in Algeria. Anadolu Agency.
Guler, M.A. (2020, 29 Mei). Algeria’s struggle against colonialism. Daily Sabah.
Prunty, R. (2021) “The Impact of French Algeria’s Participation during the First and Second World Wars on
the Algerian Nationalist Movement,” West Virginia University Historical Review: Vol. 2 : Iss. 1 , Article 4.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih