Sebut saja nama William Shakespeare, teringat pula puisi-puisi bosan kita belajar semasa di bangku sekolah dulu – dengan “Shall I Compare Thee To A Summer Day” bagai. Namun kita kena faham. Shakespeare ada pengaruh yang sangat besar sebenarnya. Beliau hasilkan banyak karya lain seperti Macbeth misalnya. Selain Macbeth, Shakespeare juga menghasilkan mahakarya terkenal seperti Romeo and Juliet, Julius Caesar dan Othello. Tetapi tidak ramai tahu, terdapat satu sumpahan yang diletakkan pada kuburnya di Gereja Holy Trinity di Stratford-upon-Avon.
Shakespeare dilaporkan mati pada 23 April 1616 semasa berusia 52 tahun. Kematian ini berlaku kira-kira sebulan selepas beliau memuktamadkan wasiat yang dibuatnya untuk isterinya Anne Hathaway (bukan pelakon Hollywood yang nama sama ya) dan anak-anak beliau. Sehingga hari ini, punca sebenar kematian beliau tidak diketahui.
Mungkin ada menganggap sumpahan ini sebagai satu fiksyen. Yalah, sasterawan Inggeris ini bukan sekali memperkenalkan cara kematian yang kreatif untuk semua watak drama ciptaannya. Tetapi melihat pesanan ini pada kuburnya, ia sesuatu yang patut dipandang serius. Mesej tersebut berbunyi:
“Good friend for Jesus sake forbeare, To dig the dust enclosed here. Blessed be the man that spares these stones, And cursed be he that moves my bones.” (Wahai teman, tahanlah diri. Daripada menggali apa yang ditutup. Rahmat buat orang yang tidak melakukannya. Dan jahanamlah buat orang yang mengalihkan tulangku.)
Jadi, siapa yang mengarahkan mesej tersebut ditulis pada kubur sasterawan Inggeris terkenal itu? Ramai sejarawan percaya ia dibuat atas arahan Shakespeare sendiri. Beliau sedia maklum pada ketika itu, bukan sedikit orang merompak kubur dengan tujuan mengalihkan mayat bagi tujuan perubatan, baja atau penyelidikan. Selain itu, sesetengah kubur turut digali semula bertujuan untuk memberi lebih banyak ruang untuk kubur baru.
Di sebalik pesanan menakutkan yang ditinggalkan pada kubur beliau, itu tidak menghalang perompak kubur daripada cuba menggali kuburnya. Dan itu membawa kepada satu kisah terkenal yang diterbitkan dalam majalah Argosy pada tahun 1879. Majalah tersebut mendakwa puluhan tahun sebelumnya, kubur Shakespeare telah digali oleh perompak kubur sebelum tengkorak beliau dicuri.
Selama bertahun-tahun, wujud perdebatan sama ada kisah ini benar atau tidak. Yalah, siapa yang gali perlu bersedia menerima bahana sumpah berkenaan. Bagi menjawab persoalan ini, sepasukan pengkaji arkeologi membuat imbasan radar penembusan tanah (GPR) pada kubur Shakespeare di Gereja Holy Trinity. Hasil imbasan mendedahkan sesuatu yang mengejutkan: tiada langsung tengkorak dalam kubur sasterawan Inggeris itu!
Pakar arkeologi yang mengetuai usaha tersebut, Kevin Colls menyifatkan imbasan itu menjawab persoalan yang timbul sejak beberapa abad sebelumnya. Beliau percaya tengkorak Shakespeare dicuri untuk tujuan kajian perubatan. Perkara sebegini bukan sesuatu yang baru dalam dunia perubatan di mana otak figura terkenal dikaji bagi mengetahui rahsia kehebatan mereka. Antara otak figura yang dikaji untuk tujuan penyelidikan ialah Albert Einstein.
Imbasan sama turut mematikan beberapa mitos yang menyelubungi kubur Shakespeare. Salah satu daripadanya ialah sasterawan Inggeris itu didakwa dikebumikan dalam keadaan berdiri seperti rakan dan penulis terkenal Ben Jonson yang dikebumikan di Westminster Abbey. Selain itu, Shakespeare juga dikatakan ditanam sedalam 17 kaki dengan kubur yang ada bukan kubur sebenar beliau. Sebaliknya, lokasi sebenar rangkanya terletak dalam satu ruang kubur khas untuk keluarga beliau.
Bagaimanapun, imbasan yang dibuat pasukan Colls mematikan terus semua dakwaan berkenaan. Shakespeare dikebumikan di Gereja Holy Trinity tanpa diletakkan dalam keranda dengan kain sahaja yang menutup tubuhnya. Selain itu, imbasan turut mendedahkan pencipta karya Taming of the Shrew itu dikebumikan secara normal pada kedalaman tiga kaki.
Tetapi apa cerita pula dengan tengkorak Shakespeare yang dikatakan hilang itu? Sesetengah pihak berpandangan lokasi sebenar tengkorak itu terletak di bilik bawah Gereja St. Leonard di Beoley, Worcestershire. Gereja tersebut terletak kira-kira 15 batu dari Gereja Holy Trinity. Tetapi apabila tengkorak tersebut diperiksa untuk analisis DNA dan pergigian, saintis mendapati tengkorak tersebut milik seorang wanita berusia 70-an yang tidak diketahui identitinya. Ini turut diperkukuhkan dengan penghasilan model imej wanita berkenaan.
Jadi, apa sebenarnya yang berlaku kepada tengkorak Shakespeare? Colls percaya tengkorak tersebut dicuri berdasarkan rekod sejarah England dan Eropah ketika itu. Tetapi bagi pihak Gereja Holy Trinity yang bertanggungjawab menjaga semua kubur di situ termasuk kubur Shakespeare, mereka percaya itu tidak berlaku disebabkan sumpahan yang diletakkan pada kuburnya itu.
Di sebalik wujud cadangan untuk kubur tersebut digali semula bagi tujuan saintifik, pihak gereja menolak cadangan tersebut. Ini kerana dengan membenarkan tindakan tersebut, ia mencabuli kesucian gereja dan kubur Shakespeare. Justeru, lebih molek bagi mereka untuk terus membiarkan misteri lokasi tengkorak Shakespeare kekal sebagai misteri…
RUJUKAN
Davidson, L. (2022, 25 Mei). The Strange Mystery of the Curse on Shakespeare’s Grave. HistoryHit.
Brown, M. (2016, 23 Mac). Shakespeare’s skull probably stolen by grave robbers, study finds. The Guardian.
Conradt, S. (2018, 5 Mei). The Curse on Shakespeare’s Grave. MentalFloss.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih