Sub-budaya, fesyen, dan tren ini sifatnya cepat berubah. Macam hati kita semua. Pagi berselera lain, petang tukar dah. Erti kecantikan dan ketampanan pun begitu juga. Lain zaman, lain penghayatan. Era Victoria dulu (1837-1901), simbol kelelakian British letaknya di atas bibir. Bukanlah di lubang hidung. Tapi pada misai.

Bayang betapa misai jadi pujaan sampai dua penulis masyhur masa itu (Rudyard Kipling dan Guy de Maupassant) selamba cakap begini; “Lelaki tanpa misai bukan lelaki sejati”… “Bibir tanpa misai ini umpama badan tanpa baju”… dan paling haru, “Cium lelaki yang tak gilap (wax) misai ini rasa dia serupa macam makan telur (separuh masak) tapi tak bubuh garam.”

Punyalah nak suruh lelaki melaram (misai). Sebab itu perasan kan, lelaki British satu-dua kurun lepas kalau bergambar… semua sefesyen – bermisai tebal tanpa janggut mahupun jambang. Macam Charlie Chaplin. Kadang tengok pun rasa kelakar. Tapi lebih kelakar kalau tengok dompet sendiri lebih nipis dari misai mereka. Mahu garu kepala juga fikir.

Apapun, dompet nipis ini belakang kira. Sekarang persoalannya, mula bila fesyen bela misai menular? Takkan saja-saja bela misai?

Kalau kita selak sejarah, boleh kata yang fesyen ini bermula dari India. Yakni, semasa pendudukan British di sana (1858-1947). Sepanjang di sana, memang jadi kemestian tentera-tentera British untuk berinteraksi dengan orang tempatan. Sama ada kalangan awam mahupun pegawai kerajaan. Jadi menerusi interaksi ini, ada lah satu-dua budaya yang melekat. Salah satunya budaya membela misai tunggal tanpa jambang.

‘Melekat’ ini pula boleh jadi dua maksud. Satu terikut-ikut sebab nampak bergaya (baca: maskulin). Satu lagi kerana mahu blend-in dan kerahkan autoriti. Ini kalau ambil pepatah “If you can’t beat them, join them” sebagai filosofi lah.

Lagipun di India kurun itu memang rata-rata bela misai tanpa jambang. Contoh macam Mahatma Gandhi… dan gambar bawah ini. Ikutkan, tak cukup sebenarnya sekeping gambar jadi bukti. Tapi apa boleh buat. Ruang sini terhad. Kalau pembaca rajin, boleh buat carian sendiri guna kata kunci “Indian men 19th century.” Nanti boleh lihat misai abang-abang India kurun ke-19.

Contoh fesyen bela misai di India kurun ke-19

Berbalik ke cerita, pembudayaan kemudian menjadi peraturan. Khususnya dalam kalangan tentera. Ini jelas termaktub dalam peraturan No.1695 dalam King’s Regulations 1906. Di mana, setiap tentera diperintah supaya “berambut pendek, dagu dan bawah bibir perlu bersih, tapi misai di bibir atas mesti dibela.”

Menerusi peraturan sedemikian, misai pun menjadi penampilan wajib tentera British baik di Britain mahupun rentas Atlantik. Apapun, itu sekadar penguatkasaan sahaja. Pembudayaan membela misai sudah lama dilakukan. Sekitar 1860an lagi.

Kira sejak dekad tersebut, lelaki-lelaki British sudah sibuk mendandan misai. Bermula dari rutin seringkas menyikat dan trim, hinggalah serumit menggilap dan mewarna. Cuma itulah, menggilap dan mewarnakan misai ini hadir bersama masalah tersendiri. Pembaca perempuan dan yang sudah berpasangan mungkin lebih faham.

Rutin penjagaan ini bukan takat ‘sebelum’ saja. ‘Semasa’ dan ‘selepas’ melaram pun perlu jaga juga. Kalau tidak, memang comot dan cair. Masalah sama dihadapi geng-geng misai. Bayang, orang British ini tiap hari mesti hirup teh. Kalau boleh, sarapan minum teh. Makan tengahari dengan teh. Makan malam pun pekena teh.

Masalahnya, teh ini hanya sedap dihirup masa panas-panas. Air panas pula ibarat musuh sejati misai yang digilap. Jadi bila kena minum teh, baik-baik misai terletak elok dan tegap atas bibir macam Nikola Tesla… hirup saja, habis basah dan hilang bentuk misainya. Jadilah rupa misai macam Bangshim.

Biar orang mengata, yang penting kita gembira

Memang pening kepala habis geng-geng misai dengan masalah satu ini. Sampailah muncul seorang geligawan bernama Harvey Adams menyelamatkan semua. Pepatah “masalah moden memerlukan solusi moden” lantas cuba dilunasi. Lalu, tercipta satu inovasi yang dipanggil ‘cawan misai’.

Cawan ini serupa saja macam cawan biasa. Cuma ditambah ‘tempat parkir misai’ pada bahagian bibir cawan. Supaya bila teh dihirup, ia terus masuk ke bibir tanpa bersentuh dengan misai. Nah dengan demikian… masalah pun selesai. Teh boleh dinikmati. Misai pun kekal rapi.

Ciptaan ringkas ini kemudian mencetuskan aksesori ‘pelindung misai’ yang boleh dimuatkan pada mana-mana cawan. Juga tercipta sama adalah ‘sudu misai’ dengan mekanisme sama tetapi untuk menghirup sup.

Lantaran fungsinya yang sangat memudahkan, ‘cawan misai’ pun laris bukan setakat di British… tetapi juga di seluruh Eropah dan Amerika. Sampai terhasil pelbagai jenama, saiz, dan reka bentuk. Bahkan ada yang  hadir dengan piring sepadan dan rekaan tersuai lagi (misalnya cawan dibubuh nama pemilik). Adam sendiri kemudian bersara selepas 15 tahun ciptaannya berada dalam pasaran. Memang tiada rekod tentang kekayaannya, tapi semua pun boleh bayangkan.

Macam ni cawan misai berfungsi

Apapun, fesyen dan tren begini tak bertahan lama. Masuk era Perang Dunia Pertama, penampilan lelaki British mula berubah. Iyalah, mana sempat mahu dandan misai masa perang. Tambahan, menyimpan misai begini menyukarkan pemakaian topeng gas – yang jadi satu kebiasaan masa perang.

Lantas menjelang 1930an, penggunaan ‘cawan misai’ mula pupus. Sekarang, ia sekadar wujud sebagai koleksi barangan antik – sama ada di muzium, simpanan peribadi, atau di kedai pajak. Kalau kalangan pembaca mahu cuba minum guna cawan ini, bolehlah menyelam dekat eBay sana. Atau kalau dompet tembal, boleh singgah ke Dead Rabbit Bar, New York. Sana ada dihidang guna cawan ini.

RUJUKAN

Bogaard, Cecilia. (2022, 3 June). British Gentlemen Drank From Moustache Cups that Protected Their Facial Hair. Ancient Origins.

Frost, Natasha. (2017, 31 May). A Look Back at the Mustache Cups that Kept Tea-Drinker Whiskers Dry. Atlas Obscura.

Ibrahim, Nur. (2021, 15 November). These Victorian-Era Cups Kept Men’s Mustaches Clean. Snopes.

Smithfield, Brad. (2016, 9 November). The mustache cup: The special tea cup used by the Victorian men to protect their mustache from getting dunked into their tea. The Vintage News.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply