Duel atau pertarungan bukan benda asing di Eropah terutama pada Zaman Pertengahan dan Renaissance. Secara ringkas, ia merupakan pertarungan yang diatur antara dua orang dengan dua senjata yang sama bertujuan untuk menebus maruah si polan yang tercemar. Walaupun pertarungan sebegini selalunya membabitkan lelaki, wanita juga kadang-kadang terjebak dengan perkara sama.

Perang tanding membabitkan kaum Hawa jarang berlaku dengan pergaduhan biasanya diselesaikan secara damai. Tetapi ada ketikanya, ia boleh berlaku atas sebab ini: usia, status di majlis sosial dan lelaki. Dan lelaki selalunya menjadi punca pertarungan tercetus antara wanita.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Salah satu perang tanding pertama membabitkan wanita ialah pertarungan antara dua bangsawan wanita Naples abad ke-16, Diambra de Pottinella dan Isabella de Carazzi. Kedua-duanya menjalin hubungan dengan seorang lelaki tampan bernama Fabio de Zeresola. Dua sahabat baik ini tidak sedar mereka bercinta dengan orang yang sama sehinggalah mereka bertiga menghadiri satu perkahwinan.

Apabila de Zeresola memandang de Carazzi, de Pottinella sedar ada sesuatu tidak kena. Pada ketika itulah, de Carazzi mendakwa lelaki itu mencintainya melebihi rakan baiknya itu. Berang, de Pottinella membuat dakwaan balas sebagai bukti cintanya terhadap de Zeresola tidak dapat diatasi oleh rakannya itu. Lantas, satu perang tanding diadakan bagi membuktikan cinta siapa yang lebih kuat terhadap lelaki itu.

Gambaran pertarungan de Carazzi dan de Pottinella oleh Jose de Ribera.

Seminggu selepas itu, kedua-duanya bertemu di sebuah padang sambil disaksikan oleh orang ramai termasuk wizurai Sepanyol yang mentadbir Naples ketika itu. Lengkap dengan pakaian perisai, kedua-duanya mula bertarung dengan tombak sebelum saling menyerang dengan cokmar. Setelah itu, de Pottinella turun dari kudanya dan menggesa de Carazzi menyerah kalah serta mengakui de Zeresola miliknya.

Enggan mengaku kalah, beliau menyerang rakan baiknya itu dengan pedang dan memotong tali topi besi yang dipakai de Pottinella. Ramai menyangka ini akan berakhir dengan kematian. Tetapi de Carazzi sebaliknya memilih untuk menyerah kalah dan mengiktiraf kemenangan di Pottinella. Dengan kemenangan tersebut, beliau dapat menjalin hubungan dengan de Zeresola tanpa sebarang isu.

Tetapi ini tidak seremeh pertarungan yang tercetus akibat soal usia. Ini berlaku antara Lady Almeria Braddock dengan Puan Elphinstone pada 1792 di London. Kegilaan bermula apabila Elphinstone memberitahu Lady Braddock bahawa zaman kecantikannya telah berlalu dan tiada siapa yang akan tertarik dengannya.

Lukisan The Petticoat Duellist. Sumber: Perpustakaan Lewis Walpole, Universiti Yale.

Berang dengan penghinaan tersebut, satu pertarungan diadakan di Hyde Park, London dengan istinggar sebagai senjata pilihan. Perang tanding itu berakhir dengan Lady Braddock menembak jatuh topi milik Puan Elphinstone sebelum kedua-duanya bertarung dengan pedang. Selepas beliau berjaya melukakan lawannya itu, ia cukup untuk menebus maruahnya. Lawannya itu kemudian menulis sepucuk surat permohonan maaf kepada Lady Braddock atas apa yang berlaku.

Bagaimanapun, ramai pengkaji dan sejarawan percaya peristiwa tersebut tidak pernah berlaku. Ini kerana tiada langsung rekod membabitkan nama dua wanita itu. Malah, mereka percaya watak Lady Braddock berasaskan seorang pelakon wanita bernama George Anne Bellamy. Bellamy pernah membawa watak Almeria dalam beberapa pementasan teater dan mempunyai hubungan dengan Jeneral Edward Braddock.

Tetapi pertarungan paling mengarut yang pernah direkodkan sejarah ialah perlawanan pedang antara Puteri Pauline Metternich dengan Countess Anastasia Kiielmansegg. Pertarungan tercetus kerana kedua-duanya tidak sebulu tentang susunan bunga untuk Pameran Teater Muzikal Vienna. Ya, bunga!

Merasakan hal ini hanya boleh diselesaikan menerusi pertarungan, kedua-duanya berangkat ke Vaduz, Liechtenstein. Orang yang menjadi pengadil pertarungan ialah seorang bangsawan wanita bernama Baroness Lubinska yang juga seorang doktor. Beliau menasihati kedua-duanya menanggalkan pakaian pada bahagian atas mereka bagi mengelak luka tikaman terkena kain dan mengakibatkan jangkitan kuman.

Justeru, apabila kedua-duanya bertarung, tiada seurat benang pun yang menutup bahagian atas badan mereka. Selepas beberapa lama bertarung, Puteri Metternich mengalami kecederaan kecil di hidung dengan Countess Kiielmansegg mengalami kecederaan di lengan pada masa sama. Sebaik luka kedua-duanya diperiksa, Puteri Metternich diisytiharkan sebagai pemenang.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Dan siapa sangka, ulangan kisah cinta tiga segi Naples berulang pada awal abad ke-20 di Mexico. Pada satu hari, seorang wanita bernama Marta Duran menghadiri satu pesta bersama kekasihnya Rafael Riquelme. Bagaimanapun, semasa di pesta, kelibat Riquelme menarik perhatian seorang wanita bernama Juana Luna. Kedua-duanya kemudian bergaduh besar tentang siapa yang sepatutnya meraih cinta lelaki tampan itu.

Bagi menentukan siapa lebih layak, kedua-duanya bertarung menggunakan pedang. Selalunya, pertarungan akan berakhir apabila lawan mana mengalami kecederaan terlebih dahulu. Malangnya, kedua-duanya bertarung tanpa henti sehingga mengakibatkan Duran mengalami kecederaan parah. Pada akhirnya, dia bersetuju melepaskan Riquelme kepada Luna.

Apabila Duran mendapatkan rawatan di hospital, doktor yang merawat merasa ingin tahu apa yang berlaku. Selepas mendengar keterangan pesakitnya itu, ia kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis. Akibatnya, Luna dan pengadil pertarungan ditahan dan dipenjarakan untuk beberapa ketika atas dakwaan mencederakan Duran. Insiden ini mengakibatkan kedua-duanya terpaksa merelakan Riquelme lenyap dari kehidupan mereka.

RUJUKAN

Drusus, L. (2016, 26 Februari). 7 Duels Between Women. MentalFloss.

Pandey, S. (2022, 23 Mei). Women Scrapping with Swords and Pistols: Famous Female Duels. Ancient-Origins.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply