Semua tahu pasangan diraja yang diulit bahagia, Putera Harry dan Meghan Markle bakal berkahwin pada 19 Mei ini. Bagi yang mengikuti sejarah monarki British, dunia sebenarnya sedang melihat sisi moden monarki tersebut. Manakan tidak, Markle bukan saja warga Amerika dan seorang pelakon tetapi beliau juga mempunyai darah campuran dan berstatus janda. Semua ini bukanlah ciri-ciri dara sempurna yang dimahukan pihak istana untuk menjadi teman hidup pewaris takhta Britain. Tetapi semua ini tidak akan berlaku tanpa merenung orang yang memecah tradisi 80 tahun sebelumnya, Wallis Simpson.

Simpson atau nama sebenarnya Bessie Wallis Warfield sudah berkahwin sebanyak dua kali semasa bertemu dengan Putera Edward, Duke of Windsor pada tahun 1931. Hubungan sulit yang terjalin selepas itu walaupun ketika itu masih berkahwin dengan suami keduanya, Ernest Aldrich Simpson menjadi bahan gosip masyarakat ketika itu. Dan ketika baginda menaiki takhta dengan gelaran Raja Edward VIII, pengumumannya untuk mengambil Simpson mencetuskan krisis perlembagaan Britain dan konflik dengan Gereja Anglican. Akibat daripada semua ini, Edward VIII melepaskan takhta demi meraih cinta sejatinya itu.

Selepas perkahwinan pertamanya dengan juruterbang Tentera Laut Amerika Syarikat, Earl Winfield Spencer Jr berakhir dengan perceraian pada tahun 1927, anak kelahiran Pennsylvania ini mula mengadakan hubungan tauke perkapalan, Simpson yang membawa kepada tindakan menceraikan isteri pertamanya, Dorothea Dechert dan perkahwinan pada tahun 1928. Pasangan bahagia ini menikmati kehidupan mewah di London di mana salah seorang kenalannya merupakan perempuan simpanan Edward VIII, Thelma Furness. Furness bukan calang-calang wanita kerana beliau merupakan isteri kepada Viscount Pertama dari Furness, Marmaduke Furness.

Hubungan cinta dua insan ini mula terjalin pada tahun 1934. Walaupun masih berkahwin, itu tidak menghalang Simpson menjalin hubungan terlarang tersebut. Bagi Edward pula, hubungan sebegini bukanlah satu kejutan baginya. Ini kerana sepanjang tahun 1920-an dan 1930-an, baginda mempunyai hubungan sulit dengan ramai isteri orang kenamaan sehingga menimbulkan kegusaran ayahandanya sendiri, Raja George V, Perdana Menteri Stanley Baldwin dan kenalan-kenalan rapat baginda. Dengan Simpson sendiri, Edward VIII memberi sepenuh perhatian kepadanya dan banyak memberi hadiah berharga. Walau bagaimanapun, baginda menegaskan tiada sebarang hubungan sulit berlaku dan tidak aci Simpson dipanggil perempuan simpanannya. Namun itu sudah mencukupi merenggangkan lagi hubungan tegang George V-Edward VIII sehinggakan semasa baginda membawa Simpson ke istana untuk diperkenalkan, ayahanda dan bonda baginda, Permaisuri Mary enggan berjumpa dengannya.

Dari segi perhubungan awam pula, kisah cinta Simpson-Edward VIII sudah mendapat tentangan pihak Gereja Anglican. Alasan mereka, mana-mana pasangan yang bercerai tidak boleh berkahwin semula selagi mana pasangan cerai mereka masih hidup dan ini terpakai kepada Simpson. Sementara Kabinet Baldwin dan khalayak awam turut menentang hubungan tersebut dengan khalayak tidak berminat melihat seorang wanita yang mempunyai kerakyatan Amerika sebagai permaisuri mereka. Menurut Anne Sebba, penulis buku biografi Simpson yang bertajuk That Woman yang diterbitkan pada tahun 2011, beliau dianggap perempuan pisau cukur yang mahu membolot harta Edward VIII.

Isu dua bekas suami Simpson yang masih hidup turut menjadi satu isu besar pada tahun 1930-an, satu perkara yang tidak akan dihadapi Markle hari ini. Menurut Sebba, keluarga diraja bimbang Spencer dan Simpson akan menggunakan kedudukan dan pengetahuan mereka berkenaan bekas isteri mereka ini untuk mengugut Edward VIII. Satu lagi isu ialah permulaan hubungan itu sendiri. Semua sedia maklum hubungan cinta ini terjalin tatkala Simpson masih lagi berstatus suami orang. Dan jika hendak bercerai, mana-mana pasangan yang mahu melakukannya bersumpah tidak melakukan perbuatan zina. Sebba menambah, jika Simpson berjanji beliau tidak melakukan zina, maka itu merupakan satu pembohongan kerana ia sememangnya diketahui umum tetapi tetap satu penipuan.

Di sebalik semua ini, Edward VIII enggan memutuskan hubungan dengan Simpson walaupun selepas menaiki takhta menggantikan ayahandanya, Raja George V. Hasratnya memperisterikan Simpson mencetuskan krisis perlembagaan sehingga hampir menumbangkan kerajaan pimpinan Baldwin. Untuk mengelak krisis tersebut berpanjangan, Edward VIII turun takhta dan berkahwin dengan Simpson di Perancis pada tahun 1937 selepas sah bercerai. Beliau tidak menerima gelaran HRH (Her Royal Highness) dan ketegangan dengan keluarga diraja berterusan termasuk kehadirannya semasa majlis pertabalan anak saudara Edward VIII, Ratu Elizabeth II pada tahun 1953.

Jika ada merasakan semua ini berakhir selepas mereka berkahwin, anda salah. Permaisuri Mary menyifatkan apa yang dilakukan Edward VIII satu pengkhianatan dan bertindak memencilkan Duke of Windsor itu. Ini ditambah pula pandangan orang ramai yang menyifatkan pasangan ini anti-Semitik dan penyokong Nazi. Pada tahun sama, pasangan ini mengembara ke Jerman dan minum teh bersama diktator Nazi Jerman, Adolf Hitler di Berghof, Berchtesgaden. Selepas lawatan tersebut diketahui umum, Edward VIII dianggap pengecut sementara Simpson pula dilabel terlalu ego. Untuk mengelak situasi menjadi lebih buruk, kerajaan memindahkan pasangan ini ke Bahamas di mana Edward VIII dilantik sebagai Gabenor Bahamas sehingga tamat Perang Dunia Kedua. Selepas itu, mereka dibenarkan pulang ke Perancis tetapi tidak dibenarkan kembali ke Britain.

Di khalayak ramai, Simspon mengekalkan imej sebagai wanita penyayang terhadap Edward VIII tetapi semua itu hanyalah wayang semata-mata. Pasangan ini sentiasa bergaduh kerana sentiasa mengalami kekurangan duit dan Simpson sendiri tidak berminat menyemarakkan cintanya terhadap baginda. Malah, untuk bertahun-tahun lamanya, Simpson sudah jatuh hati dan menggilai seorang warga Amerika bernama Herman Rogers yang sudah berkahwin. Bagaimanapun, beliau gagal menjadikan Rogers kekasih barunya seperti yang dilakukan terhadap suaminya sebelum itu. Dan sebelum dan semasa perkahwinannya dengan Edward VIII, Simpson mempunyai ramai kekasih di belakang suaminya seperti pewaris keluarga Woolworth, James Paul Donohue Jr dan Duke Ketujuh dari Leinster, Edward FitzGerald. Kisah-kisah sebegini membuatkan baginda patah hati dengan sikap isterinya itu tetapi terus setia mencintainya sehinggalah kemangkatannya pada tahun 1972 di Paris, Perancis. Sementara Simpson pula meninggal dunia pada tahun 1986 semasa berusia 89 tahun.

Tidak seperti kisah Edward VIII-Simpson, Putera Harry pula dalam senarai keenam pewarisan takhta British. Dan bagi Sebba, semua mengetahui peluang baginda mewarisi takhta tiada dan Markle pun tidak akan bergelar Permaisuri. Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana majoriti rakyat masih menerimanya dengan baik. Sementara bonda tiri Putera Harry pula, ramai tidak mahu gelaran Permaisuri diberikan kepada Camilla Parker sekiranya Putera Charles menaiki takhta sebagai Raja England yang baru. Dan tidak seperti Simpson, Markle dilihat memberi pengaruh positif kepada monarki British kerana punya pengalaman dalam lakonan dan program kemanusiaan serta menunjukkan minat kepada isu global dan feminisme hari ini. Namun paling penting, persepsi keluarga diraja terhadap orang seperti Markle itu sendiri. Selalunya, ramai melihat sekiranya ingin menjadi anggota kerabat diraja, mana-mana calon perlu mempunyai darah raja. Tetapi pada era hari ini, mereka menerima siapa pasangan pilihan anggota monarki tanpa mengira asal-usul sekaligus, memberi peluang kepada mereka untuk kekal bahagia.

SUMBER

1. Thornton, Michael. (2017). Daily Mail. A Nazi diplomat, Mayfair car dealer and a bisexual Woolworth heir: Wallis Simpson’s extraordinary collection of lovers exposed after spy dossier is finally revealed … so did she ever truly love the king who gave up his throne for her? http://www.dailymail.co.uk/news/article-4391864/Wallis-Simpson-s-extraordinary-collection-lovers.html

2. Gwyn Kripke, Pamela. (2018). New York Post. Wallis Simpson’s marriage to Edward VIII was shockingly miserable. https://nypost.com/2018/02/10/wallis-simpsons-marriage-to-edward-viii-was-shockingly-miserable/

3. Pruitt, Sarah. (2018). History.com. The Royal Paramour Who Paved the Way For Meghan Markle. https://www.history.com/news/the-royal-paramour-who-paved-the-way-for-meghan-markle


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.