Mengambil tempoh yang lama atau singkat bagi naik dan turunnya seorang penguasa dalam sesebuah monarki sememangnya adalah topik yang menarik untuk dibahaskan dalam untaian sejarah dunia. Jika diperhatikan, ada penguasa yang bernasib baik kerana dapat bertakhta selama puluhan tahun lamanya sepertimana Raja Louis XIV yang memegang takhta selama selama 72 tahun dan 110 hari. Dalam pada itu, ada juga penguasa yang kurang bernasib baik misalnya Raja Louis XIX, baginda hanya dapat memegang tampuk pemerintahan pemerintahan selama lebih kurang 20 minit sahaja lantas menjadikan baginda antara monarki yang tersingkat di dunia.

Raja Louise XIV, Raja Perancis yang paling lama bertakhta dengan rekod 72 tahun. (Kredit foto: Wikipedia)

Satu lagi contoh penguasa yang wajar diberi perhatian bila kita bercakap soal sejarah perwarisan takhta ialah monarki British. Terlebih dahulu, mari kita lihat Ratu Victoria dalam hal ini. Siapa sangka bahawa tempoh pemerintahan Ratu Victoria juga boleh tahan panjang iaitu kira-kira 64 tahun lamanya. Baginda mula memegang tampuk pemerintahan ketika berumur 18 tahun iaitu dari tahun 1837 sehinggalah kemangkatannya pada umur 81 tahun pada 1901.

Era pemerintahan Ratu Victoria secara umumnya dikenali sebagai Era Victoria, dimana pada era inilah Empayar British berada pada kemuncak kekuasaanya. Disebabkan tempoh pemerintahan Ratu Victoria yang agak panjang, pewarisnya iaitu Raja Edward VII terpaksa menunggu hampir 60 tahun lamanya untuk ditabalkan sebagai Raja United Kingdom, oleh yang demikian, Raja Edward VII telah dinobat sebagai pewaris paling lama menunggu untuk menaiki takhta. (Rekod ini kemudian dipecahkan oleh cicitnya, Putera Charles).

Namun terdapat satu kisah unik berkaitan sejarah perwarisan takhta yang melibatkan monarki British ini. Kisah unik yang dimaksudkan adalah United Kindom pernah mengalami tiga kali perubahan takhta yang berlaku serentak pada tahun yang sama. Peristiwa bersejarah yang berlaku pada tahun itu sekaligus memberikan rakyat British pengalaman untuk merasai bagaimana rasanya ditadbir oleh tiga individu yang berbeza pada tahun yang sama. Tahun tersebut ialah tahun 1936.

Tirai tahun ini dibuka dengan sapaan duka taktala Raja George V mangkat pada tanggal 20 Januari 1936. Dengan kemangkatan Raja George, lembaran baru seolah-olah telah kunjung tiba dengan pertabalan raja yang baru iaitu Edward VIII. Namun, indah khabar dari rupa, dek konflik dalaman yang kian merosakkan imej monarki, akhirnya Raja Edward VIII terpaksa melepaskan takhtanya secara mengejut pada bulan Disember, sekalius memberi laluan kepada adiknya iaitu Raja George VI untuk memenuhi kekosongan takhta tersebut. Disebabkan peristiwa-peristiwa ini, UK pada tahun 1936 telah mencipta sejarah dengan mempunyai tiga raja dalam masa setahun.

  1. Raja George V (6 Mei 1910 – 20 Januari 1936)
Raja George V (Kredit foto: https://www.thetimes.co.uk)

George V atau nama sebenarnya George Frederick Ernest Albert lahir dan dibesarkan sewaktu zaman kegemilangan pemerintahan nendanya, Ratu Victoria. Sejurus nendanya mangkat pada tahun 1901, tiba pula giliran ayahandanya iaitu Edward VII untuk menaiki takhta pemerintah setelah berjanggut menunggu. Pada tahun 1910, ayahandanya pula mangkat lalu secara automatiknya giliran Raja George VI pula untuk menaiki takhta. Baginda ditabalkan pada tarikh 6 Mei 1910.

Antara perkara besar yang dilakukan Raja George V sepanjang bergelar raja adalah mengubah nama dinasti baginda pada tahun 1917. Hal ini demikian, ketika Perang Dunia Pertama meletus, sentimen anti-Jerman sedang marak membakar dikalangan rakyat British. Impaknya, rakyat sering berdemonstrasi serta menyerang kedai-kedai yang memiliki nama Jerman bahkan orang yang mempunyai nama Jerman juga dibelasahnya. Oleh itu, bagi mengelakkan monarki British turut menjadi sasaran kebencian rakyat, makanya Raja George V cepat-cepat mengubah nama dinasti baginda yang juga mempunyai unsur Jerman iaitu Saxe-Coburg And Gotha kepada nama yang ‘mesra’ Inggeris iaitu Windsor.

Sewaktu tahun-tahun terakhir pemerintahannya, baginda sering mengalami masalah kesihatan yang berpunca daripada tabiat tidak sihatnya yang gemar merokok. Selepas kemangkatannya, Raja George VI digantikan oleh anak sulungnya iaitu Edward VIII.

2.Raja Edward VIII (20 Januari– 11 Disember 1936)

Raja Edward VIII (Kredit foto: BBC)

Menurut catatan, Raja Edward VIII atau nama penuhnya Edward Albert Christian George Andrew Patrick David mula memegang takhta dari 20 Januari 1936 sehingga 11 Disember 1936.  Akibat terpalit dengan krisis, Raja Edward VII hanya sempat berada di tampuk kekuasaan selama 326 hari sahaja. Menjadikan baginda antara penguasa yang paling singkat tempoh pemerintahannya dalam sejarah British.

Raja Edward VII dikatakan sebagai raja yang tidak ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya, malah latar belakang peribadinya juga menunjukkan bahawa baginda memang tidak berminat untuk menduduki takhta pemerintah. Sebaliknya, Raja Edward VII merupakan seorang rasis, gemar berfoya-foya dan bergelumang dengan skandal yang sedikit sebanyak telah merosakkan reputasinya sebagai monarki.

Selain itu, sewaktu menjadi Prince Of Wales, Raja Edward VIII juga sering ditegur oleh ayahandanya kerana gemar mencampuri urusan politik kerajaan. Kemuncak kepada kealpaan Raja Edward VII adalah ketika baginda membuat satu keputusan yang agak kontroversi iaitu berhajat untuk mengahwini seorang wanita dari Amerika Syarikat yang bernama Wallis Simpson.

Stanley yang merupakan Perdana Menteri UK pada waktu itu menentang sekeras-kerasnya permintaan Raja Edward VIII. Baldwin menegaskan bahawa perkahwinan dengan seorang wanita yang telah bercerai berpotensi menimbulkan masalah kepada monarki. Selain itu, Raja Edward VIII juga menerima tentangan daripada gereja England kerana perkahwinan dengan seorang janda dimana bekas pasangannya masih hidup adalah tidak dibenarkan, tambahan pula, baginda juga merupakan ketua gereja England. Adalah ironi bagi seorang ketua gereja untuk melawan hukum dan prinsip yang dipegang olehnya sendiri.

Jadi adakah patut seorang ketua melanggar prinsip dan peraturan organisasinya? Oleh hal yang demikian, Edward VII sedar bahawa dia perlu berhati-hati membuat keputusan dalam hal ini. Edward VIII juga maklum jika dia berkeras juga ingin berkahwin dengan Wallis, Perdana Menteri serta seluruh kabinetnya akan meletakkan jawatan sekaligus berpotensi untuk menyahstabilkan negara. Bagi mengelakkan krisis ini melarat, Raja Edward VIII telah membuat keputusan untuk melepaskan takhtanya lantas menjadikan baginda satu-satunya raja dalam sejarah British yang meletakkan takhta secara sukarela.

Selepas itu, Edward VIII telah dibuang ke Perancis dan berkahwin dengan Wallis pada 3 Jun 1937 dengan majlis perkahwinan yang agak hambar tanpa kehadiran walau seorang pun ahli kerabatnya. Edward VIII menghabiskan sisa hidupnya di Perancis sehingga dia mangkat pada tahun 1972.

3.Raja George VI (11 Disember 1936 – 6 Februari 1952)

Hubungan persahabatan yang kukuh antara Winston Churchill dan George VI merupakan antara kunci kejayaan UK dalam Perang Dunia Kedua. (Kredit foto: The Independent)

Raja George VI atau nama pangjangnya Albert Frederick Arthur George telah ditabalkan sebagai raja sejurus perletakan takhta oleh abangnya iaitu pada 11 Disember 1936 sehingga kemangkatannya pada tahun 1952. Menjadi raja bagi keseluruhan Empayar British adalah mimpi buruk bagi Raja George VI. Manakan tidaknya, Raja George VI merupakan seorang yang pemalu dan kurang bersosial serta mempunyai masalah gagap.

Sebaliknya, baginda lebih gemar dengan kehidupannya sewaktu bergelar Duke Of York, iaitu hanya menjalani kehidupan berkeluarga bersama isteri dan dua orang puterinya. Namun, dengan batu bebanan yang telah dihempaskan oleh abangnya, George VI sedar bahawa dia harus memikulnya bagi membaiki semula reputasi monarki yang telah dirosakkan oleh Edward VIII.

Ketika Perang Dunia Kedua sedang rancak berlangsung. Istana Buckingham telah dibom oleh tentera Nazi sehingga menyebabkan Raja George VI hampir terbunuh. Impak daripada pengeboman ini,selain merosakkan struktur binaan Istana Buckingham, ia juga telah melonjakkan populariti monarki dikalangan rakyat British. Hal ini dikatakan demikian kerana, keluarga diraja juga dilihat tidak terkecuali daripada menjadi mangsa kepada bahana perang yang melanda pada waktu itu.

Selepas peperangan berakhir, Raja George VI dapat menyaksikan sedikit demi sedikit tiang empayar yang didirikan oleh moyangnya tumbang. Hal ini demikian kerana, peperangan telah melemahkan United Kindom dari segenap aspek, lantas menyebabkan mereka tidak lagi berupaya untuk mentadbir keseluruhan empayar seperti sebelum ini. Ini telah menyebabkan satu-persatu tanah jajahan mereka terpaksa diberi kemerdekaan. Pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya, Raja George dibelenggu dengan masalah kesihatan yang berpunca dariapda tabiat merokoknya lalu mangkat pada tahun 1952. Baginda digantikan oleh Elizabeth II.

RUJUKAN

 Weir, Alison (1996). Britain’s Royal Families: The Complete Genealogy, Revised Edition. London: Random House.

Cannadine, David (2014), George V: The Unexpected King

Williams, Susan (2003). The People’s King: The True Story of the Abdication. London: Allen Lane

Bradford, Sarah (1989). King George VI. London: Weidenfeld and Nicolson. 

Ciara.Berry. (2016, February 26). Saxe-Coburg-Gotha. The Royal Family. Diambil daripada https://www.royal.uk/saxe-coburg-gotha

Panayi, P. (1989). “Anti-German Riots in London during the First World War”. German History.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Historofil yang punyai minat untuk berkongsi hasil dapatannya melalui wadah penulisan. Harapannya cuma satu, menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan tamadun anak bangsa menuju sebuah keagungan.

Leave A Reply