Percayalah. Tidak perlu satu pintu khas untuk cari neraka di bumi Turkmenistan. Negara ini masih baru, diisytihar merdeka daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1990. Namun sistemnya betul-betul berpandukan Soviet. Jadi rakyat tempatan sekadar beralih kiblat sahaja… daripada penguasa berwajah cerah di Moscow – ke penguasa sebangsa di Ashgabat. Itu sahaja perbezaannya.

Apabila bercakap pasal Kesatuan Soviet, kena faham satu sajalah – negara ini hanya relevan hingga 1960-an sahaja. Masuk zaman Leonid Brezhnev, semuanya masuk parit. Perangai pemimpin suka berkuasa terlalu lama sambil cantas-mencantas menyebabkan kejatuhan Soviet. Dan itulah sistem diwarisi Turkmenistan yang merupakan negara adik beradik.

 

Lokasi Turkmenistan di atas Iran/Afghanistan.

Sejujurnya kerana sistem sebeginilah ada satu “pintu neraka” (gates to hell) di Turkmenistan. Pentadbiran yang lemah. Institusi pemantau yang tidak ambil peduli. Dan pengamal industri yang pandai-memandai.

Penggerudian Untuk  Mendapatkan Isi Bumi

Semua orang tahu yang Kesatuan Soviet dulu amat bergantung pada industri bahan api. Pada tahun 1971, seorang pakar geologi tempatan bernama Anatoly Bushmakin terjumpa rizab minyak di kampung Darvaza. Sebelum melaksanakan operasi, mereka perlu gerudi dulu untuk tengok kuantiti.

Ingin baca bagaimana Jepun cuba menjajah China dan Korea pada waktu silam? Beli buku terbaru The Patriots Kitab Tamadun Jepun di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

Tebuk punya tebuk, rupa-rupanya bukan minyak yang sedang tunggu kedatangan mereka. Pakat terduduk semua kerana sumber bumi Darvaza adalah gas asli. Bukan setakat gas asli – tetapi antara rizab gas asli paling besar di dunia. Belum sempat buat apa-apa, tanah runtuh menelan pelantar gerudi mereka. Tinggallah sebuah kawah sangat besar.

Ibaratkan tikus ingin membaiki labu, kumpulan jurutera dibawah Bushmakin pergi bakar pula kerana sangka kebocoran gas boleh menggugat kesihatan orang ramai. Ikut sangkaan mereka, api akan membakar selama beberapa minggu sahaja.

Api yang menyala di Darvaza.

51 tahun sudah berlalu. Api masih menyala.

Tikus Masih Cuba Membaiki Labu

Apabila Kesatuan Soviet terbubar, kerajaan wilayah Turkmenistan mendapat kuasa eksekutif. Jadi mereka boleh buat apa sahaja yang diingini (self-determination) kerana mereka sudah menjadi negara merdeka.

Semasa zaman pemerintahan Sapamurat Niyazov (1990-2006), kerajaan Turkmenistan dilihat tidak begitu merinat pada Darvaza. Niyazov seolah-olah sedang membentuk kerohanian Turkmenistan ikut acuan disangkanya baik untuk rakyat.

Walhal dibawah beliau, Turkmenistan mempunyai jangka hayat paling teruk di Asia Tengah – siap beliau selamba pergi tutup hospital di luar Ashgabat sambil berkata, “kalau rakyat sakit, datang Asghabat je lah.” Tengok-tengok beliau yang jatuh sakit dan pergi buat selamanya… diganti Gurbanguly Berdimuhamedow (2006-2022). Dibawah presiden inilah Darvaza mendapat perhatian tempatan dan global.

Beliau mengunjungi Pintu Neraka ini, siap mengarah yang kawah tinggalan Soviet mesti ditimbus. Namun sampai hari ini, Pintu Neraka tidak ditimbus. Berdimuhamedow pun sudah turun takhta (diganti anak sendiri). Dan retorik sama dimainkan – kena cari solusi untuk padam api.

Apa Yang Ada Dalam Kawah

Mengetepikan pasal kegagalan institusi Kesatuan Soviet dan Turkmenistan, kawasan Darvaza ini sebenarnya menarik perhatian saintis. Memandangkan api sudah menyala lebih lima dekad, mereka mula tertanya-tanya. Cuba fikir – makhluk apa boleh hidup dalam kawah ini. Api sememangnya panas, sekali gus boleh membunuh semua kuman. Semua kuman kecuali apa yang diisytihar “extremophile microorganism”. Mudah kata, ada mikroorganisme yang boleh hidup di kawasan sangat ekstrim.

Ambil contoh beruang air (Tardigrades). Macam-macam saintis buat untuk bunuh beruang air. Bakar. Beku. Letak dalam ruangan sifar oksigen. Letak dalam ruangan radiasi tinggi. Buang di ruangan angkasa. Tetapi beruang air ibaratkan selamba beri jari tengah dan hidup macam biasa. Terkesan, tetapi tidak mati (Courtland, 2008).

Jadi pada 16 Julai 2014, seorang penjelajah bernama George Kourounis turun ke dasar kawah untuk mendapatkan sampel tanah. Kerja ini tidak mudah. Kourounis gali satu tempat – tiba-tiba keluar api (Thornton, 2014).

George Kourounis daripada Canada turun ke Kawah Darvaza.

Terpaksa beralih ke tempat lain sambil berhati-hati supaya tidak “tenggelam”. Sampel tanah diambil Kourounis kemudian dikaji Dr. Stefan Green, yang mengesahkan kewujudan beberapa bakteria unik. Jenis-jenis bakteria ini tidak diumumkan. Tetapi Dr. Green berkata, suasana panas Darvaza menjadi makanan bakteria di situ.

Ingin baca mengenai sejarah Islam di India? Beli buku terbaru The Patriots, Mughal: Mutiara Islam Di India di: http://bit.ly/PraTempahMughal

Mungkin ada yang rasa macam artikel ini terlalu pedas mengkritik Soviet dan Turkmenistan. Jangan fikir begitu. Point yang disampaikan sebenarnya mudah: kerajaan berkuku besi atau plastik tidak penting. Kalau kerajaan asyik fokus pada benda entah apa-apa (cantas-mencantas, jaga adik-beradik dan kayakan diri sendiri misalnya), institusi pemantau akan menjadi lemah.

Hasilnya, tunggu saja tengok macam mana pemain industri ambil kesempatan. Amerika Syarikat pun tidak suci dalam perkara ini. Tengok saja macam mana isu Teflon terjadi dulu. Dan macam mana sumber air di kota Flint tercemar teruk.

RUJUKAN:

Courtland, R. (2008, September 8). ‘Water bears’ are first animal to survive space vacuum. New Scientist.

Thornton, S. (2014, Julai 16). Entering the Door to Hell. National Geographic.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply