Semenjak Renaissance, Eropah bagaikan paksi tamadun dunia. Setidaknya, itu anggapan masyarakat sana… dan sebilangan individu sini. Kalau lihat statistik, tanggapan begitu memang tiada masalah.

Walaupun Eropah adalah benua ketiga terkaya selepas Amerika Tengah dan Asia, ia merupakan benua paling maju, sihat, dan berpendidikan antara semua. Jadi, wajar jika ia berbangga dengan status itu.

Lagipun kata Soekarno, “Bangsa yang tidak percayakan kekuatan diri maka tidak akan dapat berdiri sebagai bangsa yang merdeka.” Cuma itulah, yakin diri tidak pernah sama dengan angkuh. Di sini silap Eropah dan supremasi kulit putihnya.

Barah ini jelas terlihat semasa krisis Ukraine-Russia mula meruncing pada Februari. Betapa liputan media dari barat habis dipenuhi naratif pilih kasih. Sampaikan idea kesetaraan dibakulkan dengan begitu sahaja. Kita tidak perlu selak sejarah untuk mengetahui perilaku jenayah di Eropah. Cukup sekadar mengikuti isu-isu semasa.

Contoh terbaru di Sweden, parti pelampau-kanan sengaja bertindak membakar al-Quran saat orang Islam sedang berpuasa. Di Manx (British) pula, lelaki berusia 68 tahun diberkas kerana menyimpan 153,000 imej kanak-kanak (pedofilia). Sementara itu di Itali tahun lalu, ada kes anti-vaksin memakai tangan palsu gara-gara enggan vaksin memasuki badan (tapi mahu sijil vaksinasi).

Ini menunjukkan betapa seperti di belahan dunia lain, orang Eropah juga tidak ubah macam kita. Berpendidikan tidak menjamin keperibadian. Jenayah dan salah laku terdedah kepada semua. Sebab itu, Indeks Jenayah Numbeo tidak menyisihkan bandar-bandar Eropah dari senarai. Hingga dengan demikian, kita dapat tinjau bandar Eropah mana yang paling tinggi kadar jenayahnya.

10 Bandar Paling Berbahaya Di Dunia (Kredit)

Ikutkan, nilaian indeks ini tidaklah begitu tepat. Terutama jika dibandingkan dengan tinjauan rasmi dari kerajaan. Ini kerana ia dibuat hanya berdasarkan maklum balas terhad dari responden, yakni orang awam yang mengakses lawan sesawang mereka. Jadi, persepsi ke atas jenayah juga berbeza-beza.

Apapun, indeks ini sesuai diguna untuk membuat perbandingan antara bandar pelbagai negara. Contohnya, antara Klang (tangga ke-47) dan Manila (tangga ke-48). Fungsi perbandingan sebeginilah yang menjadi sebab mengapa indeks Numbeo masih dianggap relevan. Kini tanpa berbasa-basi lagi, ini dia 10 bandar Eropah paling berbahaya tahun 2022:

10. Malmö, Sweden

Malmö merupakan bandar ketiga terbesar di Sweden, selepas Stockholm dan Gothenburg. Luasnya mencecah 155.4 km² dengan populasi seramai 344,166 orang. Namun dalam setiap 100,000 orang, dilaporkan 1.4 daripadanya mati akibat ditembak setiap tahun.

Ini menjadikan nilai indeks jenayahnya berada pada 56.75 (di tangga ke-98), sebanding dengan Indianapolis (57.58), Manchester (56.03), dan Johor Bahru (55.96). Ikutkan, agak aneh juga apabila Malmö disebandingkan dengan Johor Bahru.

Ini kerana di bandar itu, tiada insiden kemalangan basikal lajak pernah berlaku. Sebaliknya kejadian tembak-menembak dan letupan bom. Dua perkara itu memang seolah perkara biasa di sana. Lihat saja data dari tahun-tahun lalu; pada 2017, berlaku 65 tembakan dan 62 letupan. Pada 2019, berlaku 59 tembakan dan 29 letupan. Tahun 2020 pula, sekitar 20 tembakan dan 17 letupan.

Ingin baca bagaimana Jepun cuba menjajah China dan Korea pada waktu silam? Beli buku terbaru The Patriots Kitab Tamadun Jepun di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

Insiden sebegini bukan saja membabitkan kumpulan-kumpulan samseng yang giat akibat kemajmukan bandar Malmö (ia didiami imigran dari 183 buah negara). Tetapi juga oleh warganegara mereka sendiri.

Contohnya pada 22 Mac lalu, pelajar berusia 18 tahun bertindak menikam dan menetak dua orang guru di Malmö Latinskola. Sampai mati dibuatnya. Kalau buka pautan atas, kita boleh tahu betapa insiden serangan di sekolah adalah satu perkara biasa di sana.

Tahun 2019 juga tidak kurang teruk. Bayangkan, seorang lelaki keluar berbasikal di dataran bandar; ambil angin malam bersama anak-anak. Tiba-tiba, berlaku insiden tembak-menembak di depan kedai pizza tak jauh dari mereka. Memang lintang-pukanglah jawabnya.

Sudahlah masa itu baru saja berlaku kes letupan – sebuah kereta dibom – yang mujur, tiada siapa terkorban. Tiga bulan sebelum itu pula (Ogos 2019), berlaku insiden melibatkan seorang wanita yang ditembak mati semasa menggendong anak di luar rumah. Sampai sekarang, kes tersebut masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.

Bunga dan lilin bagi menghormati kematian remaja 15 tahun yang terbunuh dalam insiden tembak-menembak di depan kedai pizza pada November 2019 (Kredit)

Ikut kajian, peluang untuk individu 15-29 tahun di Sweden ditembak mati memang tinggi. 10 kali ganda berbanding di Jerman. Laporan pula menyatakan yang 8 per 10 kes tembakan adalah melibatkan samseng. Erti kata lain, Sweden khususnya Malmö adalah lebih gangster berbanding KL Gangster.

9. Naples, Itali

Naples adalah ibu negeri wilayah Campania, dan merupakan bandar ketiga terbesar di Itali selepas Rome dan Milan. Seperti Malmö, Naples juga dilatari kumpulan samseng (disebut sebagai camorra). Tahun lepas saja, ada berita tentang penangkapan ketua camorra dari Naples bernama Maria Licciardi.

Cuma, kumpulan samseng di Naples tidaklah seganas di Malmö. Justeru tidak banyak kejadian serangan dan letupan berlaku. Memang ada, contohnya pada Oktober 2021 di mana remaja 18 tahun ditembak mati oleh dua lelaki di North Naples Park. Kemudian pada Januari lalu, seorang warga emas mengacu senjata kepada pengawal keselamatan di premis McDonald’s kerana enggan menunjukkan sijil vaksinasi.

Apapun berbanding jenayah bersenjata, Naples lebih ‘kaya’ dengan insiden rompak, samun, seluk saku, dan scam pelancong. Yakni, jenayah yang normal di bandar pelancongan besar. Iya, Naples memang bandar bersejarah Itali, selain Rome. Sampai ia digelar sebagai ‘Paris Selatan’.

Cuma itulah, jenayah menjejaskan reputasinya dalam kalangan pelancong. Contohnya pada 2015, berlaku insiden ragut melibatkan jam tangan bernilai €35,000 (RM160,000) milik pelancong dari British. Mac lalu, seorang lelaki ditangkap atas 8 jenayah samun, 4 jenayah pecah masuk rumah, 1 jenayah curi kereta, dan 9 kes samun lain.

Maria Licciardi (Kredit)

Kalau lihat Statista, Naples ialah bandar yang memiliki kadar rompakan tertinggi di Itali; 95.3 per 100,000 penduduk berbanding Prato (84.8) dan Milan (78.3). Crime Grade pula menyatakan yang dalam setahun, ada 1.13 kes rompakan bagi setiap 1,000 penduduk (sebagai nota, populasi Naples adalah 3.085 juta).

Statista turut melampirkan yang jumlah kes bunuh di Naples sepanjang tempoh Ogos 2020 – Julai 2021 adalah sebanyak 276, yakni bersamaan 1.3 kes setiap hari. Ini meletakkan nilai indeks jenayahnya berada pada 58.52 (tangga ke-90), sebanding dengan San Francisco (58.59) dan Noida, India (57.97)

8. Nice, Perancis

Bandar Nice mungkin paling dikenali dengan insiden 14 Julai 2016. Ia membabitkan sebuah lori 19-tan yang merempuh orang ramai di Promenade di Anglais semasa sambutan Hari Bastille. Dalam 30,000 orang yang berkumpul di situ, 86 daripadanya maut. Hingga kini, seramai 300 kanak-kanak perlu menjalani rawatan akibat trauma dari kejadian yang didalangi oleh pelampau agama itu.

Satu lagi serangan oleh pelampau agama berlaku pada dua tahun lalu. Kali ini, sasarannya adalah gereja. Ia mengakibatkan tiga lelaki maut ditikam sambil pelakunya ditembak dan ditangkap. Kejadian sebegini mendorong majlis perbandaran untuk memasang lebih 2,200 kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh bandar.

Namun, langkah itu masih gagal memadam nama Nice sebagai bandar berbahaya. Nilai indeks jenayahnya adalah 58.85 (tangga ke-86), sebanding dengan Nairobi, Kenya (58.94). Menurut data Numbeo, jenayah yang paling dikhuatiri di Nice adalah pecah masuk rumah, vandalisme, dan kecurian kereta. Teleport pula melaporkan dalam 100 orang penduduk Nice, 31 daripadanya memiliki senjata. Jenayah bersenjata di sana berada pada kadar 2.83 bagi setiap 100,000 orang.

Pada Januari lalu, berlaku satu insiden menembak. Ia melibatkan anggota Brigade de recherché yang tersilap tembak seorang lelaki berusia 22 tahun dalam satu kejadian kecurian kereta. Begitu juga pada malam Krismas tahun lepas, di mana seorang lelaki ditembak mati tanpa motifnya diketahui.

Kes membabitkan pelancong juga pernah berlaku. Tahun 2016, dua lelaki tempatan memperkosa dua orang pelancong dari UK di tempat sama berlakunya tragedi rempuhan. Kejadian sebegini membuatkan Nice dilihat sebagai salah satu bandar paling berbahaya di Perancis.

Lori yang merempuh orang ramai dalam insiden 2016 (Kredit)

7. Minsk, Belarus

Sebagai satu-satunya bandar dari Eropah Timur dalam senarai, situasi di Minsk memang berbeza. Faktor bahaya di bandar ini banyak disumbang oleh pergolakan politik, terutama pasca-pilihanraya 2020. Bayangkan antara 9-13 Ogos sahaja, polis menahan seramai 7,000 orang peserta demonstrasi yang membantah kerajaan. Bila ditahan, faham-faham sajalah kekerasan anggota: dibelasah, direnjat, bahkan ada yang sampai dirogol.

Nasib yang sama turut dialami pengamal media. Pada tahun sama, sebanyak 480 tangkapan dibuat. 62 daripadanya disahkan mengalami penderaan. Di Minsk, berlaku tiga insiden wartawan ditembak menggunakan peluru getah. Tahun berikutnya pula, jumlah tangkapan adalah sebanyak 64 orang.

Ini termasuk penangkapan Roman Protasevich, wartawan dari media bebas Belamova. Kes beliau ini boleh dikatakan besar. Sampai AS dan Kesatuan Eropah pun masuk campur dan mengenakan larangan melawat Belarus. Mana tidaknya, masa itu Roman menaiki pesawat komersial FR4978 dari Athens ke Vilnius (Lithuania). Namun sebaik sampai di ruang udara Belarus, pesawat itu diarah mendarat. Semata-mata kerana KGB mahu menangkap Roman yang dianggap penjenayah politik.

Kemudian pada September, berlaku satu lagi insiden. Kali ini, seorang pekerja IT pula yang ditembak mati. Juga oleh anggota KGB. Ini sebagai operasi membasmi doktrin anti-kerajaan, yang turut melibatkan penangkapan 50 orang lain. Semuanya atas tuduhan menghina Presiden Lukashenko.

Lukashenko memang sudah berkuasa lama. Sejak 1994 lagi. Namun tahun demi tahun, ada saja insiden ganas berlaku. Contohnya pada 2011, bom sekuat 5kg TNT meletup di stesen metro Oktyabrskaya yang berjarak 100 meter dari pejabat presiden. Habis 204 orang tercedera sambil 12 yang lain hilang nyawa. Pelakunya diyakini datang dari faksi radikal. Dia turut mengakui jenayah serupa di Vitebsk (2005) dan Minsk (2008) yang  mencederakan 50 orang.

Infografik berkenaan letupan stesen metro 2011 (Kredit)

Apapun selain faktor politik, jenayah di Minsk juga relatif tinggi. Tahun 2011, sebanyak 1,394 jenayah dilaporkan bagi setiap 100,000 orang (139 per 10,000). Statistik bagi Minsk pula melangkaui purata kebangsaan, iaitu 172. Jauh melebihi Vitebsk (140) dan Grodno (111). Jadi, munasabah jika Numbeo meletakkan nilai indeks jenayah di Minsk pada 59.85 (tangga ke-82), sebanding dengan Delhi (59.31).

6. Nantes, Perancis

Kalau Minsk dionari radikal politik, Nantes pula disasari pelampau agama – satu barah yang cukup sinonim di Perancis. Ambil contoh insiden Disember 2014. Seorang pemandu van merempuh orang ramai di pasar Krismas di Nantes sambil melaungkan takbir. Habis 10 orang tercedera. Lebih teruk, ia membarahi dua kes serupa. Salah satunya di Dijon yang mencederakan 13 orang..

Kemudian pada Ogos 2021, berlaku insiden paderi dibunuh oleh individu sama yang membakar sebuah gereja pada Julai tahun sebelumnya. Ini, berlaku tiga bulan selepas seorang polis wanita ditikam oleh bekas banduan. Dua polis lain turut tercedera kerana ditembak menggunakan pistol curi. Untuk memburu dia seorang sahaja, habis 200 orang pegawai dikerah bersama sebuah helikopter. Sekolah dan kedai-kedai berhampiran juga diarahkan tutup.

Selain kes-kes serangan, Nantes juga dihantui jenayah cabul dan perkosa. Salah satunya melibatkan pecabul bersiri yang menyasarkan remaja berusia 10-16 tahun – bergiat dari 1998 hingga 2021. Cuma itulah, tiada statistik dapat dirujuk untuk dibuat ulasan lanjut.

Apapun, dalam Indeks Jenayah Numbeo, Nantes diletakkan sebagai bandar kedua paling berbahaya di Perancis selepas Marseille. Nilai indeksnya adalah 60.06 (tangga ke-80), sebanding dengan Brasilia (60.23).

5. Catania, Itali

Tidak seperti di Naples, kumpulan samseng di Catania lebih agresif. Ini kerana statusnya yang unggul sebagai bandar pelabuhan di Sicily. Kartel dadah di sana cukup berleluasa. Begitu juga pergaduhan antara kumpulan mafia.

Misalnya pada Ogos 2020, berlaku tembak-menembak antara dua klan mafia (Cursoti milanesi dan Cappello) di tengah pekan Librino. Habis dua nyawa diragut. Mujur, ia bukan milik orang awam. Pada 2016 pula, 500 anggota polis menggempur klan Laudani sampai 80 orang ditangkap. Operasi lebih besar berlaku pada 2020 di mana 12 pasar dadah di Catania digempur dan ditutup.

Tiada laporan lanjut dapat dirujuk untuk melihat bagaimana dua operasi itu dijalankan. Statistik berkaitan mafia di Catania juga sukar didapatkan. Paling tidak pun, yang ada adalah kisah Maurizio Avola – mafia dari Catania yang membunuh 79 orang dalam tempoh 11 tahun.

Maurizio Avola (Kredit)

Selain keganasan mafia, serangan seksual ke atas perempuan bawah umur di bandar ini juga tinggi. Iaitu sebanyak 5,990 kes pada 2018 – 3% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Salah satu kes berlaku pada Mac 2019. Di mana, tiga lelaki memperkosa remaja 19 tahun dari AS di kawasan parkir yang sunyi.

Dua tahun sebelumnya, seorang paderi ditangkap kerana mencabul remaja lelaki 14 tahun. Begitu juga pada Februari lalu, seorang jurulatih diberkas kerana membuat serangan seksual ke atas atlit berusia 13-17 tahun sambil berjanjimaniskan peluang cerah di peringkat kebangsaan.

Sebagai bandar Itali paling berbahaya, Catania turut berisiko dari segi serangan dan rompakan. Salah satu insiden paling diingati adalah pada Mei 2018. Ia membabitkan ultras pasukan bolasepak Catania yang menyerang penduduk kerana tersalah sangka mereka sebagai peminat pasukan lawan. Sampai habis kereta dibakar. Sebilangan dibelasah. Ada juga yang disamun di stesen keretapi.

Perilaku sebegini membuatkan Catania dianggap berbahaya, dengan nilai indeks jenayah berada pada 60.36 (tangga ke-78), sebanding dengan Ghaziabad, India (60.66).

4. Birmingham, UK

Mungkin tidak ramai tahu. Birmingham adalah bandar kelahiran Cadbury. Ia juga bandar kedua terbesar di UK selepas London. Namun masa sama, Birmingham merupakan bandar berbahaya di England. Bahkan, paling berbahaya di West Midlands.

Kadar jenayahnya pada 2021 adalah 50 per 1,000 orang (sumber lain sebut 205). Tahun itu, berlaku 642 kes rompakan dan 28,513 kes serangan seksual. Kalau lihat portal beritanya pula, memang berlambak kes menembak.

Contohnya pada 9 April lalu, seorang lelaki menembak mati ibu sendiri sambil mencederakan dua yang lain ketika dikejar polis. Dua hari kemudian, ada pula kes seorang samseng melepaskan tiga tembakan ketika bergaduh tentang jual-beli dadah.

Begitu juga pada Februari lepas, lelaki berusia 44 tahun menembak mati seorang lelaki dan mencederakan dua wanita ketika bergaduh di premis Kelab Motorsikal. Kemudian pada Jun 2021, lima wanita ditangkap kerana menembak mati dua lelaki semasa berparti. Dan… banyak lagi kes sebegini.

Berbeza dengan bandar-bandar lain dalam senarai, jenayah serangan di sini majoritinya bukan didalangi kumpulan samseng. Kalau ada serangan besar pun, ia berlaku lama dulu. Iaitu pada 1974, saat sebuah pub dibom sehingga mencederakan 220 orang.

Imej pub yang dibom pada 1974 (Kredit)

Seperti dinyatakan di atas, serangan seksual di Birmingham agak banyak. Cukup tiga contoh saja diberikan di sini. Pertama pada Mac lalu, di mana seorang wanita hampir diperkosa semasa menghadiri sesi temu duga. Kemudian pada September 2021, empat lelaki merogol seorang wanita di luar premis kelab malam sampai lesen perniagaan kelab itu ditarik. Dan paling durjana… pada April 2019, lelaki berusia 28 tahun meratahi kanak-kanak 5 tahun sampai meninggalkan luka teruk yang perlu dibedah.

Semua jenayah ini membuatkan Birmingham dilihat berbahaya. Sampai Numbeo menamakannya sebagai bandar ketiga berbahaya di UK, dengan nilai indeks jenayah 61.53 (tangga ke-69), sebanding dengan Dar es Salaam, Tanzania (60.80).

3. Marseille, Perancis

Pelampau agama dan samseng. Dua perkara ini membarahi teruk bandar pelabuhan Marseille. Tambah pula dengan faktor kemiskinan, memang mengundang habislah ke arah jenayah. Bayangkan, separuh penduduk Félix Pyat hidup dalam kefakiran (€989 sebulan; sedangkan kos hidup keluarga empat beranak di sana adalah €2,939).

Salah satu jalan keluar termudah adalah dengan menyertai kartel dadah. Sebab itu, bukan hal asing untuk anak muda buat kerja-kerja kotor di sana. Yang menjadi mangsa pun anak muda. Pada 2018, ada 23 kematian berkait-samseng. Angka itu melonjak kepada 28 pada 2019. Sebelum menurun jadi 15 pada 2021.

Antara kes terkini melibatkan Rayanne, remaja 14 tahun yang ditembak mati di jalan Les Marroniers. Dua budak lain turut tercedera. Masing-masing berumur 14 dan 8 tahun. Ada yang berspekulasi kematian ini berkait kartel dadah. Betul tidak, tiada jawapan.

Tapi realiti begitu memang berlaku. Misalnya terhadap keluarga Fatima (bukan nama sebenar). Dalam setahun (2009-2010), dia kehilangan anak dan suami gara-gara menjadi sasaran kartel dadah. Mereka berdua sendiri adalah pengedar dadah. Si suami ditembak dalam kereta sampai tinggal kepala saja. Yang lain habis hancur lebur.

Kita di sini mahu dengar berita along tembak mati orang di tengah awam pun jarang. Apatahlagi serangan bermotifkan agama dan politik. Pada 2019, jumlah insiden anti-Semitik berkait-Israel (Yahudi) di Perancis adalah 191 (berbanding 121 pada tahun sebelumnya).

Ingin baca mengenai sejarah Islam di India? Beli buku terbaru The Patriots, Mughal: Mutiara Islam Di India di: http://bit.ly/PraTempahMughal

Di Marseille sahaja, berlaku banyak kes berkait pelampau agama. Contohnya pada Mac 2021, seorang lelaki bersenjatakan pisau cuba memasuki sekolah Yahudi dan pasaraya Kosher dengan niat menyerang. Ini menyerupai kes sama tahun 2015, di mana seorang guru di sekolah Yahudi ditikam hingga mati oleh tiga lelaki.

April 2017 pula, polis memberkas dua lelaki yang merancang serangan bersenjata beberapa hari sebelum pilihan raya diadakan. Ini membuatkan Marseille dimasalahi empat perkara; pelampau agama, kartel dadah, radikal politik, dan penjenayah.

Sekali gus, bandar itu dianggap paling berbahaya di Perancis. Sehingga diberi nilai indeks jenayah 61.65 (tangga ke-68), sebanding dengan Tripoli, Libya (62.22).

2. Coventy, UK

Coventy mungkin kurang dikenali. Ia berjarak 136 km dari London, arah barat laut. Ikutkan, tiada apa yang menarik sangat pun tentangnya, hatta dari segi pelancongan. Namun dalam senarai ini, ada dua perkara menggamit tentang Coventy.

Pertama, kadar jenayah bandar ini sebenarnya menurun hampir 50% dalam dua tahun kebelakangan. Tahun 2020, jumlah jenayahnya adalah 29,615. Tahun 2021, ia menurun jadi 15,258. Kalau ikut Crimerate, jenayah utama di Coventy adalah keganasan dan serangan seksual (7,305 kes pada 2021). Memang baca portal berita pun, dua itu antara yang kerap diliputkan.

Kedua, jenayah di Coventy banyak melibatkan remaja. Memang agak berfalasi goalpost kalau terus buat kesimpulan begitu. Data dan statistik pun tiada untuk menjadi sandaran. Tetapi berbanding bandar lain, hasil carian tentang kes jenayah terkini di Coventy seakan menuding kepada kesimpulan itu.

Contoh: April 2021, 4 remaja ditangkap kerana melakukan 40 rompakan termasuk sejumlah kereta yang bernilai $700,000. Oktober 2021, remaja 19 tahun menembak mati samseng dari kumpulan lawan dan pernah melakukan hal serupa terhadap remaja lain berusia 15 tahun.

Siasatan ke atas kejadian tembak mati terhadap remaja 15 tahun di Coventy City Centre pada 2019 (Kredit)

Julai 2021 pula, remaja yang juga berusia 19 tahun ditahan kerana membuat ancaman palsu mahu mengebom kawasan parkir di sebuah pusat membeli belah. Kemudian pada Mac lalu, ada dua kes rogol membabitkan pelaku berusia 19 dan 14 tahun.

Memang tidak nafi ramai saja penjenayah lebih dewasa. Itu pun yang menyumbang kepada angka jenayah tinggi di Coventy. Sampai ia berada pada tangga ke-28 dengan nilai indeks jenayah 69.45, sebanding dengan Lima, Peru (70.17) dan Sao Paulo, Brazil (70.20).

1.Bradford, UK (70.76, Tangga Ke-22)

Bradford pada kurun ke-18 dan 19 adalah perintis revolusi industri. Sampai menjadi salah satu bandar terkaya di Eropah. Namun kini, ia bandar paling berbahaya di benua itu – jika menurut Indeks Jenayah Numbeo.

Dalam setahun, 536,000 orang penduduknya melalui 37,100 jenayah. Andai dipecahkan, ia merangkumi 1,724 kes rompak, 2,448 kes kecurian kereta, 4,888 kes kerosakan dan kebakaran bangunan, dan 22,870 kes serangan fizikal dan seksual.

Seriusnya kadar jenayah di situ sampaikan kerajaan memperuntukkan setengah juta pound sterling khusus untuk membimbing remaja dari terjebak dalam kancah jenayah. Ini belum kira dana-dana pemulihan lain, seperti membangunkan sosioekonomi Bradford yang miskin. Ikut data, 30% dari mereka hidup dalam kefakiran.

Sampaikan, ia disebandingkan dengan bandar-bandar mundur dunia seperti Tijuana (Mexico), San Salvador (El Salvador), dan Bloemfontein (Afrika Selatan).

RUJUKAN

Borba, Levi. (2022, 9 February). The 10 Most Dangerous Cities in Europe in 2022. Medium.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply