Dalam filem Ocean’s Twelve, Rusty (Brad Pitt) mencadangkan kepada krew rompakan agar menaikkan bangunan sasaran mereka di Amsterdam sebelum rompakan dilakukan. Apabila ada membantah dan menganggapnya sebagai mustahil, Reuben (Elliot Gould) mengingatkan mereka tentang Menara Condong Pisa. Menara ini menjadi simbol kejuruteraan manusia yang dianggap mustahil tetapi apakah ia akan runtuh?

Persoalan ini menghantui para pembinanya sejak proses pembinaan bermula pada 1173. Menara yang dibina dalam kawasan Piazza del Duomo atau Dataran Katedral itu sudah menunjukkan kecenderungannya untuk condong ke arah selatan. Pelakunya diketahui mereka: pergerakan tanah lembut di bawah asas menara berkenaan yang terhasil akibat paras muka air tanah yang tinggi.

Lantas, sebarang perancangan untuk menjadikan ia sebagai menara loceng untuk Katedral Pisa ini perlu disemak segera bagi menjadikan ia satu realiti. Ini mendorong para pembinanya membina setiap tingkat menara mengikut sudut darjah tertentu bagi mengurangkan kecondongannya. Malangnya, apa yang diharap tidak berlaku dan menjadikan ia lebih condong.

Justeru, jika para pembaca perasan, kecondongannya sedikit mirip bentuk pisang. Keadaan ini juga tidak dibantu dengan proses pembinaan dihentikan seketika berikutan konflik bersenjata di Eropah dalam tempoh 200 tahun pembinaannya. Ini termasuk Perang Venice-Byzantine pada 1177 dan Perang Venice-Genoa.

Pemandangan udara Piazza Del Duomo termasuk Menara Condong Pisa.

Menjelang tahun 1370, barulah Menara Condong Pisa siap dibina dengan darjah kecondongan 1.6 darjah. Ia ibarat silinder kosong yang mencapai ketinggian 60 meter. Struktur menaranya yang terdiri daripada serpihan batu dan mortar disokong oleh batu marmar, kekubah dan tiang-tiang.

Disebabkan bentuknya yang aneh, ia menjadi bualan orang ramai termasuk warga asing selama beratus-ratus tahun. Ia hampir saja menjadi runtuhan semasa Perang Dunia Kedua (WWII) jika tidak kerana tindakan seorang sarjan tentera Amerika Syarikat bernama Leon Weckstein.

Ingin baca bagaimana Jepun cuba menjajah China dan Korea pada waktu silam? Beli buku terbaru The Patriots Kitab Tamadun Jepun di: http://bit.ly/KitabTamadunJepun

Semasa WWII memasuki fasa-fasa terakhir, rejim Jerman dikatakan menggunakan Menara Condong Pisa sebagai pusat peninjauan pergerakan tentera. Lantas, tentera Bersekutu mahu menghapuskan kelebihan itu dengan memusnahkan monumen bersejarah Itali itu menerusi artileri. Tetapi sebaik Weckstein melihat keindahan Menara Condong Pisa, dia mengarahkan serangan tersebut dihentikan serta-merta.

Tetapi menara ini berdepan masalah besar apabila kecondongannya mencapai 5.5 darjah. Justeru, pada tahun 1990, kerajaan Itali mengupah sekumpulan pakar untuk mengurangkan kecondongan menara tanpa menghapuskan keunikannya sebagai tarikan pelancong utama Itali.

Pada awalnya, mereka meletakkan 600 tan plumbum pada asas tapak menara pada 1993 tetapi ia tidak berhasil. Cubaan menambah 200 tan plumbum lagi di sebelah utara dan mengikat kedudukannya dengan sauh darat juga tidak berhasil. Hal ini merungsingkan mereka seolah-olah si menara mencabar pakar-pakar ini agar menghentikan kecondongannya itu.

Contoh pemberat yang diletakkan di Menara Condong Pisa pada 1998. Ia diharap dapat mengurangkan kecondongan menara tetapi tidak berhasil.

Pada akhirnya, mereka mencadangkan kaedah ekskavasi bawah tanah sebagai kaedah terbaik menstabilkan semula menara. Caranya ialah dengan mengeluarkan tanah melalui gerudi dan tiub-tiub panjang di tapak di sebelah utara. Hasilnya, kecondongan Menara Condong Pisa berjaya dikurangkan sebanyak 10%.

Buat masa ini, Menara Condong Pisa masih lagi berdiri kukuh dan menjadi tatapan para pelancong. Ia didorong oleh beberapa faktor iaitu pertama, gangguan tempoh pembinaan memberi masa kepada tapak menara menyesuaikan diri dengan pergerakan tanah. Ini sekaligus membantu mengukuhkan kedudukan bangunan sehingga seksyen baru menara ditambah.

Kedua, tapak Menara Condong Pisa lebih tebal daripada bahagian atas menara. Ini menjadikan pusat graviti menara lebih rendah sekaligus membantunya kekal stabil.

Asas tapak Menara Condong Pisa yang lebih tebal menjadikan pusat gravitinya lebih rendah. Ini sekaligus menjadikan menara itu lebih stabil.

Pergerakan tanah lembut juga turut menjelaskan bagaimana Menara Condong Pisa dapat bertahan daripada gempa bumi yang berlaku di rantau berkenaan. Ini membantunya mengalami tempoh getaran yang lebih panjang tetapi tidak sampai ke tahap menjejaskan menara. Dapatan ini dibuat oleh sekumpulan pakar diketuai Gabrielle Florentino pada 2019 dan diterbitkan dalam jurnal Earthquake Spectra.

Bagi Felo Penyelidik Jabatan Kejuruteraan Awam Universiti Bristol itu, kejayaan pasukan pakar menstabilkan Menara Condong Pisa buat masa ini tidak bermakna solusi mereka bersifat kekal. Ini kerana ia boleh saja kembali pada kecondongan 5.5 darjah dalam tempoh 300 tahun. Justeru, pemerhatian saintifik perlu ditingkatkan pada menara terutama dari segi kecondongan dan paras muka air tanah.

Ingin baca mengenai sejarah Islam di India? Beli buku terbaru The Patriots, Mughal: Mutiara Islam Di India di: http://bit.ly/PraTempahMughal

Pada masa sama, Florentino melihat ia ibarat manifestasi orang Itali yang mahu mengikut jejak langkah pembina era Rom. Pembina Rom membina monumen seperti Colosseum dengan harapan ia akan terus bertahan sehingga hari ini. Dan itu yang cuba dicapai dengan menstabilkan Menara Condong Pisa agar menjadi tatapan generasi mendatang.

RUJUKAN

J. Miller, B. (2022, 19 April). Is the Leaning Tower of Pisa really falling over?. Live Science.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply