Di kawasan kejiranan Hadayek al-Maadi di timur Kaherah, akan kedengaran suara seorang wanita mengejutkan isi rumah kawasan berkenaan sambil bermain tabla sambil mengejutkan kediamannya bangkit sahur. Bagi Dalal Abdel Kader, peranannya sebagai mesaharati membantu komuniti Muslim menikmati sahur sebelum berpuasa pada siang hari Ramadan.
Dia akan berjalan di jalanan yang telah dihias dengan pelbagai lampu hiasan sempena kehadiran Ramadan. Tetapi sayangnya, bilangan mesaharati semakin berkurangan terutama dengan penciptaan jam loceng. Lagi jarang melihat kelibat mesaharati wanita seperti Dalal.
Di sebalik tradisi yang semakin dihakis oleh perubahan masa, Dalal tetap mahu melakukannya. Ini kerana berbeza dengan jam loceng, mesaharati mengingatkan orang ramai tentang kemuliaan bulan Ramadan – satu hakikat yang disukai penduduk tempatan.
Mungkin ada menganggap usaha Dalal ini berisiko atas faktor keselamatan. Tetapi itu tidak menjadi isu kepadanya kerana sudah biasa berjalan di situ baik sebelum, semasa dan selepas bulan Ramadan. Kadang-kadang perjalanannya itu disambut oleh sorakan penduduk terutama kanak-kanak di setiap ceruk kejiranan. Kerjanya sebagai mesaharati bermula pada 12 tengah malam dan berakhir sebelum Subuh.
Wanita ini memainkan peranan sebagai mesaharati menggantikan Allahyarham abangnya, Ahmed yang meninggal dunia pada 2011. Sebelum ini, peranan tersebut turut digalas oleh Allahyarham bapanya semasa mereka masih kecil. Dengan menggalas peranan mesaharati, ia ibarat mengenang semua kenangan bersama mereka.
Peranan mesaharati berbeza mengikut keupayaan fizikal bapa dan abang Dalal. Dalam kes bapanya, dia akan menggunakan tongkat untuk mengetuk pintu setiap rumah dan mengingatkan mereka untuk mengambil sahur.
Bagi abang Dalal, Ahmed pula, Allah mengurniakan suara yang indah kepadanya. Sebelum menjadi mesaharati, dia pernah menjadi penyanyi untuk majlis sosial termasuk perkahwinan. Di sebalik kelainan upayanya (kedua-dua kaki Ahmed kudung), itu bukan satu penghalang buatnya.
Apabila seorang rakan mendengar suaranya, dia mencadangkan kepada Ahmed agar menjadi mesaharati. Berbekalkan basikal tangan yang dihias indah dan pakaian yang cantik, dia akan berkayuh ke kawasan kejiranan sambil menyanyi dan memanggil orang ramai untuk sahur sepanjang Ramadan. Kadang-kadang, Ahmed ditemani oleh Dalal dengan suara kedua-duanya berkumandang di setiap kawasan kejiranan.
Tetapi sebulan sebelum Ramadan 2011, dia meninggal dunia akibat hidrosefalus. Dalal merasakan Ramadan tahun itu sebagai Ramadan yang gelap bagi mereka sekeluarga. Tetapi setahun selepas itu, dia seolah-olah didorong oleh mengambil tabla dan meneruskan kerja mesaharati yang pernah dijalankan bapanya dan Ahmed. Dalal tahu dengan meneruskan kerja mesaharati, ia merupakan satu penghormatan dan mengimbau kenangan dengan mereka.
Namun begitu, tugas sebagai mesaharati amat mencabar dari segi fizikal. Sudahlah bekerja di siang hari, kemudian perlu menyediakan juadah berbuka puasa sebelum kembali keluar pada tengah malam untuk mesaharati. Rutin sebegini sememangnya memenatkan Dalal dan kadang-kadang mengundang rasa kasihan dua anaknya, Shaima dan Mahmoud.
Justeru, bagi meringankan bebannya, Shaima akan memastikan semua kerja rumah telah disiapkan selain menyediakan herba dan teh sebagai minuman untuk ibu mereka. Sementara Mahmoud kadang-kadang mengangkat tabla lebih-lebih lagi sekiranya Dalal merasa penat.
Ada ketikanya, dia kadang-kadang menerima komen negatif daripada sesetengah penduduk berkenaan tugas mesaharatinya. Tetapi Dalal melihat tugasnya itu sebagai manifestasi ibadat kepada Tuhan Yang Esa. Dengan wang yang diterima sebagai tip sekitar 100 paun Mesir (RM23.00) sehari, ia dapat digunakan bagi menyara sembilan anak Ahmed.
Bila ditanya sama ada mereka berminat atau tidak meneruskan kerja mesaharati, Shaima bersedia untuk menggalasnya. Malah, dia merasa bangga merupakan anak kepada seorang mesaharati seperti ibunya.
RUJUKAN
Abaza, J. (2018, 11 Jun). Meet Cairo’s mesaharati: The spirit of Ramadan beats to a woman’s drums. Middle East Eye.
Sumber gambar: Mohamed El Raai/Middle East Eye
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih