Zaman Kesultanan Melayu Melaka sinonim dengan era gemilang dan disifatkan begitu pesat, baik dalam catatan China, Belanda mahupun catatan Melayu, iaitu Sulalatus Salatin. Sultan yang memerintah Melaka pula sering dijulang dengan sifat-sifat terpuji, seperti adil, paras yang tiada tolok bandingnya dan warak. Sultan Mansur Syah contoh terbaik yang telah memakmurkan Melaka dengan menjalin hubungan diplomatik yang harmoni dengan kerajaan Majapahit dan China, dua kuasa besar yang menunjangi zaman itu. Namun begitu, pernahkah kita menyelak tabir yang menutupi sejarah Melayu yang gilang-gemilang itu? Pernahkah kita menyelami belah Kesultanan Melayu Melaka yang gelap?

Manusia memang tidak pernah sempurna dan tidak dapat lari daripada pelakuan kesilapan. Di balik kemakmuran nama Sultan Mahmud Syah, cucu Sultan Mansur Syah, terselindunglah kecuaian-kecuaian yang biasa dilakukan oleh seseorang manusia atas nafsu yang tidak diimbangkan dengan akal pada masa itu. Kelalaian-kelalaian Sultan Mahmud Syah dalam pentadbiran akan dibincangkan di sini untuk dijadikan iktibar supaya kesilapan masa lalu tidak berulang lagi.

Kejamkah ayah yang membunuh anak sendiri? Nescaya tidak berhati perutlah orang yang sanggup mengerat darah daging sendiri! Namun demikian, Sultan Mahmud Syah sanggup memutuskan nyawa putera baginda, Sultan Ahmad Syah. Namun begitu, baginda bukan membunuh anak atas nama kelaliman tetapi kerana keanehan tabiat anaknya. Berteraskan cerita Sulalatus Salatin, pada waktu bertakhta Sultan Ahmad Syah, Sultan Ahmad Syah tidak suka mendengar nasihat pembesar-pembesar yang tua malah melalaikan mereka. Baginda hanya suka bergaul dan bermesra-mesraan dengan orang-orang muda (A. Samad Ahmad, 2015:271) . Pemuda-pemuda yang dikasihi Sultan Ahmad Syah terlalu banyak,  iaitu Tun Ali Hati, Tun Mai Ulat Bulu, Tun Muhammad Rahang, Tun Muhammad Unta, Tun Ali Berudu, Tun Ali Kenyal…jumlah kesayangannya 14 orang pemuda, 30 orang hamba raja (A. Samad Ahmad, 2015:265). Pelanggaran tabii kelelakian yang fitrahnya jatuh hati kepada perempuan mengakibatkan bahawa Sultan Mahmud Syah “tiada berkenan pada baginda akan afal anakanda baginda itu membuangkan akmal raja-raja”, iaitu mencemarkan kebijaksanaan dan maruah raja. Sesetengah sejarawan mentafsirkan perangai Sultan Ahmad Syah sebagai kesukaan kepada jantina yang sama tetapi sesetengah sejarawan pula berpendapat bahawa Sultan Ahmad Syah hanya degil tidak hendak menurut perintah pembesar yang lebih tua daripadanya. Iktibar yang dapat kita peroleh di sini menurut pertimbangan akal orang sekarang bahawa kita harus menerima kekurangan anak kandung sendiri dan berusaha menasihatkan supaya dia mengubah kekurangannya. Cela itu tidak begitu serius sehingga Sultan Ahmad Syah terpaksa dibunuh untuk Sultan Mahmud Syah menghilangkan perilaku yang mencolok mata itu. Sehodoh mana pun anak kita, dia masih anak kita.

Sultan Mahmud Syah mempunyai seorang saudara yang sangat kacak yang bernama Raja Zainal. Raja Zainal terlalu tampan bahkan Sultan Mahmud Syah tidak mendapat sambutan sehangat sambutan terhadap saudaranya itu daripada rakyat jelata. Kekacakan Raja Zainal disifatkan berlebih-lebihan dalam Sulalatus Salatin, seperti yang berikut: “Maka segala anak bini orang dan segala anak dara-dara yang taruhan, sekaliannya beterpaan hendak melihat Raja Zainal; ada yang menengok dari balik pintu, ada yang menengok dari kisi-kisi, ada yang menengok dari tingkap, ada yang menengok dengan menyingkap atap, ada yang memesukkan dinding, ada yang memanjat pagar (A. Samad Ahmad, 2015:235).” Sangat amat tampanlah Raja Zainal sehingga anak dara sanggup membalikkan rumah untuk menatap seri wajahnya. Kerana ketampanannya, Raja Zainal sombong, menggunakan kesempatan ini untuk mengambil apa-apa jualan yang disumbangkan rela oleh rakyat dan barang jualan yang tidak berkenan padanya, dia memberikan barang tersebut kepada pengikut-pengikutnya. Dengan menggunakan alasan bahawa Raja Zainal mencuri harta rakyat, Sultan Mahmud Syah menyuruh Hang Berkat membunuh Raja Zainal. Pada kala malam yang sunyi, sewaktu semua orang sudah dibuai mimpi, Hang Berkat menyusup ke dalam rumah Raja Zainal lalu menikam dadanya sehingga Raja Zainal melambung-lambung diri, bagai ayam yang disembelih (A. Samad Ahmad, 2015:236). Selepas itu, Sultan Mahmud Syah dan Hang Berkat berpakat melakonkan sandiwara tipu daya pula. Ketika mendengar kehebohan orang yang melaungkan bahawa Raja Zainal sudah mati dibunuh orang, Sultan Mahmud Syah berpura-pura keluar dari biliknya ke singgahsana lalu menyuruh Hang Berkat menyiasat peristiwa ini tetapi selepas lakonan ini tamat, Sultan Mahmud Syah mengakui Hang Berkat sebagai saudara pula, mengurniakan gelar “Sang Sura” kepadanya. Daripada kisah ini, kita menyaksikan bahawa kecemburuan dapat membinatangkan seseorang yang alim dan adil. Oleh itu, kita patut menjauhi kecemburuan dan yakin akan kebolehan sendiri serta berusaha mengasah bakat sendiri; melakukan apa-apa atas usaha sendiri, seperti suruhan Za’ba: bergantung pada kebolehan sendiri dan rajin menyiasat kebenaran, jangan bertaklid buta.

Seseorang pahlawan yang perkasa dapat menggagahkan hati kepada apa-apa ancaman sahaja namun terpaksa kalah di bawah kaki perempuan. Hal ini dikatakan demikian kerana biarpun taktik perang itu tangkas, tepat dan gagah, hati yang berdenyutkan keberahian tetap melemahkan sendi tulang yang perkasa. Sultan Mahmud Syah, sultan Melaka kalah kepada nafsu keberahian terhadap isteri pembesarnya, Tuan Biajid. Sementara Tuan Biajid ke Merka, kawasan pegangannya untuk mentadbirkan kawasan itu, Sultan Mahmud Syah mencerobohi rumah Tuan Biajid untuk menemui cahaya mata yang mencintakannya siang dan malam lalu bersuka-sukaan dengannya semalaman (A. Samad Ahmad, 2015:193). Ketika Tuan Biajid pulang dari Merka dan mendapati bahawa rumahnya terang-terangan pada waktu malam, dia tahu bahawa Sultan Mahmud Syah sedang bercumbu-cumbuan dengan isterinya. Nafsu amarah membakar hatinya yang setia tetapi kewarasan masih mengekang dia memesongkan kesetiaannya terhadap sultan. Maka Tuan Biajid tidak membunuh Sultan Mahmud Syah kerana nafsu berangnya yang membakarnya buta-buta, namun hanya menimang-nimang lembing di tangan di ambang pengamukan sambil mengherdik sultan: “Beginikah layanan tuan sedang patih sayang kepada tuan? Kalau tuan hamba bukan tuanku, pastilah lembing ini kuterbangkan ke dadamu.” Hamba pengiring baginda hendak mengamuk tetapi ditenangkan oleh baginda. Sultan Mahmud Syah pula berlapang hati mengampuni Tuan Biajid kerana menyedari keterlanjurannya. Nyata dalam ceritalah bahawa kita kadangkala akan disesatkan oleh nafsu sehingga terpaksa menghadapi akibat yang tidak pernah kita pertimbangkan sebelum melakukan kemudaratan itu. Kelalaian Sultan Mahmud Syah ini mengingatkan kita agar kita mempertimbangkan kesan baik buruk sesuatu perbuatan dahulu kerana Hamka (2017:60) menyatakan bahawa nafsu itu keindahan pada mulanya tetapi pintu penderitaan sebaliknya akal kesengsaraan sedikit pada mulanya tetapi pintu kebahagiaan abadi.

Ketika berasa bahawa darjatnya yang tersangat mulia itu terancam, seseorang raja pasti hendak memutuskan dalang di balik tabir supaya takhtanya terpelihara. Namun demikian, putusan yang ditentukan tanpa usul periksa pasti menghumban sultan ke gedung kesesalan. Kelalaian pembunuhan tanpa usul periksa ini dapat dikaitkan dengan cerita Sultan Mahmud Syah. Menurut A. Samad Ahmad (2015:255) pada suatu hari, terdapat dua saudagar Melaka yang teramat kaya di Melaka, Nina Sura Dewana dan Raja Mendaliar. Pada suatu hari, Nina Sura Dewana mendakwa Raja Mendaliar ke mahkamah kerana masalah harta. Sekembali ke kediaman, permainan kesyakan hati membuat bahawa Nina Sura Dewana memikirkan bahawa Raja Mendaliar mungkin akan merasuahi Bendahara Tun Mutahir untuk berpakat Bendahara Tun Mutahir bagi menjatuhkan hukum pembunuhan kepadanya. Oleh itu, Nina Sura Dewana bertindak lebih awal dengan mendatangi Bendahara Tun Mutahir pada malam itu juga lalu berbaik-baik dengan Bendahara dengan memberikan sekati emas kepadanya. Tun Mutahir pula tidak meragui niat Nina Sura Dewana, menganggap berian itu sebagai hadiah.

Pada pihak Raja Mendaliar pula, terdapat seorang India yang bernama Kitul. Kitul berhutang kepada Raja Mendaliar. Untuk melangsaikan hutangnya yang banyak, Kitul yang licik menggunakan helah. Kepada Raja Mendaliar, Kitul memfitnah bahawa Bendahara Tun Mutahir hendak memberontak dengan menggulingkan kerajaan Sultan Mahmud Syah kerana telah mengumpulkan harta (emas Nina Sura Dewana) sebagai persediaan menaiki takhta. Sebagai akibat, kemurkaan memenuhi kalbu sultan, meruntuhkan neraca kewarasan, mendorong sultan menurunkan perintah membunuh Tun Mutahir. Setelah Sultan Mahmud Syah memeriksa peristiwa sebenarnya, malah memaklumi wasiat bahawa sebelum mati, Tun Mutahir nekad menyerahkan hartanya kepada sultan sebagai tanda bakti (A. Samad Ahmad, 2015:258), kesesalan yang bertamu dan menggenangi hati nurani sudah tidak dapat memutar sejarah kembali lagi. Sultan Mahmud Syah sudah kehilangan seorang Bendahara yang bijaksana. Daripada riwayat ini, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa sebelum melakukan sesuatu, kita tidak harus hanya mendengar perkataan orang lain sebagai putusan muktamad sebaliknya kita harus menyiasat kebenaran hal itu, barulah kita bertindak.

Setiap manusia ada cacat cela; hanya Allahlah yang sempurna. Sultan Mahmud Syah, walaupun menduduki hierarki masyarakat yang tertinggi, menjadi khalifah Allah, baginda masih tidak lepas daripada kecuaian sebagai akibat daripada hasutan nafsu yang mengatasi timbangan akalnya. Kecuaian-kecuaian Sultan Mahmud Syah telah menjadi tikar hamparan sejarah yang mengelakkan kita terjunam ke kawah kesalahan hina yang sama. Karangan ini bukan bertujuan memburuk-burukkan keagungan Sultan Mahmud Syah tetapi menyarankan agar kita mengambil iktibar daripada beberapa kecuaian baginda lalu memperbaik budi kita supaya sejarah benar-benar bernilai sebagai cermin masa kini.

Rujukan

A. Samad Ahmad. (2015). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu edisi pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Hamka. (2017). Falsafah hidup. Kuala Lumpur: PTS Publishing House.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pui Wen Hang guru pelatih IPG Kampus Bahasa Melayu. Dia meminati tatabahasa Melayu dan mengkaji Tatabahasa Dewan untuk mengukuhkan asas bahasanya sejak sekolah menengah lagi. Sejak melanjutkan pengajian ke peringkat IPG, Wen Hang bermula menceburi kesusasteraan dan menulis beberapa sajak, cerpen dan rencana. Wen Hang berpegang teguh pada kepercayaan bahawa, dengan menerapkan tatabahasa dalam sastera, di samping mengadunkan pelbagai gaya bahasa, seseorang pengarang mampu melahirkan bahasa yang kemas, indah dan bertaraf bahasa bertamadun.

Comments are closed.