Tepat 1 April 2022, Tambak Johor yang sepi selama dua tahun akibat wabak Covid-19, kini meriah semula dengan deruan motokar dan ribuan manusia. Setelah dua tahun menunggu, walaupun rumah mereka hanya sekadar di seberang tambak, namun rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang kerana sempadan kedua-dua negara ditutup apabila Covid-19 melanda.
Tambak Johor menjadi laluan penting buat Singapura dan Malaysia, khususnya penduduk Johor Bahru dan sekitar. Dianggarkan, setiap hari 340,000 orang menggunakan tambak ini dari kedua-dua arah dan menjadikan tambak ini sebagai salah sebuah sempadan darat antarabangsa yang tersibuk di dunia.
Tambak ini sudah wujud sejak zaman pendudukan British di Tanah Melayu ini dan tambak ini amat penting terhadap ekonomi British di Tanah Melayu pada ketika itu. Hasil mahsul Tanah Melayu seperti timah, gambir dan sumber alam lain kebanyakannya akan dibawa ke Singapura melalui tambak Johor ini untuk dieksport ke luar negara.
Sebelum kewujudan tambak ini, penduduk dari kedua-dua belah tempat akan menggunakan perkhidmatan feri yang berpusat di Sungai Segget. Bermula suku ketiga abad ke 19, Syarikat Perkhidmatan Feri Sungai Segget bertangunggjawab untuk menguruskan Pelabuhan Sungai Segget. Kemuncak aktiviti ini terjadi pada tahun 1923 apabila sebanyak 11 ribu pelayaran diadakan dari kedua-dua belah tempat dalam jangka masa sehari.
Oleh itu, pihak British merancang untuk mengurangkan kesesakan di pelabuhan dengan membina sebuah tambak diantara Johor Bahru dan Woodlands. Bermula Ogos 1919, pembinaan tambak mula berjalan. Segala bahan diambil dari kuari Pulau Ubin yang dibuka semula dan juga dari kuari Bukit Timah.
Pada April 1920, upacara perasmian tambak diadakan dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Laurencce Guillemard. Upacara doa selamat dan tolak bala turut diadakan Sultan Johor dan Mufti Johor berkenan untuk melakukan upacara menepung tawar dan tolak bala. Pada peringkat awal, projek tambak ini menerima kritikan dari orang awam kerana dianggap sebagai membazir memandangkan keadaan ekonomi dunia tidak berapa baik pada ketika itu.
Pembinaan tambak Johor akhirnya siap pada 11 Jun 1924 dan upacara pembukaan diadakan pada 28 Jun 1924. Upacara itu turut dihadiri oleh gabenor-gabenor, sultan-sultan dan para pembesar yang lain. Setahun kemudian, Jawatankuasa Kawalan Tambak Johor diwujudkan untuk mengawal selia pentadbiran tambak Johor.
Ketika Perang Dunia Kedua, untuk melambatkan kemaraan Tentera Jepun, pihak British telah mengebom Tambak Johor. Namun, usaha itu hanya sia-sia, pihak Jepun kemudian membina semula tambak tersebut dalam tempoh yang singkat. Selepas perang tamat, British telah menggantikan struktur tambak dengan bahan yang baru buatan Bailey.
Ketika zaman darurat, pihak British telah memperketatkan pintu keluar masuk tambak untuk mengekang ancaman komunis. Pada tahun 1949, sebanyak 27 ribu buah lori telah menggunakan tambak setiap bulan. Dalam tempoh sepuluh tahun, 30 000 orang dan 7000 buah kenderaan dianggarkan menggunakan tambak setiap hari.
Setelah kemerdekaan Tanah Melayu, terdapat cadangan agar sebuah pusat imigresen kastam diwujudkan. Namun, kerajaan memutuskan untuk mengetatkan penggunaan tambak dengan memeriksa kad pengenalan masing-masing sahaja. Setelah pemisahan Singapura dari Malaysia, kawalan imigresen diwujudkan di kedua-dua belah tempat dan menjadikan tambak Johor ini sebagai sempadan antarabangsa.
Sejak 90an, terdapat beberapa cadangan dari sebilangan ahli politik agar tambak Johor dirobohkan. Kerajaan Malaysia kemudian bercadang untuk membina sebuah jambatan bagi menggantikan tambak ini. Walaubagaimanapun, kerajaan Singapura telah menghantar nota diplomatik dengan menegaskan bahawa tambah Johor tidak akan dirobohkan. Pada tahun 1998, laluan Linkedua diantara Tanjung Kupang dan Tuas telah dibuka untuk mengurangkan kadar trafik di Tambak Johor.
Sejak hari itu, aktiviti di sempadan ini terus rancak sehinggalah pandemik Covid-19 melanda dunia. Kini, aktiviti seberang tambak meriah semula seperti tahun-tahun sebelum Covid sehingga membolehkan rakyat Malaysia untuk melancong di Singapura dan begitu juga sebaliknya. Mungkin, jika tiada tambak ini, rakyat seberang tambak mungkin tak dapat mengisi minyak subsidi di negara kita.
RUJUKAN:
A historic link – the story behind the famous Johor Causeway | new … (n.d.). Retrieved April 10, 2022, from https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2018/10/425736/historic-link-%E2%80%93-story-behind-famous-johor-causeway
Singapore-Johor Causeway Opens – Singapore history. (n.d.). Retrieved April 10, 2022, from https://eresources.nlb.gov.sg/history/events/4aee3cb2-e472-4fa6-987a-2aeedf0d101f
Aussie Pete. (1970, January 1). Johor-Singapore Causeway – History and Information. Aussie Pete. Retrieved April 10, 2022, from https://www.aussiepete.com/2008/05/johor-singapore-causeway-history-and.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih