Tunku Abdul Rahman merupakan anakanda Sultan Kedah ke 26, Paduka Sri Sultan Sir Abdul Hamid Halim Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang memerintah Kedah dari 1886 hingga 1943.
Beberapa ketika sebelum Perang Dunia Kedua tercetus, Tunku telah dilantik sebagai sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Kecemasan Dan Amaran Selatan Kedah. Di Kulim, Tunku telah mengarahkan untuk membina siren di seluruh pelusuk daerah dan membina rumah-rumah perlindungan. Tunku membiayai semua pembinaan ini setelah kerajaan enggan untuk meluluskan bajet yang dikemukakan oleh Tunku.
Pada awal pagi 8 Disember 1941, Tunku telah mendapat panggilan telefon dari rakannya di Sungai Petani. Rakannya itu memberitahu bahawa padang terbang Sungai Petani telah dibom oleh Tentera Jepun. Tunku kemudian bergegas ke pejabatnya dan mengarahkan staf beliau untuk membunyikan siren kecemasan. Pada malam itu, Tunku dimaklumkan oleh Syed Omar, abang mentuanya bahawa ayahandanya, Sultan Abdul Hamid akan dibawa ke Pulau Pinang sebelum dibawa ke Singapura.
Tunku kemudian teringat pada sebuah mimpi yang dialaminya tiga malam sebelum itu, Tunku telah bermimpi bahawa bahawa ayahandanya meminta tolong untuk Tunku menyelamatkan baginda. Di dalam mimpi itu, sultan berkata “Putra, Putra tolonglah aku” .
Tunku kemudian berkata bahawa seorang sultan harus bersama di sisi rakyatnya. Syed Omar mengatakan rancangan ini datang dari pihak kerajaan. Tunku berasa sungguh kecewa dan marah lalu meletakkan telefon.Tunku kemudian merancang untuk “menculik” sultan agar tidak dibawa ke Singapura. Beliau menelefon semula Syed Omar untuk mengetahui keberangkatan Sultan nanti.
Kemudian, beliau memandu keretanya menuju ke sebuah perkampungan kecil yang bernama Sidim. Di sana, beliau memaklumkan kepada penghulu untuk menyediakan persiapan untuk kunjungan sultan pada keesokkan harinya. Tunku kemudian kembali semula ke Kulim dan menelefon rakannya, Syed Abu Bakar Al-Idrus, Inspektor Pegawai Kesihatan Daerah. Tunku kemudian menerangkan rancangannya kepada Syed Abu Bakar dan meminta beliau untuk membantunya.
Pada keesokan harinya, Syed Omar memaklumkan kepada Tunku menerusi telefon bahawa rombongan Sultan akan berangkat pada jam 7 pagi. Tunku kemudian bergerak bersama Syed Abu Bakar dan menunggu rombongan Sultan berhampiran Kepala Batas. Untuk tujuan penyamaran, beliau memakai pakaian rasmi yang diberikan oleh pihak pertahanan kerajaan.
Semasa rombongan Sultan tiba, Tunku bertindak seolah-olah seperti polis dan memberhentikan kereta Rolls Royce Sultan. Beliau kemudian membuka pintu dan membuka helmetnya. Sultan barulah tahu bahawa rupanya Tunku yang memberhentikan kereta itu.
Tunku kemudian mengarahkan pemandu untuk mengikutinya ke Kulim. Setelah dibawa ke rumah, Tunku kemudian menerangkan kepada sultan mengenai rancanganya untuk “menculik” sultan. Beliau berkata sebagai seorang sultan, sultan haruslah bersama rakyat dan Tunku percaya inilah hasrat sultan sebenarnya. Sultan kemudian mengangguk tanda setuju.
Di Pulau Pinang, sebaik sahaja rombongan itu mendapati sultan tiada bersama mereka, pemangku raja kemudian menelefon Tunku dan mengarahkan beliau untuk membawa sultan ke Pulau Pinang dengan segera.
Tunku tidak mengendahkan arahan baginda dan berkata “Langkah mayat aku jika kamu hendak berbuat sedemikian.”. Pemangku sultan kemudian berkata bahawa Tunku telah melakukan kesilapan yang besar dan mengugut beliau sekiranya sultan tidak dibawa ke Pulau Pinang dengan kadar segera, maka Tunku akan ditangkap. Tunku mencabar pemangku untuk langkah mayatnya sekali lagi dan terus meletakkan telefon.
Pada tengah hari itu, selepas sahaja selesai makan, Tunku membawa sultan menuju ke Sidim untuk diberikan perlindungan. Sidim merupakan sebuah perkampungan yang terletak 30 kilometer dari Bandar Kulim. Kedatangan Tunku bersama sultan di sana disambut oleh masyarakat kampung itu yang diketuai oleh Penghulu Manap. Penghulu Manap kemudian menujukkan rumah yang bakal menjadi tempat persemayaman sultan.
Tunku kemudian memaklumkan kepada orang ramai bahawa Kedah telah diserang oleh Tentera Jepun dan Bandar Alor Setar telah ditawan sepenuhnya. Tunku turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar semua pihak dapat bekerjasama sepanjang keberadaan sultan di sana. Tunku kemudiannya pulang semula ke Kulim dan Tunku Yahya diarahkan untuk menemani sultan.
Apabila beliau tiba di Kulim, Tunku mendapati ramai orang mengerumuni perkarangan rumahnya. Tunku kemudian menjelaskan perkara yang sebenar kepada orang ramai yang hadir.
Pada jam tiga petang, semasa sedang berehat, Tunku sekali lagi mendapat panggilan telefon dari pemangku sultan. Pemangku Sultan memaklumkan kepada Tunku bahawa Pulau Pinang telah diserang oleh tentera Jepun. Tunku kemuudian memberitahu kepada pemangku sultan bahawa mereka akan diberikan perlindungan di Kulim bersama-sama sultan. Keesokkan harinya, rombongan pemangku sultan tiba di Kulim dan Tunku membawa mereka berlindung di Sidim.
Pada petang itu, apabila Tunku pulang semula ke Kulim, Tunku mendapati pertahanan awam di sana telah musnah sama sekali. Pihak polis mula menanggalkan uniform mereka dan tiada siapa yang mengawal keselamatan penduduk Kulim lagi.
Untuk mengelakkan huru-hara, Tunku telah membentuk kumpulan pertahanan yang diketuai oleh Ramdan Din, seorang penjawat awam yang bekerja di Jabatan Komunikasi. Mereka mengawal keselamatan bandar Kulim secara bergilir-gilir pada waktu siang dan malam.
Pada 16 Disember, seluruh pantai barat Kedah telah ditawan termasuk bandar Kulim. Pihak Jepun mendapati sultan berada di Kulim. Abang tiri Tunku, Tunku Mohamed Jiwa telah dilantik sebagai pemangku sultan buat sementara waktu sehinggalah sultan pulang semula ke Alor Setar.
Keesokkan harinya, rombongan sultan bergerak menuju ke Anak Bukit dengan diiringi pengiring tentera. Perjalanan mereka mengambil masa selama sebelas jam kerana banyak jambatan dan jalan yang musnah semasa pertempuran.
Setelah selamat tiba di Anak Bukit, Sultan Abdul Hamid terus bersemayam di Istana Anak Bukit sehinggalah kemangkatan baginda pada tahun 1943 dan seterusnya digantikan dengan Sultan Badlishah sebagai Sultan Kedah yang baharu.
RUJUKAN:
Sheppard, M. (2007). In Tunku, his life and times: The authorized biography of Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. essay, Pelanduk Publ.
The sultan’s abduction | new straits times. (n.d.). Retrieved April 4, 2022, from https://www.nst.com.my/lifestyle/sunday-vibes/2017/04/235140/sultans-abduction
Rahman, A. (2012). Tunku: Prince of peace: Words and pictures of the Tunku. MPH Group Publishing.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih