Benua Eropah mewakili 6.7% sahaja dari luas daratan bumi. Namun dalam tempoh kurang 500 tahun (1492-1914), ia menguasai lebih 80% daratan dunia. Ada beberapa negara yang bertanggungjawab atas perkara itu. Antaranya Sepanyol, England, Portugal, dan Belanda.
Sebagai adikuasa, banyak harta mengalir ke tangan mereka. Sepanyol misalnya, mengaut sejumlah 181 tan emas dan 16,000 tan perak dari Dunia Baru. Portugal pula mengangkut 17 tan emas dari Afrika Barat.
Semestinya, kekayaan sebegitu menggamit rasa iri negara-negara tetangga. Sebilangan mereka lantas ikut mendirikan koloni, terutama di benua Amerika. Antara mereka ialah Sweden dan Denmark. Masing-masing cuba meneroka Pennsylvania dan Wisconsin (pada 1640an dan 1840an).
Namun, ia berakhir gagal. Cuma, kegagalan mereka tidaklah terlalu fatal. Denmark sempat menjual tiga wilayah kepada US dengan harga $25 juta. Sweden pula sekadar kalah perang di tangan Belanda. Jika dibandingkan dengan apa yang dialami oleh Scotland, dua negara itu harus hela nafas lega.
Sebab bagi Scotland, membina koloni di benua Amerika umpama membuka Kotak Pandora. Natijah yang perlu mereka tanggung bukan kecil; harta, nyawa, dan kemerdekaan.
Episod tersebut bermula pada 1690an. Pada masa itu, keadaan amat mencabar.
Pertama, cuaca enggan bersimpati. Suhu membeku dengan ketara (paling sejuk sejak 750 tahun). Sampai mematikan habis segala tanaman. Kebuluran justeru melanda, dan meragut nyawa 15% populasi menjelang akhir dekad.
Tidak cukup dibadai alam, Scotland turut dihentam oleh impak peperangan. Saat itu Perang Sembilan Tahun (1688-1697) sedang berlaku. Ia melibatkan Perancis dan sekutu Eropah. Scotland menganggotai sekutu berkenaan dan sebagai kesan, ekonominya jadi terganggu.
Ramai hilang mata pencarian. Ramai juga mati kebuluran. Di kala begitu, England pula mengambil sikap lepas tangan. Imigran-imigran Scotland dianaktirikan (menerusi Poor Law).
Lantaran dilayan sebegitu, sentimen ‘berdikari’ dan ‘benci England’ menjadi satu norma. Hal ini agak munasabah. Saat itu, dua negara terbabit berkongsi monarki yang sama (di bawah Raja William III). Namun di kala England dilimpahi kekayaan, Scotland dihimpit permasalahan.
Jadi, mereka mahu mengubah nasib sendiri. Caranya, dengan membina koloni. Idea tersebut diterajui oleh ramai, tetapi paling utama ialah William Paterson. Dia lah yang mencadangkan Segenting Darien (kini Segenting Panama) sebagai lokasi.
Tempat itu dipilih bukan cuma kerana ia titik tengah antara Amerika Utara dan Amerika Selatan. Tetapi ia juga daratan tersempit antara Laut Atlantik dan Laut Pasifik. Justeru, ia strategik untuk menjadi penghubung Eropah-Amerika-Asia.
Namun, idealistik tersebut hanya di atas kertas. Hutan Darien hakikatnya adalah antara tempat paling berisiko di dunia. Hutannya tebal. Permukaannya kurang sesuai. Hidupan liar juga boleh tahan. Ringkas kata, ia tidak sesuai untuk dihuni.
Tetapi Paterson, berbekalkan pengalamannya di Bahamas dan prestijnya sebagai pengasas Bank England, berkeras mahu menjayakan koloni di situ. Untuk itu, dia mengumpulkan pelabur di bawah Syarikat Scotland (ditubuhkan pada 1695, berfungsi persis seperti SHTI).
Pelabur-pelabur ini bukanlah terdiri daripada golongan elit. Kebanyakannya cuma rakyat biasa, yang sanggup berlabur kerana tiga perkara; keuntungan peribadi, masa hadapan Scotland, dan sentimen terhadap England.
Kemudian dalam beberapa bulan, Paterson berjaya menghimpunkan sejumlah £400,000 (bersamaan RM2.2 juta). Hari ini, nilai itu memang kelihatan kecil. Tapi ikutkan, ia menyamai 1/5 dari perbendaharaan Scotland waktu itu.
Dengan wang tersebut, Paterson membina dan melengkapkan lima buah kapal; bernama Saint Andrew, Caledonia, Unicorn, Dolphin dan Endeavour. Kelima-lima kapal ini mengangkut 1,200 orang peneroka, termasuk Paterson sekeluarga, dan ia diberangkatkan ke Darien tanggal 12 Julai 1698.
Pada November, mereka tiba. Lantas, bermulalah sejarah sebuah koloni bernama Caledonia. Petempatan utamanya dipanggil New Edinburgh, manakala kubu pertahanannya disebut sebagai Kubu Saint Andrew.
Menurut rancangan, mereka akan jalinkan hubungan dengan penduduk asal, mengusir tentera yang berkawal, memajukan pertanian, menjalankan perdagangan, dan mengembangkan petempatan.
Namun, satu pun daripada senarai tersebut gagal dijayakan. Kubu memang dapat dibina. Tetapi, tiada bekalan air bersih diterima. Petempatan dan pertanian memang dapat dimulakan. Tetapi ia kurang berpenghasilan.
Orang asal enggan menjalinkan hubungan. Kapal-Kapal Inggeris enggan datang berdagang. Seluruh Caribbean juga enggan berurusan. Semua kerana khuatirkan reaksi Sepanyol. Sebab, kawasan yang dikolonikan oleh Paterson itu berada dalam jajaran Sepanyol.
Memang ia tidak diduduki. Tetapi berdasarkan Perjanjian Tordesillas 1494, Sepanyol berhak ke atas wilayah tersebut. Jadi, pasukan Sepanyol memang bersiap-sedia sahaja untuk menggempur New Edinburgh.
Ini membuatkan bandar itu berdepan jalan buntu. Mereka disekat. Mereka juga dipencilkan. Kebuluran dan wabak penyakit tidak dapat dihalang. Lantas dalam lapan bulan, seramai tiga perempat daripada mereka kehilangan nyawa – termasuk anak dan isteri Paterson. Baki 300 orang yang masih hidup memilih untuk berlayar pulang ke Scotland pada Julai 1699.
Namun, itu bukan pengakhiran New Edinburgh. Saat mereka bergerak pulang, ekspedisi kedua diberangkatkan dari Scotland – juga berjumlah sekitar 1,000 orang. Mereka ini tiba pada November 1699, namun lantaran tiada apa dapat dilakukan, mereka menyerah kepada Sepanyol pada Mac 1700.
Dengan demikian, impian Scotland mahu membina koloni pun terkubur. Pelaburan yang dibuat juga hangus macam itu sahaja. Lantas, keadaan ini memaksa golongan elit Scotland untuk akur pada Akta Penyatuan (Act of Union) 1707.
Menerusi akta tersebut, parlimen kedua-dua negara disatukan – menjadi Parlimen United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland. Dan sebagai sebahagian perjanjian, Syarikat Scotland dibubarkan dan negara itu menerima pampasan bernilai £395,000.
Sememangnya, perjanjian tersebut menyelamatkan Scotland dari krisis yang mungkin timbul rentetan kegagalan di Darien. Namun, ia mengundang perasaan kurang senang sebahagian warga. Kerana perjanjian tersebut ‘menggadai’ kemerdekaan Scotland kepada England. Sampaikan hingga hari ini pun, Scotland masih tidak henti mengusahakan referendum kemerdekaan dari UK.
RUJUKAN
Dillard, George. (2020, 12 October). The Colony That Cost Scotland its Independence. Lessons From History.
Dunn, Morgan. (2021, 17 March). Inside the Darien Scheme, Scotland’s Miserably Failed Attempt to Build a Colony in the Americas. All That Interesting.
Piper, Grant. (2021, 1 October). The Kingdom of Scotland Once Tried to Colonize North America. Medium.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih