Menjelang tamatnya sesi terakhir rundingan bajet pada 3 Mac 1924, Pesuruhjaya Urfa, Sheikh Saffet Efendi dan 53 orang penyokongnya menuntut sistem penjawatan khalifah dimansuhkam atas alasan ia sudah tidak diperlukan lagi.

Usul ini telah diluluskan dengan sokongan majoriti dan undang-undang telah ditubuhkan. Dengan undang-undang yang sama, keputusan sebulat suara diambil untuk mengusir kesemua anggota kerabat dinasti Uthmaniyah. Turut sama diusir adalah Shaikh-ul Islam Uthmaniyah yang terakhir, Mustafa Sabri Efendi.

Mustafa Kemal Atatürk pada awalnya tidak bercadang hendak memansuhkannya secara rasmi sepenuhnya, beliau sebaliknya menawarkan jawatan khalifah kepada Ahmed Sharif as-Senussi, dengan syarat, as-Senussi harus menetap di luar Turki. Tetapi Senussi menolak tawaran itu sekaligus mengesahkan sokongannya terhadap Abdulmejid.

Walaupun Abdulmejid dan keluarganya kecewa dengan keputusan ini, mereka tidak mahu melihat rakyat memberontak, jadi mereka secara diam-diam bertolak ke Çatalca dengan menaiki kereta dari Istana Dolmabahçe pada jam 5:00 pagi keesokan harinya.

Pada 23 Ogos 1944, hari yang sama kota Paris dibebaskan daripada pendudukan Jerman semasa Perang Dunia Kedua, Abdulmejid II meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di Paris iaitu Boulevard Suchet. Majlis pengebumian baginda telah diadakan di Masjid Besar Paris,

Khalifah Abdulmejid II

Dürrişehvar Sultan, anak perempuannya, cuba memohon kebenaran dari kerajaan Republik Turki untuk dia membawa pulang jenazah bapanya ke Istanbul supaya majlus pengebumian boleh diadakan di Turki. Namun permohonannya ditolak.

Masjid Besar Paris telah menjaga jenazahnya selama 10 tahun dan selepas lembaga pemegang amanah masjid memaklumkan yang mereka tidak boleh lagi terus menjaga jenazahnya, maka jenazah baginda kemudian dipindahkan untuk dikebumikan di tanah perkuburan Jannat Al-Baqi di Madinah. Kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran ini sebagai satu penghormatan kepada status baginda selaku bekas khalifah.

Abdulmejid merupakan Khalifah ke-101 jika mengikut turutan dari zaman Khalifah Abu Bakar. Sebuah kekhalifahan atau khilafah itu sendiri tidak menumpukan aspek yang melihat seorang khalifah itu sebagai pemimpin umat Islam semata-mata, khilafah juga merupakan sebuah negara yang perlu mentadbir dengan mahir merangkumi keseluruhan aspek, baik dari segi ekonomi, sains, teknologi, perdagangan, seni bina dan perundangan.

Khilafah perlu menyediakan jaminan keamanan dan keselamatan kepada warganya, membenarkan mereka hidup dalam suasana yang harmoni bersama sebagai sebuah negara. Khilafah bahkan harus menyediakan tempat perlindungan untuk membantu warga yang teraniaya kerana kepercayaan mereka, ini menjadikan peranan khalifah amat penting dalam dunia Islam.

Kekhalifahan Rashidun mungkin negara Islam yang paling sempurna dalam sejarah.

Adam Smith, pengasas teori ekonomi moden abad ke-18 yang gambarnya pernah dicetak dan digunakan pada not wang kertas £20 UK, adalah seorang tokoh yang sangat kuat dipengaruhi oleh sistem dan metode pemerintahan kerajaan Islam. Dia menyatakan bahawa:

“…the empire of the Caliphs seems to have been the first state under which the world enjoyed that degree of tranquility which the cultivation of the sciences requires. It was under the protection of those generous and magnificent princes, that the ancient philosophy and astronomy of the Greeks were restored and established in the East; that tranquility, which their mild, just and religious government diffused over their vast empire, revived the curiosity of mankind, to inquire into the connecting principles of nature.” (Adam Smith. History of Astronomy. The Essays of Adam Smith. London, 1869, p. 353.)

Kenyataan Adam Smith ini sekali lagi membuktikan betapa pentingnya peranan yang dimainkan oleh ketamadunan Islam terhadap pembangunan ilmu, kemajuan dunia sains, teknologi dan pengaruh seni ketika itu sekaligus menggambarkan apa kemungkinan yang boleh terjadi sekiranya tamadun Islam menolak kemajuan dan pembaharuan.

Sebagai khalifah di rantau Turki, Abdulmejid II adalah khalifah ke-29 dan yang terakhir di Empayar Uthmaniyah, maka baginda adalah khalifah pertama dan yang terakhir di Republik Turki. Secara keseluruhan pula, baginda adalah khalifah ke-101 dan yang terakhir bagi seluruh dunia Islam. Baginda dilantik sebagai khalifah oleh Majlis Agung Nasional Turki di tengah-tengah kehangatan menjelangnya Perang Kemerdekaan Turki.

Sebagai khalifah, Abdulmejid II digayakan dengan gelaran Sehzade Abdulmejid II.

Boleh dikatakan, secara tidak rasmi, baginda sepatutnya kekal sebagai khalifah sehingga ke akhir hayatnya. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja Turki menghentikan bayaran kos penyelenggaraan pejabat, menghantarnya hidup dalam pengasingan tanpa sebarang sokongan yang jelas, maka jawatan khalifah ketika itu hanyalah satu gelaran yang tidak lagi membawa makna dan peranannya yang sebenar.

Baginda diberikan wang tunai sebanyak 2000 Pound Inggeris, kemudian diberikan kemudahan pengangkutan dengan menaiki kereta api Orient Express untuk menuju ke Switzerland sebelum akhirnya menetap di Paris.

Tanpa sebarang sokongan tapi masih menggayakan dirinya sebagai Khalifah, dengan situasi kewangannya yang tak menentu itu telah menjadi faktor yang membuat sesetengah pihak di dunia Islam berasa maruah Islam sedang diinjak-injak. Sentimen yang sama ini turut dirasai oleh Asaf Jah VII, nizam terakhir di Hyderabad, seorang ‘premier prince’ di British India dan salah seorang lelaki yang terkaya di dunia.

Asaf Jah VII telah mendapatkan kebenaran daripada Gabenor Jeneral India untuk menyalurkan elaun bulanan ke Paris bagi tujuan menampung kos belanja sara hidup untuk Abdulmejid dan keluarganya.

Namun, sokongan dari nizam Hyderabad itu adalah terhad, ia tidak melibatkan sokongan dalam bentuk lain seperti penubuhan pangkalan organisasi atau ibu pejabat di mana Abdulmejid boleh memainkan sebarang peranan kepimpinan yang penting mahupun peranan sebagai penasihat dalam hal ehwal dunia Islam.

Sultan Abdulhamid II adalah khalifah Islam terakhir berkuasa mutlak.

Harapan untuk menggabungkan kepimpinan Islam dan politik itu sentiasa wujud hingga sekarang, persoalannya ialah, bolehkah kuasa politik dipraktikkan jika pemegang jawatan khalifah itu sebenarnya sudah tidak memiliki sebarang kuasa?

Situasi ini serupa dengan cabaran yang dihadapi kepausan Katolik dalam sejarah Kristian yang panjang, di mana, seorang Paus akhirnya memiliki kuasa terhadap politik duniawi dan kuasa terhadap seluruh dunia Kristian secara mutlak pada satu masa.

Dalam kes Kristian ini, mereka mendapat sokongan para bangsawan dari Papal States sebagai satu platform di mana suara Paus akan dianggap suci baik sebagai pemerintah duniawi mahu pun pembimbing umat Kristian.

Apabila mereka kehilangan negeri-negeri ini berikutan penyatuannya sebagai sebuah negara bernama Itali, barulah Paus menyedari bahawa kepimpinan yang sepatutnya mereka tawarkan dahulu adalah kepimpinan yang menekankan kepentingan moral dan rohani.

Bolehkah seorang khalifah yang tak lagi ada sebarang kuasa atau pengaruh politik cuba menawarkan kepimpinan moral dan rohani? Boleh dikatakan, cabaran ini lebih sukar bagi Abdulmejid, kerana baginda sebenarnya adalah khalifah yang dilantik oleh kerajaan sekular Turki, dan baginda bukanlah seorang pemimpin yang cukup warak untuk memimpin masyarakat agama.

Jika menurut konsep khilafah berdasarkan akidah Sunnah wal-Jamaah, peranan seorang khalifah seharusnya perlu menjadi pemimpin kepada masyarakat tetapi di sebalik konsep kepimpinan itu, khalifah juga haruslah menjadi seorang wakil yang melambangkan keutuhan perpaduan umat Islam.

Asaf Jah VII semasa dinobatkan sebagai nizam.

Sebaliknya, jika Abdulmejid II masih digayakan sebagai ‘khalifah’ semasa baginda sedang hidup dalam buangan di negeri asing, baginda sudah tidak ada hak istimewa untuk menyampaikan suaranya kepada orang Islam tentang mentafsir ajaran Islam, sementara di Itali yang sudah bersatu, seorang Paus masih ada hak untuk menyampaikan ajarannya kepada umat Katolik.

Di Paris, Abdulmejid meneruskan hidup berkat dari hasil sokongan kewangan dari Nizam Hyderabad. Walau bagaimanapun, kerajaan Nizam Asaf Jah VII di India itu sendiri merupakan subjek di bawah kuasa pengawasan atau kepentingan British, jadi, nizam masih perlu tunduk dan akur kepada British untuk mendapatkan kebenaran menyalurkan bantuan kewangan kepada seorang khalifah yang sedang dibuang negeri.

Abdulmejid II mungkin masih seorang khalifah, tetapi sudah tidak ada sebarang mekanisme untuk berperanan sebagai khalifah. Tanpa negeri Islam untuk baginda memerintah, Abdulmejid tidak boleh dijadikan sandaran untuk mempraktikkan sebarang jenis penguatkuasaan ke atas kerajaan atau pemerintah Islam di seluruh dunia.

Emir Cordoba, Abdul ar-Rahman I.

Sesetengah orang menganggap kejatuhan Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad semasa penaklukan Mongol pada tahun 1258 tidak dianggap sebagai titik yang menamatkan dinasti Abbassiyah, mengapa?

Ia kerana masih ada sisa-sisa pewaris dinasti Abbasiyyah yang berjaya menyelamatkan diri dari dihapuskan Mongol dengan cara melarikan diri ke Kaherah, Mesir, tetapi mereka akhirnya terpaksa bergantung kepada Kesultanan Mamluk, dan status mereka sebagai penerua khalifah Abbasiyyah selepas itu hanyalah sekadar menjadi simbol perpaduan Islam Mesir yang hanya memberi manfaat kepada Kesultanan Mamluk.

Secara teknikal, khilafah Abbasiyyah sebenarnya telah dimansuhkan sepenuhnya sebaik sahaja mereka secara rasminya menyerahkan jawatan khalifah kepada sultan Uthmaniyah selepas Uthmaniyah berjaya memusnahkan Kesultanan Mamluk dalam Perang Uthmaniyah-Mamluk pada tahun 1517.

Sebelum itu, khalifah Abbasiyyah juga sudah tidak  membawa sebarang makna dan peranan penting lagi kerana mereka sudah tidak ada negara sendiri. Walau bagaimanapun, status mereka sebagai khalifah terua dikekalkan di bawah Kesultanan Mamluk Mesir, dan ia berterusan sehinggalah Mamluk, dan Abbasiyyah ditamatkan oleh Uthmaniyah sekaligus.

Abdul ar-Rahman III.

Hal yang hampir sama turut berlaku kepada Kekhalifahan Umayyah. Ramai orang menganggap Kekhalifahan Umayyah tidak benar-benar dijatuhkan semasa kebangkitan Revolusi Abbasiyyah, sebaliknya kesinambungan Umayyah telah diteruskan oleh Abdul al-Rahman I yang berjaya melarikan diri daripada dihapuskan pemberontak Abbasiyyah dengan menuju ke Iberia.

Abdul al-Rahman I kemudian menubuhkan Emiriah Cordoba dan menjadi emir di sana sebelum generasi pewaris seterusnya, Abdul al-Rahman III akhirnya mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah dan menubuhkan Kekhalifahan Cordoba di Al-Andalus atau Sepanyol hari ini.

Apa yang membezakan Umayyah dengan kekhalifan Islam yang lain adalah, Bani Umayyah bangkit dengan sendirinya di Iberia kerana mereka sejak awal lagi memang sudah melabur pengaruh kuasa yang besar di Semenanjung Iberia. Jadi, Umayyah hanya perlukan mandat dan sokongan rakyat tempatan untuk mengekalkan kuasa Umayyah. Dan mereka sudah ada semua itu.

Namun dunia Islam pada tahun 1924 tidak ada tuah yang sama seperti dunia Islam era Umayyah, umat Islam moden sudab tidak ada sebuah negara dan pemimpin Islam yang boleh mengambil alih peranan yang sama, tidak ada lagi umat Islam yang mahu menyokong Abdulmejid sebaik saja Turki mengusir baginda. Jika ada pun, umat Islam yang menyokong baginda akan ditindas atau dibunuh oleh penjajah.

Abdulmejid II menjadi mangsa sejarah yang kejam, bukan menjadi penggerak sejarah. Dengan berakhirnya kuasa kekhalifahan ini, ia menyebabkan salah satu komuniti beragama yang terbesar di dunia sudah tidak lagi bersatu padu, kerana tidak ada lagi ‘amir al-mu’minin’ yang memiliki kuasa yang mutlak melambangkan betapa bersatunya seluruh umat Islam seperti dahulu.

Tetapi percayalah, Allah telah aturkan segalanya dengan sempurna untuk hamba-hamba-Nya. Kekhalifahan Islam tidak lagi wujud hari ini tetapi akidah kita percaya, ia akan bangkit kembali dengan izin Allah suatu hari nanti. Ini bermaksud, kekhalifahan Uthmaniyah bukanlah kekhalifahan Islam yang terakhir, kerana khalifah yang terakhir belum tiba lagi masanya untuk muncul, tapi tetap akan muncul, in shaa Allah.

RUJUKAN:

Qureshi, M. Naeem (1999). Pan-Islam in British Indian Politics: A Study of the Khilafat Movement, 1918–1924. Brill.

Kemal H. Karpat. The Politicization of Islam: Reconstructing Identity, State, Faith, and Community in the Late Ottoman State. Studies in Middle Eastern History. Oxford University Press, 2001.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply