Pengkaji arkeologi Jepun membuat satu penemuan mengejutkan semasa mengkaji artifak-artifak yang ditemui di Istana Iwatsuki dan Istana Hachioji. Sesetengah artifak dikatakan pelopor kepada senjata ninja yang kita kenali hari ini termasuk shuriken/balingan bintang.

Artifak yang dimaksudkan ialah batu rata dan bola tanah liat yang dianggap pelopor kepada shuriken dan makibishi atau caltrop – kedua-duanya merupakan senjata ninja. Kesimpulan ini dibuat oleh ahli arkeologi dan kurator Muzium Sejarah Ranzan, Wilayah Saitama, Akihiro Iwata. Kebanyakan artifak yang diekskavasi dari kedua-dua istana ini dibuat dalam tempoh antara 1960-an hingga dekad 2010.

Kesimpulan tersebut dibuat selepas Iwata memeriksa semula artifak era Sengoku itu. Batu-batu berbentuk rata yang boleh dibaling dengan bucu yang tajam ditemui di runtuhan Istana Iwatsuki dan jin’ya (pusat pentadbiran) Owada di Saitama antara tahun 1990-an hingga awal dekad 2000.

Artifak-artifak yang ditemui di kedua-dua lokasi mempunyai diameter dan ketebalan yang berbeza. Sebuah batu rata yang ditemui di Istana Iwatsuki mempunyai ketebalan 1 cm dan diameter 4.8 cm. Sementara 17 batu rata lain yang dijumpai di jin’ya Owada pula berukuran diameter antara 8 hingga 14 cm dan ketebalan 1.5 hingga 3 cm.

Rajah 1: Contoh batu-batu rata berbucu tajam yang dianggap prototaip terawal shuriken yang ditemui di jin’ya Owada. Sumber: Muzium Sejarah Ranzan, Wilayah Saitama

Menariknya, Istana Iwatsuki merupakan saksi kepada peristiwa pengepungan Odawara yang berlaku pada Mei 1590. Pengepungan dibuat atas arahan Toyotomi Hideyoshi selepas merasakan puak Hojo yang mengawal istana itu berpotensi mencabar kedudukannya. Kepungan ini turut disokong oleh pemain penting kempen Hideyoshi iaitu Tokugawa Ieyasu dan Oda Nobukatsu.

Pengepungan ini memaksa puak Hojo berkubu di situ buat beberapa ketika sebelum tumbang pada Ogos 1590. Istana Iwatsuki berjaya ditembusi angkatan perang Hideyoshi selepas mereka membawa sekumpulan pelombong dari Kai, Wilayah Yamanashi untuk mengorek dinding istana.

Puak Hojo hilang keinginan untuk berlawan dan menyerah diri tiga bulan selepas itu apabila melihat Hideyoshi membina Istana Ishigakiyama Ichiya tidak jauh dari lokasi mereka. Iwata percaya jin’ya Owada berkemungkinan sebahagian daripada rangkaian istana yang dikawal puak Hojo sehinggalah mereka tewas pada Ogos 1590.

Sementara empat bola tanah liat yang belum disepuh ditemui di Istana Hachioji pada tahun 1960. Setiap bola berukuran 1 hingga 3 cm diameter mempunyai duri pada bahagian atasnya dengan tujuan memperlahankan pergerakan pihak musuh. Seperti Istana Iwatsuki dan jin’ya Owada, Istana Hachioji juga jatuh selepas kejayaan kepungan Odawara pada Ogos 1590.

Rajah 2: Contoh caltrop tanah liat yang dijumpai di tapak runtuhan Istana Hachioji pada 1960. Sumber: Muzium Sejarah Ranzan, Wilayah Saitama

Iwata percaya semua senjata ini dibuat sebagai cara melepaskan diri selepas melihat saiz sebenar angkatan Hideyoshi pada Mei 1590. Melihat bentuknya yang primitif, semua senjata ini berkemungkinan prototaip yang dibangunkan oleh ejen-ejen perisikan era feudal Jepun.

Bagi pakar senjata ninja Profesor Yuji Yamada, beliau menganggap penemuan ini sebagai sesuatu yang hebat. Ini kerana tidak mustahil batu-bata rata yang boleh dibaling itu ditambahbaik dari segi reka bentuk sebelum menjadi senjata ikonik shuriken. Bila diminta mengulas tentang prototaip awal caltrop era feudal Jepun itu, beliau mengakui tidak pernah melihat caltrop yang diperbuat daripada tanah liat sebelum ini.

Selepas kempen ke atas puak Hojo dianggap berjaya, kebanyakan tanah puak tersebut diberi kepada Ieyasu atas arahan Hideyoshi. Tiada siapa menyangka bertahun-tahun selepas itu, ia menjadi batu asas kepada meneruskan kempen penyatuan Jepun di bawah satu pentadbiran dan akhirnya bergelar Shogun.

Ieyasu menjadi shogun pertama untuk Keshogunan Tokugawa pada 1615 dengan keshogunan itu bertahan selama lebih 250 tahun. Keshogunan ini berakhir selepas disingkirkan oleh kumpulan penyokong pro-maharaja pada 1868. Ia membuka jalan bukan saja kepada Era Pemulihan Meiji tetapi pembentukan Jepun moden.

RUJUKAN

Mori, N. (2022, 14 Januari). Artifacts bear hallmarks of prototypes of ninja weapons. Asahi Shimbun.

Jarus, O. (2022, 15 Februari). 430-year-old ninja weapons possibly identified. Live Science.

Nota kaki

Sengoku – tempoh perang saudara dan ketidakstabilan sosial yang berlaku dari 1467 hingga 1615. Ia bermula menerusi Perang Onin yang meruntuhkan sistem feudal Jepun yang ditadbir oleh Keshogunan Ashikaga.

caltrop – pepaku atau duri dengan bilangan yang banyak digunakan bagi mengekang pergerakan musuh termasuk pergerakan haiwan tunggangan.

jin’ya – pusat pentadbiran bagi wilayah atau daerah kecil. Kebiasaannya, ia menempatkan kediaman pentadbir kawasan berkenaan dan gudang-gudang simpanan bijirin untuk sistem kokudaka (sistem penilaian tanah Tokugawa bagi menentukan kadar cukai yang perlu dibayar).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply