Dalam era antikuiti, tiada laluan yang memberi impak besar kepada sejarah seperti Laluan Sutera. Ini kerana ia bukan saja laluan perdagangan yang menghubungkan pelbagai kerajaan di timur dan barat. Malah, ia juga kaya dengan sejarah sepanjang tempoh ia dibuka selama 1,500 tahun.
Laluan Sutera dibuka secara rasmi untuk tujuan perdagangan semasa era Dinasti Han yang memerintah China dari 206 SM hingga 202 Masihi. Laluan ini turut digunakan sebagai cara menjalin hubungan diplomatik antara Dinasti Han dengan kerajaan asing. Salah satu usaha tersebut ialah menerusi pengutusan duta-duta semasa era Maharaja Wu pada 138 SM. Duta-duta ini diutus ke pelbagai tempat di Asia Tengah sebelum pulang membawa maklumat tentang wilayah-wilayah sekitarnya termasuk di barat.
Tetapi ini bukan laluan perdagangan darat pertama yang menghubungkan timur dan barat. Empayar Achaemenid mewujudkan Jalan Diraja yang berukuran panjang 1,600 batu dari Susa, Iran ke Sardis di Turki. Laluan perdagangan ini diwujudkan atas inisiatif pemerintah Achaemenid ketika itu, Darius I – 300 tahun sebelum Laluan Sutera diwujudkan. Ia kemudiannya diperluaskan bagi menyambungkan Mesopotamia dengan India dan Afrika Utara melalui Mesir.
Tidak ramai tahu usaha penaklukan Alexander the Great di Asia Kecil dan Timur Tengah dibantu oleh Jalan Diraja. Jalan Diraja kemudiannya diserap dan menjadi sebahagian daripada Laluan Sutera bertahun-tahun kemudian. Menerusi Laluan Sutera, aktiviti perdagangan timur dan barat rancak dijalankan terutama antara Yunani dan China pada abad kedua dan pertama SM. Sementara kerajaan Kushan yang berkuasa di India turut meraih manfaat daripada kewujudan laluan ini.
Jadi, bagaimana laluan ini mendapat namanya? Mungkin ada menyangka ia diberi nama sedemikian menerusi gelaran orang Yunani terhadap China iaitu Seres. Seres bermaksud tanah yang kaya dengan sutera. Tetapi nama Laluan Sutera hanya digunakan secara meluas pada abad ke-19 selepas namanya dicadangkan oleh sejarawan dan ahli geografi Jerman Ferdinand von Richthofen pada 1877.
Laluan Sutera termasuklah rangkaian pusat perdagangan, pasar-pasar dan gudang-gudang. Ia direka untuk menambahbaik aliran keluar masuk barang dagangan termasuk penghantaran, pengedaran, pertukaran dan penyimpanan barang. Laluan Sutera kemudiannya dipanjangkan dari Antioch ke Ctesiphon (ibu kota Empayar Parsi) dan Seleucia, iraq yang terletak di tebing Sungai Tigris.
Dari Seleucia, laluan terus dipanjangkan ke sebelah timur dari Pergunungan Zagros hinggalah ke Ecbatana, Iran dan Merv, Turkmenistan. Dari dua lokasi ini, lebih banyak laluan tambahan dibina merentasi Afghanistan untuk sampai destinasi terakhir di China dan Mongolia. Laluan Sutera turut menghubungkan para pedagang dengan pelabuhan-pelabuhan di Teluk Parsi. Dari situ, barang dagangan akan diangkut merentasi Sungai Tigris dan Euphrates. Sesetengahnya akan dibawa ke pelabuhan-pelabuhan di Laut Mediterranean untuk diangkut ke wilayah-wilayah Eropah termasuk yang dikawal Empayar Rom.
Disebabkan laluan ini tidak diselenggara oleh mana-mana kerajaan, ia tidak dalam keadaan baik sekaligus menjadikan perjalanan pedagang dan pengembara mencabar. Kelibat kumpulan perompak di laluan ini mendorong pedagang bergerak secara berkumpulan (kafilah). Di setiap laluan, terdapat rumah-rumah persinggahan atau caravanserais yang membenarkan pengembara dan pedagang berehat semalaman sebelum meneruskan perjalanan.
Dari segi perdagangan, banyak komoditi diperdagangkan di Laluan Sutera seperti batu dan besi berharga, buah-buahan dan sayur-sayuran, objek keagamaan dan peralatan kerja. Laluan sama turut membawa kepada pertukaran ilmu terutama dalam bidang falsafah, sains, agama dan kepercayaan, kebudayaan dan bahasa.
Tetapi dua komoditi yang memberi impak besar muncul dari Laluan Sutera iaitu serbuk letupan dan kertas. Kertas dicipta pada abad ketiga SM dan penggunaannya tersebar melalui Laluan Sutera. Selepas Pertempuran Talas menyaksikan kerajaan Bani Abbasiyah mengetahui rahsia pembuatan kertas, ia terus tersebar luas termasuk dibawa ke pelabuhan seperti Sicily dan Andalusia.
Apabila kertas tiba di Eropah, ia membawa kepada perubahan di peringkat industri dengan perkataan bertulis merupakan komunikasi awam utama secara besar-besaran. Ia terus diperhebat menerusi penciptaan mesin pencetak oleh Johann Gutenberg. Menerusi mesin pencetak, ia membawa kepada penghasilan buku dan akhbar secara besar-besaran – memperluas pertukaran maklumat dan berita.
Bagi serbuk letupan pula, ia mula disebut di China seawal abad ketujuh Masihi. Ramai sejarawan percaya serbuk letupan dieksport ke luar negara melalui Laluan Sutera dan menjadi asas kepada pelbagai senjata api termasuk meriam. Ia kemudiannya digunakan secara meluas dalam peperangan di Eropah termasuk penaklukan Constantinople oleh Turki Uthmaniyyah pada abad ke-15. Pengenalan serbuk letupan memberi impak besar kepada sejarah politik Eropah.
Laluan Sutera juga turut membuka peluang kepada para pengembara untuk pergi ke wilayah baru dan mempelajari kebudayaan sesebuah kawasan. Antara pengembara yang merebut peluang tersebut ialah Marco Polo. Polo bersama bapanya menggunakan Laluan Sutera untuk sampai ke Xanadu, Mongolia pada 1275. Pada ketika itu, China diperintah oleh Empayar Mongol – lebih tepat Kublai Khan dan Xanadu merupakan istana musim panas baginda.
Untuk dua dekad berikutnya, Polo bekerja di istana baginda sebagai pengutip cukai. Menjelang 1295 – tahun-tahun di mana empayar itu berdepan kemerosotan, beliau berangkat pulang ke Itali. Kisah pengembaraannya dibukukan dengan judul Pengembaraan Marco Polo menjadikan namanya dan Laluan Sutera terkenal.
Tetapi kegemilangan Laluan Sutera berakhir pada 1453. Tidak diketahui apa punca kerajaan Turki Uthmaniyyah memilih menutup terus laluan menuju ke sebelah barat. Ia boleh saja terjadi akibat perlaksanaan cukai yang tinggi, hubungan buruk Turki Uthmaniyyah-China, cuba mengekang kebangkitan kuasa-kuasa Eropah atau kerancakan aktiviti perdagangan maritim. Tetapi dengan penutupan laluan tersebut, kegemilangan Laluan Sutera yang diketahui berakhir.
RUJUKAN
Silk Road. (2021, 20 September). History.
Silk Road. National Geographic Encyclopedia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih