Ramai masih tidak faham beza antara Marvel Comics, Marvel Entertainment dan Marvel Studios. Ketiga-tiga perusahaan ini adalah ibaratkan kakak adik yang berkahwin dengan lelaki sama (The Walt Disney Company).
Mereka sama tetapi tidak sama. Marvel Entertainment, LLC adalah syarikat hiburan yang diasaskan pada Jun 1998 sebagai perusahaan induk (parent company).
Pada tahun 2009, The Walt Disney Company datang meminang dan akhirnya membeli Marvel Entertainment. Mas kahwin mereka apa barang RM50,000. Mereka bersetuju dengan ikatan AS$4 bilion terus (Fritz, 2009).
Marvel Comics pula adalah naungan dibawah perusahaan induk. Jadi Marvel Comics pun senang cakap milik Disney.
Kira Disney masuk membeli aset yang sudah lama berada dalam pasaran. Cuma masalahnya, aset ini teruk dikerjakan pengurusan lama. Marvel Entertainment menubuhkan Marvel Studios pada Ogos 1996 dengan bimbingan seorang nakhoda bernama Avi Arad.
Beliau sebelum ini mengetuai bahagian barang mainan (toy) milik Marvel iaitu ToyBiz. Dan satu-satunya langkah untuk mendapatkan modal adalah dengan cara jual saham. Marvel dan ToyBiz banyak mendagangkan saham semata-mata untuk mengumpulkan dana pembikinan filem.
Selesai bab dana, Marvel Studios berunding dengan 20th Century Fox untuk selesaikan bab pengedaran (film distribution) pula. Dua pihak ini mengikatkan kontrak selama tujuh tahun.
Pada tahun 1997, Marvel Studios adalah satu-satunya ayam tambatan Marvel Entertainment. Walau bagaimanapun, beberapa filem Marvel Studios masuk parit. X-Men dan Fantastic Four boleh kata berjaya.
Cuma Daredevil betul-betul atas pagar. Dan Elektra gagal habis.
Filem Marvel yang meletup dahsyat adalah Spider-Man, mencecah AS$821.7 juta yang banyak masuk dalam poket Sony Pictures (Barnhardt, 2021).
Jadi pihak Marvel Studios terpaksa melopong. Spider-Man 2 dan Spider-Man 3 siap bermegah-megahan dengan prestasi sama. Marvel Studios tidak dapat menumpang kejayaan siri X-Men yang dibolot 20th Century Fox.
Mereka tenang merangka strategi pendanaan. Harapan mereka berada pada bahu siri Blade yang benar-benar menjadi dalam pasaran. Blade berjaya membentuk sokongan (audienceship) sendiri, sampai boleh ada dua sekuel.
Pendekatan All-Or-Nothing
Kejayaan Spider-Man sebenarnya tidak merugikan langsung. Pihak Marvel Studios masih mempunyai hala tuju jelas. Cuma yang menghalang adalah faktor kewangan sahaja.
Kejayaan Blade (dan reputasi Avi Arad) meyakinkan pihak Merrill Lynch untuk beri pelaburan sebanyak AS$525 juta kepada Marvel Studios.
Pendekatan ini memang berisiko tinggi. Seandainya gagal, Marvel Studios akan berkubur terus… kerana mereka menggadaikan watak Ant-Man, The Avengers, Black Panther, Captain America, Cloak & Dagger, Doctor Strange, Hawkeye, Nick Fury, Power Pack dan Shang-Chi.
Bayangkan jika gagal – takkan ada MCU. Jadi mereka wajib buat filem sepantas kilat untuk membayar balik (Vincent, 2005).
Dan Marvel Studios berjaya. Mereka membina sebuah ensemble dengan filem-filem berindividu dulu… supaya semua kenal watak terus apabila The Avengers keluar.
Cuba tengok kenapa Eternals tidak gah macam Avengers. Terlalu banyak watak. Terlalu banyak backstory. Sampai plot utama tidak dapat ruang yang cukup. Eternals mengumpulkan banyak adiwira seperti Sersi, Ikaris, Kingo dan sebagainya.
Avengers pun dua kali lima, dengan Tony Stark, Thor dan Steve Rogers. Cuma bezanya, satu dunia sudah kenal tiga watak Avengers sebelum The Avengers keluar. Berbeza dengan Eternals.
Selain daripada filem, Marvel Studios juga berani menceburi industri televisyen. Siri Hawkeye bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi. Episod terakhir mungkin akan tunjuk jika perancangan Valentina Allegra de la Fontaine akan berjaya atau gagal.
Dan WandaVision benar-benar membuka minda orang ramai tentang masalah psikologi akibat konflik.
Satu yang menarik tentang Marvel, mereka bangkit bukan setakat dengan cerita. Tetapi watak-watak mereka benar meninggalkan kesan kepada penonton.
Itulah rahsa kebangkitan Marvel Studios, yang hari ini sudah dapat balik hak X-Men selepas Disney beli 20th Century Fox… dan mereka juga berjaya main catur sampai Sony akur pada tuntutan mereka.
RUJUKAN:
Barnhardt, A. (2021, Disember 15). How the Hell Did Sony Get Spider-Man’s Movie Rights Anyway? Comicbook.
Fritz, B. (2009, September 23). Disney tells of Marvel Entertainment acquisition in a regulatory filing. Los Angeles Times.
Vincent, R. (2005, September 6). Marvel to make movies based on comic books. Los Angeles Times.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih