Mengapa kebanyakan entiti-entiti yang pernah menguasai dunia dalam sejarah suatu ketika dahulu, hari ini hanyalah sebuah negara kecil yang biasa-biasa saja? Ini satu soalan yang menarik.
Memiliki sejarah masa silam yang “gemilang” bukanlah punca kepada hasil pada hari ini. Ia terpakai kepada mana-mana bangsa.
Aku pernah terangkan mengenai sejarah Empayar Mongol dan negara Mongolia moden. Bangsa Mongol pernah memerintah empayar daratan terbesar dalam sejarah.
Namun kini Mongolia menjadi agak tidak relevan dari perspektif geopolitik. Ia tidak lagi memerintah angkatan tentera yang kuat. Ia juga tidak memegang kuasa ekonomi terbesar.
Aku tak bermaksud nak mengatakan yang Mongolia adalah negara yang teruk. Cuma mereka tidak lagi memegang banyak kuasa di peringkat antarabangsa seperti dahulu kala.
Kali ini aku hendak cakap mengenai negara Uzbekistan pula. Wilayah yang kini dikenali sebagai Republik Uzbekistan pernah melahirkan beberapa tokoh raja dan penak.luk terhebat dalam sejarah.
Salah seorang darinya siapa lagi kalau bukan Amir Timur, lelaki yang pernah menye.rang Georgia, menundukkan Uthmaniyah, dan mengalahkan dinasti Tughlaq Kesultanan Delhi.
Uzbekistan melahirkan salah satu empayar terbesar di Asia. Namun kini ia hanyalah sebuah negara kecil yang memegang sedikit atau hampir tiada langsung kuasa atau pengaruh politik di peringkat antarabangsa.
Memiliki sejarah yang berwarna-warni atau memiliki warisan beberapa empayar yang agung ternyata tak banyak membantu sesebuah negara dalam dunia moden. Kecuali untuk sektor pelancongan.
Mungkin ada satu faktor yang ramai orang gagal memberi kredit apabila berbicara soal ini. Ini terpakai kepada semua negara Asia Tengah. Ia juga terpakai kepada Afghanistan, kerana ramai orang tertanya-tanya bagaimana pusat empayar besar itu menjadi begitu lemah.
Faktor itu ialah perdagangan maritim, atau lebih khusus lagi, kebangkitan dan penguasaan perdagangan maritim yang mengatasi laluan perdagangan darat. Selama beribu-ribu tahun, Asia Tengah makmur kerana perdagangan antara Asia Timur, Asia Selatan, Asia Barat dan Eropah.
Tak kira ke mana mereka perlu pergi, yang pasti mereka perlu melalui wilayah ini, iaitu Jalan Sutera kuno. Laluan perdagangan ini menjadikan kota dan pekan yang berada di dalam laluannya kaya dan memberi mereka kuasa politik yang besar.
Selepas Empayar Uthmaniyah menak.luki Konstantinopel pada tahun 1453, kuasa-kuasa Eropah mula memilih jalan laut sebagai alternatif perdagangan.
Ini juga mendorong kepada penja.jahan terhadap wilayah-wilayah di Asia Tenggara lalu memulakan era perdagangan maritim secara global. Kesannya mencapai sejauh dari Kepulauan Melayu hingga ke Filipina moden, bahkan benua Amerika.
Peningkatan perdagangan maritim mengakibatkan Jalan Sutera digantikan dengan sistem laluan perdagangan yang lebih cekap dan lebih baik. Ini pada dasarnya telah melucutkan kuasa dan kekayaan Asia Tengah dan Afghanistan.
Satu lagi sebab utama mengapa wilayah Uzbekistan menjadi begitu lemah adalah berkaitan dengan Kekhanan Bukhara. Shaybaniyah merampas kuasa Timuriyyah dan menghalau mereka keluar dari tanah air mereka.
Raja Timuriyyah terakhir yang memegang kuasa ialah Babur, yang akan meneruskan legasinya dengan mengasaskan Empayar Mughal di India. Shaybaniyah akan membentuk Kekhanan Bukhara yang kemudiannya akan diperintah oleh dinasti-dinasti yang berbeza.
Ini adalah permulaan pe.rang tiga hala dengan Afghanistan dijadikan tapak medan pe.rang. Para peserta ialah Dinasti Safawiyyah dari Parsi, Empayar Mughal dari India dan Kekhanan Bukhara dari Asia Tengah.
Dari kesemua kuasa-kuasa ini, mereka yang paling lemah ialah Kekhanan Bukhara. Lebih memburukkan keadaan, peningkatan perdagangan maritim membantu dua kuasa yang lain bertambah makmur, manakala Kekhanan Bukhara jauh ketinggalan.
Hubungannya yang buruk dengan kuasa-kuasa yang lain turut menyebabkan mereka menghadapi banyak sekatan perdagangan juga.
Kemudian muncul pula kebangkitan kuasa Eropah. Kekhanan Bukhara telah digantikan oleh Emiriah Bukhara pada tahun 1785. Kemudian, dek kerana kurangnya pendekatan dan inisiatif pemodenan, ia kehilangan banyak wilayah di tangan Empayar Rusia.
Akhirnya Emiriah Bukhara hanya menjadi sebuah negeri bawahan sebelum diserap sepenuhnya oleh Negara Soviet yang baru.
Punca kepada mengapa mereka gagal mencegah ancaman Rusia adalah punca yang sama menyebabkan seluruh Asia jatuh. Keangkuhan dan keengganan untuk menerima pembaharuan dan mengikuti perkembangan zaman.
Pengepungan Samarkand berperanan sebagai contoh yang sempurna untuk alasan ini. Kira-kira 500 tentera Rusia bertahan melawan musuh yang berjumlah lebih 20 kali ganda dari mereka, dan mereka berjaya mengalahkan tentera Emiriah Bukhara.
Faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah pemecahan Asia Tengah kepada negeri-negeri etnik yang lebih kecil. Ini membataskan lagi kuasa orang Turkik di rantau ini dan melucutkan kuasa politik sebenar mereka.
Turar Ryskulov dan orang-orang sepertinya ingin membentuk sebuah negara tunggal komunis Turkestan di Asia Tengah. Tapi akhirnya mereka gagal dan Asia Tengah dibahagikan mengikut garis etnik dalam persempadanan negara di Asia Tengah pada tahun 1924.
Turar Ryskulov terbu.nuh semasa kempen The Great Pu.rge. Sekiranya agenda dia berjaya, Asia Tengah mungkin menjadi sebuah negara besar Turkestan yang bersatu hari ini.
Jangan lupa, Uzbekistan adalah negara yang masih sangat muda yang mencapai kemerdekaannya selepas kejatuhan Soviet pada tahun 1991. Masih banyak masa bagi mereka untuk membangun dan mengubah dirinya menjadi sebuah negara yang hebat dan berjaya.
Walau bagaimanapun, ia tak mungkin akan menjadi lebih kuat seperti masa lalu di bawah Empayar Timuriyyah dalam masa terdekat ini. Memandangkan kini Uzbekistan hanyalah sebuah negara kecil dengan populasi hanya kira-kira 30 juta penduduk.
Kemudian mereka perlu menelan hakikat bahawa mereka adalah negara yang terkurung di atas daratan yang terpaksa bergantung kepada kuasa lain untuk meneruskan perdagangan. Selain itu, mereka juga tidak benar-benar mengawal bekalan sumber airnya sendiri.
Yang paling penting, geografi mereka ada masalah besar kerana tersepit di halaman belakang Rusia dan China, iaitu dikelilingi oleh negara-negara Asia Tengah lain yang dipengaruhi Rusia dan China.
Nasib mereka dengan Mongolia hari ini tak jauh bezanya, kedua-duanya memiliki sejarah bangsa yang penuh gemilang, namun mereka hari ini menjadi terpencil kerana beberapa faktor terutamanya kuasa politik yang lemah dan geografi yang jauh dari lautan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih