1. Korea Utara Darul Juche. Itulah nama gelaran yang diberikan oleh admin RAD pada Korea Utara selepas saya melahirkan suara hati untuk menulis mengenai Korea Utara. Artikel kali ini akan mengupas realiliti yang berlaku pada negara Korea Utara, pada kaca mata dua orang rakyat Korea yang memilih untuk memalingkan kesetiaan mereka daripada pemimpin agung mereka, iaitu Lee Hyeon-seo dan Park Yeon Mi yang mengupas tentang realiti di negara mereka dalam dua buah buku mereka, iaitu The Girl With Seven Names dan juga In Order To Lives.

2. Korea Utara ialah sebuah negara yang mengamalkan idealogi Juche, yang saya kirakan ialah gabungan beberapa idealogi seperti nasionalisme, fasisme dan komunisme lalu diadaptasikan pada negara bangsa Korea, dengan usaha untuk mencipta “cult” sekitar Keluarga Kim yang merupakan pemerintah Korea Utara. Anda akan lebih memahami idealogi Juche yang dijunjung oleh Korea Utara selepas menyelami artikel ini bersama saya.

3. Sejarah bangsa Korea adalah sangat panjang. Mereka pernah berpecah kepada tiga kerajaan, ketika period yang dikenali Zaman Tiga Kerajaan versi Korea, persis zaman Tiga Kerajaan di China ketika era kejatuhan Dinasti Han dan ke arah penubuhan Dinasti Jin. Bakeje, Silla dan Goryeo saling berperang antara satu sama lain sebelum disatukan oleh Goryeo, yang kemudian akan digantikan oleh Dinasti Joseon daripada 1392 Masihi sehinggalah pada 1897 Masihi apabila Korea memasuki zaman Empayar Moden yang agak pendek selepas dijajah oleh Jepun.

4. Selepas kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua, maka berakhirlah penjajahan Jepun ke atas Bumi Korea, membawa dua kuasa dunia ke bumi Korea iaitu Soviet dan USA. Memandangkan bahagian Utara lebih dekat dengan Soviet, ketika itu fahaman komunisme sedang bercambah di sana. Di selatan Korea pula, mereka lebih dekat dengan fahaman kapitalisme. Rundingan awal antara Soviet dan USA untuk mewujudkan negara bangsa Korea yang bersatu gagal kerana perbezaan ideologi antara Utara dan Selatan, sehingga akhirnya menjurus kepada Perang Korea.

5. Apabila pemimpin agung Korut yang pertama, Kim Il-Sung meminta bantuan daripada Soviet untuk menyerang bahagian Selatan Korea, memandangkan ketika itu pengaruh komunis sedang semakin melemah. Ketika tentera USA hampir kesemuanya sudah beredar dari selatan Korea, maka dengan restu Stalin, Kim Il-Sung melancarkan serangan ke atas Korea Selatan, memulakan Perang Korea. Akhirnya selepas perang yang hanya berkesudahan dengan kehilangan nyawa yang berjuta, sebuah perjanjian dimeterai menetapkan sempadan Korea Utara dan Selatan Moden yang kita kenali hari ini.

6. Apabila terpisah satu bangsa menjadi dua kerana ideologi, maka bermulalah dua episod yang berbeza untuk abang dan adik. Puluhan tahun kemudian, lahirlah dua anak gadis yang akan menjadi mangsa kepada kekacauan perbezaan idealogi.

7. Korea Utara ketika Lee Hyeon-seo dan juga Park Yeon Mi lahir sudah semakin berbeza apabila dinasti Kim mengambil alih. Mereka menjadi sebuah negara paling terisolasi daripada kancah dunia. Dinasti Kim memerintah dengan penuh propaganda dan kuku besi. Mungkin kita tidak akan melihat dasar kuku besi yang sekeras yang pernah kita lihat di Korea Utara.

8. Untuk memastikan takhta Dinasti Kim ini kekal bertakhta, anda bakal dihidangkan dengan propaganda paling tersusun, tetapi sangatlah jijik untuk ditatap. Jadi, dari mana ya kita mahu bermula? Oh ya kata orang Melayu kita, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkin itulah yang menjadi pegangan Dinasti Kim.

9. Propaganda mungkin bermula di rumah. Secara tidak langsungnya. Kononnya setiap rumah di Korea Utara akan menggantung gambar pemimpin mereka. Kim Il-Sung ketika usia mudanya, dalam uniform gerila komunis ketika beliau memimpin prajuit komunis menentang penjajah Jepun. Kemudian, foto Kim Jong-Il akan tergantung disebelah Kim Il-Sung. Setiap hari, kebanyakan keluarga Korea akan tunduk hormat di hadapan foto pemimpin mereka. Tidak akan ada sebarang foto di dalam rumah kebanyakan keluarga di Korea Utara yang akan berada pada paras yang lebih tinggi daripada foto pemimpin agung mereka. Bahkan kalau ada benda yang dijaga seperti nyawa sendiri, dan digilap setiap hari agak akan berkilat dalam setiap rumah keluarga di Korea Utara, saya akan bertaruh bahawa sudah tentu pemimpin agung mereka.

10. Selalu berlaku, peristiwa seperti banjir besar yang menenggelamkan rumah, atau kebakaran, maka benda yang akan diselamatkan selepas ahli keluarga ialah foto pemimpim agung mereka. Bahkan siap ada yang mati menyelamatkan gambar-gambar ini. Contohnya, seorang ketua keluarga lebih rela lemas di dalam air bah sambil menjulang gambar pemimpin mereka, agar tidak terkena air. Berita kematian ini kemudian akan ditayangkan di satu-satunya siaran televisyen yang dibenarkan oleh kerajaan Korea Utara. Oh, sudah tentu untuk menyebarkan propaganda mereka. Rakyat Korea Utara akan digalakkan untuk mencontohi “para syuhada” yang sanggup mati untuk pemimpin agung mereka. Propaganda lain yang dimainkan di televiysen akan menunjukkan betapa saban hari pemimpin agung mereka melawat ke tapak-tapak dan lokasi yang menjadi punca sepencarian Korea Utara.

11. Kemudian, pada usia sekitar 6 hingga 7 tahun, anda akan mula bersekolah. Maka, bermulalah proses “brain-wash” secara langsung berlaku pada setiap anak kecil malang Korea Utara. Silabus-silabus di Korea Utara kebanyakannya akan berkisarkan tentang keluarga Kim. Anda bayangkan, ketika hari pertama anda di sekolah, guru yang memasuki kelas anda akan memulakan kisah bagaimana pemimpin agung pertama Korea Utara dikatakan dilahirkan di salah satu gunung suci dalam sejarah Korea iaitu Gunung Baekdu. Kononnya kelahirannya disambut oleh dua buah pelangi dan bintang pula berkelip dengan sangat indah pada hari kelahirannya. Kononnya, hari kelahiran Kim Il-Sung disambut oleh seluruh dunia. Bahkan kisah-kisah mistik menyelubungi pemimpin mereka seperti mampu mengawal cuaca, kononnya dia telah menulis 15 buah buku ketika 3 tahun belajar di universiti, seorang genius perang yang hebat.

12. Setiap pelajar akan “didera” untuk menghafal 10 ikrar yang biasanya melibatkan kesetiaan mereka pada pemimpin agung mereka setiap hari. Ikrar ini akan dilafazkan dan dilafazkan setiap hari sehingga ia jadi sebahagian daripada darah daging.

13. Biasanya setiap pelajaran akan diselitkan dengan propaganda anti USA dan Korea Selatan. Kulit hadapan kebanyakan buku teks sekolah di Korea Utara akan ditampal dengan poster propaganda yang memaparkan tentera Amerika sedang menyeksa orang Korea, atau tentera Korea membunuh tentera Amerika. Kalau anda mempelajari sejarah, anda selalu diingatkan bahawa yang mencetuskan Perang Korea ialah Korea Selatan dan USA, tetapi hakikat sebenarnya Kim Il-Sung ialah dalang utama dengan bantuan Soviet.

Kalau dalam pelajaran geografi, buku teks Korea Utara akan menempatkan gambar tanah yang berlumpur yang memaparkan bagaimana kononnya ladang-ladang di Korea Selatan tidak subur. Kononnya rakyat Korea Selatan sedang kebuluran dan mereka mengimpikan tanah di Korea Utara yang lebih subur. Namun, pemimpin agung mereka mempertahankan Korea Utara sehinggalah berjaya menyingkarkan USA yang kononnya menggunakan saudara sebangsa mereka di Korea Selatan. Bahkan, propaganda ini turut disematkan dalam subjek Matematik. Bayangkan… permasalahan matematik akan berbunyi lebih kurang seperti dibawah.

“Kim Il-Sung berjaya menembak 7 orang tentera Yankee (panggilan Korea Utara untuk USA) daripada 30 orang. Berapakah jumlah tentera Yankee yang tinggal?”

14. Senang cerita, setiap hari, anda akan ditanamkan dengan propaganda yang memfokuskan kepada The Holy Trinity Of North Korea. Tak akanlah tak ada yang cuba bangkit menentang rejim Dinasti Kim ini? Sudah tentu ada! Tetapi, langkah-langkah diktator yang digunakan oleh mereka sangatlah berkesan. Bahkan sehinggakan hari ini, mereka masih lagi dipuja sebagai wira.

15. Contohnya, Dinasti Kim akan memastikan bahawa tiada ideologi cuba masuk ke dalam negara mereka. Agama dilarang sekali untuk bertapak di sana, adapun hanya untuk golongan elit sahaja. Sebagai contoh, musuh utama Dinasti Kim iaitu Kapitalisme. Anda tahu tak kebanyakan perniagaan anda akan dikawal oleh Dinasti Kim. Bukan semua orang mempunyai akses penuh untuk berniaga. Hatta anda meniagakan sebatang rokok pun adalah kesalahan yang sangat berat. Justeru, kebanyakan rakyat Korea Utara yang tidak diberikan akses perniagaan ini akan berniaga di pasaran gelap.

16. Anda adalah dilarang untuk mendengarkan lagu-lagu atau menonton filem dari luar negara. Anda perlu akur dengan lagu-lagu dan filem yang disediakan oleh kerajaan anda. Sudah tentu, hiburan yang ditawarkan adalah yang sudah diperam dengan proganda demi propaganda. Anda akan dianggap sebagai pengkhianat kalau tertangkap mendengar lagu Bon Jovi bertajuk Always, atau menonton filem Train To Busan dari Korea Selatan. Tetapi bukannya tidak ada tersebar di kalangan rakyat Korea Utara. Mereka akan mendapatkannya dari pasaran gelap, terutama bandar dan pekan yang bersempadan dengan China. Stok-stok ini akan datang dari China.

17. Untuk menghalang sebarang pemberontakan yang berlaku, rakyat Korea Utara sejak kecil sudah dididik untuk menjadi seorang yang penjaga tepi kain orang. Pada kadar hari tertentu, guru anda menyuruh setiap pelajar berdiri dan melaporkan tentang perkara yang mereka lihat agak mencurigakan, tidak senang atau kelihatan tidak cukup “Korea Utara” pada rakan-rakan mereka. Biasanya, para pelajar akan dipilih secara rawak.

18. Tradisi ini bersambung di tempat kerja. Majikan akan menyoal setiap pekerja mereka, menyuruh mereka melaporkan sesuatu. Setiap pekerja pula wajib melaporkan perkara yang mencurigakan pada pandangan mata mereka, untuk melihatkan mereka benar-benar setia pada negara mereka. Ini akan mewujudkan paranoid dalam setiap jiwa rakyat Korea Utara kerana terbukti, sikap jaga tepi kain orang turut dibawa luar dari alam persekolahan dan pekerjaan. Anda akan diperhatikan oleh setiap jiran kawasan perumahan, rakan dan taulan, dan kalau anda kelihatan mencurigakan, anda akan dilaporkan pada pihak berkuasa.

19. Perlu diketahui bahawa di Korea Utara juga terdapat sistem kasta yang sangat unik yang dipanggil sebagai Sistem Songbun. Kasta tertinggi dikenali sebagai Kelas Loyal, melibatkan mereka-mereka yang yang terbukti ikut berperang melawan pendudukan Jepun, atau berpihak dan terlibat dalam Perang Korea. Kasta kedua pula Kelas Neutral, yang melibatkan majoriti rakyat Korea Utara manakala Kelas Hostile ialah kelas yang menempatkan musuh-musuh politik pemimpin agung mereka, mereka yang tidak memihak kepada Korea Utara ketika perang atau terbukti membantu penjajah Jepun. Kebanyakan rakyat Korea tidak berani untuk melakukan sesuatu diluar kebatasan mereka kerana takut untuk terjerumsu ke kasta paling bawah dalam masyarakat Korea Utara.

20. Lagipun, anda memang akan diajarkan dengan doktrin tidak ada yang lebih besar daripada Holy Trinity Korea Utara. Bayangkan, ketika anda berkahwin, gambar pra-perkahwinan atau selepas perkahwinan anda, anda harus bergambar di bawah patung gangsa milik Kim Il-Sung, menandakan betapa kuat pun cinta anda suami isteri, anda harus ingat sesungguhnya tidak ada yang lebih kuat daripada cinta pemimpin agung anda!

21. Bahkan anda akan terkejut bercakap tentang hukuman yang diterapkan di Korea Utara. Kesalahan yang nampak kecil di mata anda, akan membawa kepada hukuman mati. Sebagai contoh, ketika kematian Kim Il-Sung, ada mereka yang terbukti melakukan aktiviti seludupan di Korea Utara, namun perbuatannya dianggap biadap lalu dihukum bunuh secara tembak di tempat awam. Ia boleh jadi di tepi jalan, di bawah pokok, di dataran dan lapangan. Tentera akan menembak kepala, tubuh, dan kaki secara berkala.

22. Bercakap tentang kematian pemimpin agung mereka, saya ada kisah untuk dikongsikan. Selalunya apabila kes kematian Kim Il-Sung dan Kim Jong-Il dulu, sekolah, pejabat, kilang-kilang dan lombong akan ditutup untuk menangisi pemergian mereka, Kebiasaan rakyat Korea akan berkumpul diluar, sama ada dataran, di jalanan, di kaki lima semata-mata untuk menangisi pemergian mereka. Contohnya, para pelajar akan berkumpul di dataran untuk menangis selama berjam-jam. Anda akan diperhatikan sekiranya tidak menangis, atau dicurigai tidak menangis dengan bersungguh-sungguh! Kalau anda ketawa ketika orang lain menangis, percayalah mungkin hukuman mati akan menanti anda!

23. Kebebasan tidak pernah wujud dalam kamus hidup rakyat Korea Utara. Karier anda akan ditentukan oleh pemerintah dalam kebanyakan waktu. Berimpian untuk menjadi penulis novel seperti saya, atau untuk menjadi ahli perniagaan hampir tidak wujud dalam hidup mereka. Bahkan, untuk melancong ke negeri lain di dalam Korea Utara juga dikawal oleh kerajaan. Anda perlu memiliki “travel pass” untuk membolehkan anda menaiki kereta api lama di Korea Utara, singgah ke negeri yang lain.

24. Namun, kebanyakan kesedaran mula timbul dalam diri kebanyakan rakyat Korea Utara ketika Kebuluran Besar melanda Korea Utara pada 1994–1998. Selepas kejatuhan Soviet dan kebanyakan negara komunis, ekonomi Korea Utara terus runtuh kerana hilang kebergantungan pada Soviet. Bekalan makanan semakin berkurangan dan akhirnya kebuluran meletus. Dikatakan bahawa jumlah kematian mencecah daripada 350, 000 sehingga 3.5 juta orang kerana kekurangan zat makanan, memaksa negara lain dan PBB untuk membantu kerajaan Korea Utara yang jelas tidak mampu menangani keruntuhan ekonomi tersebut.

25. Namun, ternyata kebuluran yang memakan jutaan nyawa tersebut pun tidak mampu menyedarkan majoriti rakyat Korea Utara, untuk menggulingkan rejim yang paling diktator di dunia. Bahkan kesempatan yang wujud diambil alih pula oleh Dinasti Kim untuk mencipta propaganda bahawa USA dan Korea Selatan yang bertanggungjawab ke atas Kebuluran Besar tersebut, dan menyeru setiap rakyat Korea Utara untuk berdiri di belakang Dinasti Kim. Ironinya, USA dan Korea Selatan adalah penyumbang bantuan makanan ketika Kebuluran Besar ini berlaku.

Bacaan Lanjut:

1. Hyeonseo Lee & David John. (2015) The Girl With Seven Names: A North Korean Defector’s Story.

2. Park, Yeonmi & Maryanne Vollers. (2015) In Order to Live: A North Korean Girl’s Journey to Freedom.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.