Selepas lapan tahun memegang tampuk pemerintahan Jerman, akhirnya pada 22 Jun 1941, Adolf Hitler melancarkan Operasi Barbarossa, iaitu serangan ke atas Soviet Union yang merupakan cita-cita dan impian agung Hitler dalam menjatuhkan negara ‘Yahudi-Komunis’ berkenaan. Hampir empat juta tentera menyerang sempadan Soviet Union sepanjang 2,900 km, menjadikan ia serangan paling besar dalam sejarah manusia!

Peta menunjukkan Kuasa Paksi (Hitam), Pihak Berikat (Hijau) dan Soviet Union (Merah) sebelum 22 Jun 1941.

Sebelum Barbarossa

Poland, Denmark, Norway, Perancis, Czechoslovakia, Yugoslavia, Greece dan Afrika Utara. Boleh dikatakan seluruh Eropah telah jatuh ke tangan Nazi Jerman dan sekutunya. United Kingdom (British), merupakan kuasa terakhir yang masih lagi belum dijajah dan dikuasai oleh kuasa Paksi berkenaan.

Jerman pernah melakar pelan untuk mendarat di Tanah Besar British dalam Operasi Singa Laut (Operation Sea Lion) tetapi tidak mampu dilaksanakan kerana kesukaran bagi Jerman untuk menyeberang Selat Inggeris. Hitler tidak mahu berperang dengan British. Malah, beliau telah beberapa kali menghantar delegasi untuk berdamai. Namun, Perdana Menteri British, Winston Churchill menolak mentah-mentah cadangan perdamaian yang diajukan oleh Hitler. Churchill mahu lawan secara habis-habisan.

Hal ini menyebabkan Hitler mengarahkan Komander Turus Tentera Udara Jerman (Luftwaffe), Reichsmarchall Hermann Goering untuk mengubah strategi. Goering berpendapat bahawa, Luftwaffe perlu mengebom bandar-bandar utama British seperti London, Liverpool, Machester, Dover, Reading dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk melemahkan semangat rakyat British supaya mendesak Churchill untuk berdamai.

Namun, British berdiri teguh. Semangat rakyat masih tinggi. Goering ternyata menyedari kesilapan beliau dimana bukan moral rakyat yang perlu dimusnahkan tetapi kapal-kapal terbang mereka (Royal Air Force). Kegagalan Jerman untuk berdamai dengan British menyebabkan Hitler hilang sabar. Hitler mahu merealisasikan cita-cita agung beliau; Kemusnahan secara total terhadap negara Komunis paling besar di dunia iaitu Soviet Union.

Perjanjian Molotov-Ribbentrop

Premier Soviet Union Joseph Stalin, berjabat tangan dengan Menteri Luar Jerman, Joachim von Ribbentrop (kiri) sejurus menandatangani Perjanjian Molotov-Ribbentrop.

Perjanjian ini ditandatangani pada 23 Ogos 1939, merupakan satu perjanjian sulit diantara Nazi Jerman dan Soviet Union. Perjanjian ini mempunyai beberapa isi yang menarik. Jerman dan Soviet berjanji tidak akan berperang antara satu sama lain. Jerman dan Soviet berjanji tidak akan menganggu kawasan-kawasan yang berpengaruh dimana Jerman akan menguasai Eropah Barat dan Eropah Tengah manakala Soviet akan menguasai wilayah Eropah Timur. Secara dasarnya, perjanjian ini dibuat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dua hala dan meningkatkan persefahaman. Ini merupakan wayang politik sahaja.

Poland menjadi mangsa utama dalam perjanjian ini. Hitler sudah lama mengidamkan kawasan-kawasan di Eropah Timur supaya digunakan kepada rakyat Jerman untuk diusahakan dan membiak. Untuk mengelakkan persengketaan dengan Soviet Union, Hitler menandatangani Perjanjian Persefahaman Non-Aggression Molotov-Ribbentrop. Nama perjanjian ini diambil sempena nama menteri luar kedua-dua buah negara iaitu Joachim von Ribbentrop dan Vyacheslav Molotov.

Pada 1 September 1939, Poland diserang Jerman. Serangan ini membuatkan British dan Perancis mengisytihar perang terhadap Jerman. Maka, terjadilah Perang Dunia Kedua. Pada 17 September 1939, Soviet Union memasuki Poland dengan alasan untuk melindungi orang-orang Ukraine di situ dan juga menghalang Jerman untuk terus menjarah Poland. Maka, British dan Perancis tidak mengisytihar perang terhadap Soviet Union.

Disebabkan perjanjian ini, Eropah terbahagi kepada dua, di sebelah barat akan dipengaruhi oleh pihak Jerman dan disebelah timur akan dipengaruhi oleh Soviet Union. Perjanjian ini juga memberikan kelebihan buat kedua-dua buah negara dari segi ekonomi dan ketenteraan. Kelebihan ini digunakan sepenuhnya oleh Jerman untuk menampung keperluan peperangan mereka. Manakala Soviet Union menggunakan peluang ini untuk mengetahui kehebatan senjata-senjata buatan Jerman seperti model kereta kebal, Panzer.

Namun, bagi Hitler, beliau sudah lama mahu menjarah negara Komunis berkenaan. Beliau tidak percaya yang beliau boleh berkerjasama dengan mereka. Bagi Hitler, Soviet Union merupakan suatu konspirasi jahat yahudi untuk menakluk Eropah. Dalam bukunya, Mein Kampf, Hitler menulis mengenai bahaya ancaman yahudi yang telahpun memusnahkan Jerman dari dalam selepas Jerman kalah ketika Perang Dunia Pertama. Oleh hal yang demikian, yahudi dan bangsa-bangsa yang bawahan di timur perlulah dihapuskan.

Soviet Union Sebelum Serangan

Memang terdapat ura-ura bahawa serangan Jerman ke atas Soviet Union adalah pasti. Pengintip terkenal Soviet, Richard Sorge adalah individu yang mengetahui bahawa Jerman berniat untuk menyerang Soviet Union pada musim panas 1941, tetapi tidak didehkan tarikh. Namun Stalin menganggap maklumat ini merupakan maklumat palsu. Stalin tidak mahu menerima maklumat ini kerana bimbang Jerman akan “berkecil hati”. Stalin percaya yang Hitler tidak akan mengingkari Perjanjian Molotov-Ribbentrop setelah baru sahaja 2 tahun ditandatangani.

Marshal Tukhachevsky merupakan salah seorang mangsa pembunuhan politik Stalin. Beliau merupakan pemikir strategic ketenteteraan. Beliau, seperti ramai yang lain ditahan dan ditembak kerana Stalin tidak mahu mereka membuat Coup d’etat.

Oleh itu, Stalin tidak langsung berasa bimbang. Hanya penasihat-penasihat kanan dan panglima-panglima perang Soviet sahaja yang mengetahui betapa seriusnya keadaan pada ketika itu. Soviet Union ketika itu sangat cacat. Kekuatan ketenteraan mereka tidak setanding dengan apa yang Hitler ada walaupun mempunyai bilangan tentera yang ramai. Bukan itu sahaja, ramai pegawai-pegawai senior dan berpengalaman dalam Angkatan Tentera Soviet (Red Army) telah dibunuh seperti pemikir strategi tentera terkenal Marshal Mikhail Tukhachevsky.

Hal ini dibuktikan ketika Perang Musim Sejuk antara Soviet Union dan Finland pada tahun 1939. Perang tersebut menunjukkan betapa kunonya taktik yang digunakan oleh Tentera Merah (Red Army) dalam misi menawan Finland walaupun berkuatan lima kali ganda. Melihat situasi perang tersebut Hitler yakin bahawa Jerman akan menang besar jika menyerang Soviet Union jika begini lah taktik yang digunakan oleh Soviet. “Kita hanya perlu tendang pintu depannya, nescaya runtuhlah segala tiang, bumbung, dinding dan segala-galanya yang ada pada Soviet Union”.

“Kita hanya perlu menendang pintu depan mereka, nescaya segala mak nenek yang ada dekat dalamnya akan roboh semua sekali” kata Hitler kepada von Brauchitsch.

Pelan Jerman Terhadap Serangan Ke Atas Soviet Union

Sejak 1940, berbagai-bagai pelan sudah dirangka mengenai apa yang perlu dibuat, sebelum, semasa dan selepas serangan ke atas Soviet Union. Ramai pihak melarang Hitler untuk menyerang Soviet Union dan menfokuskan kepada Britain dahulu. Namun Hitler tetap berkeras mahu menyerang Soviet Union. Hitler yakin bahawa sistem di dalam Soviet Union begitu lemah dan kemenangan akan dikecapi dengan cepat.

Dalam operasi ini, Hitler mahu Soviet Union hancur sehancur-hancurnya seperti Poland. Tanah-tanah di Soviet Union akan diberikan kepada rakyat Jerman yang akan di migrasikan dalam program Lebensraum. Perang ini, menurut Hitler, merupakan perang penghapusan bangsa, perang ideology dan perang sehapus-hapusnya sehinggakan tiada apa lagi buat ‘yahudi-komunis’ untuk memerintah.

Operasi Barbarossa, merupakan pelan rancangan yang dipersetujui oleh semua pihak. Dalam operasi ini, Jerman mengklasifikasikan tiga objektif penting; Leningrad di utara, Moscow di tengah dan Kaukasus di selatan yang melibatkan unit tentera daripada Jerman (khususnya), Finland, Romania, Hungary, Slovakia dan Italy. Terdapat Tiga Kumpulan Tentera (Army Group) yang akan diperjudikan dalam operasi ini;

Pelan Operasi Barbarossa

Army Group North (Kumpulan Tentera Utara); pimpinan Field Marshal Wilhelm von Leeb.

– Tentera Panzer Keempat (4th Panzer Army); Colonel-General Erich Hoepner.
– Tentera Keenambelas (16th Army); Colonel-General Ernst Busch.
– Tentera Kelapanbelas (18th Army); Colonel-General Georg von Kuchler.
– Tentera Polis Tentera, Simpanan, dan Aset-aset lain.
– Tentera Finland di Utara; Field Marshal Emil Mannerheim.

Objektif Marshal von Leeb adalah untuk memimpin tenteranya untuk menakluk bandar Leningrad (St. Petersburg) dengan melalui negara-negara Baltik di utara. Beliau akan dibantu oleh pasukan kapal terbang Luftwaffe, Luftlotte 1 (Air Fleet 1) dan Luftlotte 5 (Air Fleet 5). Dalam misi ini juga, beliau diberikan satu kali pasukan kereta kebal (4th Panzer Army) untuk menjayakan lagi misi menawan Leningrad.

Army Group Center (Kumpulan Tentera Tengah); Field Marshal Fedor von Bock.

– Tentera Panzer Kedua (2nd Panzer Army); Colonel-General Heinz Guderian.
– Tentera Panzer Ketiga (3rd Panzer Army); Colonel-General Hermann Hoth.
– Tentera Keempat (4th Army); Field Marshal Gunther von Kluge.
– Tentera Kesembilan (9th Army); Colonel-General Adolf Strauss.

Objektif Marshal von Bock adalah untuk membawa tenteranya untuk menakluk Moscow, ibu negara Soviet Union dengan melalui kawasan hutan berpaya Pripyet Marsh, Belarus di tengah. Beliau akan dibantu oleh armada Luftwaffe terkuat sekali iaitu Luftlotte 2 (Air Fleet 2). Dua pasukan kereta kebal akan diberikan kepada von Bock untuk merealisasikan misi menawan Moscow (2nd Panzer dan 3rd Panzer Armies).

Army Group South (Kumpulan Tentera Selatan); Field Marshal Gerd von Rundstedt.

-Tentera Panzer Pertama (1st Panzer Army); Colonel-General Paul von Kleist.
-Tentera Keenam (6th Army); Field Marshal Walter von Reichenau.
-Tentera Kesebelas (11th Army); Colonel-General Eugen von Schobert
-Tentera Ketujuhbelas (17th Army); General Carl-Heinrich von Stuplnagel.
-Kumpulan Tentera Romania; Marshal Ion Antonescu
– Tentera Ketiga Romania; Lt. Gen. Petre Dumiretscu.
– Tentera Keempat Romania; Lt. Gen. Nicolae Ciuperca.

Objektif Marshal von Rundstedt adalah untuk menyerang tenteranya dari Romania dan selatan Poland terus menusuk jauh ke kawasan agrikultur dan industri di Ukraine, seterusnya ke tempat pelantar minyak di Kaukasus. Beliau akan dibantu oleh pasukan kapal terbang Luftwaffe iaitu Luftlotte 4 (Air Fleet 4). Beliau akan diberikan satu kali pasukan kereta kebal (1st Panzer Army) yang merupakan pasukan kereta kebal paling elite dalam operasi ini.

Barbarossa, Bermula!

Pada 22 Jun 1941, 3,800,000 tentera Paksi, 3,795 kereta kebal, 3,072 kereta perisai Armoured Fighting Vehicle (AFV), 5,369 pesawat pejuang Luftwaffe, 23,435 artileri medan dan 17,081 mortar medan membedil dan menyeberangi sempadan Soviet Union seluas 2,900 kilometer per segi. Serangan ini merupakan serangan paling besar dalam sejarah.

Pada hari pertama serangan, Luftwaffe berjaya melumpuhkan sepenunya kekuatan Tentera Udara Soviet. Sebanyak 3,922 pesawat Soviet musnah akibat daripada serangan mengejut tentera Jerman. Pada minggu tersebut, Luftwaffe mengawal sepenuhnya ruang udara di Soviet Union. Hal ini menjadikan pasukan tentera darat dapat bergerak sepenuhnya tanpa dibimbangi oleh ancaman dari udara.

Di bahagian utara, Marshal von Leeb menyerang Tentera Soviet Kelapan dan Kesebelas di negara-negara Baltik. Tentera Soviet cuba menyerang balas di utara tetapi mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan Tentera Panzer Keempat pimpinan General Hoepner yang lebih tersusun dan serangan bertubi-tubi oleh Luftwaffe. Hasilnya, tentera Soviet terpaksa berundur. Pada 8 Julai 1941, Kumpulan Tentera Utara berjaya menawan Pskov, Estonia. Sejak operasi bermula, mereka telah mara sejauh 450 kilometer dan kini hanya lebih kurang 250 kilometer sahaja lagi untuk ke objektif utama mereka, Leningrad.

Di selatan, serangan pimpinan Marshal von Rundstedt juga berjalan dengan sangat baik. Tentera Romania pimpinan Marshal Antonescu berjaya mengambil semula tanah mereka yang dijajah Soviet Union pada 1940 iaitu Bessarabia dan Northern Bukovina.  Namun Rundstedt menerima cabaran hebat apabila tenteranya berdepan dengan bala tentera Soviet berpengalaman pimpinan Mikhail Kirponos. Pada 26 Jun, Kirponos menghantar 1649 kereta kebal untuk serangan balas namun gagal. Stalin mengarahkan Kirponos untuk berundur dan menyusun semula tentera beliau. Runstedt dan tenteranya mengejar tentera Kirponos sehingga ke ibu kota Ukraine iaitu Kiev.

Di tengah, Marshal von Bock menikmati kejayaan awal pada hari pertama operasi. Tentera Jerman mara dengan menerima tentangan yang sedikit daripada tentera Soviet. Ruang udara di bahagian tengah dikawal sepenuhnya oleh Luftwaffe. Tentera Soviet di situ, General Dimitri Pavlov mengarahkan pengunduran berkala sehingga ke ibu kota Belarus iaitu Minsk. Pengunduran yang lambat menyebabkan tentera Panzer pimpinan Guderian dan Hoth berjaya memintas mereka dari belakang. Pada 27 Jun 1941, Minsk ditawan oleh tentera Jerman. Seramai 324,000 tentera Soviet merangkumi 3,300 kereta kebal dan 1,800 artileri medan ditawan. Pada 1 Julai, akibat daripada kekalahan teruk di Minsk, Pavlov ditahan dan ditembak.

Komander Kumpulan Tentera Tengah Field Marshal von Bock (kiri) bersama-sama Hitler di Rusia, 1941.

Hitler Memandang Rendah Kekuatan Soviet

Pada 2 Julai, hujan lebat mula membasahi kawasan pertempuran. Hal ini melambatkan lagi pergerakkan tentera Jerman lalu memberi peluang untuk tentera Soviet menyusun pertahanan mereka. Sepanjang bulan tersebut, tentera Jerman menerima berbagai-bagai serangan balas yang terdesak oleh tentera Soviet di tengah namun berjaya dipatahkan. Marshal von Bock mahu menawan bandar Smolensk iaitu bandar terakhir sebelum Ogos kerana mahu memberi peluang tenteranya berehat sebelum mara kearah objektif terakhir mereka iaitu Moscow.

Pada 31 Julai, Kumpulan Tentera Tengah berjaya menawan Smolensk. Pada ketika ini, ramai jeneral menyedari rupa-rupanya bukan senang untuk menjarah Soviet Union ini. Hitler telah memandang rendah kekuatan yang dimiliki Soviet Union. Hal ini menyebabkan Marshal von Bock menegaskan bahawa lebih baik menawan Moscow secepat mungkin. Guderian dihantar kepada Hitler untuk menjelaskan kepentingan Moscow sebagai hub komunikasi utama, kilang-kilang tentera dan pusat kerajaan Komunis.

Namun Hitler berdegil. Beliau mahu memusnahkan tentera Soviet terlebih dahulu sebelum memasuki Moscow. Hal ini berlaku kerana Hitler telah mempelajari sejarah Serangan Napoleon ke atas Rusia pada 1812 apabila walaupun Napoleon berjaya menawan ibu kota Moscow, tetapi beliau masih lagi kalah kerana beliau tidak menghancurkan tentera Rusia yang masih ada disekitar kota berkenaan. Oleh hal yang demikian, Hitler mengarahkan Guderian memberitahu Bock untuk berhenti di Smolensk. Bock juga diarahkan untuk memindahkan armada kereta kebal Guderian (2nd Panzer Army) dan Hoth (4th Panzer Army) ke selatan dan utara untuk membantu memusnahkan tentera Soviet di Kiev dan Leningrad.

Komander Kumpulan Tentera Selatan, Field Marshal von Rundstedt (kiri) bersama Mussolini (tengah) dan Hitler di Kiev, 1941.

Dalam fasa kedua ini juga menyaksikan kemaraan tentera Finland pimpinan Marshal Mannerheim dalam membantu Jerman dalam serangan di bahagian utara. Pada 1940, Finland telah kalah dalam Perang Musim Sejuk 1939, dimana banyak tanah-tanah Finland diambil dan dijajah oleh Soviet Union. Vyborg, bandar kedua terbesar dan Karelian Isthmus, kawasan hub komunikasi Finland-Soviet akhirnya ditawan semula oleh tentera Finland pada 10 Julai. Dengan penawanan semula ini, tentera Finland kini hanya 32 kilometer sahaja dari Leningrad.

Pertempuran Kiev

Kiev, merupakan ibu kota Ukraine yang kaya dengan industri, makanan dan kilang-kilang. Pada 23 Ogos, tentera Soviet berjaya menangkis beberapa siri serangan yang diberikan oleh Army Group Centre pimpinan Marshal von Rundstedt. Stalin mahu kota ini dipertahankan walau apa jua sekalipun. Beliau menempatkan hampir semua tentera Soviet di barat daya Soviet ke Kiev dibawah pimpinan kroni Stalin iaitu Marshal Semyon Budyonny.

Melihat daripada situasi ini, Hitler mengarahkan Kiev ditawan segera. Beliau mengarahkan Guderian 2nd Panzer Army untuk menukar haluan dari Smolensk ke selatan menuju ke Kiev. Marshal von Bock berang dengan tidakan ini kerana ia akan membantutkan serangan Army Group Center ke arah Moscow! Namun Hitler bertegas bahawa 600,000 tentera Soviet di Kiev wajib dimusnahkan.

“Kereta kebal tidak akan mengatasi kehebatan tentera berkuda!” doktrin Marshal Budyonny yang kuno ini telah menyebabkan kehilangan besar-besaran di Kiev.

Pada 12 September, Marshal von Rundstedt mengarahkan 1st Panzer Army pimpinan General von Kleist mara dari arah selatan untuk bergabung dengan 2nd Panzer Army yang mara dari arah utara. Pada 13 September, Marshal Budyonny memohon kepada Stalin agar tenteranya berundur dari Kiev selepas tenteranya hampir dikepung oleh Kleist dan Guderian. Stalin menolak dan menyatakan bahawa Kiev mestilah dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.

Budyonny dipecat dan tempat beliau digantikan oleh hero Perang Musim Sejuk, Marshal Semyon Timoshenko. Melihat daripada situasi tersebut, Timoshenko terbang ke Moscow untuk memberitahu situasi yang sebenar di Kiev. Lebih 700,000 tentera Soviet akan musnah jika Stalin tidak mengarahkan tenteranya berundur. Akhirnya selepas bertelagah dengan Timoshenko beberapa hari barulah Stalin mengarahkan tentera Soviet berundur dari Kiev namun ia sudah terlambat. Pada 19 September 1941, tentera Guderian dan Kleist telahpun menutup ruang-ruang keluar dari Kiev.

Lebih kurang 600,000 tentera Soviet, 2,643 meriam dan mortar serta 64 kereta kebal ditawan oleh tentera Jerman. Tentera Soviet (5th, 21st, 26th, 37th, 38th Armies) mengandungi 43 divisyen berjaya dihancurkan. Ia menjadikan Pertempuran Kiev merupakan pengepungan paling besar dalam sejarah.

Pengepungan Leningrad

Leningrad dikepung, 1941.

Pada 8 September 1941, jalan raya terakhir yang menghubungkan Leningrad dan seluruh Soviet Union ditawan oleh Army Group North pimpinan Marshal von Leeb. Maka bermulalah pengepungan paling dahsyat dalam sejarah selama 900 hari.

Hitler mengarahkan Hoth 3rd Panzer Army untuk menukar haluan keutara membantu tentera Jerman di utara untuk menawan Leningrad. Bandar ini memberikan 11% daripada pengeluaran industry kepada Soviet Union. Bandar ini antara bandar yang penting kerana merupakan bekas ibu kota Russia (St. Petersburg) dan juga merupakan tempat di mana Revolusi Oktober berlaku. Jika bandar ini ditawan, Hitler mahu menukar nama bandar ini kepada nama beliau, Adolfsburg.

Marshal Semyon Timoshenko (kiri) dan General Georgy Zhukov merupakan salah seorang komander berkaliber yang Stalin ada.

Pada 10 September, Stalin menggantikan Marshal Voroshilov dengan General Georgy Zhukov yang lebih berkebolehan. Zhukov segera membina beberapa siri kubu dan pertahanan untuk mengekang asakan daripada tentera Jerman. Ternyata strategi Zhukov menjadi apabila tentera Jerman hanya mara 11 kilometer sejak Hitler mengarahkan serangan all-out pada 8 September. Berang dengan kegagalan Army Group North untuk menawan Leningrad ditambah lagi dengan kematian tentera Jerman yang tinggi, Hitler memutuskan untuk mengepung bandar itu sehingga bandar itu mati kebuluran.

Melihat situasi ini, Zhukov mengarahkan orang awam di Leningrad untuk meninggalkan bandar berkenaan untuk mengelakkan kebuluran. Beliau berjaya memindahkan lebih kurang 1,743,129 penduduk termaksuk 414,148 kanak-kanak keluar dari Leningrad. Namun, masih ada 3,000,000 yang masih terperangkap kerana tentera Jerman telahpun menutup pintu keluar dari kota berkenaan sepenuhnya. Keadaan dalam bandar ini ketika pengepungan amat menyedihkan. Pada 3 bulan pertama, lebih 500,000 orang nyawa mati kebuluran dan kesejukkan. Makanan dicatu hanya 125 gram roti setiap seorang di mana rotinya 50% diperbuat daripada habuk kayu. Dalam memoir Zhukov, ada penduduk di Leningrad sanggup memakan daging mayat.

Pengepungan Leningrad merupakan pengepungan paling maut dalam sejarah. Apabila tentera Soviet menyelamatkan bandar berkenaan pada 1944, hampir 85% penduduk tersebut telah kehilangan nyawa.

Operasi Typhoon: Misi Menawan Moscow

Tentera Jerman ketika Serangan ke atas Moscow, November 1941.

Kiev ditawan. Leningrad dikepung. Hitler akhirnya bersetuju untuk menawan Moscow. Army Group South pimpinan Field Marshal Fedor von Bock bertanggungjawab untuk melakukan serangan besar-besaran ini. Beliau kini diberikan keistimewaan apabila 3 tentera Panzer pimpinan Guderian (2nd Panzer Army), Hoth (3rd Panzer Army) dan Hoepner (4th Panzer Army) akan bersama-sama dalam operasi ini.

Seramai 1,929,406 tentera Jerman, 2,400 kereta kebal, 14,000 meriam serta 600 pesawat Luftwaffe daripada Luftlotte 2 pimpinan Field Marshal Albert Kesselring akan turut serta dalam serangan ini. Pelan operasi ini lebih kepada klasik taktik Blitzkrieg dan pengepungan dari utara dan selatan Moscow.

Apa yang menjadi masalah dalam operasi ini ialah hujan telah mula membasahi jalan raya. Hal ini menyebabkan pergerakkan kereta kebal Panzer menjadi sangat perlahan. Manakala, Stalin sudah mula memberi kebebasan kepada jeneral-jeneralnya untuk membuat keputusan. General Zhukov, yang juga komander tentera Soviet di Moscow pernah ditanya Stalin “Bolehkah Moscow diselamatkan? Saya mahu anda menjawab sebagai seorang Komunis!”.

“Boleh.” Zhukov membalas. “Tetapi anda perlu memberikan kebebasan dan kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugas.” Zhukov tahu jika beliau gagal untuk menyelamatkan Moscow, badannya akan dimasukkan kedalam bilik mayat. Tetapi Zhukov bukanlah calang-calang orang. Beliau berjaya menyelamatkan Soviet ketika Perang Soviet-Jepun 1939 dan juga berjaya menyelamatkan Leningrad daripada ditawan oleh tentera Jerman.

Pada 2 Oktober 1941, Hitler melancarkan Operasi Typhoon. Ternyata serangan ini berjalan dengan perlahan. Disebabkan tentera Jerman menfokuskan serangan ke atas Leningrad dan Kiev, Zhukov dapat menyusun semula tentera Soviet di sekeliling Moscow. Selepas mengetahui Jepun tidak akan lagi menyerang Soviet Union dan mengfokuskan kearah selatan, Zhukov memindahkan 30 divisyen dari Siberia terus ke Moscow.

Serangan ke atas Moscow semakin menyakitkan. Pada 31 Oktober, serangan terpaksa dihentikan untuk sementara kerana akibat hujan lumpur serta supply dan bekalan yang sangat sedikit dan perlu diisi semula. Memasuki bulan November, suhu pada ketika itu turun sehingga -28°C. Tentera Jerman tidak bersedia untuk berlawan didalam musim sejuk dipaksa untuk meneruskan serangan ke arah Moscow.

Guderian (tengah) mendengar penjelasan oleh seorang tentera Jerman, 100km dari Moscow.

Pada 20 November, tentera Jerman hanya lebih kurang 100km dari Moscow. Terdapat beberapa unit tentera Jerman di lain-lain tempat mendakwa mereka sudah mara hampir 30km dari Moscow sehinggakan mereka boleh melihat bangunan Kremlin! Namun begitu, keadaan tentera Jerman sangatlah kritikal. Dengan suhu dibawah -45°C, tentera Jerman terpaksa bertempur dalam keadaan yang sejuk melampau dan kekurangan sumber bekalan. Guderian memberitahu kesejukkan pada ketika itu sehingga minyak kereta kebal Panzer beliau terpaksa dihidupkan menggunakan api kerana beku.

Pada 6 Disember, tentera Soviet dipimpin sendiri oleh Zhukov melancarkan serangan balas besar-besaran dengan menggunakan tentera ski, lengkap bersenjata dan berbaju sejuk. Mereka menyerang tentera Jerman di seluruh tempat menyebabkan mereka terpaksa berundur. Hitler berang dengan pengunduran ini mengarahkan Army Group Center untuk bertahan. Namun, beberapa orang komander medan seperti Guderian dan Hoepner yang melihat situasi sebenar terpaksa mengingkari arahan dan mengarahkan pengunduran.

Marshal von Bock menulis dalam diarinya, “Kita sepatutnya dah menawan Moscow sebelum salji turun. Pada ketika itu, Moscow sudah sangat lemah dan terbuka luas untuk kita menawannya. Tetapi Hitler telah membuat satu kesilapan besar dengan mengubah 2nd Panzer dan 3rd Panzer daripada Army Group Center untuk serangan ke atas Kiev dan Leningrad. Sekarang, kita semua akan membayar kesilapan besar tersebut”.

Barbarossa Gagal

Pada 7 Disember 1941, dengan kegagalan serangan ke atas Moscow, secara automatiknya Operasi Barbarossa telah gagal. Disebabkan oleh kegagalan tersebut, 55 komander tentera telah dipecat oleh Hitler. Beliau telah memecat Ketua Turus Tentera Darat, Field Marshal von Brauchitsch dan menggantikan diri beliau sendiri sebagai ketua. Antara nama lain yang dipecat ialah komander 2nd Panzer Army dan 4th Panzer Army iaitu General Guderian dan General Hoepner. Komander Army Group Center, Field Marshal von Bock juga dipecat akibat kegagalan di Moscow. Komander Army Group South, Field Marshal von Rundstedt juga dipecat akibat mengingkari arahan di Selatan Russia.

Pemecatan beberapa orang komander senior dalam tentera Jerman mencacatkan lagi peperangan di sana. Hitler berasakan orang-orang yang tidak mahu mendengar arahan beliau harus dibuang. Kini, Hitler bekas Koperal ketika Perang Dunia Pertama, telah memimpin sendiri seluruh operasi ketenteraan di Soviet Union.

Kegagalan operasi ini berpunca daripada Hitler yang gagal untuk menawan Moscow sebelum salji turun. Lalu, beliau mengarahkan Guderian dan Hoth untuk mengalihkan tentera Panzer mereka ke Leningrad dan Kiev untuk memusnahkan tentera Soviet di sana. Hitler melihat kegagalan Napoleon menakluk Rusia pada 1812 walaupun telah menakluk Moscow adalah disebabkan oleh kegagalan Napoleon untuk memusnahkan tentera Rusia di sekitar Moscow.

Tentera Jerman sememangnya tidak bersedia langsung untuk berhadapan dengan musim sejuk. Oleh hal yang demikian, pemakaian tentera Jerman hanya berdasarkan kepada uniform musim panas mereka sahaja. Apabila serangan ke atas Moscow dijalankan, ramai tentera Jerman mati bukan akibat ditembak oleh tentera Soviet tetapi akibat mati kesejukkan. Suhu pada ketika itu mencatatkan yang paling rendah dalam sejarah iaitu -50°C. Tidak hairanlah minyak petrol pun boleh membeku di dalam tangki.

Harapan Nazi Jerman untuk ‘menjatuhkan Soviet Union dengan satu ketukkan’ musnah. Lebih memburukkan lagi, sekutu mereka Jepun menyerang pangkalan laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor, Hawaii pada 7 Disember 1941. Sebagai solidariti persahabatan, Hitler mengisytihar perang terhadap Amerika Syarikat pada 10 Disember diikuti dengan sekutu mereka Itali.

Amerika Syarikat, setelah sekian lama tidur akhirnya dikejutkan. Nazi Jerman dan Blitzkrieg mereka akhirnya berjaya dihentikan. Jepun, memandang ke selatan. British pula cuba bertahan. Itali pula kian tenat. Kini, seluruh negara-negara di dunia telah ditarik kedalam Perang Dunia Kedua.

Rujukan:

Askey, Nigel (2014). Operation Barbarossa: The Complete Organisational and Statistical Analysis, and Military Simulation. (II U.S.: Lulu Publishing. ISBN 978-1-31241-326-9)

Baker, Lee (2009). The Second World War on the Eastern Front. London: Pearson Longman. ISBN 978-1-40584-063-7.

Beevor, Antony (2012). The Second World War. New York: Back Bay Books. ISBN 978-0-316-02374-0.
Klemann, Hein; Kudryashov, Sergei (2012). Occupied Economies: An Economic History of Nazi-Occupied Europe, 1939–1945. New York: Berg. ISBN 978-0-857850607.
Forczyk, Robert (2014). Tank Warfare on the Eastern Front 1941–1942. Pen and Sword. ISBN 978-1781590089.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang lepasan UPNM berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi yang kini berkhidmat di dalam Rejimen Renjer Diraja. Penulisan yang lebih cenderung kearah sejarah Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Comments are closed.