Memanah merupakan salah satu cabang seni yang tertua masih diamalkan sehingga kini. Bermula dari perkembangan awalnya hingga tahun 1500-an, busur menjadi sahabat karib manusia dari pelbagai bangsa dan sangat lazim digunakan berbanding mana-mana senjata lain yang pernah wujud dalam sejarah yang tercatat.

Busur memungkinkan manusia prasejarah untuk menjadi pemburu yang paling cekap di bumi, menyediakan jaminan keselamatan, makanan dan bahan mentah kepada manusia seperti tulang, urat kasar dan kulit binatang. Sejak dari zaman itu, memanah telah memainkan peranan penting dalam kebanyakan ketamadunan di seluruh dunia.

Di dunia Islam, memanah dipraktikkan sebagai senjata dalam perang sejak pertempuran yang melibatkan orang-orang Islam dengan kaum Jahiliyyah di Arab. Baginda Nabi Muhammad S.A.W telah menggalakkan para sahabat untuk sentiasa menjadikan budaya memanah sebagai salah satu kemahiran utama dalam pertempuran melawan musuh.

Semasa mengerjakan Haji dan Umrah, umat Islam dari seluruh dunia akan menziarahi Bukit Uhud di Madinah. Bukit ini memiliki kedudukan yang penting dalam konteks sejarah Islam. Ia merupakan sebuah bukit di mana pasukan pemanah Muslim seramai 50 orang ditempatkan semasa dalam Pertempuran Uhud. Pertempuran dimulakan dengan perang tanding antara kedua pihak yang dimenangi pihak Muslim. Kedua-dua pasukan tentera kemudian mula bertempur, lalu tentera Muslim berjaya menggoyahkan tentera Quraisy.

Ini menyebabkan Pasukan pemanah Muslim bertindak meninggalkan posisi dan turun dari Bukit Uhud apabila melihat tentera Quraisy lari meninggalkan medan perang. Mereka berebut-rebut mengambil harta rampasan perang yang ditinggalkan sehingga mereka lupa larangan Nabi Muhammad supaya tidak meninggalkan Bukit Uhud walau apapun yang berlaku. Namun hanya ada 14 orang pemanah yang beriman sahaja yang tinggal.

Kedudukan tentera Muslim dalam Perang Uhud.

Justeru, peristiwa dalam Pertempuran Uhud ini menunjukkan kepentingan memiliki kemahiran memanah di dalam konteks Islam. Lebih-lebih lagi apabila terdapat hadis-hadis yang jelas menyatakan Rasulullah S.A.W. amat menggalakkan umat baginda untuk menguasai kemahiran berenang dan memanah.

Di barat, bermula dengan zaman pemerintahan William the Conquerer, busur menjadi senjata pertahanan utama kerajaan England selama beberapa abad. Sekitar tahun 1200, Genghis Khan dan gerombolan Mongolnya menakluki sebahagian besar dunia dengan menggunakan busur pendek yang kuat sambil menunggang kuda. Bagi masyarakat pribumi Amerika, memanah dijadikan sumber sara hidup dan wujud semasa zaman penjajahan Inggeris dan kemudian Amerika.

Akhirnya, setelah busur mula beransur-ansur digantikan dengan senjata api sebagai senjata jarak jauh utama dalam peperangan, aktiviti memanah mula dijadikan sebagai sebuah sukan yang digemari pelbagai golongan, inilah faktor yang telah menjaga aktiviti memanah supaya kekal diamalkan berterusan sepanjang sejarah.

Kepentingan memanah sebagai kemajuan budaya sesuai dengan perkembangan dan kepantasan seni membuat api. Penggunaan busur muncul dalam cerita-cerita rakyat sejak lebih dari 3000 tahun yang lalu, walaupun penemuannya mungkin lebih awal dari era itu.

Tradisi memanah di Mesir Kuno.

Perkembangan budaya memanah disusuli inovasi utama oleh beberapa kebudayaan bersejarah. Sekitar tahun 3500 SM, orang Mesir menggunakan busur yang sama tinggi dengan ukuran tubuh mereka. Mata panah mereka yang pada awalnya dibuat dari batu api, kemudian dibuat dari bahan gangsa.

Hampir 2000 tahun kemudian, orang Assyria membangunkan busur lengkungan terbalik (recurve bow) yang lebih pendek, yang memberikan lebih banyak daya kuasa dan kawalan yang lebih mudah. Pada sekitar tahun 1200 SM, orang Hitti memperkenalkan teknik memanah dari rata (chariot) yang sedang bergerak, dan sekitar tahun 500 M, orang Rom, yang sebelum itu merupakan golongan pemanah kelas kedua, mula mensasarkan panahan mereka ke bahagian muka dan bukannya dada, kerana ia menghasilkan daya tembakan yang lebih tepat.

Tak terkira banyaknya kisah-kisah legenda dan kepahlawanan yang berkait dengan budaya memanah. Acara sukan Olimpik kuno, antara tradisi yang masih diamalkan sehingga kini (Olimpik moden) terdapat pelbagai versi penemuannya. Salah satu darinya menyatakan bahawa ia diasaskan oleh seorang pemanah bernama Heracles atau Hercules. Acara ini ditampilkan dengan memanah burung merpati yang ditambat sebagai sasarannya.

Panahan bersasar juga muncul dalam balada Robin Hood dan William Tell, sebagai menunjukkan rasa penghormatan oleh orang Inggeris terhadap pemanah handal tersebut. Kejohanan-kejohanan memanah yang kita sering lihat hari ini, boleh ditelusuri sejarahnya kembali ke England. Pertandingan diadakan sebagai sebahagian daripada acara keramaian masyarakat seawal abad ke-17.

National Archery Association of United States (NAA) berasal dari sejarah unik negara Amerika Syarikat. Selepas berakhirnya Perang Saudara, bekas tentera pihak Konfederasi tidak dibenarkan memiliki senjata api. Oleh kerana itu, dua beradik yang bernama J. Maurice dan William H. Thompson mula belajar berburu menggunakan busur dan anak panah lalu mereka menjadi pemanah yang berjaya. Mereka berdua adalah pengasas bersama NAA pada tahun 1879 di Crawfordsville, Indiana.

Sukan memanah dijadikan acara rasmi dalam Sukan Olimpik moden pada tahun 1900 dan juga dipaparkan pada tahun 1904, 1908 dan 1920. Tetapi peraturannya tidak konsisten dan bergantung sepenuhnya kepada peraturan yang ditetapkan oleh negara yang menjadi tuan rumah, situasi ini menyukarkan para atlet dari negara-negara yang memiliki tradisi memanah yang berbeza-beza. Akhirnya, acara memanah terpaksa disingkirkan dari Sukan Olimpik.

Gambaran arca Dewi Artemis Agrotera, dewi mitologi Yunani kuno.

Federation Internationale de Tir a l’Arc (FITA) ditubuhkan pada tahun 1931 sebagai badan pentadbiran antarabangsa untuk sukan memanah. Organisasi ini menyediakan standard peraturan untuk pertandingan yang membolehkan Kejuaraan Sedunia yang pertama diadakan pada tahun yang sama.

Pada tahun 1972, setelah kebanyakan negara mula menyerap peraturan yang ditetapkan oleh FITA, acara memanah dimasukkan kembali ke dalam Sukan Olimpik. Sejak itu, perkembangan teknologi telah banyak membantu kemajuan dari segi peralatan, dan beberapa format kompetitif yang telah usang, tetapi sukan memanah pada dasarnya tetap mengekalkan ciri-ciri tradisinya yang sama.

Bangsa Nomad Yang Digelar Sebagai ‘Syaitan Yang Menembak Dari Syurga’

Bangsa Mongol, pada suatu ketika zaman dahulu pernah menakluki sebahagian dari seluruh dunia ini, dan senjata mereka yang paling utama adalah busur. Dengan menggunakan taktik ‘hujan badai’, tentera Mongol mampu menjimatkan kerahan tenaga tentera dengan bergantung kepada tembakan ratusan hingga ribuan anak panah terhadap musuh dengan barisan pemanah akan diganti-ganti oleh barisan pemanah yang lain tanpa henti.

Tentera berkuda Mongol dengan busur.

Inilah faktor yang menjimatkan tenaga dan masa untuk menukar anak panah yang baru akan dipendekkan. Tetapi mengapa dahulu bangsa Mongol dianggap sebagai bangsa yang tiada tandingannya dalam sejarah memanah, hari ini budaya memanah hanyalah tidak lebih sekadar acara sukan dalam tradisi mereka?

Walaupun Mongol menyerap tradisi memanah dari budaya orang-orang Turkik yang terlebih dahulu mendirikan ketamadunan di sekitar Asia Tengah dan Mongolia moden, namun budaya memanah di Mongolia memiliki sejarahnya yang panjang dan tersendiri. Legenda Mongol menceritakan tentang Erekhe Mergen (Erhii Mergen dalam tradisi Turkik kuno, macam kita ada Si Tanggang tapi di Indonesia ada Malin Kundang).

Erekhe Mergen adalah dewa pemanah agung yang menyelamatkan rakyat dari bencana kemarau dengan memanah enam matahari. Dahulu orang Mongol percaya bahawa dunia pernah memiliki sebanyak tujuh matahari, dan enam darinya telah ditembak oleh Erekhe Mergen. Perkataan “mergen” itu sendiri juga berasal dari perkataan bahasa Turkik yang bermaksud “pemanah”.

Erekhe / Erhii Mergen.

Dan kisah lagenda ibu bangsa Mongol ingin memupuk gagasan perpaduan terhadap anak-anaknya yang sedang bertengkar, dia menyuruh anak-anaknya duduk dan masing-masing diberikan sebatang anak panah kemudian menyuruh mereka mematahkannya. Tentulah mereka dapat mematahkannya dengan mudah.

Kemudian dia memberikan enam batang anak panah kepada setiap seorang dari mereka dan menyuruh mereka mematahkan kesemuanya sekaligus. Tidak ada seorang pun yang dapat mematahkannya. Begitulah cara orang Mongol terdahulu mempelajari kepentingan membentuk kuasa melalui perpaduan.

Sebelum orang Mongol muncul dalam sejarah melalui penyatuan suku-suku nomad oleh Genghis Khan, beberapa pendahulu Mongok di tanah padang rumput Asia termasuklah orang-orang Khamag, Hun Asiatik atau Xiongnu pernah memerintah sebahagian daripada China, dan terutamanya orang Khitan yang memerintah China Utara pada abad ke-11, yang dikenali dengan nama Cathay di barat.

Berikut adalah bagaimana sejarawan China Sima Qian menggambarkan Hun:

“[Hun] tidak memiliki bahasa bertulis: mereka mentadbir diri mereka sendiri berdasarkan perkataan-perkataan lisan asas sahaja. Anak-anak kecil mereka boleh menunggang biri-biri dan menarik busur untuk menembak burung dan tikus. Setelah mereka dewasa, mereka akan menembak musang dan arnab yang menjadi makanan ruji mereka. Pahlawan mereka adalah pemanah yang handal, dan mereka semua adalah pasukan berkuda yang berperisai. Cara hidup mereka ketika dalam keadaan aman damai adalah menggembala, dan dengan demikian memanah dan berburu menjadi sebahagian dari cara hidup mereka. Ketika mereka diancam peperangan, mereka berlatih bertempur dan menyerang sehingga mereka dapat menceroboh atau melakukan serangan mengejut. Ini adalah sebahagian dari sifat mereka.”

Bangsa Khitan (Dinasti Liao).

Kita boleh melihat bahawa cara hidup orang Hun sangat mirip dengan cara hidup bangsa Mongol. Di negeri Liao dan Mongol pada abad ke-10 hingga ke-11, mereka pernah mengadakan permainan yang dinamakan ‘Menembak Dedalu’ untuk mempamer dan mengasah kemahiran memanah. Berikut adalah bagaimana permainan ini dijelaskan melalui sejarah rasmi Dinasti Liao yang diperintah orang Khitan:

“Dua baris dahan dedalu dipacakkan pada tanah di padang polo. Para pemanah mengikut tahap mereka yang berbeza-beza, memilih dahan mereka sendiri dan ditandakan dengan sehelai kain; kemudian mereka menoreh kulit dahan itu beberapa inci hingga terlihat bahagian dalamnya yang berwarna putih. Dikepalai oleh seorang penunggang yang memecut laju, yang lain akan menyusul dengan kelajuan penuh, sambil menembak dengan anak panah yang tidak teratur dengan bilah leper sebagai mata panah. Seorang pemanah yang berjaya menembusi dahan dedalu hingga terbelah dua dan menangkap bahagian hujung yang terpotong itu semasa memecut dalam kelajuan penuh akan mendapat markah tertinggi. Tempat kedua jatuh kepada penunggang yang berjaya memotong dahan dedalu tetapi gagal menangkap hujungnya. Mereka yang berjaya memanah tepat bahagian yang telah ditoreh tetapi gagal memotongnya, atau mereka yang terlepas sasaran akan dianggap kalah. Ketika mereka menembak, orang ramai akan memukul gendang sebagai pembakar semangat.”

Sejak zaman Genghis Khan atau bangsa Mongol keseluruhannya, terdapat banyak catatan tentang budaya memanah. Dalam ‘Sejarah Syurga Biru’, ada kisah tentang Chuu Mergen yang menembak sasarannya semasa menunggang kuda sejauh 130 meter.

Tablet memorial dari abad ke-13 yang mencatatkan cucu Genghis Khan memanah sasaran dari jarak 500m.

Terdapat catatan pertandingan kebangsaan di mana tokoh-tokoh pemanah terkenal termasuklah cucu Genghis Khan sendiri seperti Tsülegtii, Gölgön Baataar, Sübgetei Baataar, Toghtong Baataar dan Khüldar semuanya bersaing memanah untuk sasaran yang berjarak sekitar 600 meter dengan menembak topi kulit rusa yang diletakkan di atas tanah. Kesemuanya berjaya mencapai sasaran dengan satu daripada tiga panahan.

Walaupun orang Mongol kemudian diusir dari China oleh Dinasti Ming, mereka masih merupakan kuasa yang harus diperhitungkan di tanah air mereka sendiri yang masih dikenali sebagai Dinasti Yuan Utara. Pada tahun 1449, tentera Ming cuba menyerang Mongolia secara membuta tuli semasa Krisis Tumu hingga menyebabkan tentera Mongol berjaya menangkap maharaja mereka, Maharaja Yingzong.

Tetapi pada abad ketujuh belas, Mongolia atau bangsa Mongol umumnya terpaksa berada di bawah kawalan bangsa Manchu, bangsa separa-nomad yang terkenal dengan kuasa maritimnya. Manchu juga merupakan musuh tradisi bangsa Mongol sejak zaman Genghis Khan kerana Manchu adalah keturunan dari bangsa Jurchen yang memerintah Dinasti Jin, dinasti yang pernah dimusnahkan oleh Genghis Khan kerana Jin membunuh nenek moyang orang Mongol, Ambgai Khan. Semasa menjadi bangsa Manchu, mereka memerintah China dengan menubuhkan Dinasti Qing dari tahun 1644 hingga 1911.

Maharaja Yingzung.

Bangsa Manchu kemudian menerapkan dasar-dasar yang memaksa bangsa lain meninggalkan budaya asli dan mereka cuba menekan satu-satunya sumber sara hidup bangsa Mongol dengan memaksa orang Mongol meninggalkan cara hidup sebagai penggembala dan dipaksa pergi ke biara untuk mempelajari pasifisme Buddha. Aktiviti memanah adalah dilarang sama sekali, dan orang Mongol hanya boleh memulihara tradisi memanah dengan berlatih secara diam-diam di dalam khemah mereka menggunakan busur miniatur atau mainan.

Sejak mencapai kemerdekaan sekali lagi pada tahun 1921, Kerajaan Mongolia telah mempromosikan kembali budaya memanah sebagai sebahagian sukan tradisional Mongol selain daripada sukan bergusti. Walaupun sudah tidak ramai generasi baru Mongol boleh memanah sambil menunggang kuda, tetapi masih ramai yang mempraktikkan kaedah memanah tradisional dengan berjalan kaki.

Setiap tahun pada bulan Julai akan berlangsung satu festival sukan tradisional, iaitu ‘Nadam’, di mana orang-orang Mongol akan bertanding dalam tiga acara utama: lumba kuda, gusti dan memanah. Kaum wanita tidak turut serta dalam sukan gusti tetapi penglibatan mereka bertanding dalam acara lumba kuda dan memanah adalah sangat meriah. Kaum wanita Mongol sering memperoleh keputusan yang cemerlang setiap kali mereka memegang busur dan anak panah.

Festival Nadaam di Mongolia.

Hari ini, sukan ini mempunyai tiga cabang utama berdasarkan gaya memanah daerah dan struktur jenis busur yang berbeza. Tiga cabang ini berdasarkan gaya mengikut wilayah, iaitu gaya ‘Khalkha’ merupakan tradisi memanah masyarakat Mongol di wilayah tengah Mongolia. Cabang seterusnya adalah gaya ‘Buryat’ diamalkan oleh masyarakat di wilayah timur utara negara Mongolia. Kemudian terdapat cabang dengan gaya ‘Uryankhai’ yang mewakili orang-orang Mongolia Barat.

Setiap tradisi Mongol mempunyai gaya busur yang berbeza: tetapi sebenarnya, mereka boleh memilih jenis busur yang ingin mereka gunakan secara bebas. Terdapat pelbagai ukuran dan daya tarik yang sesuai untuk kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak. Tiga gaya busur antaranya ialah Gung, Tömör dan Khagas. Gaya Gung memililki bentuk busur yang mendalam berdasarkan gaya Manchu dan ia berasal dari timur Mongolia, gaya Tömör berasal dari pusat wilayah Khalkha, dan gaya Khagas berasal dari wilayah Uryankhai Barat.

Budaya memanah Mongol sering kali dikaitkan dengan cerita-cerita mistik seperti yang terdapat di Kyudo, Jepun. Walau bagaimanapun, para pemanah Mongolia sebenarnya hanyalaj mahu mencapai sasaran mereka. Namun begitu, untuk mencapai sasaran dengan sempurna tanpa fokus dan kawalan badan yang baik bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, mereka menganggap budaya memanah sebagai salah satu latihan mental dan fizikal yang maju.

RUJUKAN:

Reid, Robert W. (1992). Mongolian Weaponry. The Secret History of the Mongols. Mongolian Studies.

Syed, Akramulla (14 December 2017). History of Islam and Muslims. The second battle of Islam at Uhud, Battle of Ohod. Islamic Occasions.

Sarangerel (Julie Ann Stewart). (2001). Chosen by the Spirits : Following Your Shamanic Calling. Destiny Books, Rochester (VT).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.