Pada September 2009, apabila ditanya kepada mantan CEO Microsoft, Steve Ballmer tentang iPhone yang baru sahaja dilancarkan ketika itu (Januari 2009), Ballmer hanya ketawa.

“$500 untuk sebuah telefon? (ketawa) Itu adalah telefon pintar yang paling mahal yang saya pernah lihat. Mungin Apple mampu membuat sedikit keuntungan. Tetapi Apple tidak mungkin akan berjaya dalam pasaran telefon bimbit. Dan saya lebih suka meletakkan perisian saya pada mereka yang menguasai 60-70% pasaran berbanding memiliki hanya 2-3% sahaja pasaran telefon bimbit.”

Lihatlah betapa angkuh dan besarnya kesilapan Ballmer. Apple kini menguasai sehingga 15% pasaran telefon bimbit dan merevolusikan telefon pintar kepada bentuk yang kita kenal dan gunapakai sehingga sekarang.

Suka ataupun tidak, telefon pintar sudahpun menjadi sebahagian dari kehidupan seharian kita. Ia mengubah cara kita berkomunikasi, menuntut ilmu, berhibur, menonton televisyen, mendegar muzik dan juga melancong. Siapa sahaja yang kita kenal,pasti akan memiliki sebuah telefon pintar. Baik ataupun buruk, telefon pintar telah memangkin manusia ke era kemajuan dan teknologi yang gemilang. Semuanya bermula 11 tahun yang lalu, apabila Steve Jobs naik ke pentas dan memperkenalkan Apple iPhone kepada dunia iPod

Pembuka Jalan

Pada era 1990-an, Apple dibelenggu banyak masalah. Kebanyakan produk-produk yang mereka perkenalkan tidak menjadi. Seteru terkuat mereka, Microsoft, terus menerus membaham pasaran Apple menjadikan Apple makin lama makin tidak relevan. Pada tahun 1997, Apple membeli NeXT,sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Steve Jobs. Ini membolehkan Steve Jobs pulang semula mengepalai syarikat yang beliau sendiri tubuhkan. Jobs mengorak langkah dengan membatalkan kesemua projek dan produk yang pada pandangannya tidak membawa pulangan dan keuntungan kepada syarikat. Jobs juga mengstrukturkan semula Apple supaya lebih fokus dan membentuk satu pengalaman yang sama dan selari kepada setiap pengguna. Di bawah kendalian Jobs, Apple mula mengaut keuntungan sedikit demi sedikit. Walaupun begitu, transformasi Apple tidak memberi banyak impak kepada seteru mereka terutama sekali Microsoft. Tetapi, segala-galanya berubah apabila Apple melancarkan iPod.

iPod yang dilancarkan pada tahun 2001, merupakan produk yang hebat. Ia merubah cara pengguna mendengar muzik dan juga membawa perubahan kepada industri muzik di Amerika Syarikat pada ketika itu. Dengan rekaan yang mesra pengguna sambil dilengkapi dengan perisian yang canggih, iPod membolehkan Apple mendominasi sehingga 90% pasaran muzik digital sehingga sekarang. Tetapi pada penghujung tahun 2004, Apple mula dapat menghidu ancaman. Setiap telefon bimbit pada masa itu sudah mula boleh memainkan MP3. Jadi buat apa para pengguna membuang masa dan membazir duit membeli iPod lagi jika telefon bimbit mereka pun mampu melakukan perkara yang sama. Ancaman inilah yang membuka jalan kepada Apple untuk merencanakan iPhone.

Telefon Bimbit Rokr

Gambar 2: Telefon Bimbit Motorola RAZR

Pada tahun 2004, Motorola melancarkan telefon bimbit RAZR yang dikenali di seluruh dunia kerana reka bentuknya yang futuristik. Steve Jobs yang ketika itu bersahabat dengan CEO baru Motorola, Ed Zander menyatakan hasratnya untuk bekerjasama dengan Motorola. Maka terhasillah “iTunes Phone” yang digembar-gemburkan oleh media dan juga peminat. Ia dilancarkan pada musim panas tahun 2004 melalui kerjasama antara mereka (Apple dan Motorola) bersama AT&T (dahulunya dikenali sebagai Cingular).

Pun begitu, ramai yang mengakui bahawa Steve Jobs tidak suka pada idea untuk Apple melancarkan telefonnya sendiri. Ini kerana Jobs berpendapat yang pemilik syarikat telekomunikasi mempunyai terlalu banyak kuasa dan kawalan ke atas industri telefon bimbit. Hanya mereka sahaja yang berkeupayaan untuk menentukan reka bentuk telefon bimbit yang sesebuah syarikat ingin keluarkan. Ini bertentangan dengan hasrat Jobs yang mahukan kebebasan mutlak dalam mereka bentuk telefon pintarnya sendiri. Di samping itu, Jobs juga masih lagi tidak yakin yang telefon pintar boleh menjadi produk yang berjaya. Kerana itulah, Jobs mengambil langkah selamat untuk bekerjasama dengan Motorola. “iTunes Phone” atau nama rasminya Motorola Rokr pada perancangannya akan memastikan dominasi Apple terus kukuh dalam pasaran muzik digital.

Namun begitu, sesetengah orang di dalam Apple tidak yakin yang Motorola Rokr boleh pergi jauh. Ia tidak mesra pengguna, terlalu lambat dan mempunyai had limitasi pada jumlah lagu yang boleh dimuat turun. Ketika ia dilancarkan juga, ternampak tanda-tanda yang Jobs tidak suka akan hasil kerjasama tersebut. Terlalu banyak had dan limitasi yang terdapat pada telefon bimbit itu yang jelik pada pandangan Jobs. Motorola Rokr juga tidak mendapat sambutan yang baik di pasaran. Kebanyakan daripada telefon bimbit tersebut dipulangkan dan ia banyak dikritik pihak media. Steve Jobs menjadi berang lantas mengerahkan Apple untuk membangunkan telefon pintar mereka sendiri.

P1 vs P2

Pada ketika itu sebenarnya para eksekutif dan jurutera di Apple sedang dalam senyap menghasilkan telefon pintar mereka sendiri. Ada dua pasukan yang sedang membina prototaip telefon pintar yang mengikut citarasa dan acuan yang mereka idamkan. Pasukan pertama yang diketuai oleh Tony Fadell memvisikan sebuah telefon pintar dengan reka bentuk seperti iPod. Pasukan kedua pula yang diketuai oleh Scott Forstall, mengimpikan telefon pintar dengan skrin multi-touch. Jobs yang sedar akan kewujudan kedua-kedua projek tersebut mengambil langkah bijak dengan mengumpulkan mereka semua di dalam satu pertemuan.

Steve Jobs mengumumkan yang mereka akan memberi fokus kepada projek telefon pintar yang diketuai Fadell. Jobs berpendapat yang projek Forstall walaupun nampak berpotensi, tapi sebenarnya tidak realistik untuk disiapkan dalam tempoh yang sangat singkat. Namun begitu, projek Forstall tidak dihentikan. Jobs membenarkan projek tersebut diteruskan. Kedua-keduanya diberi kod (projek Fadell sebagai P1 dan projek Forstall sebagai P2) dengan tujuan untuk merahsiakan projek itu dari pengetahuan umum.

Di saat itu bermulalah persaingan yang sengit antara Fadell dan juga Forstall. Ramai di Apple ketika itu berpendapat yang projek Fadell lebih berpotensi untuk berjaya. Ini kerana Fadell adalah orang yang bertanggungjawab mereka bentuk dan melancarkan iPod ke mercu kejayaan. Idea Fadell adalah untuk mencipta telefon pintar menggunakan asas iPod rekaanya sendiri. Telefon pintar tersebut akan mempunyai dua mod, (satu telefon dan satu lagi pemain media/muzik) dan mempunyai antara muka yang sama seperti iPod (click-wheel). Namun begitu, apabila Fadell mempersembahkan prototaipnya kepada Steve Jobs, Jobs merasa kecewa. Beliau mendapati yang konsep yang dibawa oleh Fadell itu bukanlah seperti yang diinginkan. Konsep Fadell akan menghadkan telefon pintar keluaran mereka hanya kepada pemain muzik + telefon. Jobs mahukan telefon pintarnya pergi lebih daripada itu.

Projek Fadell mula kehilangan sokongan, dan projek Forstall mula mendapat perhatian. Jobs ketika itu membawa Fadell melihat prototatip yang dihasilkan oleh projek P2. Projek P2 yang diberi nama oleh juruteranya sebagai Projek Purple memvisikan telefon pintar Apple sebagai sebuah skrin multi-touch yang besar tanpa sebarang kekunci fizikal. Jobs yang terpegun dengan konsep tersebut mengarahkan semua jurutera dan eksekutifnya untuk mencurahkan segala usaha dan tumpuan kepada projek Forstall. Dari saat itulah, konsep iPhone yang kita gunapakai sekarang dapat dilihat dengan jelas.

Antaramuka dan Perisian

Dengan visi dan objektif yang jelas, para jurutera Apple mula berusaha keras untuk menyiapkan prototaip telefon pintar mereka. Tapi perkakas yang hebat juga tidak bermakna jika ia tidak dilengkapi OS yang sama hebat. Dalam memilih sistem operasi (operating system, OS), kedua-kedua pasukan ini juga (Fadell dan Forstall) masih lagi bertelagah. Fadell inginkan telefon pintar tersebut menggunakan perisian yang ringkas dan dibangunkan dari Linux. Forstall pula mahukan telefon pintar tersebut itu pergi lebih jauh lagi dan beroperasi menggunakan OS X yang telah diubah suai.

Persaingan pusingan kedua pun bermula. Pasukan Fadell mempersembahkan demo kepada Jobs menggunakan OS yang dibangunkan dari Linux. Oleh kerana OS yang dibangunkan oleh pasukan Fadell itu lebih mudah dan ringkas, maka ia lebih laju untuk dilancarkan berbanding OS yang dibangunkan oleh pasukan Forstall. Namun begitu,walaupun OS Fadell itu tampak lebih lancar, tetapi ia terlalu ringkas untuk pergi lebih jauh. Jobs mahukan telefon pintar Apple lebih fleksibel. Disebabkan itulah OS yang melengkapinya juga perlulah lebih canggih untuk mencapai matlamat Jobs. Forstall mengambil peluang ini dengan menunjukkan kepada Jobs potensi OS yang dibangunkan oleh pasukan mereka. OS yang dibangunkan oleh Forstall itu lebih fleksibel dan mampu mengendalikan banyak perisian seperti kalendar, buku kenalan, dan kalkulator dengan lebih efisyen. Dan OS yang dipersembahkan oleh Forstall itu juga lebih sesuai dengan fungsi multi-touch yang dipilih mereka sebelum ini. Jelas sekali yang peperangan di antara Fadell dan Forstall ini telah dimenangi secara majoritinya oleh Forstall. Konsep telefon pintar yang diimpikan Forstall diterima oleh Steve Jobs. Pada Januari 9, 2007, Steve Jobs naik ke pentas untuk mengumumkan Apple iPhone, telefon pintar yang dibangunkan melalui hasil persaingan yang sengit para jurutera dan eksekutif di Apple.

Rumusan

Begitulah kisahnya bagaimana iPhone terhasil. Ia bukan kisah indah ataupun fantasi di mana semuanya baik-baik sahaja. iPhone terhasil dari persaingan yang sengit antara dua pihak yang tidak mengenal erti putus asa. Tidak syak lagi yang iPhone ketika mula dilancarkan adalah merupakan produk yang merubah segalanya. Ia mewujudkan era baru mobile computing yang terus menerus maju dan merubah cara hidup kita sehingga sekarang.

Rujukan:

Merchant, Brian (2017), “The Secret Origin Story Of The Iphone”. The Verge

Merchant, Brian (2017),” THE ONE DEVICE: The Secret History of the IPhone”. ISBN 978-0316546164.

Ritchie,Reen (2018), “11 years ago today, Steve Jobs introduced the iPhone”. iMore.

Hruska, Joel (2007), “Ballmer: iPhone has “no chance” of gaining significant market share”. ArsTecnica

Unknown (2005), “You call this the Phone of the Future? Wired Magazine, November 2005 issue.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.