Sempena menyambut tayangan pertama drama sci-fi bertajuk Loki (2021) keluaran Marvel/MCU, saya berkongsi kisah dewa ‘scammer’ ini mengikut mitologi orang Norse, di mana kaum ini terkenal dengan nama Viking, kaum pelayar yang pernah menghuru-harakan dunia Eropah.
Loki adalah salah satu dewa utama dalam mitologi orang Norse (kaum yang menetap di Scandinavia), anak dari pasangan bernama Fárbauti (keturunan gergasi bergelar Jötunn) dan dewi bernama Laufey bersama adik-beradik bernama Helblindi dan Býleistr.
Loki berkahwin dengan dewi bernama Sigyn dan mempunyai anak lelaki bernama Narfi. Loki juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Jötunn bernama Angrboða dan menjadi bapa kepada dewi neraka bernama Hel, serigala gergasi bernama Fenrir, dan ular tedung laut gergasi yang melilit dunia bernama Jörmungandr.
Banyak sumber bertulis yang menerangkan tentang hubungan Loki dengan dewa-dewi Norse lain. Loki pernah menjadi peneman kepada dewa-dewi yang dia temui dan mampu menjelma diri dalam bentuk yang dia mahukan seperti ikan salmon, kuda betina, dan juga lalat.
Antara manuskrip yang menulis tentang kehidupan Loki ini ialah Poetic Edda (kumpulan puisi orang Norse), Prose Edda (kitab mitologi dari Iceland), dan catatan-catatan dalam kisah legenda Scandinavia. Kisah Loki juga dipahat atas artifak batu-batuan seperti Sanptun Stone, Kirkby Stephen Stone, dan Gosforth Cross. Para ahli akademik berdebat akan peranan sebenar Loki dalam mitologi ini atas sebab tugasnya agak aneh dengan dewa-dewi lain iaitu mahir menipu.
LOKI DALAM POETIC EDDA
Loki hadir dalam 6 buah puisi tentang kisah berlainan dalam puisi Völuspá, Lokasenna, Þrymskviða, Reginsmál, Baldrs draumar, and Hyndluljóð. Dalam puisi Þrymskviða, terdapat kisah antara Loki dan Thor iaitu dewa kilat tentang pencarian tukul Thor yang hilang. Kena ingat, Loki dan Thor dalam mitologi ini bukan adik-beradik angkat seperti apa Marvel sajikan.
Thor bangun dari tidurnya dan mengetahui senjata paling berkuasa iaitu tukul petir bernama Mjöllnir telah hilang. Ketika ini Loki adalah peneman Thor. Apabila Loki mengetahui akan berita kehilangan ini, Thor mengarahkannya untuk tidak memberitahu sesiapa akan hal ini.
Mereka berdua kemudian pergi ke singgahsana dewi Freyja iaitu dewi cinta, kesuburan, dan kecantikan. Thor meminta izin Freyja untuk meminjam jubah bulu milik Freyja. Freyja bersetuju untuk meminjamkannya. Kemudian Thor mengarahkan Loki pergi mencari tukulnya, membawa jubah bulu Freyja yang membolehkan Loki terbang.
Di wilayah Jötunheimr (tempat tinggal kaum gergasi), seorang jötunn bernama Þrymr sedang duduk di tanah perkuburan, mengait kolar emas untuk anjing betinanya, dan menggunting kemas bulu-bulu kuda betinanya.
Loki kemudian bertemu dengan Þrymr dan membawa berita kehilangan tukul Mjöllnir. Mengetahui berita itu Þrymr mendakwa tukul milik Thor ini tertanam dalam 8 lapisan bawah tanah. Untuk mendapatkannnya, dewi Freyja harus mengahwini Þrymr.
Sekembalinya Loki ke Asgard, Thor bertanya akan perkembangan carian tukul dan Loki memberitahu apa yang dia temui. Kemudian mereka berdua menemui Freyja dan memaksanya untuk menerima lamaran Þrymr. Freyja yang dipaksa memakai gaun perkahwinan begitu murka sehingga dewan-dewan para Æsir (golongan dewa-dewi teratas) bergegar akibat amukannya.
Golongan Æsir kemudian bermesyuarat bagi menyelesaikan permasalahan Thor ini. Dewa Heimdallr iaitu penjaga Asgard mencadangkan Thor menyamar sebagai Freyja yang berpakaian gaun pengantin. Thor harus memakai gaun yang memanjang kehingga ke lantai, memakai barang kemas terutamanya rantai Brísingamen milik Freyja.
Thor tidak bersetuju dengan cadangan Heimdallr itu namun dicela oleh Loki dengan berpendapat bahawa ini saja caranya untuk kembalikan tukul Mjöllnir kepada Thor. Jika tidak para jötnar (nama lain bagi jötunn) akan menyerang Asgard.
Thor terpaksa menerima cadangan itu. Setelah siap Thor memakai gaun pengantin, Loki ikut serta pergi ke Jötunheimr semula dengan menyamar sebagai orang gaji.
Tibanya mereka ke Jötunheimr dengan menunggang chariot kambing, Þrymr mengarahkan para jötnar menyambut ketibaan ‘Freyja’ yang menerima lamaran kahwinnya. Þrymr sempat bermadah bahawa ‘Freyja’ satu-satunya harta yang tinggal setelah memiliki kekayaan dunia.
Masuk ke waktu petang dalam upacara perkahwinan, pasangan pengantin bersama hadirin menikmati makanan bufet yang terhidang. Thor yang menyamar sebagai Freyja makan dan minum dengan gelojoh: menjamah seluruh daging panggang serta meminum tiga tong arak.
Þrymr merasa aneh akan kelakuan ‘Freyja’ tersebut, seolah-olah bukan dirinya yang begitu sopan menurut bayangannya. Loki yang duduk bersebelahan memberitahu bahawa ‘Freyja’ berkelakuan sedemikian kerana terlalu teruja akan perkahwinan ini sehingga tidak makan selama 8 hari.
Þrymr kemudian mengalihkan kain muka yang menutupi wajah ‘Freyja’ untuk mencium ‘isterinya’. Namun Þrymr terkejut dengan pandangan mata ‘Freyja’ yang begitu bengis dan penuh dendam. Loki juga menyatakan sebab dewi itu pandang sebegitu rupa adalah dia tidak tidur selama 8 malam kerana terlalu fikirkan upacara perkahwinan ini.
“Adik-beradik terkutuk” jötnar muncul meminta hadiah yang dipersembahkan dari wakil pengantin wanita. Kemudian para jötnar membawa tukul Mjöllnir untuk ‘menyucikan pasangan pengantin’. Tukul itu diletakkan di atas paha ‘Freyja’ dan “adik-beradik terkutuk” kahwinkan Þrymr dan ‘Freyja’ atas keberkatan ‘tangan’ dewi Vár.
Thor ketawa perlahan saat tukul petir itu berada di atas pahanya, kemudian memegangnya dan mula memb.unu.h Þrymr dan kaum jötnar lain. Inilah kisah kehilangan tukul Mjöllnir yang berjaya Thor miliki semula, berkat Loki yang mahir memanipulasi fikiran Þrymr agar percaya dengan penipuan ini.
LOKI DALAM PROSE EDDA
Loki juga banyak diceritakan dalam kitab Prose Edda ini. Salah satu kisah melibatkan Loki adalah kisah pada Bab 42. Dalam bab ini, golongan High iaitu tiga orang atasan yang mewakili ketua dewa-dewi bernama dewa Odin menceritakan awal penubuhan dunia orang Norse. Para dewa-dewi dikatakan mencipta Midgard (bumi) dan juga mencipta Val-Hall (Valhalla).
Penukang yang tidak dinayatakan namanya menawarkan dirinya untuk membina sebuah kubu untuk perlindungan para dewa-dewi dari serangan musuh, tetapi ganjarannya adalah memiliki dewi Freyja, matahari, dan bulan.
Setelah perbincangan panjang sesama dewa-dewi, mereka bersetuju akan syarat tersebut. Namun para dewa-dewi mahukan si penukang ini terima syarat mereka. Si penukang harus siapkan kubu selama 3 musim tanpa dibantu oleh sesiapa.
Si penukang percaya tugas membina kubu pastu berat dan memakan masa lama jika tidak dibantu oleh penukang lain. Maka, dia meminta izin para dewa-dewi untuk membawa kuda jantannya bernama Svaðilfari sebagai pembantu untuk mengangkat bahan binaan. Permintaan ini ditunai setelah Loki memujuk dewa-dewi akan relevan permintaan si penukang.
Sepanjang pembinaan, dewa-dewi terpegun dengan kuda jantan penukang yang mampu menarik batu-batuan yang begitu besar dari tubuh kuda itu. 3 hari sebelum tibanya musim panas, kubu hampir disiapkan sepenuhnya. Golongan Æsir risau akan pencapaian si penukang ini dan tidak mahu dewi Freyja menjadi milik si penukang.
Jadi mereka salahkan Loki yang membenarkan penukang membawa kudanya dalam projek pembinaan ini. Mereka mengarahkan Loki untuk melambatkan kerja si penukang dan jika tidak dilaksanakan sehingga masuk musim panas, Loki akan mendapat hukuman mati.
Loki yang ketakutan terpaksa akur dengan arahan golongan Æsir dan berjanji akan melaksanakannya biarpun nyawanya tergadai. Masuk waktu malam, penukang dan Svaðilfari masih bekerja. Leka mereka bekerja, muncul kuda betina dari hutan berhampiran. Si penukang tidak tahu bahawa kuda betina itu adalah jelmaan Loki untuk menggagalkan projek itu.
Loki yang menjelma menjadi kuda betina mula menggoda Svaðilfari. Svaðilfari termakan umpan dan mula mengikut nafsu berahinya mengejar kuda betina itu. Dua-dua ekor kuda itu berlari sepanjang malam sampai si penukang tidak mampu lagi menghalang kudanya yang mempunyai stamina lagi tinggi dari dia.
Maka, Loki berjaya menggagalkan si penukang menyelesaikan tugasnya dan selamat dari menerima hukuman mati. Si penukang pula menemui nasib yang malang. Setelah dewa-dewi mengetahui si penukang itu mempunyai darah Jötunn, mereka murka dan mengarahkan Thor memb.unu.h penukang itu. Thor kemudian tiba di tempat pembinaan dan memecahkan tengkorak penukang dengan tukul Mjöllnir.
Loki pula seperti apa yang dia janjikan, dia korbankan diri menjadi pasangan Svaðilfari. Dikatakan Loki dalam bentuk kuda betina melahirkan seekor kuda ajaib, iaitu kuda berkaki lapan yang menjadi kuda terbaik dalam golongan kuda. Nama kuda ini ialah Sleipnir.
Banyak lagi sebenarnya kisah Loki dalam kedua-dua manuskrip ini terutamanya kisah Loki melawan dewa-dewi sehingga dihukum menelan racun ular. Tapi dua cerita ini saja cukup untuk kita kenal akan kelicikan Loki.
ASAL-USUL WATAK LOKI DALAM MITOLOGI NORSE
Ramai ahli akademik berdebat tentang asal-usul dewa Loki ini kerana peranannya yang tidak berapa majestik berbanding dengan dewa-dewi lain yang mempunyai kuasa tertentu seperti Thor yang mempunyai kuasa kilat. Peranan Loki yang hanya bergantung dengan kepintaran dalam menyelesaikan masalah dan melaksanakan penipuan membuatkan ahli akademik tercari-cari mengapa dewa ini setaraf dengan golongan Æsir.
Pada tahun 1835, ahli bahasa dari Jerman bernama Jacob Grimm atau Ludwig Karl percaya bahawa Loki pada asalnya ialah dewa api. Tahun 1889, ahli bahasa dari Norway bernama Sophus Bugge memberikan teori bahawa Loki adalah salah satu personaliti dari tubuh Lucifer atau Iblis dalam ajaran Kristian.
Lepas Perang Dunia Kedua, wujud 4 teori yang mendominasi dalam pencarian asal-usul Loki. Teori pertama wujud pada 1956 ialah teori dari ahli agama Sweden berrnama Folke Ström yang menyatakan Loki adalah jelmaan yang wujud keluar dari tubuh dewa Odin. Tahun 1959, ahli bahasa dari Belanda bernama Jan de Vries menyatakan Loki adalah dewa yang mewakili tokoh-tokoh penipu dalam mitologi.
Teori ketiga adalah teori Loki adalah seekor labah-labah dari ahli akademik bernama Anna Birgitta Rooth. Bagi Rooth, teori labah-labah adalah relevan kerana kemahiran labah-labah yang mempu menjerat mangsa menggunakan sesawang, seperti Loki mampu memanipulasi musuh hanya di gengamannya. Teori terakhir lagi menarik. Teori ini dikemukakan oleh ahli bahasa dari Norway bernama Anne Holtsmark, menyatakan bahawa Loki sememangnya berasal dari mitologi orang Norse, tidak terikat dengan mana-mana sumber di luar dunia orang Norse.
RUJUKAN:
Bellows, Henry Adams (1936). The Poetic Edda: Translated from the Icelandic with an Introduction and Notes. Princeton University Press/American Scandinavian Foundation.|
Heide, Eldar (2011). “Loki, the Vätte, and the Ash Lad: A Study Combining Old Scandinavian and Late Material” (PDF). Viking and Medieval Scandinavia. 7: 63–106
Lindow, John (2001). Norse Mythology: A Guide to the Gods, Heroes, Rituals, and Beliefs. Oxford University Press.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih