4 tahun yang lalu. Suara jeritan memenuhi ruang bilik kami sejurus selepas kami dikejutkan entiti yang hanya wujud di sebalik skrin televisyen. Kami yang masing-masing bertubuh sasa terpaksa bertekup di sebalik bantal kerana terlalu takut untuk menggerakkan karakter kami ke depan. Ada di antara kami yang berdalih, kata kononnya teman wanita menelefon, tetapi sebenarnya masing-masing sudah serik dibelenggu ketakutan dek kerana permainan video ini. Akhirnya, terpaksa kami “google” penyelesaian permainan video ini di Internet kerana tidak sanggup lagi untuk terperangkap di neraka maya ini.
Permainan video yang saya ceritakan di atas adalah permainan video yang dinamakan sebagai P.T. Ianya dilancarkan oleh 7780s Studio pada Ogos 2014, dan boleh dimuat turun di platform Playstation secara percuma. Apabila P.T dilancarkan, ia menerima sambutan yang sangat memberansangkan. Dimurut turun lebih dari 1 juta kali di seluruh dunia, P.T juga menerima banyak pujian dari para pengkritik yang mengangkatnya sebagai pembangkit semula genre seram dalam industri permainan video yang sebelum itu seperti suam-suam kuku. Ramai juga peminat yang memanggil P.T sebagai permainan video paling seram dalam sejarah. Tapi apakah yang membuatkan P.T berjaya mencapai reputasi seperti ini?
Plot dan Penceritaan
P.T meletakkan kita sebagai protagonis yang terperangkap di sebuah rumah berhantu. Pada awal permulaan permainan, anda sebagai protagonis tersedar di dalam sebuah bilik kosong. Hanya ada sebuah pintu menanti yang akan membawa anda ke satu koridor rumah. Koridor tersebut dibina dalam bentuk L dan apabila anda melalui koridor ini anda akan terdengar siaran radio yang menceritakan tentang pembunuhan kejam seorang ayah yang sanggup membunuh ahli keluarganya sendiri. Di hujung koridor rumah, terdapat tangga yang membawa anda ke ruang bawah tanah. Kebanyakan yang bermain menyangka yang membuka pintu tersebut akan membawa anda ke ruang yang lain. Tetapi, perkara yang sebaliknya berlaku. Membuka pintu ruang bawah tanah hanya akan membawa anda balik semula ke permulaan koridor tersebut.
Dan itu sahajalah ruang yang tersedia dalam permainan video ini. P.T meletakkan anda terperangkap di dalam satu kitaran yang tidak berkesudahan. Apa sahaja yang anda buat, anda pasti tidak boleh keluar dari rumah tersebut. Tiada bilik ataupun ruang lain yang ada boleh terokai melainkan koridor tadi dan juga bilik air yang terletak di sebelah koridor. Pada mulanya pintu bilik air itu tidak boleh dibuka. Tetapi setelah anda disakat beberapa kali oleh entiti bernama Lisa, pintu bilik air tersebut terbuka selepas kesekian kalinya anda melalui koridor tersebut. Didalamnya beberapa peristiwa yang menaikkan bulu roma berlaku. Dari lantai yang berdarah, sehinggalah ke janin bayi yang boleh bercakap, setiap situasi tersebut membuatkan anda tidak senang duduk.
Lisa yang pada mulanya hanya seakan menyakat dari jauh (melaui tingkap koridor, pintu bilik air,dan penghujung koridor) sebenarnya boleh menyerang anda. Ada ketika beliau menyerang sejurus selepas radio bertempik “Lihat di belakang anda!”
Jika anda sangka apabila diserang oleh Lisa membawa maksud yang permainan video tersebut telah tamat (Game Over lah katakan), anda sebenarnya silap besar. P.T tidak akan melepaskan anda begitu sahaja. Anda akan dibawa semula ke bilik kosong di awal permulaan permainan. Keluar dari pintu bilik kosong itu juga akan membawa anda semula ke koridor yang sama. Di saat inilah anda akan mula rasa tertekan. Seperti tidak ada lansung jalan keluar dari neraka permainan video ini. Setiap kitaran koridor yang anda lalui bagaikan satu ujian yang menyeksakan. Ada sahaja gangguan yang berlaku di setiap kitaran. Lisa yang mencampak lampu ke lantai, peti ais berdarah yang tergantung dari siling, siaran radio yang tak henti-henti mengulangi nombor yang tidak masuk akal (204863! 204863! 204863!!!) dan suara bayi menangis membuatkan jantung anda berdegup kencang.
Hendak menyelesaikan permainan video ini juga bukanlah satu perkara yang mudah. P.T perlu diselesaikan melalui petunjuk yang berselerak di sekeliling koridor. Yang menjadi masalahnya anda perlu meneroka setiap pelusuk koridor tersebut untuk mencari petunjuk. Menyelesaikan teka-teki tersebut terpaksa membawa anda berdepan dengan gangguan dan entiti yang menyakat. Tidak menyelesaikan teka-teki pula menyebabkan anda terkandas dan terperangkap dalam satu kitaran infiniti. Ini menyebabkan anda di dalam dilema dan ketakutan yang berterusan. Pun begitu, sudah ada yang berjaya menyelesaikan permainan video ini. Berikut adalah cara penyelesaian permainan video P.T:
- Permainan video ini mestilah diselesaikan selepas jam di koridor menunjukkan sudah 12 tengah malam.
- Anda perlu mencetuskan bunyi bayi ketawa sebanyak tiga kali. Ia dilakukan dengan”
– Berjalan 10 langkah ke depan selepas sahaja jam berdetik ke 12 tengah malam (Ketawa yang pertama)
– Cari sumber bunyi ketawa tersebut dan bisik “Jarith” ataupun “Lisa” melalui mikrofon Playstation anda (ketawa yang kedua)
– Selepas itu controller Playstation anda akan bergetar (vibrate). Jangan gerakkan controller dan duduk diam sehinggalah anda mendengar ketawa yang ketiga.
(Nota: Pastikan anda tidak diserang oleh Lisa sewaktu melakukan langkah-langkah di atas).
- Selepas itu anda akan mendengar telefon bordering. Zoom ke atas telefon tersebut, dan anda akan mendengar “You’ve been chosen”. Teruskan perjalanan anda ke bilik bawah tanah yang akan membawa anda keluar dari permainan video ini.
Di pengakhiran permainan, anda akan melihat apakah rahsia disebalik P.T. P.T sebenarnya adalah sebuah “playable teaser” untuk sebuah permainan video yang dicanangkan melalui kerjasama pembangun permainan video lagenda Hideo Kojima dan juga pengarah popular Guillermo Del Toro. Kojima berselindung di sebalik nama 7780s Studio dimana 7780 adalah bilangan kilometer persegi wilayah Shizouka. Wilayah Shizouka itu sendiri secara literalnya membawa maksud “bukit yang senyap”. P.T adalah trailer/demo untuk iterasi terbaru francais permainan video popular, Silent Hill. Diberi nama Silent Hills (ada tambahan s di situ para pembaca), ia dijanjikan oleh Kojima sebagai sebuah permainan video yang akan merevolusikan genre seram dalam industri.
5 Sebab Mengapa P.T Begitu Seram
Walaupun permainan video P.T hanyalah sebuah demo dan berdurasi tidak lebih dari 2 jam, namun permainan video ini banyak memberi impak kepada komuniti gamers seluruh dunia. Sewaktu ia dilancarkan ia menjadi topik hangat yang dibualkan oleh ramai peminat dan juga pengkritik tak kiralah melalui media sosial mahupun portal media elektronik. P.T meledakkan dan menaikkan semula minat semua para gamers pada genre seram permainan video. Saya berpendapat ini semua kejayaan yang dicapai oleh P.T atas 5 sebab yang spesifik.
- Perspektif Protagonis
Perkara pertama yang P.T lakukan dengan tepat adalah melalui perspektif watak utama. Pada ketika itu, kebanyakan permainan video genre seram, meletakkan watak utama dalam perspektif pihak ketiga (third-person view). Sebagai contoh francais Resident Evil, Silent Hill, Fatal Frame dan juga trilogi Dead Space. P.T yang jelas mengambil inspirasi daripada permainan video seram indie seperti Amnesia, Five Night at Freddy’s dan juga Slender Man meletakkan watak utama melalui perspektif first person dan memecah tradisi permainan video seram selama ini. Meletakkan watak utama dalam perspektif first person menghadkan penglihatan pemain menjadikan kita mengalami rasa terkurung dan mewujudkan suasana claustrophobic seperti sedang sentiasa diperhatikan. Ini meyebabkan kita sebagai pemain sentiasa tidak tenang dan secara lansung memberikan kita pengalaman yang lebih imersif.
- Rekabentuk Permainan
Kojima juga bijak dalam menggarap dan mereka bentuk koridor yang menjadi medan utama permainan dalam P.T Ianya direka supaya tidak terlalu luas supaya hanya muat untuk anda seorang sahaja melaluinya dan juga tidak pula terlalu sempit bagi mewujudkan ruang apabila apabila anda menoleh. Keadaan ini menyebabkan bilamana anda menoleh sahaja, pasti anda akan membelakangi sesuatu. Koridor dalam T.P juga direka dalam bentuk kitaran yang tidak berkesudahan. Ia seakan seperti anda turun dari satu tahap ke satu tahap neraka dengan setiap kitaran neraka tersebut menjanjikan penyeksaan yang berbeza. Ini mewujudkan rasa takut yang berterusan dan membuatkan anda sentiasa gelisah dalam setiap langkah.
- Rekabentuk Bunyi
Satu lagi yang hebatnya pada permainan video ini adalah pada rekaan bunyi. Jika anda berpeluang bermain permainan video ini, gunakanlah fon telinga ataupun headset. Di setiap ceruk koridor dan di setiap kitaran, ada sahaja bunyi yang menemani. Dari bunyi siaran radio, bunyi bayi menangis ataupun ketawa, bunyi gangguan Lisa, ataupun bunyi benda berhayun, ianya menimbulkan atmosfera dan suasana yang seram kepada pemain. Penggunaan bunyi pada masa yang tepat boleh menimbulkan suasana saspen seterusnya membantu Kojima untuk menetapkan masa yang sesuai untuk melakukan kejutan ataupun jump-scare.
- Tidak bergantung pada trope yang basi
Sebut sahaja genre seram, ia pasti dipenuhi dengan elemen kejutan ataupun jump-scare. Ramai peminat sudah seakan muak dengan trope basi ini yang sangat selalu digunakan di dalam filem mahupun permainan video seram. Tetapi P.T tidak begitu. Ramai pengkritik mengkalisifikan P.T sebagai seram tulen (ataupun pure horror). Ini kerana P.T mewujudkan atmosfera ataupun suasana seram kepada pemain dan hanya menggunakan elemen kejutan (jump-scare) pada waktu yang sesuai. Ini dilakukan melalui rekaan permainan dan bunyi dengan tujuan untuk mewujudkan rasa tidak senang dan gelisah kepada pemain, dan memberikan elemen kejutan di waktu pemain tidak lansung menjangkakannya.
- Konsep Breaking The 4th Wall
Breaking the 4th Wall adalah kelebihan Kojima. Ia adalah konsep di mana dinding diantara realiti dan fantasi dirobek untuk mewujudkan kekeliruan kepada pemain membuatkan pemain tertanya-tanya sama ada permainan video ini adalah fantasi ataupun realiti. Contoh yang saya boleh paparkan disini adalah filem Deadpool. Selalu sahaja Deadpool dalam tak sedar berbicara depan-depan dengan penonton, memecah dinding di antara fiksyen dan realiti. Kalau dalam filem Melayu, contoh yang bagus adalah filem Bujang Lapok. P.T menggunakan konsep ini secara minima seperti menyebabkan controller bergegar, petunjuk yang terdapat di dalam menu permainan dan penyelesaian yang memaksa anda untuk berbisik melalui mikrofon. Ini sedikit sebanyak menyebabkan kita sebagai pemain mempersoalkan realiti yang kita diami ketika itu.
Legasi
P.T wewujudkan fenomena. Semua peminat yang bermain permainan video ini, ternanti-nanti permainan video Silent Hills yang sedang dirancang ketika itu. Jika demo-nya sahaja sudah begini seram, apatah lagi permainan yang video yang lengkap. Tetapi, pada bulan April tahun 2015, Konami mengumumkan yang projek prolifik itu dibatalkan. Ini disebabkan oleh konflik dalaman diantara Hideo Kojima dan pihak pengurusan Konami. Konami juga bertindak menurunkan permainan video ini dari Playstation Network. Hancur dan punahlah impian para gamers untuk melihat permainan video Silent Hills dilancarkan.
Pun begitu, legasi P.T wasih wujud sehingga sekarang. P.T telah memberi banyak inspirasi kepada pembangun dan pembina permainan video. Banyak klon-klon permainan video seram yang mengambil konspep yang sama seperti P.T dilancarkan ataupun sedang dibangunkan. Permainan video seperti Allison Road, The Visage, dan juga Layers of Fear banyak meminjam konsep pure horror dalam P.T dan mengaplikasikannya pada rekaan permainan. Malah ketika permainan video popular Resident Evil 7 dilancarkan tahun lepas, ramai yang mengatakan ianya meniru dan mengambil banyak inspirasi dari P.T (walaupun dinafikan oleh Capcom). Bayangkanlah permainan video yang mulanya dilancarkan sebagai demo, kini dipanggil mahakarya yang memberi inspirasi kepada permainan video yang lain. Saya berasa sangat beruntung kerana berkesempatan bermain permainan video yang pada pendapat saya adalah permainan video yang paling seram dan tak terbanding sehingga sekarang.
Rujukan dan Bacaan Lanjutan:
Houghton, David (Oktober,2016), “P.T. is still the purest horror game around, and one of the smartest on PS4”. GamesRadar
Bakalar,Jeff (Ogos, 2014), “P.T. is pure video-game marketing genius”. CNET.
Eisnemann, Viktor (September, 2014), “P.T (Silent Hills teaser) game analysis. Gamasutra
TheGrateDebate (Apr, 2015), “The Grate Debate: The Story of P.T”. YouTube
Moore,Ewan (2014), “The Legacy Of P.T. – How One Cancelled Game Impacted The Horror Genre”. Unilad.
Byrd, Matther (Oktober, 2017), “PT: Exploring the Terror of the Silent Hills Demo”. Den of Geek.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih