Berita dunia yang paling menular dan gempak beberapa minggu lepas ialah … bukan Neelofa, bukan Ude, tapi cadangan China untuk memansuhkan had penggal bagi jawatan presiden. Isu yang hangat diperdebatkan, sampai majalah The Economist pun memaparkan tajuk “How the West Got China Wrong”. Pelik, presiden China nak lebih kuasa, apa yang “salah” dengan Barat pula?


Menurut Perlembagaan Republik Rakyat China (PRC) tahun 1982, seseorang tidak boleh memegang jawatan presiden lebih dari dua penggal (satu penggal = 5 tahun). Sejak penubuhan Perlembagaan 1982, semua presiden mematuhi had penggal tersebut: Li Xiannian (1983-1988, 1 penggal), Yang Shangkun (1988-1993, 1 penggal), Jiang Zemin (1993-2003, 2 penggal), Hu Jintao (2003-2013, 2 penggal) dan kini Xi Jinping berada dalam penggal keduanya.

Namun jawatan presiden China sebenarnya adalah bersifat “ceremonial head of state”. Fungsinya lebih kurang seperti Yang Dipertuan Agong. Kuasa sebenar adalah dipegang oleh Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan (“Chairman of Central Military Commission”). Semasa 1980-an jawatan tersebut dipegang oleh Deng Xiaoping, maka Deng dilihat sebagai pemimpin tertinggi (“paramount leader”). Selepas kejadian Dataran Tiananmen 1989, kerajaan China ingin mengetatkan kawalan politik, maka Jiang Zemin dan Hu Jintao diberi tiga jawatan dalam satu masa: Presiden, Pengerusi Jawatankuasa Ketenteraan dan Setiausaha Agung Parti Komunis China. Tapi selepas 10 tahun mereka secara automatik melepaskan kuasa.

Pemansuhan had penggal ini bakal membolehkan Xi memegang ketiga-tiga jawatan lebih dari 10 tahun, maka dia akan menjadi pemimpin PRC yang paling berkuasa selepas Mao Zedong (1949-1976). Ini yang membuat banyak media dan cendekiawan di Barat rasa tak sedap hati. Di kalangan cendekiawan Barat khususnya di US, mereka percaya bahawa ekonomi pasaran (“market economy”) akan membawa kepada demokrasi. Menurut pandangan ini, ekonomi pasaran akan melahirkan generasi kelas menengah (“middle class”) yang mempunyai kesedaran politik tinggi, dan kelas menengah ini akan menuntut sistem politik demokrasi.

Itu menjadi sebab US dan negara-negara Barat lain memberi sokongan kepada dasar reformasi ekonomi China (“gaige kaifang” / 改革开放) yang dilancarkan pada tahun 1978. Malah US menyokong China untuk menjadi anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun 2001, dengan andaian norma ekonomi pasaran akan “transform” China menjadi negara yang terbuka dan demokratik.

Tapi terbukti itu sekadar khayalan. Barat tepuk sebelah tangan. Kejayaan ekonomi China tidak menjadikan China semakin demokratik, malah menjadi semakin autokratik. Sebagai lidah rasmi golongan “liberal internationalist” yang pro-pasaran dan pro-demokrasi, patut pun The Economist menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan di China.

Yang lagi mengecewakan golongan liberal internationalist ialah kenyataan Trump: “He’s now president for life. I think it’s great. Maybe we’ll give that a shot some day.” Tak pernah lagi dalam sejarah US, sejak George Washington menjadi presiden, ada presiden US yang memuji authoritarianism secara terbuka. Trump punya “value system” terbukti jauh sekali berbeda dengan elit liberal internationalist, patut pun Trump dibenci dan diserang oleh media arus utama yang dipegang oleh golongan ini.

Jadi kenapa cendekiawan liberal internationalist boleh tersilap dalam pengiraan mereka terhadap China? Kerana mereka gagal membaca budaya politik China/Cina yang menekankan “performance-based legitimacy” (PBL).

Dalam bahasa yang mudah, PBL bermaksud keabsahan (legitimacy) pemimpin diukur melalui pencapaian, bukan pematuhan terhadap institusi/sistem. Demokrasi kah tak demokrasi kah, kalau rakyat tak cukup makan maka pemimpin tersebut akan dilabel sebagai pemimpin yang lemah. Dalam sejarah politik China selama 2,000 tahun, kemakmuran ekonomi merupakan salah satu tanda pemerintah (Maharaja) mempunyai “mandat dari syurga” atau “tianming” (天命). Kalau rakyat cukup makan, duit kerajaan banyak, maksudnya pemerintah diredai oleh ilahi. Jadi pemerintah tersebut tak boleh digulingkan.

Itulah silapnya cendekiawan dan pembuat dasar Barat. Apabila Barat memberi pelbagai sokongan terhadap program reformasi ekonomi China, ia hanya akan membuat ekonomi China semakin makmur. Dalam mata Barat, ini akan melahirkan kelas menengah yang boleh mentransformasikan China menjadi demokrasi. Tapi di mata kelas menengah China, kemakmuran inilah sebab mereka tidak menuntut demokrasi. Sebab bagi mereka, kerajaan demokratik mungkin tidak se-cekap dalam menyampaikan hasil ekonomi sebagaimana yang disampaikan oleh Parti Komunis.

Orang China/Cina secara umum adalah ultra-realis, mereka tak hirau sangat sistem apa yang mereka pakai, janji “end-result” ialah kemakmuran dan kestabilan. Itu antara sebabnya PAP selesa berkuasa di Singapura. Di Taiwan, pemerintahan autokratik hanya tamat pada tahun 1988.

Dan ada banyak lagi andaian yang tak tepat pasal politik China yang dibuat oleh penganalisa Barat. Antara contohnya ialah mereka menggelarkan Xi Jinping sebagai “Mao Zedong No. 2”. Kononnya kedua-dua pun menggilakan kuasa. Tapi Xi sendiri merupakan mangsa kempen “Cultural Revolution” yang dilancarkan oleh Mao ketika 1960-an. Ayahnya hilang kuasa politik akibat kempen tersebut. Jadi Xi tak minat dengan ajaran Mao. Dan salah satu tindakan Xi pada awal kepresidenannya ialah mencantas Bo Xilai, ahli politik yang terkenal sebagai pendukung “Maoism”. Walaupun Xi mengaku diri sebagai Marxist-Leninist, namun dia lebih kelihatan sebagai seorang autokrat yang cuba mencari keabsahan dalam ajaran tradisionalis Confucianism-Legalism (seperti Lee Kuan Yew yang banyak buat rujukan kepada Confucianism).

Kebangkitan China memberi cabaran kepada model pembangunan yang dipelopori oleh Barat selama ini. Kalau Barat kata negara perlu mengamalkan demokrasi untuk menikmati pembangunan ekonomi dan “good governance”, China membuktikan yang sebaliknya. Maka datanglah istilah “China Model”. Memandangkan demokrasi US dan EU pun berada dalam krisis, para pendukung demokrasi perlu mencari sabab baru untuk membuktikan demokrasi sebagai sistem yang paling “desirable” bagi manusia.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.