Menurut Albert Einstein, semakin laju sesuatu objek bergerak, secara relatifnya, objek tersebut akan merasa masa dengan lebih perlahan, berbanding dengan objek yang tidak bergerak. Hal ini termaktub dalam Teori Relativiti Khusus yang Einstein usulkan pada 1905.
Dalam kes ini, masa bukanlah “menjadi perlahan” bagi objek yang bergerak laju itu. Masa tetap juga bergerak pada kadar yang sama.
Apa yang Einstein maksudkan sebenarnya adalah – sekiranya ada satu objek bergerak laju dan satu objek yang statik, jam yang mereka pakai akan menunjukkan nilai masa yang berbeza – yang bergerak laju akan sentiasa lebih lambat berbanding yang tidak bergerak.
Jam dari objek yang tidak bergerak menunjukkan 10 minit telah berlalu? Jam dari objek bergerak laju mungkin menunjukkan hanya 5 minit telah berlalu, bukan 10 minit.
Kenapa perkara ini boleh terjadi?
Hal ini pertama kali disedari oleh Einstein kerana dia ingin memelihara satu benda – kelajuan cahaya.
Menurut Einstein, kelajuan cahaya sewajarnya adalah sama bagi semua pemerhati, kerana mereka semua melihat cahaya yang sama. Justeru, sekiranya kelajuan cahaya perlu dikekalkan, maka perkara yang lain perlu terubah – semata-mata untuk mengekalkan kelajuan cahaya.
Formula mudah bagi kelajuan adalah hubungkait antara jarak dan masa. Dalam usaha kita untuk mengekalkan kelajuan, maka jarak, dan masa, perlu berubah menurut pemerhati. Dari sini lahirnya konsep “Pengembangan Masa” (Time Dilation) dan “Pengecutan Ruang” (Length Contraction). Dari sini juga wujudnya idea relativiti – masa dan ruang sebenarnya tersabit kepada sifat sang pemerhati.
Antara gambaran paling menarik pastinya terhasil dari karya fiksyen dengan adiwira yang mampu bergerak laju. Dalam filem X-Men Apocalypse, contohnya, Quicksilver, seorang mutant yang mampu bergerak laju, berjaya menyelamatkan kesemua mutant lain sewaktu rumah sekolah X-Men meletup.
Di saat letupan itu terjadi, masa kekal bergerak, letupan kekal berlaku, namun penonton dapat melihat “masa” dari perspektif pemerhati yang sedang bergerak dengan amat laju. Dari satu babak ke satu babak, ia berlaku dengan amat biasa, namun dari pemerhati mutant yang diselamatkan pula, ia pastinya berlaku dengan amat pantas.
X-Men bukan satu-satunya franchais yang cuba menggambarkan pengembangan masa.
Dalam filem terbaru Justice League versi Snyder, Barry Allen telah menyelamatkan Iris West (bakal isterinya) yang berada dalam kemalangan. Barry mengambil kuasa dari entiti misteri yang dipanggil “Speed Force” yang boleh memberi Barry kuasa bergerak laju sesuka hatinya, dan Barry berjaya menyelamatkan Iris.
Jika dibandingkan Barry Allen (DC) dengan Quicksilver (Marvel), pastinya Barry Allen adalah speedster yang lebih hebat. Quicksilver mendapat kuasanya kerana dia adalah mutant – dan kesemua mutant mempunyai had kepada kuasa mereka, manakala Barry Allen pula mendapat kuasanya dari entiti misteri yang tidak diketahui batasan kuasanya.
Namun rasanya semua orang pasti tahu kenapa Barry Allen lebih hebat.
Barry Allen versi Snyder mendapat pembaharuan (dibandingkan versi Whedon) kerana potensi kuasa The Flash digunakan sepenuhnya. Dalam salah satu babak apabila Steppenwolf berjaya memusnahkan Bumi, Barry Allen telah berlari dengan teramat laju, melebihi kelajuan cahaya. Hal ini membenarkan Barry untuk kembali ke masa lampau, beberapa saat sebelum kemusnahan Bumi terjadi.
Hal ini, jika difikirkan dari sudut logik akal, adalah agak tidak masuk akal. Namun sekali lagi, filem adiwira bukanlah dibina atas logik akal. Cuma perlu diberi kredit kerana adiwira yang satu ini bermain dengan konsep fizik relativiti dengan amat baik sekali.
Sekiranya dilihat semula dari hasil kerja Einstein, Einstein meletakkan had kelajuan pada halaju cahaya. Menurut Einstein, untuk mencapai kelajuan cahaya, sesuatu jasad akan memerlukan tenaga yang infiniti besar (teramat besar) nilainya. Maka, Einstein tidak meletakkan sebarang kesan, atau implikasi sekiranya objek bergerak pada kelajuan cahaya – atau bergerak melebihi kelajuan cahaya.
Jadi sifirnya mudah.
Apabila bergerak laju, menghampiri kelajuan cahaya, masa akan menjadi perlahan. Justeru, para saintis meramalkan bahawa sekiranya kita bergerak pada kelajuan cahaya, masa akan berhenti dari sudut pandang kita, sebagai objek yang bergerak laju. Bahkan ada matematik untuk menunjukkan bahawa kesan ini ‘secara teorinya’ boleh berlaku, iaitu Transformasi Lorentz (transformasi Lorentz terhasil apabila Einstein cuba mengharmonikan pandangan dari dua pemerhati yang berbeza).
Sekarang, berbalik kepada Barry Allen, sewaktu dia ingin memulakan larian untuk berlari lebih laju dari kelajuan cahaya, dia sempat bermonolog dengan dirinya sendiri –
[the Flash is trapped in the Speed Force]
The Flash : OK. Just gotta go faster than the speed of light – far beyond the speed of light. You gotta break the rule, Barry and you gotta do it now.
[starts to run]
The Flash : Dad, whatever happens now, I just want you to know: your kid was one of them, dad. One of the best of the best.
[runs]
The Flash : Make your future. Make your past. It’s all… right… now.
Barry sedar bahawa perjalanan merentas masa adalah suatu perkara yang berbahaya, kerana segala paradoks masa akan menghantui dirinya.
Ada sebab yang lebih panjang sebenarnya kenapa aku anggap The Flash adalah watak yang paling hebat dalam Justice League berbanding watak yang lain, namun ini adalah salah satu sebabnya – Barry Allen adalah legasi yang mengingatkan kita kepada Albert Einstein dan Teori Relativiti.
RUJUKAN:
The Flash Snyder version – t.ly/LVFY
Quicksilver X-Men: Apocalypse – https://www.youtube.com/watch?v=bvXXQxcq5-4
Einstein’s special relativity beyond the speed of light (2012) – https://doi.org/10.1098/rspa.2012.0340
The real reason nothing can ever go faster than light (2016) – http://www.bbc.com/…/20160429-the-real-reasons-nothing…
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih