Lebih kurang 27 tahun yang lalu, kita telah melancarkan sebuah grand design yang bertujuan untuk merubah dan mencorak Malaysia yang baharu. Dalam gagasan tersebut terkandungnya sembilan teras utama yang dipercayai dapat memacu bukan sahaja negara, malah melahirkan sebuah bangsa baharu yang gagah, bersatu pada dalam apa jua keadaan dan mampu menangani segala bentuk ancaman dan masalah yang melanda. Ibarat mutan yang dilengkapi kemampuan dan kuasa yang luar biasa. Bangsa baharu itu, tidak lain dan tidak bukan ialah suatu kaum yang dinamakan sebagai Bangsa Malaysia.

Apa itu Bangsa Malaysia? Mungkin sudah ramai yang mengetahui tentang kewujudannya. Bagi yang belum mengetahui dan memahaminya, secara ringkas ia merupakan sebuah prototaip gen manusia yang diilhamkan oleh seorang doktor bernama Mahathir Mohamad pada tahun 1991. Ia merupakan sebahagian daripada projek “Wawasan 2020” yang diutarakan oleh beliau bagi melangsaikan “perkara yang tidak selesai‟ dalam agenda pembangunan bangsa. Menurut Tun M, Bangsa Malaysia diwujudkan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Begitulah sedikit gambaran berkenaan dengan masyarakat yang kita idamkan menjelang tahun 2020. Sekelompok manusia yang meskipun terdiri daripada pelbagai warna kulit dan berbeza agama, tetapi tetap berpadu walau apa jua badai mendatang. Masyarakat yang selari dengan keadaan dunia global. Pada masa tersebut, jangan dilabelkan atau dipisahkan mereka mengikut ras Melayu, India, Cina, Kadazan, Murut, Bajau, Iban, tetapi gelarlah mereka sebagai Bangsa Malaysia. Yang mereka ini bertutur dalam bahasa Malaysia, namun bahasa ibunda tidak dilupakan, bertoleransi dalam hal agama, namun kepercayaan ibunda masih diamalkan dan bersatu meskipun hidup dalam kepelbagaian.

Gambar 2: Etnik di Malaysia (https://peikhoonblog.wordpress.com/)

Namun begitu, kurang lebih, campur tambah, tinggal tiga tahun sembilan bulan sahaja lagi kita akan memasuki tahun 2020, fizikal dan jisim Bangsa Malaysia ini masih lagi tidak terzahir. Setakat ini, yang lahir hanyalah zombi-zombi etnosentrisme. Daripada sejumlah 31 juta manusia yang menduduki daulah Malaysia, masih tiada sepuluh peratus pun masyarakat kita yang berintegrasi dengan gen-gen Bangsa Malaysia. Daripada mana-mana kaum yang wujud, tiada satu kaum pun yang berkenan untuk mengintegrasi menjadi Bangsa Malaysia. Kekebalan gen ibunda yang dikandung selama ini masih menebal sehinggakan tidak mampu untuk ditembusi oleh gen Bangsa Malaysia.

Buktinya dapat ditelusuri berdasarkan kepada beberapa perkara. Contoh yang paling mudah ialah daripada aspek pemimpin, menerusi tinjaun seharian kita, sebilangan besar pemimpin yang bertakhta di parlimen masih gagal untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik walaupun telah menduduki tanah air ini lebih daripada usia kemerdekaan negara. Kedua, kegagalan ini juga dapat dirungkai melalui pengamatan kita dalam kehidupan seharian sebagai rakyat bawahan. Sehari-hari kita bertemu dengan etnik yang terdiri daripada latar kaum yang berlainan. Namun selama kita bertentangan mata, tidak terbit langsungkah sinar kebencian dan kecurigaan antara kita dan mereka? Untuk kali ini, kita mengaku sajalah bahawa kita saling tidak meyakini dan mencurigai antara satu sama lain. Dan untuk kali ini, kita mengaku juga yang antara dia dan kita saling membenci. Ketiga, situasi ini mungkin dapat diperjelaskan melalui laporan daripada Indeks Patriotisme dan Perpaduan Malaysia yang dijanjikan siap menjelang tahun 2017, tetapi malangnya sehingga hari ini capaian untuk memperolehi maklumat laporan tersebut masih tidak dapat dilakukan. Situasi ini sedikit sebanyak menggambarkan betapa tidak serius dan acuh tak acuhnya kita berkenaan soal perpaduan.

Cantuman daripada ketiga-tiga perkara tersebut akhirnya mengizinkan kita untuk membuat satu hipotesis bahawa Bangsa Malaysia memang tidak akan dapat direalisasikan. Tidak mungkin akan wujudnya kepelbagaian kaum yang dapat diintegrasikan menjadi sebuah bangsa yang bersatu sekiranya pemimpin dan kita, masyarakat teramai yang masih mempunyai perasaan saling mencurigai. Sepatutnya, setelah 27 tahun projek ini dilancarkan, kita tidak lagi perlu dilaungkan dengan semangat toleransi, saling hormat menghormati sesama kita dan pemupukan jati diri untuk sayangkan negara. Sebaliknya, setelah 27 tahun projek ini dilaksanakan, kita seharusnya telah mencapai satu tahap “perpaduan hakiki” seperti yang pernah digambarkan oleh Abdul Rahman Embong (2000). Perpaduan hakiki bermaksud segala yang dilakukan oleh rakyat Malaysia dalam aspek perpaduan bukan lagi didasari oleh penolakan keperluan untuk bertolak ansur. Akan tetapi, perpaduan hakiki yang perlu terzahir dalam perilaku seorang Bangsa Malaysia ialah melakukan tindakan bertolak ansur oleh kerana kita telah terbiasa dengan budaya tersebut dan sudah sedia menerima kaum lain bagi membentuk komuniti yang satu.

Gambar 3: Wilayah Utopia (https://phys.org/news/2016-05-opinion-post-work-economy-robots-machines.html)

Kegagalan yang dilakukan oleh semua peringkat kelas di Malaysia untuk menjayakan Bangsa Malaysia akhirnya telah menyebabkan “perkara yang tidak selesai‟ dalam agenda pembangunan bangsa masih belum mampu diselesaikan. Perkara ini akhirnya telah meletakkan Bangsa Malaysia sebagai sebuah bangsa utopia. Sebaris dengan “masyarakat emas” yang terilham oleh Plato dalam bukunya Republic (380 SM) dan “komuniti manusia ideal lagi sempurna” yang diinspirasikan oleh Sir Thomas More dalam makalahnya Utopia (1516 M). Namun demikian, penulisan ini bukanlah untuk menutup pintu harapan untuk kita membina Bangsa Malaysia yang diimpikan, sebaliknya hanyalah untuk mengingatkan semula kepada kita semua bahawa kita pernah sama-sama bermimpi tentang bangsa utopia tersebut!.

Untuk bacaan lanjut:

Bernama, Indeks Ukur Tahap Perpaduan Rakyat Dijangka Siap Tahun Depan, Utusan Malaysia, 4 September 2016.

Abdul Rahman Embong, 2000, Negara bangsa: Proses dan Perbahasan, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan.

Thomas More, 1516, Utopia.

Plato, Republik.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.