Pada 1806 bertempat di Istana Lingga, Sultan Mahmud Shah III telah menabalkan Tun Abdul Rahman sebagai Temenggong Seri Maharaja Johor yang menetap di Bulang dan kawasan memerintah dan daerah pegangan adalah Tanah Besar Johor, Pulau Singapura dan pulau-pulau sekitarnya.Manakala Tun Ali ditabalkan sebagai Bendahara Siwa Raja Pahang.
Pada 1811 Temenggong Abdul Rahman membawa anak isteri serta ahli keluarga yang lain, 150 orang pengikutnya yang diketuai oleh 3 melayu/bugis chieftain bergelar Panglima Perang dan 30 peladang gambir dan lada hitam berketurunan cina keluar dr Bulang menuju ke Singapura. Temenggong Abdul Rahman memilih sebelah kuala tepi Sungai Singapura dijadikan kawasan pemerintahan daerahnya.
Perpindahan Temenggong dengan perancangan yang rapi untuk mereka memulakan penghidupan di tanah baru. Peladang cina yang dibawa adalah untuk membuka ladang gambir dan lada hitam.’Trading business’ dijalankan dikalangan penduduk dan pedagang yang datang ke Singapura.Maka kawasan penempatan di sana bukanlah kampong nelayan semata-mata.
Sedikit petikan dalam manuskrip Hikayat Johor Serta Pahang mikrofilem JQ MAL 3 Perpustakaan Universiti Singapura:
‘Sekali persetua pada suatu masa tahun 1819 Tuan Raffles datang ke Singapura ia bertanya pada Salleh (Panglima Perang Besar Daeng Mohd Salleh Bin Panglima Perang Raja Daeng Awang) ‘Siapa Raja disini’.Jawabnya Temenggong Abdul Rahman ‘.Maka kata Tuan Raffles ‘Bolehkah berjumpa dengannya’.Jawab Salleh ‘Nantilah sahaja sembah kepadanya’.Maka Salleh pon pergilah berjumpa.Jawab Temenggong ‘Jika dengan baik boleh juga aku berjumpa.Jika tiada baik aku amuk’.Maka Tuan Raffles petang itu berjumpalah dengan Temenggong dan banyaklah hadiah daripada Raffles.Maka Raffles pon bersahabatlah dengan Temenggong lalu diminta oleh Raffles diperbuat pelabuhan dan pulang.Maka tidak berapa lama datang pula Raffles ke Singapura dan ia hendak menjadikan TAR sebagai Raja Singapura.Maka jawab Temenggong ‘sahaya tiada boleh menjadi Raja sebab sahaya pangkat yang ketiga, abang sahaya di Pahang pangkat yang pertama, di Riau (YDM) pangkat kedua, Rajanya di Daik’.Maka jawab Raffles ‘ Sahaya dengar Temenggong juga bole jadi Raja, bakanya itu juga.Maka jawab Temenggong ‘Jika tuan hendakkan Raja juga, ada seorang (abang) Sultan Abdul Rahman, Tengku Hussein namanya’.Kata Raffles ‘Bolehkah kita panggilkan kemari?’Jawab Temenggong ‘Boleh’ lalu ia menyuruh utusannya menjemput Tengku Hussein ke Singapura lalu berjumpa dengan Raffles.Maka Tuan Raffles meminta semuanya dinaikkan bendera, dimasukkan meriam lalu digelarnya Sultan Hussein.Kemudian daripada itu Temenggong Abdul Rahman menulis surat ke Pahang menyatakan Tengku Hussein telah bergelar Sultan.Maka jawab Bendahara Ali darihal itu tiadalah ia mencampuri melainkan ia menyembah ke Daik juga dan apa-apa hal dari Pahang tiadalah singgah ke Singapura melainkan terus ke Daik selalu.’Penabalan Tengku Hussein sebagai Sultan oleh Raffles tidak mendapat sokongan dari Bendahara di Pahang mahupon Sultan di Daik.Perjanjian Inggeris – Belanda pada 1824 sekaligus memecahkan empayar Johor Riau Lingga Pahang.Singapura , Johor dan Pahang di bawah Inggeris.Kepulauan Riau dibawah Belanda.
Kemangkatan Temenggong Abdul Rahman
Selepas kemangkatan Temenggong Abdul Rahman pada 8 December 1825 dan digantikan oleh Tun Haji Abdullah sebagai Temenggong.Malangnya Tun Haji Abdullah tidak disukai Inggeris maka Tun Ibrahim ditabalkan menjadi Temenggong di New Harbour, Singapore, 19th August 1841 menggantikannya dengan alasan baginda mengidap penyakit gila. Pada 31 Ogos 1846 Temenggong Tun Ibrahim dimasyurkan dihadapan Sultan Ali Iskandar Shah, Sultan Lingga dan Tuanku Ja’afar, dan Gabenor Negeri-negeri Selat di Government House, Singapura. Perjanjian antara Sultan Ali dan Temenggong Tun Ibrahim pada10 Mac 1855, secara rasminya baginda sebagai penguasa di negeri Johor dengan bergelar Temenggong Sri Maharaja Johor. Seluruh jajahan negeri Johor kini berada di bawah kekuasaannya, kecuali daerah Kesang-Muar yang masih kekal sebagai kawasan peribadi Sultan Ali.
Baginda kemudian memulakan pembangunan negeri Johor dengan membina bandar Iskandar Putri dengan penempatan baru dan memberikan tanah untuk penanaman ladang, menggalakkan perdagangan dan memulakan pembinaan infrastruktur. Temenggong Ibrahim berkenan melantik Panglima Perang Daeng Dapat Bin Panglima Perang Besar Daeng Mohd Salleh sebagai ketua @ Chief Administrator dalam kerja-kerja pembinaan bangunan-bangunan di Iskandar Puteri pada tahun 1855.Setelah siap pada tahun 1858 Ungku Abu Bakar @ Wan Abu Bakar memohon perkenan daripada ayahandanya untuk memindahkan kesemua jabatan pentadbiran di Telok Belanga ke Iskandar Puteri. Pada 1860 nama Iskandar Puteri ditukar kepada Tanjung Puteri.
~Kemangkatan Temenggong Tun Ibrahim~
Selepas kemangkatan Temenggong Tun Ibrahim pada 31 Januari 1862, Ungku Abu Bakar telah menggantikan baginda dengan gelaran Dato Temenggong Sri Maharaja Abu Bakar.Temenggong Abu Bakar melantik adinda-adinda serta kerabatnya untuk melancarkan pentadbiran di Iskandar Puteri.
1.Ungku Abdul Rahman Bin Temenggong Ibrahim dilantik menjadi Wakil Maharaja Johor (1862-1875) berperanan penting dalam menguatkuasakan undang-undang kerajaan Johor.Beliau aktif dalam memajukan Johor khasnya semasa Temenggong Abu Bakar bersemayan di Singapura atau melawat keluar negeri.
2.Raja Ahmad @ Raja Kechil Bin Raja Said sebagai Residen Iskandar Puteri yang pertama.Sebagai Residen @ Pesuruhjaya mempunyai kuasa polis,pengeluar undang-undang dan waran.Beliau juga bertanggungjawab membangunkan Iskandar Puteri.
3.Ungku Abdullah Bin Temenggong Ibrahim sebagai Pesuruhjaya Kerajaan Endau dan wilayah Timur Johor
4.Ungku Abdul Majid Bin Temenggong Ibrahim sebagai Pesuruhjaya Kerajaan bagi Sungai Muar dan wilayah Pantai Barat Johor.
5.Ungku Mohd Khalid sebagai Ketua Jabatan Pendaftaran Kebun gambir, lada hitam dan kopi.
6.Ungku Ahmad Bin Tun Haji Abdullah sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan
7.Ungku Haji Mohamad @ Ungku Haji Ribot Bin Tun Haji Abdullah sebagai Ketua Jabatan Kerjaraya.
Dibawah Pesuruhjaya pula telah dipecahkan kepada 13 pentadbiran yang lebih kecil dipanggil Residensi. Jawatan Residen disamakan seperti Penghulu atau Orang Kaya.Kawasan Residensi dari Pantai Timur hingga ke Pantai Barat adalah Endau, Sedili, Pengerang,Tanjong Surat, Johor Lama, Lenggui, Pasir Gudang, Tanjong Kupang, Tanjong Bulas,Senggarang, Batu Pahat, Padang dan Muar.
Manakala wakil Residen bagi bahagian pulau-pulau di Pantai Timur pula adalah Encik Mahmud yang berpengkalan di Pulau Tinggi.Di Pantai Barat pula adalah Penghulu Mirdang yang berpengkalan di Pulau Pisang Pontian.Moyang Wan Nong Yahya Bin Wan Abu Talib Bin Temenggong Abdul Rahman merupakan Residen Of Tg.Surat di bahagian Timur Johor berperanan sebagai wakil Temenggong/Maharaja bagi mengutip cukai dari kangchu-kangchu cina di sepanjang Sungai Johor.Abdul Samad Bin Ibrahim (Pandak) Bin Tok Abdul Jabbar Bin Tun Othman Bin Tun Ahmad pula Residen Pantai Barat.
Pada 1 Januari 1866 upacara perasmian bandar Tanjung Puteri telah diadakan dan diberi nama baru iaitu Johor Bahru dan sekaligus diistihar sebagai ibu negeri Johor.Pada masa pembukaan ini jugalah Pasukan Polis Johor telah ditubuhkan dengan rasminya.Kemudian pada tahun 1868 Pasukan Polis Johor disusun semula oleh Mohamad Salleh Bin Perang yang kemudiannya mengetuai Jabatan Polis sebagai Pesuruhjaya Polis.
Kisah Pelayan Ke Riau
Pada 18 April 1868, baginda menghantar Dato Bentara Jaafar Bin Haji Mohamed, Ungku Haji Mohamad @ Ungku Haji Ribot Bin Tun Haji Abdullah, Laksamana Kapal Perang Wan Abu Talib Bin Wan Nong Yahya dan Rejab Bin Panglima Perang Dapat ke Riau untuk bertemu dengan Raja Ali Haji Bin Raja Ahmad. Dalam pertemuan itu mereka mewakili Temenggong dalam menanyakan hal selok belok adat istiadat dan peraturan Kerajaan Melayu.
Ketika siri lawatan Temenggong Abu Bakar ke India dan Eropah dengan diiringi Dato Bentara Jaafar Bin Haji Mohamed dan Ungku Haji Mohamed Bin Tun Haji Abdullah pada tahun 1866, baginda sangat tertarik dengan gelaran Maharaja yang digunakan oleh Raja-Raja di India.Dalam pada masa yang sama gelaran Temenggong tidak popular dan tidak dikenali dikalangan pemerintah di Eropah.Maka baginda perlu akan satu 1gelaran yang mampu membawa baginda lebih jauh lagi.
Pesanan Raja Ali Haji pada deligasi Johor yang ke Riau pada 26 April 1868 ‘Aku suka kita gelarkan akan dia (Temenggong) lain daripada nama Sultan atau Yang Dipertuan Johor atau Yang Dipertuan Muda tetapi nantilah aku fikirkan’. Maka pada 7 Mei 1868, Raja Ali Haji mengetuai delegasi Riau yang terdiri daripada Raja Hassan (putera Raja Ali Haji), Raja Sulaiman (putera Marhum Rashid) dan Tengku Long (putera Yamtuan Muda Mohd Yusof) menabalkan Temenggong Abu Bakar di Telok Belanga Singapura dengan bergelar Maharaja Abu Bakar.
Raja Ali Haji adalah Penasihat kepada Yamtuan Muda Riau.Selain dari menjadi tokoh politik beliau juga merupakan tokoh teologi.Peranannya sebagai ‘Penasihat’ Kerajaan Riau adalah diwarisi dari jawatan ayahandanya Raja Haji Ahmad yang bergelar Raja Tua iaitu salah seorang dari lapan Penasihat Sultan Johor-Riau.Selain dari menjadi Orang Kanan Yamtuan Muda Riau, Raja Tua bole mewakili Sultan atau Yamtuan Muda dalam memasyurkan gelaran dalam Majlis Istiadat Pertabalan
Tahun Kegemilangan Johor
Diantara tahun 1874 hingga 1895 Johor berada dikemuncak kekuasaan dan kekayaan sekaligus banyak perubahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Johor.Maharaja Abu Bakar mewujudkan Majlis Jumaah Diraja Johor, Jemaah Menteri dan jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Penjara, Jabatan Kerja Awam, Jabatan Tanah, Jabatan Laut @ Marine (Shahbandar), Jabatan Kesihatan dan lain-lain.Selain para kerabat Diraja dan para pembesar , terdapat juga sahabat-sahabat baginda menjawat jawatan tersebut.Beberapa jawatan bergelar telah dicipta bagi melancarkan pentadbiran.Dalam masa yang sama terdapat sekumpulan warga eropah yang bersahabat dengan baginda dilantik menjadi penasihat.Mereka terdiri daripada pelopor ladang getah dan kopi di Johor serta para profesional.Antaranya:
1.Mr.William Hole (Setiausaha Maharaja Abu Bakar)
2.Dato Howard Bentley (Ketua Pejabat Pos),
3.Dato James Meldrum ( Pemilik Johor Steam Sawmill)
4.Dato Garland (Ketua Public Work Dept @ Jabatan Kerja Raya)
5.Mr.A.H Miltchilson (Pelopor dan Peladang Kopi)
6.Dr.Nightingale (Doktor)
7.Mr.Harry Lake (Pelombong Bijih Besi dan Jurutera)
8.Mr.Mercalfe Larken (Pelopor dan Peladang Kopi dan getah)
9.Mr.H.M Staples (Pelopor dan Peladang Kopi dan Getah)
10.Peter and Simon (Peguam)
11.Rodyx and Davidson (Peguam)
Dari Maharaja Kepada Sultan dan Anglo-Johor Treaty 1885: Sumpah Setia Melayu-Bugis
Sultan Johor-Riau Yang Dipertuan Besar tetaplah harus seorang Melayu sedangkan Raja Yam Dipertuan Muda haruslah seorang bugis
Berakhirnya pemerintahan Dinasti Bendahara di Lingga selepas kemangkatan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II pada 17th September 1883, kemudian diganti oleh Sultan Abdul-Rahman Muazzam Shah ibni Raja Muhammad Yusuf al-Mahdi YDM Riau pada 18 th February 1885 di Daik.Sultan Abdul Rahman nasab lelakinya dari YDP Muda Riau.Hanya bondanya Tengku Embong Fatima binti Sultan Mahmud Muzaffar Shah dr Lingga.Dengan itu Maharaja Abu Bakar merasakan baginda lebih layak menggunakan gelaran sultan berdasarkan nasab lelakinya terus kepada Bendahara Tun Abbas Ibni Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV.
Pada awal 1880an gabenor Negeri-negeri Selat Sir Frederick Weld mula cuba mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dengan harapan dapat meletakkan seorang penasihat British di Johor. Rentetan dari sikap Weld yang yang melampaui batas untuk mencampuri pentadbiran negeri Johor telah membuatkan Maharaja Abu Bakar tidak senang hati.Abdul Rahman Bin Wan Andak (kemudian bergelar Dato Seri Amar Diraja) terpilih sebagai salah seorang penasihat senior untuk perundingan dalam Perjanjian Anglo-Johor di London.Dengan diiringi Ungku Mohd Khalid Bin Temenggong Tun Ibrahim, Abdul Rahman Bin Wan Andak dan Abdullah Bin Tahir telah belayar ke England pada 24 Mei 1885.
Rombongan ini berjaya menemui Queen Victoria. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani perjanjian setia yang baru bagi mengukuhkan hubungan antara kerajaan Johor dan kerajaan British.Perjanjian ini ditandatangani pada 11 Disember 1885 di Pejabat Tanah Jajahan London.Sultan Abu Bakar menandatangi perjanjian tersebut bagi pihak kerajaan Johor dan kerajaan British diwakili oleh Frederick Stanley.Perjanjian ini disaksikan oleh Abdul Rahman Bin Wan Andak dan Robert G W Herbert.Dengan perjanjian ini Maharaja Abu Bakar telah berjaya diiktiraf sebagai pemerintah yang sah bagi negeri Johor dan jajahan takluknya dengan bergelar Sultan Abu Bakar.Dalam perjanjian ini juga baginda berjaya mengenepikam negeri Johor daripada dimasukkan ke dalam sistem Residen dibawah pemerintahan British.Antara isi Perjanjian Setia meliputi:
1. Hendaklah kerajaan Inggeris Negeri-negeri Selat dan kerajaan Johor sentiasa tulus ikhlas menjalankan ketetapan isi negeri dan bersatu menjaga langgaran musuh dari dalam dan luar.Serta sama-sama serah menyerah orang-orang salah.
2. Kerajaan Johor akan bersama-sama menyempurnakan ,diminta bersama-sama membuat ikhtiar kerana menyenangkan perniagaan dan bersama-sama mengadakan jalan darat menerusi dari Johor ke Pahang
3.Bila dikehedaki kerajaan johor boleh menerima seorang pegawai Inggeris yang berpangkat pegawai pemerintah serta disediakan rumah kediamannya.
4. Wang perbelanjaan yang digunakan di Negeri-negeri Selat diaku boke digunakan didalam negeri Johor iaitu dengan sama nilai harganya dan dapat tukarannya kerajaan Negeri-negeri Selat.
5. Sekalian pegawai-pegawai Inggeris bila-bika masa dibebaskan melalui laut Johor dan ditetapkan sempadaj laut iailah 3 batu dari pantai dan mana-mana tempat kurang dari 6 batu hendaklah dianggarkan sama tengah antara keduanya.
6. Johor tiada boleh membuat perjanjian atau membuat sebarang perhubungan bertulis dengan kerajaan lain dan tiada bole campur tangan dalam pekerjaan atau pemerintah lain-lain negeri Melayu atau memberi sagu hati kepada lain daripada rakyat Inggeris.Kiranya hendak dijalankan lebih dahulu hendaklah dengan kebenaran Inggeris
7. Kerajaan Inggeris menyertakan dan mengaku akan Yang Maha Mulia Maharaja Johor dan waris gantinya memakai gelaran ‘Sultan’ bagi negeri dan jajahan Johor.
Terdapat dua signifikan yang penting dalam perjanjian ini dari segi perspektif politik.Pertama kerajaan British mengiktiraf kedudukan keturunan Temenggong Ibrahim sebagai mewarisi takhta yang sah dalam negeri Johor. Pada 11 December 1885 Maharaja Abu Bakar dengan rasminya bergelar Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Johor dan Jajahan Takluknya.Kedua kerajaan British secara halus telah mengukuhkan pertapakkannya di Singapura.Pada masa yang sama,British mula mengawal keadaan politik di negeri-negeri Melayu.Sesungguhnya perjanjian ini telah mengukuhkan kedudukan British di rantau ini dari segi aspek politik dan ekonomi.
Penyusunan pentadbiran kerajaan semakin teratur dan lebih sistematik penghujung 1880an.Banyak perubahan nama jawatan dikalangan pembesar-pembesar dari Telok Belanga.
A. Bagi pejabat-pejabat Kerajaan
1.Dato Jaafar Bin Haji Mohamed sebagai Menteri Besar pertama.Sebelum ini menjawat jawatan Dato Bentara sejak 1860an.
2.Dato Muhammad Ibrahim Bin Abdullah Munsyi (Dato Bentara Dalam) sebagai Setiausaha Kerajaan bagi pihak dalam.Sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pelajaran dipanggil ‘President’ 1887 , SUK 1890 – 1893 , Timbalan Menteri Besar 1893-1904.
3.Dato Abdul Rahman (Dato Seri Amar DiRaja) sebagai Setiausaha Kerajaan bagi hal ehwal luar.Sebelum ini menjawat jawatan Penolong Setiausaha dan Penterjemah pada 1878.Pada 1884 Setiausaha Peribadi Maharaja Abu Bakar.SUK Johor 1893-1906.
4.Dato Haji Muhammad Salleh Bin Wok (Dato Hakim) sebagai Hakim Besar Mahkamah Keadilan.Sebelum ini menjawat jawatan Magistret sejak 1873
5.Dato Abdullah Bin Tahir (Dato Seri Setia Raja) sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri menjawat sejak 1883 menggantikan Dato Bentara Luar.Pada 1905 menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Muar dan Ahli Jemaah Menteri.
6.Dato Yahya @ Yahya Engineer Bin Awaluddin sebagai Yang Dipertua Kerja Raya, Pesuruhjaya Tanah dan Yang Dipertua Bandaraya pada 188 dan menjadi Ahli Jemaah Menteri.
7.Dato Haji Muhammad Hassan Bin Tahir sebagai Pemeriksa Kira-Kira dan Ketua Pejabat Pendaftaran Surat-surat Sungai
8.Dato Mustaffa Bin Jaafar sebagai Perbendaharaan Kerajaan.Sebelum ini menjawat jawatan Ketua Kerani di Pejabat MB 1885, Penolong Ketua Jabatan Pendaftaran 1888, Pembantu Dato Bentara Dalam di Perbendaharaan, Juruaudit Negeri dan MB ke 4 pada 1928-1931
9.Yusuf Bin Mohd Salleh sebagai Ketua Pejabat Ukur
10.Dato Mohd Khalid Bin Abdullah Munsyi sebagai Ketua Pejabat Pelajaran dan Cetak Kerajaan.Dalam masa yang sama menjawat jawatan ‘Superintendent Of School’ 1885- 1916
11.Ungku Othman Bin Ungku Abdul Rahman sebagai Ketua Pejabat Tumbuhan.Sebelum ini pada 1891 menjadi Penolong Residen Muar dan 1901 sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan.
B.Jajahan Dan Daerah-daerah
1.Ungku Sulaiman Bin Ungku Daud sebagai Pesuruhjaya Besar Kerajaan 1895-1910.Bermula sebggai Timbalan SUK 1873, Timbalan Pesurujaya Polis 1874 – 1883, Pesuruhjaya Kerajaan Muar 1884 -1895
2.Dato Mohamed Bin Mahbob sebagai Pesuruhjaya Kerajaan bagi Muar 1895-1906.Bermula sebagai guru 1880-1885. kemudian memasuki Perkhidmatan Awam Johor sebagai Inspektor Of School 1885-1890, Pesuruhjaya Polis Muar 1890-1895, Komandan Timbalan Setia Negeri, Hakim Muar, Pesuruhjaya Kerajaan Muar 1895 – 1905, Timbalan SUK 1904, SUK 1906, President of Education 1913-1918, Timbalan Menteri Besar 1915-1919, Menteri Besar 1920-1922
3.Dato Wan Jaafar Bin Wan Nong Yahya @ Dato Penggawa Timur sebagai Pesuruhjaya Kerajaan bahagian Timur Johor pada 1887.Bermula sebagai pembantu kepada bapanya Wan Nong Yahya Bin Wan Abu Talib di Tanjung Surat pada 1873 dan bergelar Penggawa Kanan pada 1885
4.Dato Mohd Salleh Bin Perang @ Dato Bentara Luar sebagai Pesuruhjaya Kerajaan bagi Batu Pahat pada 1893-1911.Bermula sebagai kerani pada 1856, Pesuruhjaya Polis pada 1868-1883, Menteri Pertanian Tanah dan Ukur pada 1870an dan Pemangku Persuruhjaya Kerajaan bagi Muar ketika ketiadaan Ungku Sulaiman Bin Ungku Daud.
5.Dato Abdul Samad Bin Ibrahim @ Dato Penggawa Barat sebagai Pesuruhjaya Kerajaan bahagian Barat Johor pada 1885.Bermula sebagai Residen Tanjung Kupang ,Kukup, Pontian dan Benut pada 1883.Ahli Jemaah Menteri pada 1895
6.Dato Wan Andak Bin Daeng Meng sebagai Pegawai Daerah Segamat – Buluh Kasap, Jementah dan Tangkak.Bermula sebagai Residen Muar (Hulu Muar) pada 1873.Menjadi Ahli Majlis Negeri pada 1886.
7.Dato Muhammad Ali Bin Kamis sebagai Residen Endau – Padang, Endau, Kahang dan Kluang.
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor
Pada 14 April 1895 bersamaan 8 Syawal tahun 1312H, Sultan Abu Bakar telah mengadakan satu istiadat di Johor Bahru kerana menandatangani dan pemasyhuran Undang Undang Tubuh Kerajaan iaitu Perlembagaan bagi negeri Johor yang telah disediakan oleh Jemaah Menteri-menteri Baginda yang dibantu oleh sebuah syarikat peguam di Singapura, Rodyk and Davidson.
Dalam istiadat ini Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor itu telah ditandatangani oleh Sultan Abu Bakar, Ungku Muhamad Khalid Ibni Almarhum Temenggong Ibrahim dan Tunku Mahkota Tunku Ibrahim.Kemudian barulah Ahli Jumaah Menteri dan Mesyuarat Kerajaan.Ahli Jumaah Menteri yang menurunkan tandatangan di atas Undang Undang Tubuh ialah Ungku Sulaiman Bin Ungku Daud ( Ungku dan Dato’ Kerabat), Dato Jaafar Bin Haji Mohamed (Dato’ Menteri),Dato Haji Mohammad Salleh Bin Wok(Dato’ Hakim), Dato Syed Salim Bin Syed Ahmad Al Attas (Mufti), Dato Mohammad Ibrahim Bin Haji Abdullah Munsyi (Dato’ Bentara Dalam), Dato Mohammad Salleh Bin Perang (Dato’ Bentara Luar), Dato Wan Jaafar Bin Wan Nong Yahya (Dato’ Penggawa Timur), Dato Abdul Samad Bin Ibrahim (Dato’ Penggawa Barat),Dato Mohammad Yahya Bin Awaluddin (Jurutera), Dato Haji Abdul Rahman Bin Zainal Abidin (Kadhi), Dato Abdullah Bin Tahir (Dato’ Sri Setia Raja), Datp Yahya Bin Shaaban Al Datar, Dato Wan Andak Bin Daeng Meng , Dato Mohamed Bin Mahbob dan Dato Abdul Rahman Bin Andak (Dato Seri Amar Di Raja).
Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:
- Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan.
- Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri
- Aturan-aturan berkenaan dengan agama dalam negeri Johor.
- Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan
- Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.
Undang-undang Tubuh ini kemudiannya diwartakan pada 14hb September, 1895 (24 Rabiul-Awal 1333).
Semenjak ia diperakukan dan dimasyhorkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor ini telah mengalami empat kali tambahan yang berlaku di sepanjang pemerintahan Sultan Ibrahim.
Perubahan pertama pada 1 April 1908
Perubahan kedua pada 17 September 1912
Perubahan Ketiga pada 12 Mei 1914
Perubahan Keempat pada 17 Julai 1918
Di antara Kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu dalam kurun ke 19, Kerajaan Johorlah yang mula-mula memakai Undang-undang Tubuh yang bertulis. Teks asal Undang-undang Tubuh 1895 hingga 1908 adalah ditulis dalam tulisan Jawi. Undang-undang ini (1895-1918) masih terpakai bagi Kerajaan Johor hingga sekarang.
Peruntukkan-peruntukkan dalam Undang Undang Tubuh ,khusus menetapkan zuriat perempuan tidak layak mewarisi takhta kerajaan Johor.Selain itu,zuriat lelaki dari puteri Sultan tidak layak menjadi waris , walaupon bapanya dari keturunan Raja.
Terdapat dua peruntukan dalam Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 yang menekan dan menjamin zuriat keturunan Sultan Abu Bakar kekal menjadi Raja memerintah negeri Johor.Bahagian Pertama Fasal 2 menetapkan Raja dan Warisnya serta Waris yang lain hendaklah lelaki daripada bangsa Melayu beragama Islam dan berdarah Raja yang berketurunan daripada pemerintah Johor.Fasal 3(1) menambah, menghurai dan menguatkan syarat bahawa orang yang layak diperajakan hendaklah berbangsa melayu daripada zuriat tubuh badan dan darah daging Sultan Abu Bakar yang diakui sebenarnya sah dan halal dan daripada sebelah lelaki lepas satu keturunan ke satu keturunan yang lain hingga keturunan yang akhir. Fasal 3(2) pula menerangkan jika sekiranya pada satu masa telah habis dan tiada lagi tinggal keturunan Sultan Abu Bakar atau jika yang ada tinggal lagi didapati tidak layak selepas diadakan penyiasatan oleh Jumaah Pangkuan Negeri orang yang layak diperajakan hendaklah dia seorang lelaki daripada keturunan Almarhum Temenggong Daeng Ibrahim.Jika tiada lagi tinggal keturunan zuriat Temenggong Daeng Ibrahim atau yang tinggal didapati tidak layak setelah penyiasatan orang yang layak diperajakan hendaklah daripada zuriat Temenggong Abdul Rahman.
Sumber:
1.Manuskrip Kisah Pelayaran ke Riau dan Hikayat Johor Serta Pahang Mikrofilem JQMAL 3 Perpustaaan Universiti Singapura,
2.Hikayat Johor, Hikayat Johor Penggal Kedua – Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman,
3.Prince Of Pirate – Carl A.Trocky,
4.History Of Johore – Richard Olaf Winstedt
5.Sejarah Johor – Shaharom Hussein
6.Tawarikh Dato Bentara Luar – Mohd Salleh Bin Perang
7.Tuhfat Al Nafis Raja Ali Haji
8.Sejarah Johor Dalam Pelbagai Perspektif Kassim Thukiman
9.Johor 1855-1917 – Ahmad Fawzi Basri
10.Adat Istiadat Kesultanan Johor Moden 1855-2012 – Abdul Rahim Ramli
11.Genealogical Tree of the Johore Royal Families, Government Printing Office, Johore Bahru, 1923 – Major Dato Mohd Said Bin Sulaiman
12.Personal Notes Salahsilah Family Of Tok Abdul Jabbar
13.Syair Sultan Abu Bakar Makuskrip 10 Perpustakaan Universiti Malaya.
14.Singapore And Straits Directory
- The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser 1895
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih