Beberapa minggu lepas, tular berita seorang selebriti melancarkan produk hijabnya di sebuah kelab di ibu kota. Dan seperti biasa, ia mengundang pelbagai reaksi termasuk dari kelompok agamawan. Walaupun selebriti tersebut akhirnya memohon maaf atas kekhilafannya itu, ia sudah terlambat dengan ramai tidak lagi mahu menjadikannya sebagai ikon wanita. Dan ini mengundang persoalan sesetengah pengguna laman media sosial, apakah kita sudah ketandusan ikon wanita sebagai contoh teladan yang patut diikuti? Hakikatnya, kita bukan saja tidak ketandusan ikon wanita, kita mempunyai ramai wanita yang bijak dan berkaliber di luar sana yang patut dijadikan ikon!

Figure 1: Dato Seri Michelle Yeoh.

Dalam bidang seni, kita sebenarnya tak perlu memandang jauh, cukup setakat mengingati nama Dato Seri Michelle Yeoh. Anak kelahiran Ipoh ini mengukir nama dalam dunia perfileman Hong Kong dan Hollywood dengan lakonan yang bersahaja dan memikat hati penonton. Antara filem yang mengangkat namanya ialah filem ke-18 francais James Bond, Tomorrow Never Dies bersama Pierce Brosnan, Crouching Tiger, Hidden Dragon bersama Chow Yun-fat dan Zhang Ziyi serta Reign of Assassin. Selain itu, beliau turut aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dan dilantik sebagai Duta Kemanusiaan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2016. Antara peranannya sebagai duta organisasi tersebut ialah mempromosikan pembangunan global dan pemulihan kawasan bencana.

Figure 2: Pandalela Rinong. Kredit: http://femalemag.com.my/lifestyle/10-lessons-learnt-vivy-yusof-oh-happy-birthday-vivy/

Dalam bidang sukan pula, pasti ramai takkan lupa ratu terjun negara, Pandalela Rinong. Pandalela sudah mencatat pelbagai rekod yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Pada Sukan Olimpik 2012 di London, beliau mencatat sejarah sebagai pemenang pingat pertama dalam acara selain badminton bila memenangi pingat gangsa acara terjun platform 10 meter. Dan empat tahun selepas itu, pada temasya sama di Rio de Janeiro, Pandalela sekali lagi mencatat namanya dalam lembaran sejarah sebagai pemenang pingat perak pertama Malaysia bersama Cheong Jun Hoong dalam Sukan Olimpik menerusi acara terjun segerak platform 10 meter.

Figure 3: Dato Nicol David.

Dalam sukan skuasy pula, nama Dato Nicol Ann David meniti di bibir setiap peminat skuasy dunia. Beliau bukan saja mencatat sejarah pemain nombor satu dunia pertama dari Malaysia tetapi juga memegang rekod mengekalkan rankingnya selama 108 bulan. Nicol turut mencatat sejarah sebagai pemain skuasy 10 teratas dunia yang paling lama bertahan dalam senarai tersebut iaitu 151 bulan. Rekod ini sekaligus memecah rekod kategori lelaki dan wanita dengan Peter Nicol memegang rekod selama 150 bulan.

Figure 4: Datin Vivy Yusof. Kredit: http://femalemag.com.my/lifestyle/10-lessons-learnt-vivy-yusof-oh-happy-birthday-vivy/

Dalam bidang perniagaan pula, siapa tidak kenal Datin Vivy Yusof. Mungkin bagi sesetengah pembaca, beliau hanyalah seorang selebriti internet tetapi hakikatnya dari situ jugalah, ia menjadi kunci kejayaan syarikat yang ditubuhkan bersama suaminya, Dato Fadzarudin Anuar, Fashion Valet pada tahun 2010. Dengan hanya modal sebanyak RM100,000, 10 pereka dan staf seramai 20 orang, syarikat tersebut berkembang kepada 500 jenama dan beratus-ratus staf dengan pejabat di Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta. Datin Vivy memanfaatkan laman media sosial sebagai cara bukan saja memasarkan produk tetapi juga berhubung terus dengan pelanggan. Beliau tersenarai dalam pelbagai senarai termasuk senarai 30 Individu Bawah 30 Tahun Asia 2017 untuk kategori perniagaan dan perniagaan dalam talian oleh majalah Forbes. Beliau turut dinamakan sebagai Rakan Louis Vuitton, sekaligus mencatat sejarah sebagai wanita berhijab pertama yang diberi penghormatan oleh jenama tersebut.

Dalam bidang akademik pula, terlalu ramai wanita yang mencatat kejayaan membanggakan negara. Namun tidak seperti sesetengah tempat di mana nama mereka dijulang, di sini kita masih memandang sepi pencapaian mereka. Padahal, sesetengah pencapaian mereka membuka jalan kepada pelbagai kemungkinan dalam bidang mereka sendiri. Lihat ini:

a) Penuntut Doktor Falsafah (PhD) jurusan astrofizik dari Universiti Durham, United Kingdom, Nur Adlyka Ainul Anuar merupakan sebahagian daripada pasukan ahli astronomi yang menjumpai bukti lubang hitam berhampiran dengan sistem galaksi Bima Sakti kita pada tahun 2017. Penemuan ini membawa kepada lebih kajian berkenaan perkembangan lubang hitam itu sendiri dan bagaimana ia berevolusi bersama sistem galaksi mereka. Anak Melayu yang berasal dari Muar, Johor ini turut memegang ijazah Sarjana Sains dan Astrofizik dari Universiti Sheffield, United Kingdom.

b) Setahun sebelumnya, Hafizah Noor Isa mencatat sejarah sebagai sebahagian daripada pasukan saintis yang membukti teori ombak graviti Albert Einstein selama ini adalah benar. Pasukan tersebut menemui bagaimana masa dan angkasa meleding yang dicetuskan oleh perlanggaran dua lubang hitam besar yang dikesan. Sumbangan Hafizah ialah sumbangannya kepada rangkaian pengesan ombak graviti atau eksperimen GEO600. Anak Melayu ini memegang ijazah Sarjana dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor dalam bidang Fizik Bahan di bawah seliaan Ketua Jabatan Fizik, Profesor Dr Md. Rahim Sahar.

c) Dr Lam Shu Jie mungkin tidak dikenali oleh orang biasa tetapi bagi pengkaji sains perubatan, namanya amat harum dalam kalangan mereka. Walaupun baru berusia 25 tahun, beliau dan para saintis Australia berjaya membangunkan rantaian molekul polimer berbentuk bintang yang boleh membunuh bakteria yang mempunyai ketahanan terhadap antibiotik tanpa membunuh sel-sel sihat. Penemuan ini amat penting kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan bakteria dipanggil superbug sebagai ancaman utama pada kesihatan manusia berikutan kebolehannya beradaptasi dan menolak semua jenis antibiotik. Dan jika ia dibenarkan berterusan, ia boleh menyebabkan kos kewangan sebanyak $100 trilion dan kehilangan ramai nyawa di peringkat global menjelang tahun 2050. Penemuan Dr Lam dan penyelianya, Dr Greg Qiao diterbitkan dalam jurnal penyelidikan Nature Microbiology.

d) R. Prevena nampak kecil pada usianya tetapi bak kata pepatah, kecil-kecil, cili padi. R. Prevena mengharumkan nama negara apabila memenangi dua anugerah utama semasa Persidangan Model Antarabangsa PBB yang diadakan di Amerika Syarikat pada tahun 2017. Pelajar SMK Sultan Badlishah ini sudah mempunyai semangat seorang pencipta dalam dirinya dan ia berkait dengan pencapaian adik-beradiknya. Abang sulungnya, Sri Ahrivesh, 18, pernah memenangi hadiah untuk Genius Olympiad 2012 International High School Project Fair on Environment di New York. Dan beberapa tahun sebelumnya, semasa berusia 11 tahun, Prevena, rakannya V. Sushmeeta dan abang keduanya R. Rasyikash, 16, turut mengharumkan nama negara apabila memenangi Double Gold Award pada Pertunjukan Ciptaan Britain (British Invention Show) di London.

e) Wan Nur Mafudah Wan Yusof tidaklah sepopular nama-nama selebriti yang kita kenali tetapi beliau sudah mencipta nama tersendiri dalam dunia perakaunan. Anak jati Kampung Tok Raja, Jerteh yang mendapat kelulusan dari Kolej Intec, Kuala Lumpur mencipta sejarah dengan mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA). Tambah membanggakan, Wan Nur Mafudah turut mencatat sejarah anak Melayu pertama mendapat tempat teratas dengan markah tertinggi iaitu 95%. Sebelum ini kejayaan tertinggi yang pernah diraih oleh anak Melayu ialah tempat kedua, ketiga dan keenam dari tahun 2015 hingga 2017.

f) Nama Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim nampak biasa saja. Tetapi hakikatnya, wanita cekal yang merupakan anak gadis kepada Mufti Pulau Pinang ini pernah berkhidmat bersama Agensi Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) di mana antara projek yang diberi kepercayaan pada beliau ialah projek satelit kecil NASA dipanggil SporeSat yang dilancarkan pada tahun 2014. Antara sebab NASA memilih Dr Amani kerana latar belakangnya dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan biologi, keupayaan bekerja dan keupayaan berinteraksi dengan individu dari bidang-bidang lain. Penyelidikan SporeSat menjurus kepada pendekatan multidisiplin bagi pembangunan teknologi penderiaan. Dari penyelidikan ini, ia boleh diaplikasikan dalam banyak bidang dari pertanian hinggalah perubatan. Dr Amani kini berkhidmat sebagai Penyelidik Bioteknologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UIAM.

g) Pada tahun 2015, seorang pelajar SMK Batu Lintang, Kuching, Sarawak mecatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama di mana namanya diabadikan pada sebuah asteroid. Pelajar bertuah ini ialah Faye Jong Sow Fei. Pengiktirafan yang tidak disangka-sangka ini diraih selepas kejayaan beliau dalam Pesta Sains dan Kejuruteraan Intel menerusi projek ‘Biowaste as Eco Friendly Material Mordants in Fabric Dye Process’. Projek Sow Fei bukan saja membantunya meraih Anugerah Pengurusan Alam Sekitar tetapi juga melayakkannya menyertai Pertandingan Saintis Muda Kesatuan Eropah di Poland pada tahun 2014. Asteroid yang dinamakan sempena Sow Fei ialah 31460 Jongsowfei.

Bidang-bidang kritikal iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ini amat menarik bagi golongan wanita. Buktinya, dua daripada tiga wanita mendapati subjek STEM amat menarik untuk dipelajari. Sementara 85% responden perempuan berusia 12-14 tahun mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang ini. Dan purata umur bagi pelajar-pelajar perempuan yang meneruskan pembelajaran STEM ialah 15-16 tahun.

Bagaimanapun, ia masih lagi satu cabaran dalam STEM kerana pelbagai sebab seperti diskriminasi, kekurangan ikon atau contoh teladan dan tentangan. Buktinya, dua dari lima responden wanita mempertimbang kesesuaian jantina apabila mencari kerja dan 53% berpandangan kerja STEM lebih sesuai kepada wanita. 44% responden pula berpandangan sekiranya seseorang wanita itu bekerja dalam STEM, peluang untuk mendapat kenaikan pangkat di tempat kerja tipis. Ini tidak seharusnya berlaku kerana sumbangan golongan wanita terhadap STEM ini amat besar, kadangkala sehingga membuka lembaran baru dalam sejarah. Mereka harusnya layak diangkat sebagai ikon setanding dengan ikon-ikon wanita dalam bidang-bidang lain.

Sebagai penutup, tidaklah salah untuk saya nyatakan kita sebenarnya tidak pernah ketandusan ikon wanita sebagai contoh teladan kepada wanita di luar sana. Kesilapan kita ialah kita terlalu fokus pada sesetengah ikon sampai terlupa akan kewujudan ikon-ikon wanita lain di luar sana. Hakikatnya, terlalu ramai srikandi di luar sana yang mengharumkan nama negara dan mengangkat kedudukan Malaysia di pentas dunia.

Selamat Hari Wanita Sedunia!

SUMBER

  1. Ram, Sadho. (2015). Says.com. This 17-Year-Old Girl Just Became The First Malaysian To Have An Asteroid Named After Her. http://says.com/my/tech/faye-jong-sow-fei-has-an-asteroid-named-after-her
  2. Othman, Zaharah. (2016). New Straits Times. Hafizah helps prove Einstein right. https://www.nst.com.my/news/2016/02/128671/hafizah-helps-prove-einstein-right
  3. Lin, Vivian. (2016). South China Morning Post. THE 25-YEAR-OLD MALAYSIAN CHINESE WHO MAY HAVE JUST SOLVED THE SUPERBUG PROBLEM. http://www.scmp.com/week-asia/society/article/2020060/25-year-old-malaysian-chinese-who-may-have-just-solved-superbug
  4. Ramoran-Malasig, Carol. (2016). Forbes. The Malaysian Businesswoman Using Personal Branding To Build An Empire. https://www.forbes.com/sites/cmalasig/2016/09/28/the-malaysian-entrepreneur-who-built-an-online-empire-with-personal-branding/#100c735f1e2c
  5. Zulkefli, Adie Suri. (2017). New Straits Times. A family of innovators: Prevena not the first from her family to win international awards. https://www.nst.com.my/news/nation/2017/08/263390/family-innovators-prevena-not-first-her-family-win-international-awards
  6. Majalah Sains.com. (2017). Saintis Muda Berpengaruh- Dr. Amani Berkongsi Pengalaman Sebagai Saintis NASA di NICE’17. https://www.majalahsains.com/saintis-muda-berpengaruh-dr-amani-berkongsi-pengalaman-sebagai-saintis-nasa-di-nice17/
  7. Sulaiman, Khairunnisa. (2017). Utusan Malaysia. Dr Amani mantan saintis NASA. http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/dr-amani-mantan-saintis-nasa-1.573999
  8. Bernama.com. (2018). Wan Nur Mafudah Anak Melayu Pertama Gondol Tempat Pertama Pertandingan ACCA. http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1437133

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.