Filem Wonder Woman 1984 mendapat reaksi yang berbeza dengan filem Wonder Woman yang pertama. Bagi yang belum menonton filem ini, AMARAN SPOILER. Namun filem ini, seperti kebanyakan filem adiwira DC yang lain, mempunyai persoalan falsafah yang cuba diketengahkan.
Bagi mereka yang ingin tahu berkenaan dengan falsafah filem ini, teruskan membaca perenggan seterusnya. Bagi mereka yang tidak mahu spoiler atau tidak minat filem ini, tidak perlulah baca. Dalam artikel ini kita hanya akan bincangkan apa yang kurang dalam falsafah yang cuba diketengahkan dalam filem ini tanpa menyentuh aspek aksi, dialogue atau lain-lain aspek penulisan layar.
Filem ini mendapat kritikan penonton bukan sahaja sebab filem ini tidak sehebat filem lepas, tetapi mesej yang cuba disampaikan juga mendapat tentangan daripada penonton. Mengikut rating cinemascore, filem ini mendapat gred B+ daripada para penonton,sama grednya seperti filem Suicide Squad, Justice League and Birds of Prey.
Namun tidaklah jauh sangat berbanding filem asal Wonder Woman dan Shazam yang mendapat rating A [1]. Seperti Birds of Prey, reaksi penonton kekadang dipengaruhi oleh politik. Mungkin kerana filem ini dianggap filem golongan feminist atau liberal, maka pengaruh konservatif penonton menentang habis-habisan tanpa melihat konteks yang penuh.
Secara peribadi, penulis fikir filem ini tidaklah seteruk Birds of Prey atau Justice League. Secara ringkas, filem ini berkisar tentang tiga watak utama, Diana (Wonder Woman), Barbara (Cheetah) dan Max Lord yang masing-masing telah meminta hajat kepada batu hikmat Dreamstone, yang mempunyai kuasa menunaikan hajat tetapi yang meminta hajat akan mendapat ‘balasan’ atau akibat daripada setiap hajat yang diminta.
Pendekkan cerita, masing-masing tidaklah mendapat hajat seperti sangkaan mereka. Diana meminta hajat agar kekasihnya Steve Trevor hidup kembali, namun tidak sama seperti yang dulu. Barbara minta untuk jadi seperti Diana, namun perlahan-lahan hilang naluri kemanusiaan dan bertukar jadi binatang. Manakala Max Lord meminta hajat bagi menyelamatkan syarikatnya yang hampir muflis, namun sebagai balasan kehilangan anak lelakinya.
Secara keseluruhannya, naratif filem ini adalah mesej mengenai jalan pintas. Dalam kehidupan, semua orang nak berjaya. Namun, tidak semua yang ingin berusaha. Ada yang berusaha pun, kekadang bengang dengan orang lain yang tidak perlu berusaha keras atau pakai kabel untuk mendapat apa yang dimahukan. Samalah seperti geng-geng scammer, kaki judi,hedge funds dan lain-lain golongan yang mengambil kesempatan terhadap orang lain untuk jadi kaya.
Mungkin itulah sebabnya filem ini diberi nama 1984, memaparkan keadaan tahun 80an yang mengagung-agungkan pasaran bebas dan kapitalisme, sehingga membiak dengan banyaknya golongan-golongan yang cari jalan pintas ini. Keadaan sebenar tahun 1984 juga agak dinamik; Ghandi dibunuh, AIDS mula-mula dikesan dan bank perlahan-lahan mengalami petanda berlakunya krisis ekonomi.
Mungkin ada pembaca intelek yang berfikiran, ‘kalau kutuk kapitalisme, filem ini propaganda komunisme la’. Mungkin ya, mungkin tidak. Tidak dinafikan jalan cerita ini membawa mesej kapitalisme itu menggalakkan golongan untuk mencari jalan pintas, namun filem lebih tidaklah ketengahkan kebebasan itu buruk. Bagi penulis, filem ini adalah mengenai ketidasesuaian identiti (nonconforming identities).
Ketiga tiga watak ini mempunyai masalah identiti, Diana inginkan hidup normal, Barbara inginkan hidup seperti Diana dan Max Lord inginkan hidupnya kembali pulih. Dalam masa yang sama, cerita ini juga secara halus menyampaikan mesej rejim totalitarian dan keburukan mempunyai impian, iaitu mereka harus terima keadaan yang sedia ada kerana mengejar impian atau bercita-cita tinggi akan mengakibatkan kehilangan yang tidak disangka.
Selain itu, Wonder Woman 1984 cuba mengajar kita bahawa kebanyakan daripada kita tidak boleh bezakan antara keperluan dan kehendak. Kita selalu fikir apa yang kita inginkan seperti duit, pangkat dan kuasa itu paling penting, tapi kalau kita tahu akibat memiliki benda-benda ini, kita tidak akan pilih semua itu.
Secara ringkas, terimalah takdir yang anda hadapi sekarang. Walau bagaimanapun, kita kena faham dunia ini tidak adil tetapi kita ada kuasa untuk mengubahnya. Ambil contoh kes Gamestock baru-baru ini. Siapa sangka saham Gamestock boleh naik sampai 600% [2] secara tiba-tiba hanya kerana geng-geng hedge funds fikir tidak ada lagi orang yang nak beli saham Gamestock ini.
Entahlah, tahun ini banyak sangat mesej berkenaan dengan bersyukur dan gembira dengan apa yang ada. Mungkin sebab pandemic kot. Dulu masa tak ada pandemik, kita take for granted je jabat tangan, jumpa member tengok bola dan sebagainya. Kerja pun sama, dulu terhegeh-hegeh nak berhenti kerja, sekarang dah pandemik baru la fikir nak kerja balik. Bukan semua, tapi segolongan.
RUJUKAN
[1] D. Laman, “Wonder Woman 1984’s CinemaScore Matches Suicide Squad, Birds of Prey,” cbr.com, 28 December 2020. [Online]. Available: https://www.cbr.com/wonder-woman-1984-cinemascore-matches-suicide-squad-birds-of-prey/. [Accessed 20 February 2021].
[2] K. Lahiff, “Strategist called GameStop a top buy idea before the short squeeze. Here’s where he stands now,” cnbc.com, 2 February 2021. [Online]. Available: https://www.cnbc.com/2021/02/02/strategist-called-gamestop-a-buy-idea-before-the-short-squeeze.html. [Accessed 19 February 2021].
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih