Bagi orang Syiah terutama di Iraq dan Iran, kawasan perkuburan Wadi-us-Salaam merupakan satu kawasan yang penting untuk mereka. Ini kerana kawasan perkuburan di Najaf, Iraq ini terletak berhampiran makam Saidina Ali bin Abi Talib r.a sekaligus menjadi rebutan ramai orang dikebumikan di situ. Kawasan ini juga turut dikelaskan oleh UNESCO sebagai satu-satunya tanah perkuburan di mana proses pengebumian terus berjalan di situ sejak 1,400 tahun lalu.
Tetapi bagi penggali kubur yang bekerja di situ, Wadi-us-Salaam sentiasa menduga mereka terutama gangguan makhluk halus. Bekas penggali kubur Haider al-Hatami menceritakan beberapa tahun lepas, semasa dia sibuk menggali kubur, terdapat kelibat bayang-bayang di belakangnya dan memukul kepalanya. Makhluk halus atau jin yang menyerangnya diberi gelaran Tantal, Bzebza atau Ghreria oleh penduduk tempatan.
Sejak itu, Haider tidak berupaya berjalan dengan baik dan merasakan dirinya masih terganggu dengan kelibat hantu tersebut. Bagi mengubati keadaannya itu, keluarganya menjual kediaman mereka untuk membiayai kos perubatan tradisionalnya. Bagaimanapun, selepas dua tahun, Haider masih belum pulih daripada gangguannya itu.
Wadi-us-Salaam meliputi 13% daripada keseluruhan bandar Najaf hari ini atau bersamaan 900 buah padang ragbi. Najaf dianggap bandar suci oleh golongan Syiah kerana menempatkan makam khalifah keempat Khulafa’ al-Rashidin dan berstatus Ahlul Bait itu. Kawasan ini menempatkan kubur dari era Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah hinggalah veteran Per_ang Iraq-Iran, Per_ang Teluk dan operasi membasmi pengg_anas Daish.
Begitupun, bilangan orang yang bekerja di Wadi-us-Salaam sebagai penggali kubur silih berganti seperti diakui Murtaza Jwad Abo Sebi. Dia mendedahkan ramai rakannya memilih berhenti kerja sebaik mendengar kisah penggali kubur diser_ang oleh hantu semasa bekerja. Malah, dia sendiri menjadi mangsa ser_angan sebegini pada 2013 apabila ditampar ma_yat seorang wanita semasa hendak meletakkannya di liang lahad.
Sejak itu, Murtaza sentiasa terganggu dengan imej tersebut sentiasa bermain dalam kepalanya sambil mencucuh lengannya dengan puntung rokok jika bersendirian. Baginya, pengalaman sebegini boleh membuatkan sesiapa saja menjadi gila. Selepas terbabit dalam beberapa cubaan bu_nuh diri, Murtaza dimasukkan ke American University Hospital di Beirut, Lubnan untuk menjalani rawatan psikiatri. Selepas itu, barulah dia kembali pulih dan menjalani kehidupan normal termasuk berkahwin.
Namun begitu, Iraq terus dibelenggu dengan isu pengangguran yang tinggi dan ini memaksa sesetengah penggali kubur kembali semula ke Wadi-us-Salaam termasuk Murtaza. Penggali kubur dibayar AS$300 sebulan dan baginya, dia sebenarnya mengikut jejak langkah bapa dan datuknya. Memandangkan kerja ini merupakan pekerjaan warisan, maka kisah tentang Tantal sudah biasa didengar oleh semua penggali kubur.
Bagi Hani Abu Ghnaim, dia amat arif tentang kisah Tantal dan percaya Wadi-us-Salaam dihuni oleh dua jenis makhluk: manusia dan hantu. Dia menceritakan pada satu ketika, dia melihat kelibat hantu melompat dari satu kubur ke satu kubur yang lain dengan tujuan menjamah ma_yat yang baru ditanam. Hani menambah makhluk ini berupaya menukar rupanya sesuka hati bagi mengelirukan sesiapa yang melihatnya dan akan melarikan diri bila disergah.
Sajida Jalalzai dari Universiti Trinity di San Antonio, Texas menyifatkan fenomena sebegini bukan sesuatu yang aneh bagi Muslim baik Ahli Sunnah Waljamaah mahupun Syiah. Beliau percaya jin yang menjadi pengacau di Wadi-us-Salaam ialah ghul yang suka menjamah daging manusia yang bernyawa atau sudah kembali ke negeri cacing. Jin sebegini dikatakan suka berada di kawasan perkuburan.
Bagi pengurus unit penggali kubur di Wadi-us-Salaam, Ameer Al Juboury, dia percaya gangguan sebegini timbul akibat tindakan sesetengah ahli keluarga menjual plot tanah perkuburan secara haram di pasaran gelap sebagai jalan mendapatkan duit mudah. Ruang kubur yang berhampiran dengan makam Saidina Ali r.a. semakin sedikit dan plot tersebut boleh dijual setinggi AS$4,000. Ameer percaya inilah sebab mengapa sesetengah plot kubur tersebut berhantu.
Atas sebab itulah, ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual azimat kepada pengunjung Wadi-us-Salaam. Dakwa mereka, azimat sebegini boleh melindungi mereka daripada gangguan penunggu kubur di situ.
RUJUKAN:
Muller, Q dan Castelier, S. (2019). Gravediggers claim ghosts haunt world’s largest cemetery in Iraq. Al-Jazeera.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih