Telah sampai kepada al-Faqir beberapa permintaan untuk menjawab pelbagai isu yang timbul berkenaan hal ehwal Israelliyat seperti sejarah bani Israel, perbandingan agama Yahudi dan sebagainya. Isu-isu ini menjadi buah mulut masyarakat setelah ianya dibahaskan oleh seorang pendakwah terkenal iaitu al-Fadhil Ustaz Auni Mohammed hafizahullah.

Al-Faqir mengambil sikap tawaquf dahulu bagi mengelak polemik atau silap faham netizen dalam memahami isu-isu sebegini. Tidak mahu hal ini dianggap sebagai pertikaian atau perselisihan yang membawa kepada perseteruan mana-mana pihak. Namun Insyallah, segala persoalan tersebut ada jawapannya di dalam karya al-Faqir yang berjudul Kitab Tamadun Yahudi.

Walaubagaimanapun, untuk meraihkan permintaan beberapa orang terdekat yang mahukan sedikit ulasan al-Faqir dalam sebahagian dari isu-isu tersebut, al-Faqir terpanggil untuk menjawab isu konsep Bumi Datar (Flat Earth). Ini kerana, di dalam isu ini, Ustaz Auni sendiri bersikap lapang dada untuk menerima perbincangan dan pertukaran maklumat.

Hal ini mula tercetus apabila ada pihak yang menggunakan sebahagian kecil durasi ceramah Ustaz Auni yang membuatkan seolah-olah beliau menyokong teori Flat Earth. Video tersebut pada pautan ini : https://youtu.be/03DyCaLSNUQ (Ustaz Auni Mohammed | “Clue” Flat Earth). Selepas beberapa kontroversi berlaku, beliau bertindak memberi penjelasan seperti mana yang boleh ditonton pada pautan ini : www.youtube.com/watch?v=NeWRsOtngEQ (Flat Earth ! Ini Pandangan Saya | Ustaz Auni Mohamed).

Setelah bertabayyun dan mendengar penjelasan dari pihak Ustaz Auni, maka al-Faqir berasa lapang hati untuk membuat ulasan lanjut. Isu-isu berkaitan cakerawala ini selalunya adalah seperti :

  • Adakah Bumi Datar atau Sfera
  • Adakah Bumi ini static (diam) atau berputar pada paksinya
  • Adakah bumi mengelilingi matahari SAMBIL BERPUTAR PADA PAKSI”…

Pertama sekali, perlu kita ketahui perbahasan-perbahasan diatas bukanlah didatangkan secara Qatie Dilalah dalam nas. Tiada Nas yang menyatakan secara spesifik bahawa bentuk muka bumi datar atau sfera. Isu ini hanya disebut secara zhanni ketika mana Allah menceritakan mengenai penciptaan langit dan bumi.

Ada ayat yang zahirnya kelihatan seperti bumi ini datar. Sebagai contoh, disebut bahawa “Bumi itu Hamparan”. Namun, ada juga ayat yang jika di fikir secara mendalam (tasdiq nazhari), maka akan difahami bahawa bumi ini sfera. Sebagai contoh, disebut bahawa “Malam memasuki siang dan siang memasuki malam”. Ketika ada ayat yang bersentuhan dengan isu bentuk muka bumi ini, maka para ulama-lah yang datang menafsir nas-nas tersebut untuk dibuat kesimpulan. Ada para ulama yang datang menafsirkan maksud “Hamparan”, “Dahaha” “Falak”, “Kawwara” dan lain-lain lagi bagi memperoleh jawapan.

Perlu kita ketahui, bahawa gaya Bahasa Al-Quran memiliki seni yang amat tinggi. Di dalamnya ada ayat Muhkamat (jelas maksud) dan ayat Mutsyabihat (samar-samar). Oleh itu, tidak semua ayat al-Quran boleh difahami secara Literal. Terkadang, ayat-ayat al-Quran yang bersifat metafora (metaphor) perlu ditakwil dengan kaedah yang benar agar kita mendapat kefahaman yang sahih.

Kita juga perlu faham akan kaedah usul-furu atau umum-khusus sesuatu isu bagi mendapat kaedah pembelajaran yang tepat. Oleh kerana al-Quran tidak memberi Nas yang Qatie melainkan menyentuh isu ini secara Zhanni sahaja, maka kita dibolehkan untuk melakukan kajian mendalam bagi memahami nas-nas yang terdapat dalam al-Quran.

Maka, kita perlulah mendapatkan kepastian dalam isu ini melalui orang yang ahli dalam bidang tersebut. Selain Nas wahyu, manusia juga boleh menggunakan sumber Aqal (rasional) untuk menentukan hal ini. Manusia juga boleh menggunakan sumber deria bagi mengetahui duduk sebenar isu ini melalui kajian eksperimen yang bersifat empirical.

Melalui sumber aqal (rasional), kita dapat tahu bahawa terdapat hujah-hujah yang membuatkan konsep bumi rata tidak logik pada akal. Antara hujahnya adalah seperti, konsep graviti, konsep penghujung dunia, konsep empat musim, perjalanan angin dan terhasilnya taufan, konsep pandangan ufuk dan lain-lain lagi.

Untuk lebih meyakinkan, pebagai satelit malah manusia sendiri dihantar ke luar bumi bagi melihat bentuk bumi ini. Telah jelas bahawasanya Bumi ini sememangnya berbentuk sfera. Ini adalah dapatan melalui deria penglihatan (musyahadah).

Namun, jika para pembaca masih tidak berpuas hati kerana hendakkan dalil dari sumber wahyu yang merupakan sumber rujukan tertinggi dalam Islam, maka berikut adalah jawapannya. Setelah perbahasan panjang, majoriti para ulama ketika menafsirkan nas-nas wahyu berpihak kepada pandangan bumi itu sfera. Ini adalah sepertimana yang dinukilkan oleh Imam Abul Faraj Ibn al-Jawzi, Imam Ibn Hazm dan lain-lain lagi.

Penjelasan Ustaz Auni dalam kedua-dua pautan di atas, beliau ada menyentuh perihal peristiwa Nabi Yusya menahan matahari. Pertama sekali, kita perlu tahu kisah tersebut adalah dari sumber Israeliyyat. Tiada ditemukan kisah tersebut secara spesifik di dalam al-Quran. Namun begitu, kisah ini tercatat dalam hadis Rasulullah dari Abu Hurairah yang berbunyi, “Sesungguhnya matahari tak pernah ditahan untuk seorang manusia pun, selain untuk Yusya’ di hari ketika ia hendak menaklukkan Baitul Maqdis” (Riwayat Imam Ahmad dan sanadnya sesuai dengan Syarat Imam Bukhari)

Oleh itu, kisah ini boleh lah diterima disisi Islam. Namun begitu, kefahaman kita di dalam isu ini perlulah tepat. Kisah ini bukan menceritakan tentang hakikat penciptaan atau bentuk muka bumi. Kisah ini menceritakan tentang pengalaman bani Israel pada hari tersebut. Apabila disebut pengalaman, maka kisah ini diceritakan melalui pandangan mata manusia yang melihat fenomena tersebut. Dari pandangan mata manusia, sememangnya kelihatan matahari tertahan dari bergerak atas doa nabi Yusya’.

Namun ini tidak bermakna bahawa mataharilah yang mengelilingi bumi. Ia boleh dikatakan bumi yang berhenti seketika dari berputar pada paksinya lalu membuatkan dari sudut mata manusia ditahan.

Untuk contoh lain, kita boleh rujuk dalam surah al-Kahfi 18 : 86 “Hingga apabila dia (Zulqarnain) telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam…”

Ayat ini jika difahami secara literal, ia akan membuatkan golongan Flat Earth menghadapi satu lagi masalah besar bagi mempertahankan cara mereka memahami nas wahyu. Adakah mereka akan mengatakan bahawa matahari yang besar itu benar-benar tenggelam ke dalam laut di bumi yang datar?

Lalu bagaimana bumi yang datar ini hendak mengandungkan matahari itu? Adakah ayat ini menunjukkan bahawa mataharilah yang mengelilingi bumi? Jika matahari mengelilingi bumi, kenapa matahari tenggelam dalam perut bumi? Itu bukan mengelilingi tetapi bertembung.

Maka jelaslah bahawa kisah seperti pengalaman Nabi Yusya’ dan Zulqarnain ini diceritakan dari sudut pandangan mata manusia yang melihatnya pada ketika itu. Inilah kejujuran al-Quaran alam menceritakan sesuatu kisah menurut pandangan/pengalaman manusia tersebut. Wallahualam bissowab.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.