Johor merupakan negeri di selatan Semenanjung Malaysia.Yang menjadikan Johor berbeza dari negeri yang lain di Malaysia adalah kerana Sultan Johor mempunya askarnya sendiri yang dikenali sebagai Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) atau Johore Military Force (JMF). ATSN ditubukan pada 1885 dan merupakan sebahagian daripada perjanjian yang terkandung dalam Perjanjian Setia (Anglo – Johore Treaty ) pada 11hb Disember 1885 antara Kerajaan Negeri Johor dengan Kerajaan British ketika itu. Perjanjian Persetiaan ini ditandatangani sendiri oleh Almarhum Sultan Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dan Frederick Arthur Stanley mewakili kerajaan Inggeris dan Queen di Colonial Office, London .
Perjanjian ini disaksikan oleh Dato Seri Amar Diraja Abdul Rahman Bin Dato Wan Andak dan Robert G W Herbert.Antara kandungan penting dalam perjanjian itu Johor diakui sebagai negeri yang merdeka (Independent State of Johor) dan wakil baginda Queen dirantau ini iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat hendaklah sentiasa membantu Johor andainya ada serangan dan gangguan dari luar.Almarhum Sultan Abu Bakar yang bijaksana itu tidaklah gembira untuk terus menerima perlindungan British, lantas berusaha mengadakan kawalan sendiri daripada apa-apa kerusuhan tanpa meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-negeri Selat itu.
Ketika baginda sampai ke Johor, baginda menitahkan supaya satu pasukan kawalan ditubuhkan.Pada permulaan penubuhannya ia dianggotai oleh 60 pemuda-pemuda melayu dipilih menganggotai pasukan yang mulanya dinamakan Pasukan Constable kemudian dinamakan ‘TIMBALAN SETIA NEGERI’ sebagai bantuan kepada pasukan Polis yang telah sedia ada.Baginda telah berkenan melantik Syed Mahmud Bin Nong Yahya menjadi ketuanya dengan dibantu oleh Syed Sharif yang sememangnya telah berkhidmat dalam Pasukan Polis British.
Pasukan ini kemudiannya telah diletakkan sebagai satu unit tambahan bagi Pasukan Polis Johor.Pada awal penubuhan TSN, pasukan ini lebih merujuk kepada pengawal Sultan dan tugas mereka adalah mengawal keselamatan Sultan dan berkerjasama dengan pasukan Polis Johor dibawah seliaan seorang Pesuruhjaya Polis iaitu Dato Abdullah Bin Tahir (Dato Seri Setia Raja).Pada bulan Januari 1888, keanggotaan TSN menjadi lebih kukuh apabila seramai dua belas orang kerabat diraja Johor telah menjadi anggota baru dalam pasukan TSN. Kemasukan kerabat-kerabat diraja dalam pasukan ini memperkukuhkan lagi kedudukan Sultan Johor dalam pasukan tentera tersebut.
Disamping pasukan TSN ini, ditubuhkan lagi sebuah pasukan Pengawal Istana (Istana Guard) yang terdiri daripada 20 orang berbangsa Kabul bagi menguat kuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan serta keamanan di sekeliling istana.Setahun kemudian, Sultan Abu Bakar telah membuat beberapa perubahan ke atas kedua-dua pasukan tersebut. Pasukan TSN yang bertaraf polis itu telah menjadi sebuah Pasukan Askar (Infantri). Pasukan Pengawal Istana (Istana Guard) pula telah dijadikan Pasukan Meriam ( artillery).Pengawal Istana kemudiannya telah digantikan dengan anak-anak Melayu Johor yang memakai “Cap Polis tetapi songkoknya berwarna merah”.
Tugas Timbalan Setia Negeri
1. Mengawal keamanan dalam negeri Johor tanpa bantuan daripada kerajaan British.
2. Mengawal kawasan istana di Johor seperti Istana Pasir Pelangi, Istana Bukit Pelangi, Istana Bukit Serene, Istana Besar , Istana Bukit Gedung, Istana Iskandar dan kawasan berek kelamin.Selain daripada itu menjaga kawasan-kawasan penting seperti Gate Skudai, Gate Straits View dan Gate Kolam Air.
Tugas Rasmi Timbalan Setia Negeri
1.Timbalan Setia Negeri bertugas sebagai pengiring kepada Sultan Johor
2.Pasukan Pancaragan Timbalan Setia Negeri bertugas semasa upacara-upacara rasmi.
3.Timbalan Setia Negeri juga bertugas diupacara-upacara rasmi peringkat negeri.
4.Timbalan Setia Negeri juga terlibat dalam perbarisan kehormatan sempena hari-hari kebesaran , lawataan pemimpin dari luar negeri dan mengiringi istiadat Pengkebumian Diraja.
Selain dari itu pasukan Timbalan Setia Negeri juga banyak terlibat dalam kegiatan-kegiatan sukan dan permainan seperti peraduan menembak yang diadakan di Tanah Melayu, Singapura dan England.
Kemudian gabungan tiga unit ini kepada satu pasukan tentera dikenali sebagai Angkatan Timbalan Setia Negeri (ATSN/TSN). Penggunaan nama ATSN/TSN tidak harus disama dengan JMF kerana pasukan ini mengalami perubahan dan perkembangan dalam kerangka masa yang berbeza. Ini dapat dilihat apabila TSN berkembang pada zaman Sultan Abu Bakar manakala nama JMF mula digunakan pada zaman Sultan Ibrahim.
Pada tahun 1887, kerajaan Johor telah mendapatkan seorang pegawai yang pakar dan mahir tentang hal ehwal ketenteraan iaitu Kapten C.C Newland.Beliau dilantik sebagai Pegawai Pemerintah manakala penolongnya merupakan seorang anak negeri Johor. Dalam hal ini, Kapten Newland telah mencadangkan untuk melatih semula beberapa orang muda Johor untuk menjadi pegawai-pegawai dalam pasukan tentera terutamanya mereka yang boleh berbahasa Inggeris.Antara pegawai-pegawai yang terawal sekali dilatih menjadi pegawai tentera ialah Dato Daud bin Haji Sulaiman yang diambil dari perkhidmatan Polis Singapura.Beliau kemudiannya menjadi kapten dan memangku jawatan Pegawai Pemerintah apabila pegawai-pegawai Inggeris yang memegang jawatan tersebut mengiringi Sultan ke luar negara
Sultan Ibrahim Sebagai Kolonel Komanden
Pada tahun 1895, Tunku Mahkota Johor iaitu Tunku Ibrahim yang menjadi Leftenan dalam pasukan Timbalan Setia Negeri telah dilantik menjadi Sultan Johor menggantikan paduka ayahandanya.Sebagai Leftenan Komanden baginda telah menitahan supaya satu pasukan Timbalan Setia Negeri ditempatkan di Bandar Maharani, Muar bagi mengawal ketenteraman di sana.Pasukan ATSN dilihat berjaya menarik perhatian awam apabila ramai anak-anak Melayu tempatan menyertai ATSN di bawah Komandan Ungku Othman Bin Ungku Abdul Rahman dan Leftenan Raja Ali.Kekuatan ATSN semakin meningkat iaitu dengan penambahan kepada 270 anggota, iaitu 200 orang Melayu dan 70 orang kabul.
Pasukan ini mula menghadapi cabaran getir dari segi kewangan kerana perbendaharaan Johor telah dikatakan kosong dan terdapat banyak hutang ditinggalkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar dan hutang-hutang kerajaan yang masih belum dibayar.
Pada 1897, keanggotaan tentera dalam ATSN telah dikurangkan daripada 270 orang kepada 188 orang.Walaupun Johor menghadapi masalah kewangan bagi menampung tentera ATSN, sebagai Sultan dan Kolonel Komanden, Sultan Ibrahim mempunyai cita-cita yang tinggi dalam memperkembangkan lagi askarnya.Baginda mengambil langkah penjimatan wang kerajaan bagi memulihkan kewangan negeri dan ketenteraan ATSN. Sultan Ibrahim enggan ATSN dihapuskan walaupon dalam Perjanjian 1885, jika perbelanjaan pasukan tentera itu tidak dapat ditanggung oleh kerajaan negeri Johor, ATSN boleh dihapuskan dan digantikan dengan pasukan tentera British. Sememangnya perkara ini baginda ingin elakkan kerana jika tentera British ditempatkan di Johor, Johor bukan sahaja harus menanggung kos untuk tentera asing malah secara tidak langsung kedaulatan Johor sebagai sebuah negeri yang merdeka akan tergugat.Dengan itu, baginda dilihat bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kewujudan ATSN dalam Johor.
Bagi menguatkan dan memperkukuhkan Askar Timbalan Setia Negeri, Sultan Ibrahim membawa dua orang pegawai British untuk melatih askar-askarnya. Kemasukkan Leftenan Kolonel Tompkins dan Sarjan Mejar Claymore ke dalam pasukan selepas lawatan Sultan Ibrahim ke Pejabat Perang British di London yang diiringi oleh Dato Mohamed Bin Mahbob (Pesuruhjaya Kerajaan bagi Muar 1895-1905) dan Mr.Jas Campbell Kerr (Setiausaha Peribadi Sultan Ibrahim) pada tahun 1901.Walau bagaimanapun pada tahun 1902, Tompkins telah meletakkan jawatannya sebagai Leftenan Kolonel dan digantikan dengan Claymore kerana terdapat beberapa masalah yang berlaku.Claymore yang menggalas tugas Tompkins ternyata mempunyai lebih karisma dan kesungguhan dalam memperkuatkan semula pasukan ATSN. Dengan kerjasama dan kepakaran ketenteraan yang dimiliki Claymore, kemudahan untuk latihan menembak telah disempurnakan dengan terdirinya sebuah ‘rifle range’ yang kekal.
Sultan Ibrahim sebagai Kolonel Komanden pasukan ATSN masih tidak berpuas hati dan merasakan ATSN masih jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera British di Tanah Melayu. Baginda mahu memajukan lagi sistem ketenteraan ATSN.Pada tahun 1905, baginda sekali lagi telah ke England untuk berunding dengan pihak British bagi melengkapkan pasukan tentera negerinya dengan senjata yang lebih moden dan lengkap bagi setiap unit tentera yang ada. Bagaimanapun, pihak British tidak memberikan jawapan yang menggalakkan dan bersikap acuh tidak acuh terhadap ATSN. Mereka masih menganggap ATSN bukanlah sebuah unit tentera yang sebenar dan sememangnya merupakan hasrat British untuk menyekat perkembangan pasukan tersebut sebagai sebuah pasukan tentera yang lengkap dan terkini.
Pada tahun yang sama, baginda telah menubuhkan pasukan Johore Volunteer Forces (JVF) dan menjadi Kolonel Komandan kedua-dua pasukan ATSN dan JVF.Tujuan pasukan JVF ditubuhkan adalah:
“To assist the proper physical and muscular development of the men of the state, and to teach them the advantage of discipline and cohesion in work.”
Keanggotan JVF adalah para penjawat-penjawat awam yang berkhidmat dalam pentadbiran negeri (JCS)
Pada tahun 1905 juga, pasukan TSN yang terdiri daripada tiga unit iaitu Unit Infantri, Unit Meriam dan Unit Pengawal Istana telah digabungkan dan diberi nama baru yang kekal sehingga ke hari ini iaitu Johor Military Forces (JMF). Perubahan ini adalah untuk membezakan antara anggota tentera yang tetap dengan anggota unit sukarela atau simpanan atau separuh masa yang kebanyakkannya adalah penjawat awam kerajaan negeri.
Kekuatan JMF pada tahun 1913 telah meningkat kepada 271 orang anggota di mana 171 orang ditempatkan di Johor Bahru dan 100 orang di Muar dan 85 orang Kabul dalam Unit Meriam serta 84 orang anggota Pancaragam.Pada tahun 1914, anggota JMF terdiri daripada 297 orang anggota termasuk 9 orang pegawai dan Unit Meriam daripada 100 orang Kabul, kesemuanya berjumlah 396 orang.
Apabila perang Dunia Pertama meletus di Eropah pada tahun 1914, Sultan Ibrahim bercadang untuk membesarkan pasukan JMF namun tidak dipersetujui oleh Sir Arthur Henderson Young, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Tanggapan British, Perang Dunia Pertama tidak akan melibatkan negara-negara di Asia terutamanya negeri-negeri Melayu. Sikap skeptikal British terhadap JMF yang masih menganggap pasukan ini hanya sebagai askar “ceremonial” iaitu askar-askar bagi tujuan meraikan adat istiadat Kesultanan Johor sebagai sebuah negeri yang merdeka. British juga masih melihat fungsi JMF sebagai pasukan simpanan untuk membantu pasukan polis dan keselamatan jika berlaku huru-hara.Pada mereka kekuatan JMF yang sedia ada sudah memadai.
British masih tidak menganggap pasukan JMF sebagai satu unit tentera yang mampu mempertahankan Malaya daripada serangan luar. British juga bimbang jika JMF menjadi satu unit tentera yang bertujuan memberi latihan kepada orang-orang Melayu Johor. Dari sudut lain, British sedar kedudukan kewangan Negeri Johor semakin kukuh namun mereka berpendapat bahawa wang itu boleh disalurkan dalam pembangunan ekonomi di bidang lain yang boleh membawa keuntungan kepada Johor dan British di Singapura. Dengan kewujudan JMF, pelabur lebih tertarik dan yakin terhadap keselamatan pelaburan mereka di Johor dan Singapura. Namun, sekiranya pasukan JMF terlalu besar dengan kelengkapannya setanding dengan British, mungkin kedudukan British akan terancam di Tanah Melayu.
Pada tahun 1914, semakin ramai pegawai tentera British secara sukarela berkhidmat dalam memperbaiki mutu sistem ketenteraan JMF. Walaupun anggota JMF sudah mendapat latihan ketenteraan serta pegawai-pegawai yang berkemahiran dan berdaya mempertahankan Johor jika berlaku serangan musuh, sehingga tahun 1921 peralatan tentera JMF masih kuno dan ketinggalan, jika dibandingkan dengan kelengkapan askar British di Singapura.Ini disebabkan keengganan British dalam membekalkan senjata yang lebih moden kepada JMF walaupun sudah dituntut beberapa kali oleh Sultan Ibrahim. JMF masih menggunakan ‘rifle’ dan ‘carbine’ yang nyata sudah ketinggalan zaman dan lebih menyedihkan Unit Meriam yang sehingga tahun 1925 masih menggunakan meriam kecil yang berfungsi untuk menembak hormat sahaja.
Sultan Ibrahim tidak mengendahkan pendapat British dan mengeluarkan perintah mengambil dan melatih orang-orang baru tanpa berunding dengan British Adviser. Ini amat jelas bahawa penasihat British di Johor tidak dapat membataskan kuasa dan perintah lebih daripada sultan. Sultan masih berkuasa penuh terhadap pemerintahan negeri dan dalam hal ini JMF merupakan pasukan tentera sepenuhnya milik sultan. Atas perintah tersebut, pihak British terpaksa akur dan bersetuju menambahkan seratus orang lagi rekrut untuk pasukan tentera JMF.
Hasilnya jumlah anggota JMF terus meningkat. Pada tahun 1915 pertambahan kepada 576 orang yang terdiri daripada 394 orang unit infantri, 98 orang unit meriam dan 84 orang unit pancaragam. Bilangan pegawai juga ditambah iaitu terdiri daripada lima orang kapten, tiga orang kadet dan dua orang leftenan muda dan Sultan Ibrahim masik kekal meneruskan kedudukannya di peringkat tertinggi sebagai Kolonel Komanden JMF dan JVF
Tahun 1922, anggota JMF semakin besar iaitu 645 orang iaitu melebihi satu batalion tentera. Namun, JMF masih lemah dari segi persenjataan akibat muslihat British. Walaupun JMF sudah mempunyai kekuatan anggota yang besar iaitu dua battalion lengkap dengan ‘machine gun’ dan alat-alat pengangkutan, British masih menghalang kemajuan JMF ditahap yang lebih rendah berbanding tentera-tentera British di Singapura.
Pada tahun 1939, British mula menyedari kepentingan JMF sekiranya Perang Dunia Kedua meletus. Ini berikutan Jepun yang pada waktu itu sudah mula menunjukkan minat untuk memperkembangkan pengaruhnya ke seluruh Asia bagi menentang British. Berikutan daripada peristiwa Singapore Mutiny 1915, British yakin Johor yang bersempadan dengan Singapura berpotensi besar untuk membantu British pada era perang di masa akan datang.
Kewujudan JMF di Johor bukan sahaja memberikan kesan yang baik terhadap keselamatan negeri, malah mempamerkan pengurusan ekonomi yang cemerlang. Sesebuah negara atau negeri yang mempunyai pentadbiran politik dan ekonomi yang cemerlang jika mempunyai jumlah tentera yang besar. Ini dapat dilihat apabila Johor berjaya menangani zaman kemelesetan ekonomi dengan baik dan tidak mengalami kesan yang teruk.
Malahan dengan adanya JMF dan askar sukarelawan JVF, Johor tidak lagi memerlukan bantuan daripada tentera British bagi menjaga keamanan negeri. Berbeza dengan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang memerlukan bantuan ketenteraan British atau Burma bagi menjaga keselamatan negeri dari ancaman musuh, Johor dalam hal ini tidak perlu mengeluarkan wang untuk mendapat askar-askar asing bagi mengawal negerinya. Ini ternyata merugikan negeri- negeri tersebut kerana terpaksa membayar £100,000 setiap tahun bagi menampung perbelanjaan askar-askar Burma yang ditempatkan di negeri mereka.
Oleh itu, kewujudan JMF ternyata menguntungkan Johor dari pelbagai aspek. Selain pernjimatan perbelanjaan, JMF berfungsi sebagai asas ketenteraan Melayu disamping meningkatkan penglibatan masyarakat Melayu dalam pentadbiran negeri iaitu melalui perkhidmatan ketenteraan.Kedudukan Singapura yang berdekatan dan strategik dengan Johor membuktikan pentingnya JMF sebagai benteng pertahanan Johor. Singapura yang merupakan pintu gerbang utama Malaya merupakan sasaran pertama dan terakhir jika berlaku serangan.
Pertahanan Singapura bertambah kukuh apabila pangkalan tentera laut di Singapura siap dibina, namun jalan belakang Singapura iaitu Johor masih lemah kerana Johor hanya mempunyai satu batalion askar tetap JMF dan setengah batalion JVF sahaja. Kelengkapan senjata JMF/JVF yang masih bersifat “senjata asas” meletakkan kadar keselamatan Johor di tahap yang sangat terdedah kepada ancaman serangan musuh.
JMF semakin berkembang dengan lebih sistematik apabila General Officer Commanding (GOC) telah mencadangkan perlantikan Military Instructor. Antara tugas-tugas penting bagi Military Instructor yang dirangka seperti berikut:
1. Menyusun dan mengawasi latihan anggota-anggota JMF dan JVF supaya mencapai kecekapan dengan memberi perhatian lebih kepada pegawai
2. Berhubung dengan Ibu Pusat Malaya Command untuk mengikuti perkembangan terakhir mengenai butir-butir latihan tentera dan memastikan bahawa JMF dilatih selaras dengan latihan yang diberikan kepada askar-askar British di Malaya. Dan Pengarah Latihan itu akan melaporkan kepada Sultan atau semua perkara yang dibincangkan.
3. Bertanggungjawab untuk menasihat Jawatankuasa Pertahanan atau semua hal bersangkutan dengan menegakkan skim pertahanan Johor dengan kerjasama dengan Ibu Pusat Malaya Command.
Cadangan ini diterima oleh Sultan Ibrahim namun baginda dengan jelas tetap memastikan kedudukannya kekal sebagai pemerintah tertinggi dalam JMF. Ini dilakukan dengan menegaskan bahawa tugas Military Instructor hanya untuk mengawas dan mengatur latihan dibawah perintah Kolonel Komande n sendiri.
JMF yang dikuasai penuh oleh Sultan Johor ternyata memberikan keuntungan ekonomi kepadanya. Sultan sebagai Kolonel Komanden dan menduduki hierarki kuasa tertinggi dalam pasukan JMF dan kerabat-kerabat raja yang turut mengganggotai jawatan pegawai penting ternyata memperkuatkan penguasaan Sultan terhadap JMF. Hasilnya, Sultan Ibrahim telah menggunakan kuasa terhadap tenteranya iaitu JMF untuk menjalankan segala titah perintahnya meskipun perintah itu bertentangan dengan undang-undang.
Menuruti adat tradisi Melayu, askar JMF mempunyai ketaatan yang penuh terhadap Sultannya. Maka antara kerja yang dilakukan di zaman aman adalah membersihkan hutan, menebang pokok dan menanam pokok-pokok getah kepunyaan Sultan. Selain itu, mereka juga menangkap dan memenjarakan pegawai dan kakitangan kerajaan di penjara kecil di Bukit Timbalan bagi mereka yang melakukan kesalahan undang-undang atau melanggar perintah raja. Namun begitu, oleh kerana askar tersebut adalah kepunyaan Sultan maka segala hasil ekonomi yang digerakkan melalui JMF bukannya diserahkan kepada kerajaan Negeri Johor tetapi diambil oleh Kesultanan Johor.
Sebenarnya British tidak senang akan kedudukan Sultan Johor yang kuat dalam pasukan JMF.Ini adalah kerana mereka tidak dapat campurtangan dalam pemerintahan dan pergerakan JMF. Segala titah perintah mestilah melalui Sultan, pihak tertinggi Tentera British (General Office Commanding) tidak mempunyai kuasa dan tidak dapat mengecam kuasa Sultan, maka JMF pada ketika itu (sebelum Perang Dunia Kedua) hanya lebih kepada askar Sultan berbanding askar negeri atau kerajaan.
Hasilnya, British lebih bersikap acuh tidak acuh terhadap permintaan Sultan Ibrahim bagi meningkatkan tahap JMF sebagai sebuah unit militeri yang setanding dengan British. Melalui penubuhan Enakmen Johore Military Forces 1915, Sultan Johor yang mempunyai ketokohan dan ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan askar yang setia ternyata mencemaskan British kerana mampu menggugat kepentingan British di Johor. Oleh yang demikian jelaslah bahawa enakmen yang ditubuhkan mempunyai kesan yang mendalam terhadap imej JMF dan Sultan disamping memberi beberapa kepentingan kepada Sultan dan masyarakat Melayu.
Sumber :
1. Jabatan Penerangan Negeri Johor, Kenangan 100 Tahun 1886-1986 Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Percetakkan Kerajaan Negeri Johor, Johor, 1986
2.Major Dato Muhammad Said Sulaiman, Riwayat Johore Military Forces,
3.Nesemalar Nadarajah, Johore And The Origins of British Control 1895-1914
4.”Johore Military Forces” – Malaysian Historical Society-Malaysia in History
5. Jeneral Tan Sri Ibrahim bin Ismail, Sudahkan Kamu Bertemu Mariam?, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980,
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih