Kalau peristiwa ni difilemkan ala Mission Impossible, aku yakin watak utama filem ni adalah anjing. Lebih tepat, anjing baka Siberian Husky.

Pada musim sejuk 1925, pekan kecil Nome, Alaska alami krisis yang mereka tak pernah jangka sebelum ni. Wabak epidemik diphtheria menular pantas dan mampu membunuh seluruh komuniti di Nome.

Apa tu diphtheria? Ia adalah jangkitan bakteria yang menyerang hidung serta tekak. Boleh mambawa maut jika dibiarkan. Hari ni, penyakit ini jarang wujud kerana kebanyakan manusia sudah divaksinkan, tapi kes ni tak sama pada 1925.

Situasi lebih teruk berbanding dijangka sebab stok toksin diphtheria pakar perubatan di Nome, Dr. Welch sudah tamat tempoh beberapa bulan awal. Serum ni perlu dibawa dari tanah besar AS yang jaraknya lebih 1,000 batu jauhnya. Dr. Welch sudah buat tempahan, tetapi penghantaran ditangguhkan pula.

Musim sejuk sudah menerpa, maksudnya pelabuhan telah ditutup kerana ais. Nampaknya , Dr. Welch kena menunggu hingga musim bunga untuk ais mula mencairlah. Tak menunggu lama, telegram kecemasan dihantar ke Perkhidmatan Kesihatan Awam AS di Washington oleh Dr. Welch, meminta penghantaran 1 juta unit antitoksin.

Lembaga kesihatan pun bermesyuarat untuk bincangkan kaedah penghantaran antitoksin tu. Penghantaran kapal terbang dah ditolak awal2 kerana risiko berbahaya masa musim sejuk ni. Pejabat Pos AS cuba buat penerbangan pada suhu – 20°C, mereka cuma mampu terbang sejauh 260 batu (420 km). Ada juga yang terhempas.

Kredit: Amusing Planet

Dr. Welch pula tak sanggup menunggu selama itu sebab serum itu hanya mampu bertahan selama 6 hari saja. Nak tak nak, anjing-anjing ni kena lengkapkan perjalanan kurang suku daripada tempoh biasa, 25 hari.

Maka, mereka putuskan bahawa penghantaran 1.1 juta unit dari Seattle ke Seward melalui laut memakan masa 6-7 hari. Penghantaran dari Seward ke Nenana melalui kereta api dan diteruskan ke Nome dengan jarak 674 batu (1085 km) oleh kereta luncur anjing. Tempoh masa asal penghantaran adalah 25 hari.

Cabaran pertama mereka, elakkan membeku sampai mati.

Anjing Siberian Husky

Siberian Husky ada banyak bulu sekunder yang sangat halus dan berpintal berbanding baka lain. Bulu ini memerangkap udara hangat ke badan, macam jaket. Anjing-anjing ini juga menggunakan ekor mereka untuk hirup udara hangat di malam hari.

Kebetulan, Hospital Kereta Api Anchorage ada 300,000 unit serum. Bekalan ni dibungkus dalam silinder besi dan dihantar cepat ke Nenana. Bekalan ni akan mengawal epidemik sementara menunggu bekalan serum lebih besar.

Bekalan tadi tiba di Nenana pada 27 Januari 1925. Musher pertama, William “Wild Bill” Shannon terima bekalan dan berlepas dengan 11 anjing. Musim sejuk ketika itu dahsyat sampai cecah -50°C. Dia berlari bersama anjingnya atas sungai beku untuk kekalkan tubuhnya panas. Selepas melengkapkan perjalanan sejauh 52 batu, sebahagian mukanya hitam dek “frostbite” dan alami hipotermia. Malah, Shannon kehilangan 3 ekor anjingnya sepanjang perjalanan tu.

Shannon menghantar bekalan ke Edgar Kalland di Tolovana. Kalland meredah hutan menuju Manley Hot Springs sejauh 31 batu sampaikan tangannya beku di pemegang kereta luncur. Musher seterusnya, Edgar Nollner menghadap kabus berais dan dia terlupa melitupi kawasan terdedah dua anjingnya. Kedua-dua anjing itu tumbang dek “frostbite”, Nollner terpaksa menarik kereta luncur seorang diri. Akhirnya, kedua-dua anjingnya mati.

Tommy Patsy berlari menghantar Bekalan serum sejauh 36 batu ke Jack Nicolai yang akan membawanya ke Unalakleet. Situasi semakin terdesak dengan kes direkodkan menaik ke 27 kes. Surat khabar tempatan pun melaporkan, “segala harapan terletak pada anjing dan pemandunya… Nome terlihat seperti bandar yang ditinggalkan”.

Bila musher seterusnya, Leonard Seppala terima bekalan serum dari Henry Ivanoff, hari sudah malam dan ribut dahsyat menuju Teluk Alaska. Walaupun meredah ribut waktu malam dah dikira cubaan bunuh diri, Seppala tetap teruskan juga.

Dia bergantung penuh ke Togo, anjing ketuanya untuk meredah ais. Laluan ni adalah laluan paling bahaya kerana pergerakan berterusan oleh ombak laut dan angin. Anjing-anjing Seppala meredah 260 batu (420 km) dalam masa 4.5 hari saja.

Charlie Olson menghantar bekalan ke Gunnar Kaasen pula. Kaasen meneruskan perjalanan berbaki 25 batu (40 km) bersama Balto, ketua anjingnya dan tiba di Nome pada 5.30 pagi. Tidak ada satu ampul antitoksin pun yang rosak dan ia dicairkan dan disediakan pada tengah hari.

3 minggu selepas suntikan vaksin, kes mula menurun. Masa tu, baki bekalan 1 juta unit sudah pun tiba menggunakan kereta luncur anjing juga. Banyak pemandu dan anjing asal terlibat dalam larian kedua dan menghadap isu yang sama juga.

Tugu Balto di Central Park, Bandar New York

Kesemua musher dan anjingnya menerima surat pujian (letter of commendation) daripada Presiden Calvin Coolidge. Sekelip mata, Leonhard Seppala dan Gunnar Kaasen menjadi selebriti bersama anjingnya, Togo dan Balto.

Tugu Balto didirikan di Central Park di Bandar New York pada 1925. Untuk menghargai larian serum bersejarah ini, Iditarod Trail Sled Dog Race diadakan bermula dari Anchorage ke Nome sejauh 1,000 batu.

Memang besar jasa musher dan anjing-anjing mereka menghantar serum sampai nyawa mereka jadi taruhan.

RUJUKAN:

1. Kaushik Patowary (Amusing Planet), The 1925 Serum Run To Nome : The Incredible Story of How a Remote Alaskan Town Was Saved From an Epidemic, https://www.amusingplanet.com/2020/09/the-1925-serum-run-to-nome-incredible.html

2. Louise Crane (BBC), In 1925, a remote town was saved by from lethal diease by dogs, http://www.bbc.com/earth/story/20161014-in-1925-a-remote-town-was-saved-from-lethal-disease-by-dogs


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pelajar sarjana muda kejuruteraan elektrik UiTM yang minat untuk menulis. Juga membangunkan LamAlifBa sebagai blog ilmiah. Menolak untuk menjadi seorang idealis. Berminat dengan ilmu.

Comments are closed.