Pada awal Januari lepas, seorang pengesan sibuk mencari harta karun sekitar Hampshire sebelum terjumpa sesuatu yang mengejutkan. Di sebuah padang berhampiran perkampungan Buriton, lelaki tersebut mengorek dan menemui sebuah syiling lama China berusia sekitar 1008 hingga 1016.
Selepas diperiksa oleh pakar-pakar, mereka mendapati syiling ini berasal dari era Dinasti Song Utara dan syiling ini banyak didapati di China sehingga abad ke-14. Mereka percaya syiling ini sebahagian daripada koleksi berharga yang diimport ke China selain barang tembikar pada abad ke-13 dan ke-14. Justeru, ini menjadikan syiling Hampshire ini sebagai barangan koleksi dan bukan alat transaksi kewangan.
Penemuan syiling lama China di Britain bukan sesuatu yang baru. Tetapi tidak seperti penemuan syiling Hampshire, kebanyakan syiling yang ditemui berusia seawal abad ke-17 di mana perdagangan antara negara-negara Eropah dan rantau Timur Jauh.
Satu-satunya syiling yang lebih tua daripada semua syiling abad ke-17 selain syiling Hampshire ialah syiling lama China yang ditemui di Chester pada 2018. Bagaimanapun, syiling Chester dihasilkan 60 tahun lebih lewat berbanding syiling Hampshire.
Dinasti Song memerintah China selama lebih tiga abad iaitu dari 960 hingga 1279 Masihi. Semasa era Song Utara, kerajaan itu menikmati kegemilangan dari 960 hingga kejatuhan maharaja terakhir mereka, Maharaja Qinzong[1] pada tahun 1127.
Setelah kejatuhan ibu kota mereka Bianjing[2], kerajaan Song dibentuk semula di selatan oleh Maharaja Gaozong[3] pada tahun sama. Kerajaan ini terus bertahan selama 152 tahun sebelum akhirnya tumpas di tangan kerajaan Mongol pada 1279.
Semasa era dinasti ini, mereka melancarkan pelbagai reformasi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan sosial serta menggalakkan inovasi dalam kalangan warganya. Antara ciptaan yang dihasilkan atau ditambahbaik semasa Dinasti Song ialah kompas magnet dan serbuk letu-pan.
Bagi menggalakkan aktiviti perdagangan antara wilayah, aktiviti penghasilan duit syiling turut dipergiatkan. Memandangkan duit syiling yang dihasilkan pandai besi dinasti ini bersifat tahan lasak dan berkualiti tinggi, tidak terkejut kebanyakan duit syiling yang ditemui di China dan seluruh dunia termasuk Eropah dihasilkan pada abad ke-14.
Selain England, pengkaji turut menemui syiling-syiling ini di lokasi-lokasi berbeza di seluruh dunia seperti Bulgaria, India, pesisir pantai Semenanjung Tanah Arab dan Afrika Timur. Bagi barang tembikar dan syiling yang ditemui di England, pengkaji mempunyai teori bagaimana ia tiba di Kepulauan British itu.
Mereka percaya barang-barang ini dibawa sama ada menerusi Laluan Sutera atau berlayar merentasi Laut Merah untuk sampai di pelabuhan-pelabuhan Laut Mediterranean. Dari situ, pedagang-pedagang akan berlayar ke semenanjung Itali, berjalan merentasi kawasan pedalaman Eropah, berlayar merentasi Selat Inggeris sebelum akhirnya tiba di Kepulauan British.
Teori ini mungkin dianggap mengarut oleh sesetengah pihak atas alasan mustahil pelayar-pelayar China boleh tiba di kawasan perairan berkenaan. Hakikatnya, syiling Hampshire ditemui enam batu dari selatan kawasan pesisir pantai England membuktikan teori tersebut sebagai munasabah. Fakta sama boleh diaplikasikan pada penemuan serpihan tembikar Winchester yang ditemui 20 batu dari kawasan sama.
Sebelum penemuan syiling ini, ramai menyangka penemuan serpihan tembikar Winchester dan syiling Chester sebagai bukti penemuan sebegini bersifat kebetulan atau sengaja ditinggalkan orang-orang terdahulu. Tetapi menurut sejarawan Universiti Cambridge, Dr Caitlin Green, ia sebenarnya bukti penemuan kegiatan manusia sekitar abad ke-13 dan ke-14 sekaligus mengesahkan aktiviti perdagangan global telah wujud sejak zaman-berzaman.
NOTA:
[1] Maharaja Dinasti Song kesembilan dan maharaja Song Utara yang terakhir.
[2] Nama lama bagi bandar Kaifeng, Hebei.
[3] Maharaja Dinasti Song ke-10 dan adinda tiri Maharaja Qinzong.
RUJUKAN:
Falde, N. (2021). Metal Detectorist Discovers Ultra-Rare Chinese Coin in England. Ancient-Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih