Pada artikel sebelum ini, sudah pun dikongsikan berkisarkan satu isu yang menjadi polemic hangat dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini, iaitu fake braces atau juga dikenali sebagai pendakap gigi palsu.

Banyak dapatan atau respons sejurus artikel tersebut dinaikkan oleh tim The Patriots. Ada yang menyuarakan kesakitan mereka pada saat dipasangkan braces pada giginya. Ada yang bertanyakan tentang hukum-hukum fiqh dalam perubatan pergigian dan yang paling terkesan, adalah luahan daripada salah seorang sahabat.

Hampir sahaja dia terjerumus dalam kancah fake braces ini. Murah dan cantik-cantik katanya. Ironinya, kegiatan ini dijalankan sekadar di rumah-rumah sahaja. Mujur dia cepat-cepat mendapatkan konsultasi daripada doktor yang bertauliah di klinik pergigian. Kagetnya, giginya harus dirujuk kepada pakar! Maka benar kata orang tua-tua dahulu, jangan sudah terhantuk baru nak terngadah.

Pada kali ini, satu lagi perkongsian tentang perkara yang masih lagi berada dalam ruang lingkup rawatan pergigian, iaitu rawatan membersihkan karang gigi atau juga dikenali sebagai scaling.

Berdasarkan pemerhatian, perkara ini juga menjadi salah satu isu hangat dalam kalangan masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah seantero dunia.

MITOS RAWATAN

Sebelum memulakan pengenalan terhadap topik utama, teringin rasanya untuk menceritakan sedikit kisah ‘lagenda’ di sebalik rawatan ini. Masyarakat di negara kita begitu sinonim dengan cerita-cerita mitos seperti anak dara yang bernyanyi sambil memasak, kelak dia akan berkahwin dengan lelaki tua dan banyak lagi.

Hakikatnya, cerita-cerita sebegini direka oleh nenek moyang kita semata-mata untuk lebih berhati-hati dalam melakukan aktiviti seharian. Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat kita begitu berpegang teguh kepada adat.

Pun begitu. Rawatan pergigian tidak ketinggalan daripada tempias mitos-mitos ini. Ada yang percaya bahawa jika seseorang pergi ke klinik untuk menjalani rawatan scaling, maka gigi akan semakin tipis seterusnya menyebabkan gigi menjadi goyang.

Bahkan ada juga yang percaya bahawa sekiranya seseorang mencabut gigi geraham atau wisdom teeth, maka akan menyebabkan hilang pendengaran!

Dahsyat!

PENGENALAN

Rawatan scaling adalah salah satu rawatan bukan pembedahan (surgical) bagi merawat penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontis. Prosedur ini membolehkan karang gigi dikikis dari permukaan gigi dan akar menggunakan peralatan ultrasonik atau handpiece.

Alat ini berfungsi dengan penghasilan getaran yang dijana oleh angin turbin selaju 25 000 hingga 40 000 Hertz. Getaran selaju ini mampu menanggalkan karang gigi dan menghilangkan kesan-kesan hitam pada permukaan gigi.

Justeru, pancutan air digunakan apabila scaling dijalankan bagi mengelakkan tip ultrasonik menjadi terlalu panas. Selain daripada menggunakan alat ultrasonik, karang gigi juga boleh dikikis menggunakan peralatan tangan tanpa menggunakan pancutan air. Proses ini dilakukan pada permukaan gigi dan di bawah paras gusi.

Memang benar, gigi akan terasa tipis sejurus selepas scaling kerana selama ini gigi kita ‘tebal’ bukanlah daripada ketebalan yang asli, melainkan disebabkan oleh plak atau karang yang telah dikikis tadi! Jadi, kita akan memperoleh ketebalan ‘ori’ kerana sudah tidak ada lagi benda asing pada permukaannya.

Penyebab utama berlakunya karang gigi adalah plak pada gigi. Plak disebabkan oleh bakteria dan sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan di dalam mulut.

Mulut kita mengandungi banyak mikroorganisma. Dalam pada itu, mikroorganisma ini akan mencerna sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan dan seterusnya menjadi plak yang menyebabkan karang gigi.

HUKUM FIQH

Fiqh didefinisakan dengan maksud faham atau kefahaman daripada segi bahasa. Dalilnya adalah menerusi surah an-Nisa ayat yang ke-78,

أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ ۗ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِ اللَّهِ ۖ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُوا هَٰذِهِ مِنْ عِندِكَ ۚ قُلْ كُلٌّ مِّنْ عِندِ اللَّهِ ۖ فَمَالِ هَٰؤُلَاءِ الْقَوْمِ لَا يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

“Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?”

Ayat ini juga ada dijelaskan oleh Imam Ismail Ibn Kathir dalam Tafsir Ibn Kathir karangan beliau sendiri,

“Allah SWT berfirman dalam ayat ini bagi mengingkari orang-orang yang mengucapkan kata-kata yang muncul daripada keraguan, kebimbangan, kurang kefahaman serta ilmunya dan bertambahnya kejahilan juga kezaliman.”

Adapun daripada sudut istilah fuqaha dan para ulama, fiqh bermaksud mengetahui hukum-hakam syarak melalui dalil-dalil daripada nas dengan kaedah istinbat hukum berserta perincian daripada mazhab-mazhab.

Perubatan pula merupakan satu bidang aplikasi sains yang berkaitan dengan kemahiran dalam mengenalpasti jenis penyakit, merawat (diagnosis and treatment) serta pencegahannya (prevention).

Secara ringkasnya, kedua-dua frasa ini dapat dikonklusikan bahawa fiqh perubatan atau pergigian merujuk kepada mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman yang mendalam mengenai isu-isu rawatan dalam bidang perubatan agar melandasi ketetapan Islam dengan berpaksikan prinsip-prinsip dalam al-Quran dan hadis agar boleh dijadikan panduan hidup yang diberkati Allah SWT.

PERBAHASAN FIQH PERUBATAN.

Kita sudah mengetahui maksud frasa fiqh perubatan. Maka, serba sedikit kita sudah jelas bahawa Islam merupakan agama yang sangat menjaga kebajikan umatnya dalam segenap aspek, termasuk kesihatan. Sekarang akan cuba saya ringkaskan sebab-sebab Islam membahaskan perkara ini dengan begitu terperinci sekali.

Perbahasan fiqh perubatan, menurut kaca mata Islam terbahagi kepada tiga bahagian utama :

  • PERUBATAN DAN AKIDAH : Antara isu yang dibahaskan adalah seperti konsep perubatan dalam Islam, jenis-jenis penyakit dalam Islam, menghilangkan perbuatan syirik dan khurafat dalam berubat dan juga konsep berserah atau ikhtiar kepada Allah SWT.
  • PERUBATAN DAN SYARIAH : Skop di bahagian ini pula lebih menjerumus dan berfokus kepada ibadah pesakit dan pengamal perubatan, interaksi antara pesakit dan doktor, isu-isu kemasyarakatan seperti derma darah dan organ dan metodologi rawatan seperti pembedahan plastik dan keguguran.
  • PERUBATAN DAN AKHLAK : Bahagian ini pula membahaskan tentang etika kedoktoran dan pesakit dan etika masyarakat kepada golongan perubatan.

HUKUM ASAL PERUBATAN.

Bidang perubatan merupakan salah satu urusan muamalat Islam dan asal sesuatu perkara dalam muamalat adalah HARUS. Namun, perkara ini perlu senantiasa disandarkan kepada syariat-syariat Islam.

Perlunya keselarasan yang tepat daripada sudut kefahaman antara hukum fiqh dan bidang perubatan bagi memastikan keharmonian antara hukum dan masalah.

Anas bin Malik RA pernah berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya,

“Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.” (Hadith riwayat Muslim).

Allah SWT juga ada menyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat ke-29,

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاء فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala-galanya yang ada di muka bumi.

Rawatan scaling adalah rawatan bertujuan untuk membersihkan gigi yang telah kotor dan kuning disebabkan oleh penyakit, kesan sampingan ubat tetracycline antibiotic, trauma, karies atau radang gigi serta staining dalaman dan luaran.

Sekali lagi ditekankan bahawa asal sesuatu perkara dalam muamalat adalah HARUS! Begitu juga dengan rawatan ini yang pada asalnya, hukumnya adalah harus jika bukan bertujuan untuk mengubah warna asal gigi dan juga tiada perkara yang boleh membawa kepada pengharamannya.

Misalnya, terdapat mudarat yang besar apabila rawatan ini diteruskan atau terdapat penggunaan bahan-bahan pemutih berunsurkan najis yang tidak halal.

Amat penting bagi setiap seorang daripada kita faham dan hadam masak-masak berkenaan dengan konsep niat.

Imam an-Nawawi ada mengatakan dalam kitab karangannya, Kitab Hadis Arbain Nawawi (Hadis 40), bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda maksudnya,

“Bahawasanya segala amalan itu adalah bergantung dengan niat dan setiap orang akan mendapat (pahala) berdasarkan yang dia niatkan…hinga akhir hadis.” (Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Imam Ahmad dan Imam Syafi’e menjelaskan,

“Di dalam hadis tersebut, terdapat satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”

Kenapa penting sangat hadis ini dalam kehidupan seharian kita? Ya. Sangat penting! Kerana dalam sehari, kita tidak terlepas daripada melakukan pelbagai aktiviti, dari kita bangun pagi sehinggalah tidur kembali.

Setiap amalan dan perbuatan yang kita jalankan sewajarnya menjadi ibadah apabila disertakan dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah dan menuntut keredhaan-Nya.

Jadi, di sini sudah terang lagi bersuluh, bahawa sekiranya kita berniat melakukan sesuatu bukan kerana Allah, maka perkara itu bukanlah dikira sebagai satu ibadah bahkan boleh menjauhkan kita daripada reda Allah.

Nauzubillahi minzalik!

Hukum asal melakukan rawatan scaling ialah harus seperti yang telah dijelaskan tadi. Namun, hukumnya akan berubah kepada HARAM dan berdosa sekiranya berniat untuk menambah seri kecantikan untuk tatapan ramai.

Melakukan sesuatu terhadap semua gigi yang sediakala elok dan tidak terdapat cacat cela padanya bukanlah rawatan tetapi sengaja memolekkan keadaan gigi yang sememangnya sudah baik.

Tetapi, sekiranya ada gigi yang berubah warna daripada putih kekuningan menjadi gelap dan hitam ekoran daripada kematian saraf gigi disebabkan karies yang dalam ataupun penyakit seperti fluorosis, maka perkara ini menjadi HARUS kerana anomali ini menjadikan seseorang dapat dikenalpasti dengan mudah dan boleh merendahkan keyakinan dirinya.

MASALAH YANG DIHADAPI DUNIA SEKARANG.

Ekoran daripada ketidakfahaman terhadap hukum fiqh dan syarak dalam Islam, maka sesetengah individu gagal untuk mengamalkan perbuatan yang baik dan tepat dalam kehidupan seharian.

Budaya hedonisma dan mengikut-ikut semakin bermaharajalela dalam diri masyarakat sekarang. Budaya-budaya barat yang tidak baik juga merupakan antara anasir jahat yang menjadi cabaran utama dunia masa kini.

Allah SWT telah berfirman dalam surah Luqman pada ayat ke-6 dan ke-7,

‎وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ • وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّىٰ مُسْتَكْبِرًا كَأَن لَّمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا ۖ فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“Dan antara manusia ada yang membeli perkataan yang melalaikan guna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikan jalan Allah itu sebagai ejekan. Mereka itulah yang memperolehi azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat peringatan Kami, dia berpaling dan menyombong diri. Seolah-olah dia belum mendengarnya, seperti di telinganya ada penyumbat. Maka berikan khabar gembira kepadanya azab yang pedih”.

Dewasa kini, memutihkan atau mencuci gigi sudah menjadi gejala yang menular dalam dunia kecantikan, bukan sahaja dalam kalangan selebriti malah masyarakat marhaen juga turut terpengaruh.

Bermacam-macam alasan yang digunakan sebagai hujah semata-mata ingin mendapatkan gigi yang cantik dan putih. Ada yang sanggup melabur duit beribu-ribu ringgit hanya kerana ingin memperelok gigi yang sebenarnya sudah sediakala sihat dan putih.

Budaya ini kian mendapat tempat dalam kalangan anak muda Malaysia terutamanya kerana semata-mata ingin kelihatan lebih elok rupa parasnya.

Perkara ini jelas menyalahi hukum fiqh dan syarak dalam Islam kerana sengaja mengganggu kejadian Allah SWT yang telah sediakala elok dan sempurna. Disebabkan oleh niat yang tidak betul, boleh berdosa jadinya.

Situasi ini lebih parah lagi dengan banyaknya ‘pentauliahan’ sebagai doktor pakar dengan hanya menonton tutorial di Youtube. Hanya dengan membeli peralatan ‘rawatan’ gigi yang murah di internet lalu menawarkan perkhidmatan kepada orang awam.

Lalu, dengan datang ke rumah pelanggan atau bertemu di hotel tanpa premis pergigian yang sah, semudah itu doktor Youtube ini mengaut keuntungan tanpa memikira impak dan komplikasi yang bakal dihadapi pesakitnya.

Kehilangan dan kerosakan gigi merupakan antara risiko yang bakal dihadapi apabila mendapatkan perkhidmatan doktor gigi palsu kerana tidak mengikut prosedur rawatan yang betul. Malahan, penyakit berisiko tinggi seperti HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit.

Perkara ini berlaku berikutan sikap masyarakat yang tidak suka bersusah dan ingin mendapatkan semuanya dengan pantas dan jalan pintas sahaja. Tambahan pula, sikap amanah terhadap ilmu juga sudah ke laut perginya terutamanya dalam kalangan yang berpendidikan.

Satu lagi punca permasalahan ini berlaku adalah daripada media sosial. Belakangan ini, kita sering ‘menangkap’ penjualan produk-produk pemutih gigi yang dijual secara murah di media sosial, terutamanya di Instagram.

Produk yang dijual tidak mempunyai komposisi yang tepat untuk memastikan gigi selamat dan dapat digunakan secara optimum. Itu belum ambil kira pengiktirafan oleh JAKIM atau Kementerian Kesihatan Malaysia lagi.

Ironinya, produk-produk ini mendapat sambutan yang memberangsangkan kerana harganya yang murah dan agak mudah untuk mendapatkannya.

TEKNIK PENJAGAAN GIGI.

Orang tua-tua pernah pernah berkata, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sediakan payung sebelum hujan. Jangan nanti sudah terhantuk, baru nak terngadah. Bahkan, Islam sendiri mengajarkan kita bahawa mengelakkan keburukan itu lebih diutamakan.

Di sini akan disenaraikan beberapa teknik yang difikirkan relevan sebagai penjagaan gigi dan langkah berjaga-jaga sebelum kita terkena sakit – yang katanya lebih sakit daripada putus cinta ; sakit gigi.

  • JALANKAN PEMERIKSAAN GIGI SECARA MENYELURUH : Perkara yang amat baik bagi pengamal pergigian untuk memulakan pemeriksaan menyeluruh bagi merancang rawatan pesakit. Konsultasi dengan doktor yang berkala juga amat digalakkan untuk memastikan kesihatan oral terjaga sepanjang masa.
  • EMPAT LANGKAH MUDAH : Amalkan memberus gigi dengan berkesan, sekurang-kurangnya dua/tiga kali sehari dan ambil tahu tentang teknik memberus yang betul. Gunakan benang flos setiap hari untuk membersihkan sisa-sisa makanan pada celah-celah gigi yang tak dapat dibersihkan oleh berus biasa.

Dapatkan pemeriksaan gigi secara berkala berserta pemakanan yang baik dan seimbang. Mudah, tapi harus istiqamah. Insya-Allah akan dapat menjamin kesihatan oral.

  • SAYUR DAN BUAH-BUAHAN :  Kedua-duanya merupakan sumber yang signifikan kepada tubuh kerana mengandungi banyak vitamin dan mineral. Vitamin dan mineral ini amat penting bukan sahaja kepada tubuh, tetapi juga kepada air liur dalam mulut. Air liur merupakan komponen penting dalam mulut dan bertindak sebagai penghalang kepada karang gigi di samping mengandungi enzim yang penting untuk penghadaman.
  • BERSIWAK : Dalam Islam, bersiwak merupakan amalan dan Sunnah Nabi Muhammad SAW. Bahkan bersiwak merupakan antara kunci untuk mendapatkan keredaan Allah SWT bersandarkan hadis yang berbunyi,

“Sesungguhnya siwak dapat membersihkan mulut dan diredai Allah SWT.” (Hadis riwayat al-Bukhari, al-Nasai, Ibnu Hibban.)

Tetapi sayang, amalan ini semakin hilang ditelan arus zaman dan pemodenan.

  • BERUS GIGI YANG LEMBUT :Pemilihan berus gigi yang lembut (soft) amatlah digalakkan berbanding berus gigi yang kasar. Tekanan yang lembut sekadar membolehkan berus untuk membuang kotoran haruslah dititikberatkan tanpa harus menekan berus dengan kuat.

Impaknya, gigi akan menjadi sensitif lantaran lapisan dentin yang mula terdedah ekoran daripada lelasan (abrasion) pada enamel gigi.

  • KANDUNGAN FLOURIDA :Flourida merupakan ramuan aktif yang ada dalam ubat gigi. Ubat gigi yang mengandungi flourida terbukti berkesan untuk mencegah kerosakan gigi.

Namun, jika kadar gosokan gigi menggunakan ubat gigi melebihi daripada yang disarankan dan ditambah dengan ditelan semasa memberus, ini akan menyebabkan pengambilan flourida yang berlebihan dan akan menyebabkan flourisis iaitu ion flourida yang berlebihan dalam enamel gigi.

Akhirnya, gigi akan menjadi lemah, poros dan seterusnya menyebabkan patah.

  • WAKTU MAKAN :Makanlah pada tiga waktu utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Rembesan air liur pada ketiga-tiga waktu ini adalah pada tahap yang maksimum dan membantu gigi untuk membilas permukaannya secara semula jadi.
  • JENIS MAKANAN : Elakkan pengambilan makanan manis dan berkarbohidrat yang melekit dan kenyal seperti dodol, wajik dan karamel kerana akan lebih lama melekat pada permukaan gigi.

Sisa-sisa ini akan menjadi sumber makanan kepada bakteria dan akhirnya akan menghasilkan asid yang bakal menyebabkan karies atau lubang pada gigi.

  • GULA-GULA GETAH :Satu langkah yang dapat meningkatkab rembesan air liur adalah dengan mengunyah gula-gula getak yang tidak bergula (sugar-free gum) sejurus selepas makan.

10) HINDARI TIGA PERKARA  :Hindari rokok, teh dan kopi! Ketiga-tiga perkara ini akan menyebabkan gigi kita menjadi kuning dan berpotensi menimbulkan plak pada gigi.

Apabila seseorang mengalami sakit gigi yang serius, seluruh anggota badannya tidak lagi dapat berfungsi sepenuhnya untuk menjalani tugasan seharian dengan teratur.

Orang kata, kalau tak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua. Apabila karang gigi atau karies ini tidak dirawat dengan segera, akan timbul satu lapisan keras yang dipanggil kalkulus. Kalkulus ini lebih sukar untuk dibersihkan berbanding karies yang biasa. Paling penting ialah kita istiqamah dalam usaha dan ikhtiar kita, moga-moga Allah SWT membantu.

PENUTUP.

Menurut hemat saya, ada satu nilai positif dalam masyarakat Muslim di Malaysia khususnya. Masyarakat Muslim dewasa kini kian celik terhadap hukum-hakam dalam agama Islam.

Perbahasan yang terjadi dari hari ke hari menjerumus kepada hukum-hakam dan dalil-dalil. Justeru, diharapkan agar kita dapat sama-sama mencari sumber dan maklumat yang sahih. Bukan semata-mata kita klik saja pada paparan Syeikh Google atau cukup kita hadir sekali ke pengajian dan usrah, lalu kita dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum baru dan berfatwa.

Carilah sumber yang sahih. Rujuk kepada orang yang pakar dan mengetahui. Tanyakan kepada mereka yang belajar dan dipercayai ilmunya.

Salah satu keistimewaan atau kemuliaan manusia sebagai hamba Allah SWT ialah kita telah dianugerahkan satu amanah yang tidak dimiliki oleh seluruh makhluk lain iaitu sebagai khalifah di muka bumi ini.

Justeru, sebagai khalifah yang beriman dan berilmu, kita sewajarnya memikirkan keputusan yang terbaik dan memilih tindakan yang diredai oleh-Nya.

Perilaku seseorang yang bertindak sebagai seorang khalifah dalam bidang pergigian adalah dengan membuat rawatan yang terbaik, memilih bahan pergigian yang baik dan halal, menjalankan urus niaga yang halal dan menegakkan syiar-syiar Islam.

Kepada yang bukan pengamal pergigian, juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Bagaimana? Menghindarkan diri daripada urus niaga yang haram, tidak menggunakan bahan-bahan terlarang serta menjaga adab dalam bermuamalat dan jangan lupa untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor yang diiktiraf.

Semoga setiap usaha yang kita jalankan akan dapat menjadi bukti di pengadilan Allah SWT kelak, bahawa kita telah berusaha untuk menegakkan syiar-syiar agama-Nya di atas muka bumi ini.

Wallahu Ta’ala A’lam.

Sumber Rujukan :

1) Al-Quran, al-Haramain terjemahan & tajwid berwarna, terbitan Karya Bestari sdn.bhd.

2) Syarah Hadis 40 Imam Nawawi, Dr. Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto, Edisi Kedua, Persekutuan Melayu Republik Arab-Mesir (PMRAM)

3) Tanyalah Pakar Tentang Fiqh Dental & Kefahaman Mengenai Isu-isu Rawatan Pergigian Menurut Prinsip Islam dan Kaedah Perubatan Moden, Dr. Wan Noorina, Dr. Nik Suhaila, Dr. Wan Abdul Fattah, Telaga Biru sdn.bhd.

4) Fiqh Pergigian Menjawab Keraguan Anda & 21 Soal Jawab Mengenai Hukum dan Isu Dalam Rawatan Pergigian, Dr. Aspalilah Alias, Dr. Nurjehan Mohamed Ibrahim, Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar, Cetakan Pertama 2016, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

5) Q&A Fiqh Perubatan, Dr. Muhamad Rafiqi Hehsan, Cetakan 2015, PTS Publishing House sdn.bhd.

6) www.drwanzsecret.blogspot.com

7) http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/ketahui-mitos-rawatan-gigi-1.503475

8) http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-doktor-gigi-youtube-1.541097

9) http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/kosmetik-gigi-kian-popular-1.192875

10) https://halosehat.com/tips-kesehatan/gigi/penyebab-karang-gigi


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jurusan Pergigian, Universiti al-Azhar. Anak jati Kota Tinggi, Johor. Keturunan Jawa mengalir dalam pembuluh darahnya. Puisi Buya Hamka dan Pak Natsir menjadi bacaan saban hari. Suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau bosan, gitar dan irama puisi menjadi peneman.

Comments are closed.